AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 31 March 2015

IKATAN KASIH- BAB 6



         

Gadis manis yang baru sahaja turun dari tingkat atas, melangkah mendekati Hajah Kemboja yang masih lagi bersedih.
“Nenek? Nenek menangis?” 
            “Riyana nak balik dah ke?”
“Ya, nek. Riyana nak balik, mama dah telefon,”  beritahu Riyana, lurus.   
            “Baiklah, jalan hati-hati ya, cu.” Hajah Kemboja tersenyum.
            “Oh ya, siapa yang datang tadi tu nek?  Mana dia?”  Riyana mencari kelibat wanita tadi.
            “Kawan lama nenek, dah balik pun. Pergilah balik, nanti bising pula mama,” halau Hajah Kemboja. 
Dia tidak mahu fikir apa-apa lagi. Biarlah Rabeta berehat dan bertenang dahulu.  Nanti-nanti sahajalah mereka berkenalan.
            Hajah Kemboja mengiringi cucunya hingga ke pintu. Usai bersalaman dan saling berpelukan, mereka berpisah. Mata tuanya mengikut langkah Riyana hingga cucunya itu menghilang di balik pepohon pokok yang tumbuh subur. Gadis itu, walaupun dihalang berkali-kali agar tidak datang ke rumah itu, masih juga degil dan keras kepala.
             Hajah Kemboja sudah muak mendengar umpat keji bekas besan dan bekas menantunya. Lagi-lagi, kalau mereka mendengar berita tentang kepulangan Rabeta. Semakin pilu hatinya. Kalau boleh ingin sahaja dia menyuruh Rabeta pergi sahaja dari kampung itu. Usah pulang lagi. Binalah hidup di tempat lain, bukan di kampung ini. Hati keibuannya terus dirasuk resah dan bimbang. Hajah Kemboja menutup pintu. 
***
            Rabeta  menarik nafas panjang. Air mata yang gugur cepat-cepat diseka dengan hujung jari. Usai mandi dan ingin berehat, dia terdengar bunyi enjin motosikal. Dia menjengah dari balkoni. Ayahnya sudah pulang. Tidak sabar ingin bertemu muka. Langkahnya mati ketika terdengar pertengkaran kedua orang tuanya. Tangisan emaknya membuatkan hatinya turut menangis.  Begitu marah sekali ayah kepadanya. 
            “Sampai hati, ayah…” Dia merintih.
            Dia tahu kini, kenapa ayahnya tidak langsung datang menziarahinya. Sebolehnya dia tidak mahu berkecil hati terhadap ayahnya sendiri.  Selama dia terkurung, tidak henti-henti dia berharap dan berdoa agar dirinya diampunkan.
Dia cuba melelapkan mata, cuba melupakan apa yang didengarinya tadi. Namun, tidak berdaya. Kata-kata ayahnya masih terngiang-ngiang di telinga. Ayah turut mendoakan agar dia mati di dalam penjara? Sampai begitu sekali kemarahan ayah terhadap dirinya. 
“Ya ALLAH, Kau berilah aku kekuatan dan kesabaran,” doa Rabeta dalam hati.
“Rabeta! Eta,” panggil Hajah Kemboja.
            Rabeta cepat-cepat mengelap air mata yang masih berbaki. Dia bingkas bangun, berjalan mendekati pintu bilik yang dikunci rapat. Dia menarik nafas, kelelahan memikirkan apa yang berlaku. Dia cuba menyembunyikan rasa sedih di hati. Biarlah dia simpan sendiri perasaan itu, akan dibuang dari ingatan kata-kata ayahnya itu daripada mindanya yang tepu. Daun pintu dibuka perlahan.
            Hajah Kemboja berdiri di hadapan pintu dengan senyuman manis. Wajah emaknya ceria. Wajah Rabeta yang redup dipandang sekali imbas. Tidak berani bertentang mata. Tidak mahu Rabeta mengesan rasa sedih yang berkumpul.
“Ada apa mak?” Rabeta pura-pura menguap, kononnya dia benar-benar sedang tidur. 
            “Eta tidur ke?” Hajah Kemboja melangkah masuk tanpa dipelawa.
            “Yalah.. mak,” jawab Rabeta, jarinya menggonyoh matanya yang perit. 
