Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 28 Mei 2015

BAGAIMANA MENULIS PUISI YANG BAIK -

PERKONGSIAN ~ BAGAIMANA MENULIS PUISI YANG BAIK.
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011 (Genre Puisi)

PENDAHULUAN

PUISI YANG BAIK selalunya dikaitkan dengan kekuatannya mengungkapkan atau menyampaikan mesej yang mempunyai makna atau signifikan yang tersendiri kepada penulis khasnya dan kepada kemanusiaan amnya. Puisi yang baik adalah puisi yang menggunakan bahasa yang puitis serta terkawal bagi memungkinkan isi kandungannya difahami dan dihayati, dan pada masa yang sama kesan estetik dan elemen kesenian dirasai juga oleh pembaca. Puisi yang baik hendaklah jujur dan ikhlas dalam mengupas atau memperkatakan tentang isi atau perkara yang dijadikan persoalan utama oleh penulis, tanpa terlalu memaksa pembaca menerima idea atau pendirian peribadinya. Kespontanan seni dan kesenianlah yang membezakan antara puisi yang baik dengan puisi yang serba sederhana.

KRITERIA PENILAIAN

Puisi yang baik memperkatakan sesuatu yang dapat meningkatkan kesedaran serta kepekaan kemanusiaan dalam kalangan pembaca. Selain merangsang imaginasi dalam kalangan pembaca, puisi yang baik secara bersahaja pula berkemampuan membangkitkan kesedaran, keinsafan dan keinginan untuk berfikir atau merenung sama permasalahan yang diketengahkan oleh penulis. Puisi yang baik berkeupayaan meninggalkan kepuasan emosi dan intelek yang berkekalan.
Dalam kata lain, puisi yang baik memberi makna atau nilai kepada seseorang, tempat atau objek yang dipilih. Puisi yang baik dibangunkan oleh kata-kata, baris dan bait yang dipilih sebegitu rupa hingga wujud kesepaduan isi dan bentuk, mesej dan struktur, dan antara kedua-duanya saling melengkapi. Puisi yang baik berkeupayaan memberi imej atau gambaran serta kesan visual kepada pembaca. Puisi yang baik adalah puisi yang tulis sarat dengan kejujuran dan keikhlasan dalam mengupas permasalahan utamanya dan memberi makna yang tersendiri kepada penulis dan juga pembaca.

PENILAIAN KESELURUHAN

Bagi kumpulan puisi, selain melihat setiap satu puisi dari sudut keindahan seni dan kekuatan makna yang ingin disampaikan oleh penyair dalam kumpulan tersebut, panel mengambil pendekatan untuk menilai 36 buah kumpulan puisi oleh 32 orang penyair itu dari sudut impak atau kesan makna, kesan emosi, kesan psikologi dan kesan intelektualnya secara keseluruhan, sebagai satu pakej yang berupaya mendorong pembaca untuk memikir secara bersama mesej atau persoalan pokok puisi tersebut. Ilmu pengetahuan dan pengalaman sosiobudaya dan pengalaman kesenian baru yang disampaikan oleh penulis serta kematangan pengolahan dan penggunaan bahasa turut dijadikan ukuran utama dalam memperakukan kumpulan puisi itu untuk dipertimbangkan bagi menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011.

Tiga buah kumpulan puisi yang difikirkan sesuai untuk diteliti dan dinilai bersama di peringkat akhir penilaian adalah:

1. Mencari Akar di Ladang Terbakar karya Zam Ismail (YWJ Citra, 2011)
2. Khazanah Segala Rimbun karya Marzuki Ali (Penerbit USM, 2011)
3. Terminus A Quo karya Raihani Mohd. Said (Rumah Buku Rania, 2011)
Panel penilai kategori puisi menggunakan kayu ukur yang telah ditetapkan urus setia di samping pertimbangan-pertimbangan di atas untuk menilai dan memilih puisi eceran untuk diberikan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011. Puisi eceran bermaksud karya yang disiarkan dalam media iaitu akhbar dan majalah, antologi dan kumpulan (karya yang terbit untuk kali pertamanya). Hasil penelitian ke atas 1,898 buah puisi eceran itu Panel Penilai telah mengenal pasti sebanyak 100 buah puisi yang layak dipertimbangkan bagi penilaian tahap kedua, dan seterusnya mengenal pasti 25 buah puisi untuk dinilai pada peringkat akhir. Daripada 25 buah puisi tersebut Panel Penilai HSPM bagi kategori puisi bersetuju memilih dan memperakukan 10 buah puisi diangkat sebagai yang terbaik untuk diberikan Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011.

ULASAN PENILAIAN PEMENANG KATEGORI KUMPULAN PUISI
Khazanah Segala Rimbun karya Marzuki Ali (Pulau Pinang: Penerbit USM, 2011)
Kumpulan ini memuatkan sejumlah 168 buah puisi yang berkisar sekitar tema alam flora dan fauna yang bertujuan untuk meningkatkan kepekaan, kesedaran dan rasa tanggungjawab bersama, terutama dalam kalangan warga kampus USM, terhadap usaha memelihara, melindungi dan menjaga ekosistem alam semula jadi. Tanggungjawab manusia sebagai makhluk Tuhan yang diberi kelebihan akal di samping memiliki juga naluri kemanusiaan dan nilai keinsanan, bukan saja terbatas kepada kecekapan menggunakan khazanah dan kekayaan alam sebagai sumber penting bagi menjamin kelangsungan tamadun manusia, tetapi amat wajar juga kebijaksanaan untuk menjaga dan memulihara alam itu secara sistematis dan berhemah bagi menjamin kelestarian alam sekitar yang segar dan subur.

