Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 22 Mac 2015

ULASAN- KERANA AKU ISTERI BIDAAN.



KERANA AKU ISTERI BIDAAN
TULIP UNGU
INSTENS
RM27.00
665 muka surat

                Saya tengok karya ini diwall penerbitnya.  Hanya memandang, tengok tajuk macam tidak berminat untuk memilikinya.  Kenapalah isteri bidaan, fikir dalam hati saya.  Baru-baru ini ke Terengganu, tidak sah kalau tak singgah di kedai peminat novel Melayu tetapi berbangsa cina.  Kebetulan beliau juga menjual novel, beliau pun memperkenalkan saya buku ini, katanya menarik, semalam sahaja dia baca sehingga habis.  Wah!  Saya yakin dengan citarasa pembaca ini, maka dengan senang hati saya sambar sajalah.  Kebetulan tiada lagi buku yang hendak dibaca ketika sedang bercuti itu.  Selalunya bawa dua buah, tetapi entah kenapa kali ini berjalan saya bawa sebuah sahaja.  Maka buku cerita ini menjadi santapan mata saya.  Dua hari masa saya ambil untuk menghabiskannya. 

                Tahniah kepada penulis, satu tema yang berat tetapi digarap dengan cara yang santai dan mudah difahami jalan ceritanya.  Ada nilai pengajaran yang bagus di dalamnya. Tahniah juga kepada penerbit Intens yag berani mengetengahkan jalan cerita seperti ini. 
                Cerita bermula dengan prolog seorang gadis  GRO yang berpakaian seksi menemani dua orang lelaki di sebuah kelab malam.  Seorang lelaki yang memang menjadi temannya tetapi kehadiran seorang lelaki lagi membuatkan gadis itu hampir pengsan melihatnya.  Lelaki itu amat dikenalinya. Siapakah lelaki itu?  Bagaimana gadis  GRO itu mengenali lelaki itu? 

                Raina seorang gadis yang agak liar mempunyai seorang kekasih bernama Aznor, dia benar-benar cinta kepada lelaki itu dan berangan untuk berkahwin dengan Aznor, namun dibantah oleh kedua orang tuanya.  Aznor tidak bekerja dan  menjadi kutu rayau, itu sebab keluarga Raina tidak senang anak gadis mereka berkawan dengan lelaki itu.

                Farel, seorang banduan yang baharu sahaja dibebaskan dari penjara.  Dia mengusahakan kebun pisang dan menjual hasil pisangnya kepada isteri Imam Long yang mengusakan gerai goreng pisang.  Farel jatuh hati dengan anak Imam Long bernama Solleha yang baik akhlaknya.  Berangan-angan ingin memperisterikan gadis itu. Farel tidak disukai oleh penduduk kampung kerana dia bekas perompak dan ayahnya pula seorang perogol.  Dia sering dihina dan dipandang benci oleh penduduk kampung, kecuali keluarga Imam Long yang yakin lelaki itu boleh berubah.
                Borhan yang serik dan pening memikirkan perangai lepas bebas Raina bercadang untuk mengahwinkan anaknya dengan  Haji Meon, seorang duda dan usia hampir sebaya dengannya.  Raina memberontak, dia tidak setuju dikahwinkan dengan lelaki yang sudah tua itu.  Raina mencari akal sehingga akhirnya dia dikahwinkan dengan Farel.  Kenapa Farel?  Bukan Aznor?  Hah! Banyak konflik berlaku bermulanya perkahwinan Farel dan Raina.  Bagaimana Raina boleh menjadi seorang GRO setelah berkahwin dengan Farel?  Adakah Farel sanggup menjadikan isterinya seorang GRO?  Bagaimana Raina boleh meyakinkan keluarganya agar mengahwinkan dia dengan Farel sedangkan selama ini dia tidak berapa kenal pun lelaki itu?  Kalau ulas panjang lebar, memang tak habis.  Kenalah dapatkan buku ini untuk mengetahui cerita selanjutnya.  Memang ada adegan yang sweet-sweet sedikit, tetapi pengajarannya  juga ada.  Antara pengajaran yang boleh diambil iktibar kepada anak-anak gadis yang membaca karya ini adalah.

1) Jangan percaya kepada cinta seorang lelaki yang manis hanya di bibir sahaja.  Kalau sudah meminta kepada yang tidak sepatutnya, haruslah angkat kaki dan carilah lelaki yang jauh lebih baik daripada yang ada.
2) Ikut nasihat orang tua.
3) Jangan ikut hati, kelak mati, itulah yang berlaku kepada Raina sehingga dia menyesal seumur hidup atas tindakan yang tidak bermoralnya itu.
4)Jangan tabut fitnah akibatnya diri sendiri yang tanggung, jika fitnah yang dibuat menjerat diri sendiri.
5)Berterus-terang dalam apa sahaja keadaan, bersikap mendiamkan diri mampu membakar diri jika perkara itu tidak baik untuk diri sendiri dan orang sekeliling.

Kepada peminat novel Melayu, karya ini sememangnya tidak menghampakan. Jalan cerita yang menarik, dilakarkan dengan baik, plotnya yang lancar dan disulami dengan imbas semula yang tidak mencacatkan jalan cerita.  Tahniah kepada Tulip Ungu dan semoga menghasilkan karya yang bermutu dan diminati pembaca.

               

               

2 ulasan:

  1. citer ni memang best..first time baca novel heroin dia mcm perangai jahat..biasanya heroin baik je..tgk tajuk mcm x best tp bila baca,suka sgt..blh selami dan fahami kehidupan gro.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kan Nur Hikmah... getir dan pahit kehidupan mereka, tetapi kadangkala tiada pilihan mereka kerja juga.

      Padam