Dia berlagak biasa, tidak mahu emaknya mengetahui dia mendengar setiap ayat yang keluar daripada mulut ayahnya. Tidak mahu melihat emaknya menangis lagi. 
Masih terbayang di matanya, bagaimana emaknya meraung sewaktu dia dijatuhkan hukuman. Perasaan berdosa merayap di hati. Dia sendiri tidak mampu melihat wajah emaknya ketika itu. Mahu sahaja dia menerpa dan menenangkan hati emaknya yang terpaksa melihat anak yang dilahir dan dibesarkan, terpaksa merengkok di dalam penjara. 
“Mak sihat kan?” Rabeta berbasa-basi.
Kalaulah dia berada di tempat emaknya, sudah tentulah dia juga tidak mampu menerima keadaan itu. Wajah emak yang tenang menjadi santapan matanya, seketika. Tidak mampu berlama, takut terburai tangisannya.
            “Sihat…” Mereka berjalan seiringan menuju ke sofa yang sedia ada.  Sesuai untuk beristirehat dan duduk bersantai di dalam bilik itu selain katil untuk merehatkan tubuh.  Hajah Kemboja duduk rapat hingga berlaga lutut dengan Rabeta. Tangan Rabeta diraih dan dibelai manja. Wajah tenang dan cengkung itu ditatap lama. Ada rasa sayu terbit  di sanubari.
            “Apa rancangan Eta lepas ini?” tanya Hajah Kemboja lembut.
            “Belum fikir lagi, mak. Eta ingat nak cari Abang Ramadan dan anak-anak. Mak tahu mereka ada di mana?” 
Dalam fikirannya hanya mereka yang difikirkan. Tentang masa hadapannya, masih belum difikirkan lagi. Rindu yang bertakhta di hati bagaikan tidak mampu dibuang pergi, selagi dia tidak bertemu mereka.
            “Eta, keadaan dah tak sama. Bertahun-tahun Eta tiada di sisi mereka. Lebih-lebih lagi, Eta yang dikatakan jadi punca semuanya. Adakah Eta harap mereka akan menerima Eta kembali?” Soalan itu terkeluar daripada mulut Hajah Kemboja.
Nampak dia tidak mahu anak perempuanya itu menaruh harapan tinggi. Mungkinkah sudah ada kemaafaan buat Rabeta, dan Ramadan sanggup menerima Rabeta kembali? Hajah Kemboja mengeluh. 
            Rabeta terdiam seketika. Dia memandang jari jemarinya yang dibelai lembut oleh emaknya. Dahinya berkerut, bukan lupa atau sengaja buat-buat lupa. Masih ingat semuanya. Namun, dia tidak bersalah. Dia menerima hukuman kerana dipaksa menerimanya. 
Hingga ke hari ini, dia masih bingung memikirkan hal tersebut. Atas alasan apa suaminya ditikam. Seingatnya mereka tidak mempunyai musuh.
            “Eta tak salah, mak. Bukan Eta yang tikam abang!” nafi Rabeta. Air mata gugur mengalir di pipi.
            “Mak tahu, Eta tak buat perkara tu. Mak percayakan Eta.”
Hajah Kemboja hela nafas. “Tapi orang lain? Adakah mereka juga akan fikirkan perkara yang sama? Lebih-lebih lagi mahkamah dah jatuhkan hukuman.”
 Dia menyelusuri wajah anak perempuannya. Wajah itu cengkung, gelap, ada jerawat nasi sedang meliar di pipi dan dagu anak perempuannya. Tinggal di dalam penjara, mana mungkin boleh menjaga dan merias wajah.
            Bilik yang berhawa dingin terasa berbahang. Rabeta tidak betah duduk. Dia terlupa siapa dirinya sekarang. Dia bekas penjenayah, bekas banduan.  Hinggakan ayahnya sendiri benci dengannya.
Matanya dipejamkan seketika. Semakin laju air matanya mengalir. Tidak! Dia tidak bersalah! Dia tidak boleh mengaku kalah! Dia perlu mencari siapa dalang sebenarnya.  
            “Lagipun…”  Hajah Kemboja sebak. 
Rasa tidak mampu menyampaikan berita yang pasti akan membuatkan hati anak perempuannya hancur. Dia bangun menuju ke meja solek. Laci dibuka. Sekeping sampul surat dikeluarkan. Dia menyerahkannya kepada Rabeta. Wajah anaknya dipandang lama.
“Surat apa ni, mak?” Rabeta mencapainya.


No comments:

Post a Comment