Selain itu, kumpulan ini juga mengetengahkan persoalan alam sekitar sebagai isu sastera yang setaraf dengan isu politik, di dalam ruang yang mempunyai dua pola, lagaan antara pemusnah dan pembela, kerakusan dan kemurahan hati. Dari satu segi, buku ini adalah satu seruan. Dari segi yang lain pula, ia merakam kepelbagaian flora dan fauna di kampus USM, malah di seluruh Pulau Pinang, dibahagikan kepada empat bahagian atau bab demi memudahkan rungkaian tema.
Penyair bertindak sebagai saksi yang merakam keperihalan alam, dalam sebanyak 168 selingan, yang panjang pendek bari-barisnya berbeza. Sekali gus penyair berubah menjadi seorang ahli botani, mengenal jenis-jenis tumbuhan dan bentuk warna burung-burungan, mencatatkan sikap dan perangai masing-masing.

Pepohon palma, umpamanya, boleh dipuisikan penyair sebagai watak-watak yang mahu dihormati, tidak dipandang hina. Hubungannya dengan tukang kebun adalah rapat sebab ia sudah lama bekerja menjaga bunga, menyiram air, membaja, dan meracun lalang, saling kenal mengenal mengharungi zaman. Pohon palma sama seperti tukang kebun kian hari kian tua, berlalu, membiarkan benih baru hidup subur: metafora manusia berhadapan dengan ancaman dan janjian usia.
Rangkap-rangkap puisi mencerminkan pemerhatian penyair yang tajam, terhadap bintik-bintik embun hinggalah ke sayap helang yang menyongsong lalu. Kumpulan awan direnungnya dari celah-celah hujan yang mengusai, cabang- cabang tanpa daun, ranting-ranting lusuh dan berlumut. Begitu juga akar-akar yang saling mencengkam dan membelit batang-batang pokok sena yang redup, sepanjang laluan dari desa siswa ke perpustakaan. Kesemuanya ini menjadi semacam kolaj yang terlekat tindih menindih, tanpa adanya pemusatan yang perlu diutamakan, sebab semuanya layak diberi fokus.
Kumpulan ini adalah yang kedua yang diinspirasikan oleh alam semula jadi di kampus USM. Buku pertama Sebutir Zamrud di Deru Selat oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh mengolah tema yang sama, dalam dua belas bab, bermula dari bulan Januari hingga bulan Disember. Kehijauan kampus USM yang cantik itu menyediakan bakat-bakat yang sensitif kepada tumbuhan-tumbuhan dan haiwan liar untuk diabadikan. Penyajak menyumbang ke arah tradisi penulisan puisi moden, bermain dengan tema yang amat purba, setua manusia: kebergantungan manusia pada alam.

ULASAN PENILAIAN PEMENANG KATEGORI PUISI ECERAN
1. “Permainan Mimpi” karya Baha Zain (Dewan Sastera, Januari 2010)
Sajak ini mengajak pembaca untuk melihat mimpi sebagai satu dunia yang tersendiri, seakan saudara kembar kehidupan seharian yang biasa dilalui saban hari. Lantas, sebagai satu dunia kembar, seperti juga pengalaman dalam dunia nyata, setiap mimpi memberi kesan emosi dan sosialnya yang tersendiri – menimbul kan keinsafan dan kesedaran, memberi kepuasan atau meninggalkan keresahan berterusan, dan juga turut membantu meleraikan kekusutan termasuk menyelesaikan masalah.
Ungkapan yang digunakan penyajak merupakan ungkapan-ungkapan yang biasa akan tetapi menjadi puitis melalui pemilihan beberapa peristiwa yang amat segar, kontemporari dan terkini sebagai mimpi, perwujudan elemen dramatik – seakan sebuah filem kehidupan, yang bergerak dari satu episod ke episod lain.
Contoh ungkapan-ungkapan padat yang berkaitan langsung dengan pemikiran penyair, umpamanya:
Mengapa tidak saban malam datang mimpi?
Tentang kehidupan lain, di dunia lain,
aneh, menggerunkan dan sesekali mengagumkan.
Begitu juga dengan sebuah rangkap lain yang berbunyi:
Mimpi membawa kita mengembara ke dunia yang jauh.
Menyelesaikan kekusutan dan memenuhi keinginan.
Menyusuri zaman remaja yang tak kembali,
tetapi kita tak dapat memaksa mimpi
dengan arahan atau kekuasaan tirani.
Penyajak juga mengaplikasikan unsur personifikasi melalui baris:
Mimpi yang aneh itu akan memilih
bentuk, cara dan waktunya sendiri.
Ternyata, adunan pemikiran dan corak pemakaian bahasa yang impresif walaupun dalam sesetengah keadaan kelihatannya agak sederhana, puisi ini menjadi berkesan melalui pemilihan subjek “mimpi” untuk mengajak pembaca merenung dan memikirkan kewujudannya dalam kehidupan.

2. “Dalam Persekitaran Kata-kata” karya Baha Zain (Dewan Sastera, Februari 2010)
Kesederhanaan pengucapan dalam puisi ini memberi makna yang amat mendalam tentang hubungan hakiki antara manusia dengan Tuhan, antara manusia dengan bahasa ibundanya, dan antara manusia dengan alam sekelilingnya. Makna tersirat dalam sajak ini meminta pembaca sebagai pewaris bumi dan sebagai khalifah menghormati anugerah yang telah diberikan.
Penggunaan ungkapan “memindahkan” dalam karya ini membantu meninggalkan impak atau kesan makna kepada pembaca. Sekali gus, membuktikan keindahan bahasa Melayu itu sendiri; kaya dan sarat dengan lapisan-lapisan makna dalam keadaan ia semakin dilupakan. Penyajak menggambarkan keterhirisan rasanya melihat betapa bahasa itu semakin dirosakkan.
Sikap penyajak yang pasrah mengangkat taraf sajak ini ke tahap pembinaan kesedaran yang tinggi. Keyakinan sendiri, menurut penyajak penting, terutamanya ketika menerokai keesaan Ilahi. Pengakuan tentang kekerdilan manusia dibuat secara bersahaja, tetapi meyakinkan kerana mampu mengajak pembaca turut sama merasainya.

