AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 29 March 2015

IKATAN KASIH- BAB 5




        

Dia mendekati pintu utama. Berdiri seketika, mencari kekuatan diri. Dia memberi salam sambil mengetuk daun pintu. Tiada sebarang sahutan. Dia mengetuk dan memberi salam sekali lagi. Dia menganjak beberap langkah apabila terdengar suara menjawab salam. Suara lembut dan muda. Semakin berdebar hatinya. Semoga mereka menerima kehadirannya dengan gembira.
            Hatinya yang sebal mengenangkan tiada siapa menjemputnya tadi, sedikit terubat.
“Cari siapa?” tanya seorang gadis muda, bertubuh kecil dan tinggi. Bertudung. Tersenyum manis menyapa sebaik sahaja pintu terbuka. Mata mereka saling bertembung.
            Dahi Rabeta berkerut. Rasanya, dia tidak tersalah rumah. Dia memandang sekali lagi nombor lot rumah yang telah diberi oleh seorang lelaki ketika dia bertanyakan rumah Haji Ismail. Nombor sama, wajah gadis itu menjadi tatapan matanya. Tidak mungkin.
            “Hajah Kemboja ada?” tanya Rabeta lembut, walaupun dalam hati sudah terbit rasa was-was dan seribu persoalan sedang bermain di benaknya. Wajah gadis itu membuatkan dia teringatkan seseorang. Wajah yang masih tersenyum memandangnya itu diteliti seketika.
            “Cari nenek ke?” tanyanya lembut.
            “Ya,” jawab Rabeta sepatah.
            “Nenek, ada orang cari!” laung gadis itu dan berlalu masuk.
            Rabeta terjengah-jengah ke dalam rumah. Dia masih berdiri di anjung rumah, langsung tidak dipelawa masuk. 
            “Siapa? Laaa… kenapa tak diajak masuk?” Hajah Kemboja mendekati pintu yang terbuka luas. Rabeta mendengar suara yang dikenal amat itu. Semakin dekat.
Spontan wanita dipanggil Hajah Kemboja itu memeluknya. Sejenak tadi, dia terpaku. Bibirnya bergerak-gerak. Mata tiba-tiba digenangi air. Hajah Kemboja menangis gembira. 
            “Rabeta… anak mak…”
Dia memeluk Rabeta erat. Kucupan bertalu-talu di pipi dan dagu Rabeta. Rindu seorang ibu terhadap anaknya, tidak terluah dengan kata-kata.  Hanya tindakan dan mata yang bercerita.
            “Masuk, nak,” pelawa Hajah Kemboja ramah. 
Berkaca matanya sewaktu terpandangkan Rabeta  berdiri di hadapannya.  Tangan Rabeta ditarik masuk ke dalam rumah apabila melihat anak perempuannya itu teragak-agak hendak melangkah.
            Rabeta mengikut sahaja. Lidahnya terkunci. Hanya esakan panjang yang kedengaran.
            “Bila Eta keluar?” tanya Hajah Kemboja lembut. Matanya tidak beralih dari memandang Rabeta.  Terasa rindu dibawa pergi. Berbelas tahun menyulam duka, merindui anak sulungnya itu.
            “Pagi tadi mak,” jawab Rabeta dengan esakan yang masih bersisa. Rindu benar dengan emaknya itu. Kali terakhir mereka bertemu adalah ketika sambutan hari raya di penjara beberapa tahun yang lepas. 
            “Kenapa tak bagi tahu?” tanya Hajah Kemboja kehairanan. Rabeta tersentak.
            “Mereka ada beritahu, mak,” jelas Rabeta. 
            “Mak tak terima  apa-apa panggilan pun? Tak tahulah, jika ayah ada terima?” Berkerut dahinya.
            “Ah! Biarlah, yang penting anak emak dah balik. Eta kurus sangat ni, makanan di penjara tak sedap, ya?”  Dia membelek tubuh, muka dan lengan anak perempuannya. “Eta dah makan?”
            “Belum mak, lapar ni,” rengek Rabeta manja. 
Dia mengusap perutnya yang leper dan tidak berisi itu. Terasa dirinya dihargai dan disayangi. Itulah kasih seorang ibu, biar bagaimana buruk perangai seorang anak, kasih sayang yang tersemai sejak di dalam kandungan tidak pernah hilang dan susut walaupun seinci.  Begitu jugalah perasaannya terhadap anak-anak yang ditinggalkannya.
            “Jom, kita ke dapur. Tadi waktu memasak, mak terfikir nak masak lebih hari ini. Rupa-rupanya anak emak nak balik,” luah Hajah Kemboja riang.
Dia terus menghidangkan lauk lebihan makan tengahari tadi. Kari ikan pari, sayur kacang botol goreng berlada dan ikan goreng siap terhidang. Air sirap suam, minuman kegemaran Rabeta turut dibancuh. Nasi yang sudah sejuk dipanaskan di dalam ketuhar.  
