AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 19 May 2015

ULASAN SATU PERJUANGAN karya NORAINI ESLAH



SATU PERJUANGAN
NORAINI ESLAH ( UMMU ANAS)
DBP
2015
324 muka surat
               
                Sesungguhnya hidup ini adalah SATU PERJUANGAN menuju kejayaan di dunia dan akhirat.  Mohsin seorang anak muda yang berperang dengan diri sendiri untuk memenuhi keinginan Nenek Eton yang mahu dia mewarisi kedai runcit yang dibangun dan dibina oleh arwah Tok Man.   Jiwanya galau dibuktikan dengan monolog di hati Mohsin;

‘Mengapa nenek hanya mahu mengarah supaya aku memenuhi harapan yang menggunung tinggi? Mengapa nenek tidak bertanya apa yang menjadi cita-citaku? Apa rancangan dan pandanganku pada kedai runcit yang sangat nenek banggakan.  Masalah pengurusan  kedai itu mesti dibincangkan anak beranak.  Nenek tak adil, jika membuat keputusan sendiri, getus hati kecil Mohsin’.  Bukan bermakna Mohsin seorang yang kuat melawan, tetapi dia punya cita-cita dan impiannya sendiri. 
Arwah Tok Man dan Nenek Ton mempunyai tiga orang anak, anak lelakinya meninggal dalam kemalangan kereta bersama-sama dengan arwah suaminya.  Iaitu ayah kepada Mohsin, dia juga kehilangan ibu. Maka Mohsin dan adik-adiknya menjadi yatim piatu dan dijaga oleh Nenek Ton dengan penuh kasih sayang.  Mohsin dan adik-adiknya tidak pernah  kekurangan kasih sayang orang tua lantaran ayah dan ibu saudaranya yang lain begitu menjaga dan mengambil tahu keperluannya adik beradik. 

Kematian Tok Man telah mengubah sikap Nenek Ton daripada seorang yang mengambil berat menjadi seorang yang mendesak.  Adakah kerana berasakan Mohsin sepatutnya disalahkan kerana keengganannya ke bandar telah meragut nyawa arwah Tok Man dan arwah ayahnya.   Mohsin membantah kehendak Nenek Ton yang ingin mewarisikan Kedai Runcit Harapan hanya kepadanya seorang.  Kerana dia sudah berjanji dengan Tok Man, kedai runcit itu akan menjadi milik mereka sekeluarga.  Bukan sahaja dirinya dan adik-adiknya juga seluruh keturunan arwah Tok Man dan Nenek Ton.  Kenapa tiba-tiba Nenek Ton menjadi begitu kejam?  Mohsin terus berperang dengan dirinya sendiri.  

                Kisah yang mengangkat nilai kasih sayang, kehormatan dan nilai persaudaraan yang tidak boleh dijual beli dengan harta.  Kesepakatan dalam menyelesaikan masalah mampu merungkai masalah yang mendatang.  Hubungan kekeluargaan yang erat antara sepupu sepapat, antara anak saudara, ibu saudara dan bapa saudara. Hubungan erat sesama jiran tetangga.  Penulis seolah-olah ingin mengambarkan, beginilah sepatutnya hubungan kekeluargaan harus dipupuk oleh orang-orang tua, agar hubungan yang ada terus mekar dan kekal selamanya.  Tiada perebutan harta warisan.  Harta warisan seharusnya dikongsikan bersama-sama, terus dibangunkan sehingga berjaya, bukan berebut untuk memiliknya sendiri.  Tidak perlu memikirkan diri sendiri semata-mata.  Perhubungan yang erat mampu menjana sebuah keluarga yang harmoni tidak kira berapa ramai ahli keluarganya. 

kepada para peminat dan pembaca tegar novel Melayu, walaupun karya ini adalah novel remaja tetapi isi di dalamnya sesuai untuk semua peringkat umur.  Garapan yang menarik, plot yang tersusun.  Gaya bahasa yang boleh dihadam dengan baik.  Tahniah kepada penulis atas kejayaan menghasilkan karya bermutu sehingga diangkat  sebagai pemenang ketiga dalam  Sayembara menulis  Novel dan Skrip Drama kanak-Kanak dan Remaja anjuran DBP.  Semoga terus berkarya dan menghasilkan karya seperti ini lagi yang mampu mengangkat jiwa remaja berjuang mencapai impian sendiri, punya cita-cita besar dan semangat yang tinggi.

No comments:

Post a Comment