3. “Selamat Berpisah, Wahai Dalangku” karya Rosli K. Matari (Dewan Sastera, Mac 2010)
Apakah signifikannya kehadiran Tok Dalang dan wayangnya dalam kehidupan seharian penyajak? Apakah kesan tinggalan wayang mainan tersebut kepada hati dan perasaannya? Apakah pengajaran yang diperoleh daripada persembahan wayang kulit tersebut? Kesan dan impak Tok Dalang dan wayangnya kepada penyajak diungkapkan melalui ingatannya kepada Tok Dalang dan wayangnya yang sekali gus menggamit nostalgianya, ucapnya:
Jika kurenung kembali
Lantera tua ini, meski tidak bercahaya lagi
Aku akan selalu terkenang padamu,
Wahai dalangku.
Penyajak menyedari pengorbanan dan peranan besar yang dimainkan Dalang dalam memaknakan kewujudan atau memberi erti kepada watak-watak dalam wayangnya. Dikatakan oleh penyajak:
Entah berapa lama
Sebahagian hayatmu disuluh cahaya
Untuk kaujelmakan bari hikayat,
Menjujuk segala peri watak ke muka kelir.
Di hadapan kelir itulah, sekian lama
Engkau menggalur taakul dan teladan
Berterap tamsil, meresap ke dalam fikir
Antara kias suluh dan bayang-bayang.
Penyajak melihat bahkan menginsafi kesementaraan ketika memaparkan kehadiran watak-watak dalam wayang Tok Dalang melalui garapan berikut ini:
Tiada bayang, jikalau tiada cahaya
Ada cahaya, ada pelita
Dan wujud makrifat pelita
Kerana bersebalikkan Pencipta.
Manakala, kesementaraan akan kewujudan Tok Dalang pula diungkapkan penyajak sebagai:
Seperti bayang itu,
Engkau pun tidak kekal di sini
Kerana dunia ini sirna,
Tiada sesempurna alam hakiki.
Kekuatan sajak ini terletak pada kebijaksanaan penyajak menggunakan wayang dan Tok Dalang sebagai subjek utama untuk mengingatkan dirinya tentang kesementaraan kewujudan manusia di dunia yang fana ini. Ini disimpulkan dalam rangkap yang berikut ini:
Kautinggalkan juzuk bari
Tabuh tidak terdengar lagi,
Tetapi segala teladan tersimpan itu
Tetap jernih bagai embun dan cermin.
Pemilihan dan penggunaan bahasa didapati dikawal dengan rapi berdasarkan keperluan dan ini menjadikan puisi ini ekonomis dari segi pemakaian bahasa. Bahasanya mampu mengandung emosi kerana dapat meninggalkan kesan nostalgik dan keterharuan dalam hati pembaca:
Selamat berpisah,
Wahai dalangku
Tinggalkanlah aku di sini
Menunggu memaknakan bayang-bayang.
4. “Seluas-luasnya dan Setenang-tenangnya” karya Arbak Othman (Mingguan Malaysia, 13 Jun 2010)
Peluang dan ruang untuk mengenali, memahami dan menghayati cahaya kebenaran selalunya luas dan terbuka. Dengan yang demikian, usaha dan langkah-langkah ke arah menginsafi kekurangan dan kekerdilan diri di sini Ilahi, sentiasa dilaksanakan. Seterusnya, tindakan-tindakan akan menambahbaikkan amalan bagi mendapatkan keredaan-Nya pula. Pemikiran ini menunjangi puisi ini. Petikan berikut memberi gambaran tentangnya:
… aku mesti terus belajar
menjejaki alam fana ini
dan pulang dengan setitik air
meski kau rasakan selautan
tidak padan sekali-kali jadi milikku
atau selama-lamanya.
Aku yang bertambah tua
Terus-menerus merasa
Ia penambah derita
Tidak sedikit pun pernah dewasa.
Sifat keterbukaan penyajak selanjutnya ditunjukkan sebagai benih cahaya di akalku, bukan lautan yang kupinta, cuma setitik air bening dari telaga cinta. Dan, inilah saatnya menghidupkan semula segala, juga taufan yang tidak menggetarkan mimpi dan juga kenyataan. Pengalaman yang dilalui, meskipun merupakan rasa dahaga dari lembah atau bukit seperti jurang diserang arus, membuat kita tergelepar menghirup doa silam, namun kerana kepintaran dan kebijaksanaan pujangga atau ulama sufi maka segala kekurangan itu dapat diatasi. Hal ini dirumuskan penyajak melalui:
Pada ombak yang mula tenang
di perjumpaan sunyi yang menyimpan guruh
sepanjang malam
malam yang tiada lagi mimpi
yang mendengungkan hujan;
dan yang menitis itu
buka lagi setitik air bening
tetapi selautan cahaya
yang membuka terang langit
seluas-luas dan setenang-tenangnya.
Puisi ini relevan kerana idea tentang fitrah manusia dan kemanusiaan, tentang ruang serta peluang yang terbuka untuk manusia menginsafi kekurangan diri di satu pihak, dan merenungi kebesaran Tuhan pada satu pihak yang lain diungkapkan dengan cermat dan berhati-hati. Penggunaan lambang dan imej alam memberi kesegaran kepada “perasaan” dan “emosi kerohanian” yang ingin dijadikan asas untuk memahami dan menghayati kebesaran Ilahi. Kesepaduan semua inilah yang menjadikan sajak ini istimewa.
5. “Ingatan Kepada Kawan XXIV” karya Zaen Kasturi (Mingguan Malaysia, 17 Oktober 2010)
Puisi ini memperkatakan tentang makna kewujudan manusia, perjalanan waktu dan peralihan musim sebagai sesuatu yang wajar berlaku. Walaupun, sesekali mungkin akan diragui kebermaknaan kewujudan itu sebagaimana yang disifatkan sebagai “bayangan yang entah sementara atau nyata di sebalik rendang dan redunya pohon hayat“. Sekiranya difahami hakikat ini – tak kunjung mimpi tanpa tidur yang panjang, tak hadir cinta tanpa hidup yang ditakdirkan, maka hidup yang membawa ke satu arah nyata akan menginsafkan pembaca peri pentingnya kehadiran setiap unsur dalam kehidupan yang saling melengkapi – di mana angin berguling, di mana bunga berpuing, aku akan menjagamu, kau akan menjadi sebahagian daripada riwayatku.