            Rabeta teruja melihat lauk yang terhidang. Perutnya yang lapar bagaikan menyentap perutnya yang kosong minta diisi. Nasi yang sudah terhidang di dalam pinggan, ditarik dekat. Usai membaca doa makan, laju tangannya menyuap nasi ke mulut.  Terasa enak di tekak. Sudah lama dia tidak merasakan masakan emaknya. Air tangan emaknya sentiasa sedap, tetap lazat seperti dahulu.
            “Sedap mak,” puji Rabeta. Bergenang air matanya. Sayu hatinya. Rindukan saat-saat dia sekeluarga berkumpul di meja makan menikmati masakan emaknya. Mereka bergelak ketawa, bercerita. Kemesraan, kasih sayang terpancar di wajah masing-masing. Sudah lama dia kehilangan saat-saat itu.
            “Makan nak, makan. Tambah lagi,” kata Hajah Kemboja, gembira. Air matanya yang mengalir dilapnya. Nyata begitu sayu hatinya melihat Rabeta di hadapan mata. Sedih mengamit. Hiba yang hadir bagaikan tidak mahu pergi. Berkali-kali Rabeta menambah nasi. Berselera benar dia. Sudah lama tidak menambah nasi dan makan sebanyak itu.
            “Kenyang benar Eta, mak. Alhamdulillah.” Puji-pujian hanya  untuk  ALLAH SWT. Rabeta menyandar kekenyangan. Matanya singgah di wajah emaknya yang asyik memerhati.
            “Eta pun rindu sangat dengan mak,” luah Rabeta, bagaikan mengerti apa yang sedang bersarang dalam hati emaknya. Pandangan mataa mereka bertaut seketika.
            “Erk… siapa budak perempuan tadi, mak?”
            “Yang mana?” soal Hajah Kemboja semula.
            “Yang buka pintu tadi,” jawab Rabeta. Matanya masih mencari kelibat gadis tadi. Mungkin sudah menghilangkan diri ke dalam salah satu bilik yang terdapat di rumah itu.
            “Ooo… nanti Eta boleh berkenalan dengan dia. Jomlah, mak tunjukkan bilik. Tentu Eta letih, kan? Kita masuk bilik, Eta mandi dan berehat.” Hajah Kemboja tidak terus menjawab pertanyaan Rabeta. 
***
            Dahi Haji Ismail berkerut melihat meja makan yang tidak berkemas. Takkan sejak tengahari tadi,  isterinya masih tidak mengemas meja makan usai mereka menjamu selera.  Dia menggelengkan kepala. Dia menutup lauk-pauk yang bersisa.
Setelah makan tengahari, dia terus ke masjid. Ada mesyuarat AJK masjid. Dia menarik kerusi dan duduk seketika. Masih berfikir. Air sirap suam yang masih berbaki dilihat sekali imbas. Dia mengangkat kening. Dia terbayangkan wajah seseorang. Hampir terlupa tentang panggilan dari pihak penjara beberapa hari yang lalu.
“Kemboja!”
Berani pula dia pulang ke rumah itu? Haji Ismail mengetap bibir, marah menerpa tiba-tiba. Malu menerjah dalam hati. Apa  pula kata orang kampung, kalau tahu anaknya telah pulang.  
            “Abang?” Hajah Kemboja yang baru turun dari tingkat atas terkejut melihat suaminya yang berada di dapur. Dia terlupa mengemas meja makan yang masih tidak berkemas usai Rabeta menjamu selera.
            “Kita ada tetamu?” tanya Haji Ismail ragu-ragu. Melihat wajah isterinya yan serba-salah dan muram, sudah terjawab soalan yang ditanyakan tadi.
            “Dia dah balik?” soal Haji Ismail. 
            Tidak perlu sebut nama, isterinya sudah boleh dan memahami siapa yang dimaksudnya tadi.
            “Rabeta…” Hajah Kemboja mengangguk perlahan. Tidak habis ayatnya. Dia hanya ingin memberitahu yang anak mereka bernama Rabeta sudah pulang.
Wajah suami yang duduk menghadapnya dipandang seketika. Matanya bagaikan merayu meminta belas ehsan, agar suaminya tidak bertindak di luar kawalan.
            “Kenapa awak benarkan dia masuk?” Suaranya masih perlahan tetapi terasa keras di pendengaran Hajah Kemboja.
            “Dia anak kita, bang!” Hajah Kemboja tidak betah dengan sikap suaminya yang menghiris hati. Biar buruk di pandangan orang lain terhadap Rabeta, dia tidak boleh ada perasaan itu. Dia juga berharap suaminya juga begitu.
            “Anak? Apa guna ada anak yang hanya tahu menconteng arang ke muka kita?  Kenapa tak mati saja di dalam penjara?” marah Haji Ismail.
