Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 26 April 2015

CATATAN HUJUNG MINGGU







                Hari ini adalah hari paling sibuk buat kami di Maahad Azzein Al Makki Pusat Penjagaan Anak Yatim Tahfiz Sg. Buluh Selangor.  Dua minggu sekali, suami saya akan ke pasar borong Selayang, membeli  bahan-bahan basah seperti ikan dan sayur untuk kegunaan dua minggu.    Tugas saya adalah menyiang semua ikan yang dibeli, anak-anak perempuan pula saya tugaskan membersihkan sayurr-sayur yang dibeli.  Memang sejam dualah kami bertungkus-lumus menyudahkan kerja-kerja yang ada.  Memanglah lenguh berdiri lama membuang semua perut ikan yang ada, membasuh dan menyimpan ke dalam bekas plastik.  Mudahlah jika hendak memasak nanti.  Itulah tugas saya di pusat anak-anak yatim tahfiz ini, menyedia makan dan minum mereka.  Turut dibantu oleh menantu yang ringan tulang.
                Saya bukanlah pandai memasak sangat. Tetapi kecekapan didapur adalah satu kurniaan ILAHI, mungkin sudah terbiasa melakukan kerja-kerja dapur sejak kecil.  Kebetulan saya memang suka memasak.  Cuma, saya tidak diiberi peluang oleh ALLAH menggunakan kemahiran saya ini untuk berniaga.  Bukan tidak biasa berniaga, malah saya dan suami pernah buka restoran francise di Putrajaya.  Sayang seribu kali sayang, hanya bertahan selama dua tahun setengah.  Jiwa kami bukan  pada bidang perniagaan.  Sejak berkahwin sehinggalah ke hari ini, pelbagai tugas dan perniagaan saya ceburi. Semuanya tidak menjadi.  Bukan tidak laku, laku.  Tetapi hanya separuh jalan, jarang saya teruskan.  Jiwa saya tidak dalam perniagaan. 
                Sewaktu buka restoran, saya juga memasak lauk bagi santapan para pekerja saya yang sudah dianggap seperti anak sendiri. Malah mereka memuji masakan saya.  Bukanlah sedap sangat sebenarya tetapi saya masak dari hati.  Benar, tanyalah tukang masak dan sesiapa sahaja.  Memasak kalau hendak sedap, kenalah masak dengan sepenuh jiwa dan lahir dari hati yang ikhlas.
                Berbalik kepada pusat jagaan anak-anak yatim tahfiz ini, setiap pagi saya akan mula menyediakan sarapan pagi setiap pukul 7.00 pagi, 8.30 pagi anak-anak akan mula bersarapan. Biasanya sarapan pagi, saya akan sediaka satu menu berat dan satu jenis kuih.  Menunya berubah-ubah.  Saya yang akan menentukan menunya.  Ada ketika saya menyediakan mee kari, nasi goreng, bubur, mee bandung dan sebagainya, sesuai dengan sarapan pagi.  Adakala kuew teow ladna pun saya masak, asalkan cukup bahan, menjadi sahaja. Inilah tugas saya sekarang, tukang masak kepada anak-anak yatim tahfiz@ penulis novel. 
                Untuk makan tengahari satu lauk dan satu sayur, buah untuk pembuka selera.   Makan malam pula, menu yang lain akan saya sediakan.  Itulah rutin saya setiap hari.    Itu sebab, kalau hendak ke mana-mana atau ada urusan di luar, saya akan masak awal. Saya akan selesaikan dahulu tugas dan tanggungjawab saya di sini. Adakala saya tidak boleh turut serta dengan apa-apa program kerana tanggungjawab saya dengan pusat ini adalah besar.
                Saya dan suami mengabdikan diri sepenuhnya menguruskan pusat ini.  Duduk bersama-sama mereka, menguruskan segala keperluan mereka.  Saya juga bekerja sebagai penulis sepenuh masa.  Bila dapat royalti, saya akan belanja anak-anak ini makan di tempat-tempat yang tidak pernah mereka pergi atau merasa makanan tersebut.  Jangan lokek dengan anak yatim, itulah prinsip saya.  
                Penat tak menguruskan mereka?  Jangan tanya, jika hati ikhlas dan bertanggungjawab, rasanya tiadak rasa penat di hati, kalau tubuh itu, biasalah. Saya sudah berumur.  Apapun saya sentiasa berdoa, agar diberi kesihatan yang baik, sihat sentiasa supaya saya boleh terus berbakti kepada anak-amak ini.  Semoga mereka berjaya di dunia dan akhirat, jadi hafiz dan hafizah, jadi anak-anak yang soleh dan beriman… amin. 