Puisi ini mengungkapkan secara simbolik akan makna persahabatan antara sesama insan – cinta adalah perihal menjaga bukan semata keinginan kuat untuk memilikinya. Manakala, persahabatan juga dilihat sebagai satu pengorbanan – gunung yang menampung seluruh puncak sepi dan derita. Dalam konteks ini penyajak mentafsirkan kehadiran kawan sebagai samudera yang menenggelamkan segenap benci dan angkara, dan bagi penyajak hidup ini justeru bagaikan karang segara, yang akan sering dipukul gelombang.
Penyajak membawa persoalan yang berat tentang kewujudan, persahabatan dan rasa tanggungjawab secara perlambangan. Pemilihan imejan dan lukisan alam yang digunakan mengharmonikan idea dan pemikirannya sehingga terasakan wujud suasana yang akrab dan mesra. Kesimpulan yang dapat diambil ialah bahawa persahabatan itu menjadi indah dan bermakna kerana tanggungjawab berat dan pengorbanan yang perlu difahami serta dilalui bersama.
6. “Suluk Rohaniah II” karya A. Murizu Idham (Tunas Cipta, Disember 2010)
Jalan untuk mencapai kesempurnaan batin lewat amal ibadat dan zikir amatlah mencabar dan penuh dengan cubaan dan dugaan. Lantaran itu, perjalanan untuk mencari dan menemui diri dan kebenaran tidak pernah dianggap mudah. Justeru, insan yang membuat ketetapan dan memilih bagi mengabdikan diri dalam menyusuri titian rohaniah untuk memaknakan kehadiran dan kewujudan diri di sisi Allah sentiasa mendapat sanjungan dan dikagumi. Puisi ini merakamkan dengan keadaan ini – ingatan tentang kembara yang dilalui seorang insan ke arah kesempurnaan rohani, melalui pelbagai bentuk pengalaman peribadi yang mencemaskan atau pun sesekali merimaskan. Ungkap penyajak;
Sesungguhnya kami telah melihat dia rebah di penjuru kehinaan
setelah diragut kepulan masa yang penuh tirani itu. Namun dalam
diam kami mengesan suatu kesedaran bangkit dari jiwa dia untuk kembali mereguk
nilai cinta-Nya. Saat itu semakin hari kami melihat dia mulai fana
dalam nafas duniawi dan mabuk dalam hakiki.
Dalam aspek penggunaan bahasa, ia kelihatan amat biasa. Akan tetapi di sebaliknya, penyajak berusaha mengangkat makna, dan dengan penggunaan ungkapan-ungkapan yang puitis, penyajak mengimbau pengalaman peribadi ketika menyaksikan perjalanan hidup dan pengorbanannya;
Sesekali kami melihat engkau menggiring pergi
sebuah permata cinta amat kudus
mengisi sebuah teratak sukma usang
kami melihat engkau mengutip
serpihan-serpihan kaca nafsi dari cermin peribadi
yang pecah saat datarnya penuh debu-debu duniawi
kami melihat engkau telah membunuh serigala amarah
demi menyambut setitik tinta cinta buat mengguyur
rohani lusuh di ruang syariat.
Dalam pencarian dan perjalanan ini, keinsafan tentang kebenaran dan kecintaan terhadap Ilahi diekspresikan dengan menarik melalui rangkap-rangkap ini, sekali gus meletakkan karya ini sebagai sangat meyakinkan selain meninggalkan pengertian mendalam:
Tuhan, tinggalkan diriku bersama-Mu dalam satu ruang yang
penuh keindahan. Biarlah hanya kita berdua yang setia bercinta.
Engkau – Aku; mengenal di balik pintu syariat
Berkelana di pesisir tarikat; bercinta dalam nafas hakikat,
Bertemu dalam ruang makrifat.
7. “Belajarlah Memahaminya – Gunung Legenda” karya Shapiai Muhammad Ramly (Antologi Puisi Bingkisan Ledang, 2010)
Puisi ini bertemakan kelestarian alam dengan merakamkan kepekaan penyajak tentang daun-daun yang dengan “bahasa diamnya” yang turut memanjatkan doa dan berzikir agar dapat menemui ketenangan dari kesibukan yang serba “menyisih”, mendapat jawapan tentang kebenaran daripada sejarah penuh misteri, dan mendapat petunjuk tentang cara bagaimana menjaga amanah alam dalam “keruh keresahan industri”. Sama ada ketika tidur di kakinya (Gunung Ledang) – mengingati kisah sejarah silam “yang penuh sindiran alam”, atau ketika berada di puncaknya melihat mesranya pohon menyapa dengan kalimat indahnya juntaian embun, atau ketika turun dan merasai juga jari-jari mesra, sungai setia, pohon sabar dan lembah ghairah alam, penyajak menginsafi diri tentang kegagahan dan misteri gunung legenda, dan pentingnya “belajar memahami bahasa gunung legenda ini”.
Puisi ini turut menyinggung persoalan yang sekarang ini banyak diperkatakan – persoalan tentang kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab warga dunia untuk menjaga dan memelihara alam sekitar. Kekinian persoalan ini menjadikan karya ini mudah difahami dan senang dihayati. Kekuatan puisi ini terletak pada kebijaksanaan dalam pemilihan ungkapan yang banyak membantu pembaca untuk memahami dengan lebih mendalam akan mesej yang hendak disampaikan selain penggunaan unsur alam secara natural.
8. “Nota Kecil Saat Menyeberangi Usia II” karya Fahd Radzy (Mingguan Malaysia, 13 Februari 2011)