            “Astghfirullah, bang!?  Kenapa mendoakan anak kita macam itu?  Kasihanlah pada dia, bang.” Hajah Kemboja hiba. 
Kenapa masih ada marah di hati suaminya? Perkara itu sudah lama berlalu, anaknya itu sudah pun menerima hukuman. Bukan setahun dua, tetapi 15 tahun.
            “Hey, Kemboja… saya tidak ada anak pembunuh! Keturunan saya, keturunan baik-baik! Entah anak siapa yang awak kandung, sampai sanggup nak bunuh suami sendiri!” lengking suara Haji Ismail.
            “Abang!” jerkah Hajah Kemboja. Pilu menyuntik hatinya. Tuduhan Haji Ismail seperti jerkahan halilintar. Sampai hati suaminya mempertikaikan kejujurannya dan meragui dirinya.
            “Saya dah ingatkan awak! Saya tak boleh terima dia di rumah ini, nanti apa kata Haji Mansor dan Hajah Aminah? Apa pula kata Ramadan dan cucu-cucu kita? Apa pula kata Redza? Air muka mereka kena juga kita jaga!”  Haji Ismail mencuka.  Bibit marah tidak tampak surutnya.
            “Abang hanya fikirkan orang lain?  Rabeta itu anak kita, bang! Darah daging kita. Darah yang mengalir di tubuhnya itu, adalah darah awak dan saya, berhati perutlah sikit!” Hajah Kemboja menggeleng kesal.  Air mata mengalir laju. 
Entah apa yang difikirkan oleh Rabeta, jika terdengar butiran kata-kata suaminya tadi. Tentu hancur luluh hati anaknya itu. Tentu kecewa dan duka bercampur baur.
“Ikut suka awaklah! Awak suruh saya buat bilik untuk dia, itupun sudah cukup menghiriskan hati saya. Ikutkan hati saya, saya tak sudi terima dia di rumah ini lagi!”  Haji Islam mengemam bibirnya.
Hatinya sudah cukup terluka dengan apa yang berlaku. Biar seumur hidup kisah ini berlalu, namun tetap berbekas di hati. Satu kampung dijaja tentang kisah Rabeta ingin membunuh suaminya.  Berbagai rentak dan lirik menyapa telinganya.  Malah ada yang sanggup meludahnya, jika bertembung dengannya. Siapa lagi, jika bukan Haji Mansor dan Hajah Aminah.
            “Abang Hajil!” jerit Hajah Kemboja.
Hatinya benar-benar kesal dengan sikap suaminya yang terpengaruh dengan kata-kata bekas besannya, bekas ayah mertua Rabeta.
 Anaknya belum tahu lagi yang dia sudah pun diceraikan beberapa bulan setelah dia ditangkap. Rabeta berkahwin dengan Ramadan, rakan sekolah dan sekampung.  Rumah mertua Rabeta terletak tidak jauh dari rumah itu. Hanya beberapa kilometer.
            “Awak dah pandai nak derhaka dengan saya?” Perasaan marah di hati Haji Ismail bagaikan aliran lava dari gunung berapi yang tidak mahu berhenti. Memusnahkan setiap inci di jiwanya.
            “Tak ada guna saya bercakap dengan awak, anak sendiri awak nak buang? Anak orang awak sanjung-sanjung, entah-entah Ramadan yang rancang semua ni. Dia yang cederakan diri sendiri. Lepas itu perangkap Rabeta sebab nak kahwin lain!” Serkap Hajah Kemboja.
            “Jangan nak tuduh orang pulak. Dah sah-sah mahkamah sabitkan anak awak bersalah. Dia yang lakukan jenayah!” Haji Ismail bingkas bangun.  Bergerak kerusi akibat hentakan tangannya. Dia melangkah pergi meninggalkan isterinya sendirian di ruang makan. Tangisan isterinya langsung tidak melembutkan hati.
            Hajah Kemboja terdiam di kerusi. Dia hanya mampu menangis. Pilu menghimpit hatinya. Remuk rendam jiwanya. Terbayangkan wajah Rabeta yang sendu dan cengkung itu. Mana mungkin dia membiarkan Rabeta merana seorang diri. 
Cukuplah 15 tahun mereka terpisah. Dia sudah tidak peduli dengan hinaan dan cacian orang terhadap anaknya itu. Biarpun masa sudah berlalu, namun peristiwa itu masih utuh di hati bekas besannya. Jika tidak ada yang terus mengingatkan, maka tiada siapa yang akan mengingatinya. Kenapalah besannya begitu bencikan Rabeta?
            Dia yakin, anaknya itu tidak bersalah. Siang ikan hidup pun dia tak sanggup. Lagikan untuk membunuh orang.
Air mata yang mengalir dilap dengan tisu yang berada di hadapannya. Dia memandang sayu lauk-pauk yang berbaki. Pilu hatinya melihat Rabeta menjamah nasi yang terhidang.  Sungguh berselera, bagaikan sudah bertahun-tahun tidak menjamah apa-apa makanan.
           





No comments:

Post a Comment