Selasa, 14 April 2015

KEDAI BUKU BERGERAK

Ini adalah mobil atau van yang digunakan untuk menjual buku dari sekolah ke sekolah.  Sekarang ini beberapa penerbitan besar sudah menyediakan kemudahan seperti ini bagi memudahkan para peminat buku mendapatkan buku tanpa pergi ke kedai buku.  DBP dan ITBM juga telah mula  mengiatkan lagi aktiviti menjual menggunakan kenderaan seperti ini.   Satu usaha murni yang patut dibanggakan oleh masyarakat kerana telefon sahaja, maka kenderaan ini akan berada di tempat anda,

Saya minat membaca.  Emak saya tidak minat membaca, arwah ayah hanya membaca akhbar.  Adik-adik saya tidak semua minat membaca.  Kenapa saya mempunyai minat membaca.  kerana SEKOLAH DAN GURU  saya waktu itu, amat mementingkan kegiatan membaca di sekolah dan memanfaatkan perpustakaan. Kalau tidak jangan haraplah perpustakaan akan disinggahi oleh para pelajar, apatah lagi di zaman ini. Gadjet menjadi mainan mereka. 

Kenderaan ini akan pergi dari sekolah ke sekolah pada hari bersekolah sahaja.  Pelbagai gelagat dan masalah sering timbul kerana ada sekolah yang tidak memberi kerjasama yang baik. Malah ada ibu bapa akan marah jika anak-anak membeli buku kononnya membuang masa dan tidak berguna.  Hello!  kerana bukulah saya kenal erti kehidupan yang maha hebat ini.  Dari bukulah saya banyak belajar pelbagai perkara.  Kenal baik dan buruk semuanya melalui pembacaan.

kepada para ibu bapa budiman, cubalah bertanya kepada anak-anak, ada tak kenderaan ini datang ke sekolah?  Kalau boleh berilah duit lebih supaya mereka ada peluang untuk membeli hatta buku yang berharga RM1.00.

Kepada guru-guru,TOLONGLAH! galakkan anak-anak murid  membaca pelbagai jenis bacaan. TANAMKAN MINAT MEMBACA KETIKA MEREKA DI BANGKU SEKOLAH.  Jangan hanya membaca untuk lulus peperiksaan.  KESANNYA AMAT BESAR apabila mereka melangkah ke UNIVERSITI nanti, PELAJARAN yang mereka terima tidak sampai ke hati, hanya untuk lulus periksa, itu sebab masalah sosial semakin menjadi-jadi. MANUSIA tidak lagi menghargai ilmu untuk menjadi pendinding diri atau perlindung mereka daripada sebarang kejahatan. 

JOMLAH, teman-teman semua. PAKSALAH anak-anak kita membaca untuk menjadi jambatan ilmu agar mereka kenal dan faham erti kehidupan yang sebenar. 

Khamis, 9 April 2015

ULASAN JALUR SINAR DI CELAH DAUN.