Dengan menggunakan imejan matari yang meluruhkan sengatnya di gelanggang perjalanan adalah pepisau waktu yang meraut roh kewujudan, karya ini cuba menampilkan peri besarnya kuasa alam dalam membentuk hati nurani dan peribadi seseorang, di samping keupayaannya untuk meningkatkan kesedaran serta keinsafan tentang makna kewujudan serta kerapuhan jasad manusia. Perjalanan hidup yang terbuang dan jejak-jejak yang ditinggalkan hanyalah sebagai gores pasir yang sesekali lenyap digeser angin. Malahan, sesekali kehidupan ini disifatkan seakan lopak yang menakung pengalaman masa silam yang parah, terutama sekali apabila keangkuhan dan kekusutan jiwa mencirikan kewujudannya.
Penyajak berpandangan bahawa seorang musafir tua yang apabila “menyeberangi usia” hanya melihat dirinya sebagai “sekujur jasmani” yang terlupa “perjalanan hakiki” sebagai khalifah Allah, dan hanya mampu membentangkan renyuk perjalanan sebuah peta pudar, darah yang menitis pada halamannya, keliru yang tersangkut pada mata anginnya, dan dosa yang berdebu pada garislipatnya, sesungguhnya adalah seorang individu yang amat tidak signifikan kewujudannya. Hal ini digambarkan melalui baris berikut ini:
dalam segengam pasir aku hanyalah titik nil
dalam sebanjar bukit aku hanyalah titik nil
dalam sepandang gurun aku hanya titik nil
dalam sedepang lautan aku hanyalah titik nil
dalam saujana alam aku hanyalah setitik nil.
Puisi ini boleh disifatkan kuat ideanya kerana boleh mencorakkan kebijaksanaan kepada pembaca khususnya dalam merenungi hakikat kekhalifahan yang disisipkan kemas dalam pelbagai imejan yang dipilihnya.
9. “Tanah Diciptakan Angin” karya S.M. Zakir (Dewan Sastera, Jun 2011)
Puisi 30 baris tanpa noktah ini sarat dengan pemikiran, membacanya sesekali sahaja dilegakan hanya oleh satu sengkang, dua koma, dan empat titik koma, sebenarnya membawa mesej mengenai keingkaran manusia. Keingkaran itu dinyatakan oleh kaum yang pandai menulis menggunakan darah di atas daun lontar, terlalu yakin akan untung nasib yang ditentukan sendiri, kini ditempias pada manusia masa kini yang sudah hilang kepercayaan pada Tuhan.
Penyajak mengaburkan garis pemisah yang mengagihkan masa lampau dan masa kini, sebab yang menyatukan penghuni kedua-dua ruang waktu itu ialah rasa takbur yang berlebih-lebihan di sepanjang zaman. Betapa ruginya mereka yang lupa diri untuk mengakui bahawa dosa dan pahala itu dicatat malaikat yang merakam gerak hati dan gerak badan, tertenggek di atas bahu, saksi setia ke akhir hayat.
Peta purba itu bukannya kiraan mengikut angka tetapi kiraan hakiki yang melampai segala pecahan masa. Peta purba dan peta moden adalah sama, sebagai petunjuk arah, ke kiri atau ke kanan, ke timur atau ke barat, ke utara atau ke selatan, tetapi bukan kepada diri sendiri, ke denyut jantung di dalam dada.
Inilah petaka yang dihadapi oleh manusia sejagat, sesat, angkara ciptaan sendiri. Penyajak mengupas isu ini secara sungguh-sungguh melalui teknik tadi. Dengan kekuatan bahasa yang dipamerkan dan melalui gaya penggarapan yang bersesuaian, kesan makna dan apresiasi menerobos masuk ke persepsi pembacanya.
10. “Suatu Ketika di Kaki Kinabalu” karya S. Iqram (Kumpulan Puisi Siber S. Iqram Ekstasi Cinta, eSastera Enterprise, 2011)
Puisi ini menggunakan watak-watak setempat secara untuk memberi gambaran tentang keindahan, kesyahduan serta kewajaran penghijrahan cinta seorang “aku”. Dari perasaan cinta ketika remaja kepada Suzie kerana keayuan dan kejelitaan seorang gadis pingitan, cinta “aku” yang kini sudah didewasakan oleh perjalanan waktu berpindah kepada rasa rindu dan cinta kepada Tuhan yang Maha Rahim.
Dilihat dari satu sudut yang lain, karya ini memberi gambaran yang romantis tentang perjalanan hidup seorang “aku” yang mencari erti ketakwaan – mensyukuri rahmat dan nikmat pemberian Tuhan – perpindahan daripada kepercayaan yang tradisional sifatnya yang bersifat tercari-cari kepada kepercayaan keagamaan yang abadi.
Ingatan tentang kerinduan ketika alam remaja yang amat nostalgik dirakamkan dengan berkesan oleh penyajak melalui penggunaan bahasa yang puitis serta sarat dengan imejan yang segar seperti berikut:
Engkau hanyalah sumandak pingitan yang pemalu;
Sejelita birumeru Kinabalu di jendela pagi yang kebasahan;
bertahun waktu bergulir dan berganjak;
Bukan mencari jelita Huminodun dari potret memori purba; dan
Kugamit rindu pada zikir angin Kundasang.
Keindahan dan misteri Gunung Kinabalu serta alam sekelilingnya yang dilukis dengan baik turut memberi konteks setempat yang relevan kepada puisi ini. Lihatlah ungkapan indah seperti:
Leluhurmu dari Nunuk Ragang yang diterbangkan oleh dewata;
seperti pesona Huminodun, tak pernah kulupa gemulai tari sumazau; dan
di kaki Kinabalu; dalam dingin dan suci terbungkus kabus.
Penyair didapati berjaya membawa pembaca menghayati makna penghijrahan cinta yang dirasai dan dialami olehnya sebagai satu perjalanan rohani yang dinamik.
KESIMPULAN
Banyak lagi puisi eceran dan kumpulan puisi yang patut diberi pengiktirafan tetapi had yang dikenakan supaya memilih satu buku dan sepuluh puisi berkesudahan dengan senarai yang telah kami ketengahkan ini. Kami berbincang dan berdebat dalam proses memilih, yang kami kendali seadil yang mungkin.
PANEL PENILAI
Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin
Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah
Prof .Dr Zakaria Ali

ULASAN CINTA ... AKU DOAKAN.

CINTA… AKU DOAKAN
DURRAH FATIHAH
ALAF 21
RM24.00 (Semenanjung)
454 muka surat.

    Kisah  semalam telah memisahkan mereka.  Ketidakpastian di hati telah menghancurkan segalanya.  Begitulah cinta antara Ameera dan Syafiq.  Mereka pernah berjiran. Hubungan kekeluargaan antara mereka pernah baik satu ketika dahulu, tetapi badai melanda tanpa diketahui puncanya.  Mereka terpisah oleh keadaan yang tidak pernah dipinta. Pertemuan semula membuat  mereka berhubung kembali.  Dalam rela Syafiq menaruh sayang kepada teman sepermainannya itu.  

    Ameera, manis, manja dan cantik orangnya telah menawan hati Harraz, bujang telajak yang juga adik angkat kepada ayah Syafiq.  Dalam diam dia menyimpan perasaan terhadap gadis itu.  Dipendamkan sahaja perasaan itu bila memikirkan anak abang angkatnya juga mencintai gadis yang sama. 

    Hubungan Ameera dan Syafiq ditentang oleh mama Syafiq.    Syafiq cuba yakinkan mamanya Ameera adalah pilihan yang terbaik.  Ketegasan Yasmin membuatkan Ameera mengambil keputusan menjauhkan diri daripada Syafiq.  Tidak sanggup menyulam bahagia tanpa restu keluarga, takut-takut nanti tidak tiba bahagianya.  Akhirnya Ameera mengambil keputusan untuk memutuskan sahaja hubungannya dengan Syafiq, biarpun keputusannya itu akan menghancurkan perasaan Syafiq tetapi menggembirakan perasaan Yasmin, mama Syafiq.  Biarlah dia pendamkan sahaja perasaan itu jauh ke dalam lubuk hatinya, lagipun Ameera sendiri tidak pasti sama ada dia cintakan Syafiq atau tidak.

    Dalam sedang mengait duka, kegagalan cinta pertama  tiba pula kehadiran cinta yang tidak disangka.  Harraz meluahkan perasaannya pada Ameera.  Tergamam seketika, rasa hendak marah dan memberontak, adakah dia dipermainkan? Itulah yang berlegar difikiran Ameera sehingga dia melarikan diri daripada lelaki itu yang berterusan memburunya. 

    Kenapa Yasmin menghalang hubungan antara anak lelakinya dan Ameera?  Kenapa hubungan baik Yasmin dan Hanun, mama Ameera terlerai? Bagaimana perasaan Ameera terhadap  Syafiq?  Mampukah cinta Harraz dibalas oleh Ameera?  Banyak betul persoalan, kan?  Kalau nak tahu jawapannya. Jom dapatkan karya ini!

Rabu, 27 Mei 2015

BICARA INI UNTUK MURABBI

BICARA INI UNTUK MURABBI
KARYA BISTARI
RM28.00
Disusun Oleh: M. Amiro Safwan M. Kamil.
300 muka surat.
Karya yang tidak terbatas bintangnya.

Setiap masa buku akan menjadi pilihan dan peneman hendak ke mana sahaja. Buku ini pilihan saya untuk pembacaan seterusnya. Jom kita kenali Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz...

Membaca karya ini bagaikan tidak mahu berhenti.  Terasa arwah Tuan Guru begitu dekat dengan diri ini, mengenali arwah Tuan Guru, keluarga dan seluruh kehidupannya buat hati jatuh sayang. sesungguhnya arwah Tuan  Guru layak  dicontohi,  baik sebagai ahli politik, ulama', ayah, suami dan kawan.  Bacalah buku ini, teman-teman akan dapat banyak manfaat.  Banyak pengalaman, pengajaran yang boleh diguna pakai sebagai panduan dan pedoman bagaimana mendidik dan menguruskan sebuah keluarga yang ramai.  Ketegasan arwah dalam menyebarkan syiar Islam wajib dicontohi.

 Kesederhanan arwah Tuan Guru sebagai pemimpin patut diikuti. Inilah pemimpin yang sebenar.  Semoga arwah Tuan  Guru ditempatkan bersama-sama orang yang soleh dan beriman.   Bagaikan tidak mahu menamatkan pembacaan saya kerana setiap baris kata, cerita yang dipaparkan membuatkan saya berasa bangga kerana diberi peluang mengenali seluruh keluarga arwah Tuan Guru, perjalanan politiknya, kehidupan hariannya, cara arwah Tuan Guru mendidik diri, anak-anak dan keluarga begitu menyentuh hati.  Inilah buku autobiografi yang bagus dijadikan bahan bacaan untuk sesiapa sahaja.  Tidak kira siapa kita, apa ideologi kita... Kenalilah arwah Tuan Guru  dengan lebih dekat lagi. 

Tahniah kepada Karya Bestari Sdn Bhd kerana berjaya menghasilkan buku yang amat bermanfaat sebagai bahan bacaan.