JALUR SINAR DI CELAH DAUN
ZAHARAH NAWAWI
ALAF 21
RM11.00
                Buku ini adalah karya yang dicetak semula oleh pihak Alaf 21.  Karya yang menarik dan sepatutnya dibaca oleh para peminat buku di negara ini.  Jalan ceritanya menyentuh hati.  Sarat dengan  motivasi untuk diri sendiri.  Karya hebat daripada penulis yang hebat juga.  Saya mengenali penulis ini melalui karya-karya beliau di dada akhbar.  Kagum dengan bakat dan kebolehan beliau mengarap  jalan cerita yang mempunyai tema berat dan gaya bahasa yang mudah dan terjaga tatabahasanya. 
                JALUR SINAR DI CELAH DAUN mengisahkan Dali dan Tijah, yang berkahwin ketika berusia muda.  Oleh kerana Dali sukar mendapat pekerjaan untuk menyara keluarga.  Dia membawa Tijah berhijrah ke satu tempat yang baharu di majukan.  Mereka menjadi peneroka pertama di Kampung Tasik, menyelongkar hutan belantaran untuk dijadikan tapak pertanian, menanam beraneka jenis tumbuh-tumbuhan yang mampu menjana pendapatan.
                Dali seorang yang bersemangat tinggi dan kuat bekerja.   Siang malam membanting tulang bersama Tijah tanpa mengenal erti penat.  Tanah lima ekar majukan dengan tulang empat kerat.  Kalau mengikut  zaman yang dipaparkan ketika itu tiada sebarang jentera moden untuk membangunkan tanah, yang ada hanyalah cangkul dan tulang empat kerat.  Apa yang menarik hati saya, betapa mudanya usia Dali namun dia tidak pernah berputus asa dalam  penuh kepayahan.  Impian harus digapai agar menjadi kenyataan.
                Dalam mereka tersenyum bahagia mengutip hasil titik peluh mereka berbulan-bulan, pelbagai ujian melanda sehingga membuatkan Dali mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan dan merantau ke negara orang.  Demi mengumpul duit  Dali sanggup berbuat apa sahaja.  Tinggalkan Tijah bersama anak yang baharu dilahirkan.  Pada mulanya Tijah pulang ke kampung halamannya tetapi tidak tahan dengan kata-kata penghinaan daripada keluarganya membuatkan dia kembali semula ke tanah yang diteroka.  Tiada sesiapa di kawasan itu, yang tinggal hanya dirinya sendiri.  Tijah tidak putus asa, hidup harus diteruskan demi sesuap nasi untuknya dan anak yang semakin membesar.  Dali hilang khabar berita secara tiba-tiba.  Keadaan semakin terhimpit buat Tijah, namun semangatnya tinggi sama seperti suaminya, Dali.  Dia bertungkus lumus bekerja, buat apa sahaja, asalkan tanah yang telah diterokai oleh suaminya sebelum ini terus subur dan mengeluarkan hasil.

Apa berlaku seterusnya?  Pastikan buku ini menjadi bahan bacaan teman-teman semua.

Selasa, 7 April 2015

ULASAN NYANYIAN SYAHDU



NYANYIAN SYAHDU
WEEDA AIRIZA
ALAF 21
RM19.90
2011
502 muka surat
3.00 bintang
Shazrin atau Rin  sahabat dan bekas teman wanita Khazrul seorang penyanyi dan artis terkenal.  Shazrin juga menguruskan bersama  beberapa orang rakan menguruskan aktiviti kelab Khazrul.  Mereka berkawan sejak kecil, Khazrul juga merupakan jiran setaman Shazrin.  Mereka pernah bercinta sewaktu di universiti namun putus di tengan jalan lantaran kesibukan Khazrul mengejar impiannya sebagai seorang artis dan penyanyi.    Walaupun demikian hubungan mereka sebagai kawan dan sahabat tidak pernah putus.  Dalam diam masing-masing masih menyimpan perasaan antara satu sama lain. 

Ezlan seorang wartawan, bertemu dengan Shazrin secara kebetulan ketika hendak membeli roti kegemaran mamanya.  Sejak pertemuan pertama hatinya telah terpaut kepada Shazrin.  Dia terus menyatakan hasrat hatinya terhadap gadis yang masih solo itu.  Shazrin yang masih diawang-awangan memikirkan hubungannya dengan Khazrul telah mengambil keputusan untuk membuka pintu hatinya kepada Ezlan. 

Dalam menyulam bunga-bunga cinta bersama Ezlan, Khazrul hadir semula membuka pintu hatinya untuk terus menjalinkan kembali hubungan dengan Shazrin.  Dia tidak pernah berhenti mencintai Shazrin.  Dia berharap cintanya dan Shazrin akan sampai ke jinjang pelamin. Keinginannya itu disampaikan kepada kedua orang tuanya yang turut mengharapkan Shazrin akan menjadi menantu mereka. 

Dalam keadaan serba salah, Shazrin, Ezlan pula buat perangai, suka memaksa dan mendesak.  Membuatkan Shazrin kurang selesa dan tidak menyenangi dirinya dikongkong oleh Ezlan. Lama kelamaan jelas terpancar sikap Ezlan yang sebenar yang tidak disukainya.
Apa yang akan terjadi dengan hubungan Ezlan dan Shazrin?  Siapa pilihan Shazrin antara Khazrul teman sejak kecil dan Ezlan yang baharu sahaja dikenalinya?  Mesti hendak tahu cerita selanjutnya kan?  Buku ini sudah lama diterbitkan dan merupakan karua pertama penulis ini.  Kalau bernasib baik akan berjumpa di Karangkraf mall atau sewaktu pesta buku nanti.