Kata-kata hikmah yang terdapat di dalam karya ini... 

"Perbezaan yang paling besar di antara manusia dengan makhluk yang lain ialah ILMU.  Binatang ternakan contohnya, boleh diajar untuk mematuhi perintah tuannya, tetapi tidak boleh mengembangkan ilmu tersebut kepada binatang yang lain.  Berbeza dengan manusia.  Sedikit ILMU yang diperolehi mampu dikembangkan dengan lebih meluas." - Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Al-Fatihah buat arwah Tuan Guru...

Ahad, 24 Mei 2015

CARA MENGHANTAR KARYA KE MAJALAH MINGGUAN WANITA.

Pemberitahuan syarat penghantaran cerpen Mingguan Wanita terbitan Media Karangkraf.


1) Taip dalam Microsoft Word, font Times New Roman, saiz 12, single spacing.
2) Anggaran 2,000 hingga 2,400 patah perkataan sahaja.
3) Tema kekeluargaan, percintaan, tema hari raya, hari guru dan sebagainya tanpa melibatkan sensitiviti keagamaan, politik.

Hantar cerpen anda lengkap dengan butiran berikut:
1) Nama penuh
2) Nama pena (jika ada)
3) Nombor kad pengenalan
4) Nombor telefon
5) Nombor akaun bank untuk pembayaran saguhati
6) Nama bank

* Pembayaran saguhati mengambil masa antara 1 hingga 6 bulan SELEPAS cerpen anda diterbitkan.
* Sila maklumkan kepada saya apabila anda ingin MEMBATALKAN cerpen anda dan menerbitkan cerpen anda di penerbitan lain.

email : mariam.karangkraf@gmail.com

NOVEL MENARIK UNTUK DICUBA...



Kisah seorang pemuda yang berusaha mencari calon isteri tentunya yang pandai menguruskan rumah tangga dan paling penting pandai memasak.  Karya ini sangat menarik.



Kisah rumah tangga tidak pernah selesai.  Begitu juga Faris dan Layla... kalau hendak tahu kisahnya jom beli buku ini. 



Kisah kekeluargaan yang menyentuh hati.  Karya menarik buat hati tertarik.


Apa pula kisah novel ini ya? Nak tahu? kenalah dapatkannya di pasaran...

KARYA TERBAHARU DARIPADA ALAF 21



Ini karya penulis baharu... namanya Nurina Feeza... kisah apakah ia... kenalah tunggu kehadirannya Julai nanti.


Tajuknya sahaja sudah menggetar sukma... apakah kisah di dalamnya... kalau nak tahu, kenalah beli nanti ya.


Karya terbaharu daripada penulis yang pemalu ini.  Pasti menarik dan ramai tidak sabar untuk mendapatkannya...

Rabu, 20 Mei 2015

WATAK WANITA DALAM NOVEL SAYA...

Dalam melakar karya, saya suka mengangkat kaum wanita sebagai subjek utama. Kenapa? Kerana bagi saya kita adalah makhluk yang kuat, tabah dan penyabar orangnya. Begitulah yang saya gambarkan dengan watak Ummi Khadeeja... keterpaksaan menerima kehendak suami telah membuatkan hatinya terus tabah dan sabar. Menghadapi kerenah suami dan madu yang juga perempuan sepertinya tidak semudah yang disangka. Lelaki! mudah sahaja mengucapkan janji, tiba masanya janji hanya tinggal janji.
Begitu juga... wanita boleh menjadi jahat, keras kepala, degil dan keras hati, Berbuat apa sahaja mengikut hawa nafsu, penggoda dan pemusnah kebahagian orang lain, itulah watak Shifa Umaira... wanita boleh jadi apa sahaja. Itulah watak-watak wanita dalam AKU TURUT BAHAGIA.
Mastura seorang anak, ibu dan isteri yang tabah meneruskan kehidupan setelah kehilangan suami yang disangkakan sudah meninggal dunia. Dia bertekad membalas dendam atas kematian arwah ayahnya dan mengembalikan harta dan kedudukan kepunyaan bapa saudaranya juga merangkap ayah mertua tirinya.
Halijah saya gambarkan sebagai seorang isteri dan ibu yang terlalu mementingkan diri sendiri sehingga sanggup mengupah orang membunuh suami dan anak kandungnya sendiri demi mendapatkan harta dan kedudukan. Dia lupa bahawa kasih sayang lebih penting dalam segalanya. Itulah watak-watak wanita dalam TOLONG CARI SUAMIKU.
Hendak tahu bagaimana watak-watak ini berperanan menghidupkan jalan cerita, jom dapatkan kedua-dua karya ini di kedai-kedai buku ternama seperti MPH dan POPULAR dan juga terdapat di Mydin Subang Jaya

Selasa, 19 Mei 2015

ULASAN SATU PERJUANGAN karya NORAINI ESLAH



SATU PERJUANGAN
NORAINI ESLAH ( UMMU ANAS)
DBP
2015
324 muka surat
               
                Sesungguhnya hidup ini adalah SATU PERJUANGAN menuju kejayaan di dunia dan akhirat.  Mohsin seorang anak muda yang berperang dengan diri sendiri untuk memenuhi keinginan Nenek Eton yang mahu dia mewarisi kedai runcit yang dibangun dan dibina oleh arwah Tok Man.   Jiwanya galau dibuktikan dengan monolog di hati Mohsin;

‘Mengapa nenek hanya mahu mengarah supaya aku memenuhi harapan yang menggunung tinggi? Mengapa nenek tidak bertanya apa yang menjadi cita-citaku? Apa rancangan dan pandanganku pada kedai runcit yang sangat nenek banggakan.  Masalah pengurusan  kedai itu mesti dibincangkan anak beranak.  Nenek tak adil, jika membuat keputusan sendiri, getus hati kecil Mohsin’.  Bukan bermakna Mohsin seorang yang kuat melawan, tetapi dia punya cita-cita dan impiannya sendiri. 
Arwah Tok Man dan Nenek Ton mempunyai tiga orang anak, anak lelakinya meninggal dalam kemalangan kereta bersama-sama dengan arwah suaminya.  Iaitu ayah kepada Mohsin, dia juga kehilangan ibu. Maka Mohsin dan adik-adiknya menjadi yatim piatu dan dijaga oleh Nenek Ton dengan penuh kasih sayang.  Mohsin dan adik-adiknya tidak pernah  kekurangan kasih sayang orang tua lantaran ayah dan ibu saudaranya yang lain begitu menjaga dan mengambil tahu keperluannya adik beradik. 

Kematian Tok Man telah mengubah sikap Nenek Ton daripada seorang yang mengambil berat menjadi seorang yang mendesak.  Adakah kerana berasakan Mohsin sepatutnya disalahkan kerana keengganannya ke bandar telah meragut nyawa arwah Tok Man dan arwah ayahnya.   Mohsin membantah kehendak Nenek Ton yang ingin mewarisikan Kedai Runcit Harapan hanya kepadanya seorang.  Kerana dia sudah berjanji dengan Tok Man, kedai runcit itu akan menjadi milik mereka sekeluarga.  Bukan sahaja dirinya dan adik-adiknya juga seluruh keturunan arwah Tok Man dan Nenek Ton.  Kenapa tiba-tiba Nenek Ton menjadi begitu kejam?  Mohsin terus berperang dengan dirinya sendiri.  

                Kisah yang mengangkat nilai kasih sayang, kehormatan dan nilai persaudaraan yang tidak boleh dijual beli dengan harta.  Kesepakatan dalam menyelesaikan masalah mampu merungkai masalah yang mendatang.  Hubungan kekeluargaan yang erat antara sepupu sepapat, antara anak saudara, ibu saudara dan bapa saudara. Hubungan erat sesama jiran tetangga.  Penulis seolah-olah ingin mengambarkan, beginilah sepatutnya hubungan kekeluargaan harus dipupuk oleh orang-orang tua, agar hubungan yang ada terus mekar dan kekal selamanya.  Tiada perebutan harta warisan.  Harta warisan seharusnya dikongsikan bersama-sama, terus dibangunkan sehingga berjaya, bukan berebut untuk memiliknya sendiri.  Tidak perlu memikirkan diri sendiri semata-mata.  Perhubungan yang erat mampu menjana sebuah keluarga yang harmoni tidak kira berapa ramai ahli keluarganya. 

kepada para peminat dan pembaca tegar novel Melayu, walaupun karya ini adalah novel remaja tetapi isi di dalamnya sesuai untuk semua peringkat umur.  Garapan yang menarik, plot yang tersusun.  Gaya bahasa yang boleh dihadam dengan baik.  Tahniah kepada penulis atas kejayaan menghasilkan karya bermutu sehingga diangkat  sebagai pemenang ketiga dalam  Sayembara menulis  Novel dan Skrip Drama kanak-Kanak dan Remaja anjuran DBP.  Semoga terus berkarya dan menghasilkan karya seperti ini lagi yang mampu mengangkat jiwa remaja berjuang mencapai impian sendiri, punya cita-cita besar dan semangat yang tinggi.

Khamis, 14 Mei 2015

SELAMAT HARI GURU!

Siapa yang mengajar kita menulis, mengira dan membaca.  Siapa yang menjadi pemacu dalam kejayaan kita hari ini?  Tanpa mereka siapakah kita?  Hari ini profesion ini semakin tidak dihormati, baik kita sebagai orang tua, atau anak-anak kita sebagai murid-murid mereka.  Dahulu, orang tua kita tidak berani membentak mereka yang telah mengajar kita.  Orang tua kita amat menghormati mereka.  Orang tua kita mempercayai mereka untuk mendidik kita menjadi manusia berguna di dunia dan akhirat.  Kerana apa?  Kerana orang tua kita tahu mereka tidak pandai dan tidak mampu memberi pelajaran yang selayaknya kepada kita.  Orang tua kita hanya mampu menasihati agar kita rajin belajar dan terus melakar kejayaan.  Tetapi, hari ini, kita berjawatan tinggi, kita jadi pengarah, pengurus, doktor, peguam dan sebagainya.  Kita berasakan diri kita lebih bijak daripada mereka.  Kita berasakan kita layak menegur mereka.  Kita berasakan kita punya kuasa, duit dan kedudukan. Maka, terjadilah, kiriman surat layang, saman  menyaman, marahkan mereka kerana memarahi anak-anak kita.  Marahkan mereka kerana memberi kerja sekolah yang banyak kepada anak-anak kita. Marahkan mereka kerana menegur anak-anak kita. Terjadilah, anak-anak kita tidak lagi menghormati profesion ini kerana kita juga tidak lagi menghormati mereka.  Terjadilah, anak-anak kita berani melawan mereka.  Anak-anak kita tidak lagi mendengar nasihat mereka.  Anak-anak kita sudah berani angkat muka dengan mereka.  Anak-anak kita sudah berani melanggar bahu mereka.  Sedihnya.
Kepada para pendidik di luar sana.  Tabah dan sabarlah mendidik anak-anak bangsamu.  Tabah dan sabar menghadapi kerenah orang tua mereka.  Tabah dan sabar menghadapi kerenah sesiapa sahaja yang tidak lagi menghormati profesion sebagai seorang guru. Tanpa kalian kami bukan sesiapa, tanpa kalian kami tidak akan pandai mengira, menulis dan membaca.  Tanpa kalian kami tidak akan jadi seperti hari ini. Tanpa kalian kami tidak akan jadi budak pandai, berakhlak dan berjaya.

SELAMAT HARI GURU DAN TERIMA KASIH CIKGU.