AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 13 July 2015

AHMAD AMMAR, ENGKAU MILIKNYA

TAJUK    :        AHMAD AMMAR ENGKAU MILIKNYA
Penulis    :        Bonda Nor
Terbitan           Galeri Ilmu
                          2015
                         RM17.00

    Ini karya kedua saya baca tentang Allahyarham Ahmad Ammar.  Setiap karya tentang arwah ada keistimewaannya tersendiri, dan setiap penulis ada caranya tersendiri.  Begitu juga penulis karya ini yang lebih menfokuskan kepada orang tua arwah iaitu Tuan Ahmad Azam dan Puan Nur Azlina.  Sebenarnya Ybhg Tuan Ahmad Azam saya kenali dari jauh sejak anak sulong saya menjadi pelajar di tadika ABIM Alor Setar.  Kemudian masuk darjah satu di sekolah Seri ABIM Alor Setar.  Dari situ kami sekeluarga mengenali dengan lebih dekat badan NGO ini. 

    Sewaktu anak bersekolah di sekolah rendah ABIM Alor Setar, suamilah yang mula-mula berjinak menjadi ahli ABIM dan  AJK ABIM Daerah Alor Setar.  Waktu anak sulong dalam darjah enam, saya pula masuk bekerja dengan badan NGO ini.  Sebagai Setiausaha Kerja Hal Ehwal Wanita ABIM Negeri Kedah.  Ketika  itu Ybhg Ahmad Azam adalah Yang Di Pertua ABIM Malaysia.  Saya sering hadir muktamar ABIM Pusat, sering mengikut seminar atau  mesyuarat yang diadakan oleh HELWA Pusat.  Cuma tidak perasan akan kehadiran Puan Nur Azlina.  Seronok rupanya bekerja di lapangan dakwah dan tarbiyah ini.  Seperti yang diberitahu oleh penulis, Bonda Nor.

     Usrah adalah perkara penting yang ditekankan kepada semua ahli ABIM begitu juga yang bekerja di bawah agensi ini.  Saya bekerja tujuh hari seminggu termasuklah usrah, wajib saya hadiri.  Di sini ukhwan dan persahabatan terjalin utuh. Pernah merasakannya  betapa indah jika kita bekerja kerana ALLAH SWT dan membawa misi agama Islam dan bila saya baca karya ini, maka ia begitu terkesan di hati.

    Mengenali keluarga ini dari jauh.  Memang benar,  kepimpinan Tuan Ahmad Azam begitu terserlah sewaktu menjadi ketua pimpinan ABIM,semangat dakwahnya begitu kuat turun ke akar umbi.  Setiap petugas bekerja tidak kira waktu, masa dan tenaga.  Semuanya dilakukan dengan sukarela.  Gaji yang saya terima, bukanlah besar mana, kalau saya beritahu pasti takkan ada orang percaya.  Kecil sangat, tetapi hati puas kerana dapat berkhidmat untuk ummah.  Seperti kata Bonda Nor dalam karya ini.  Jika seluruh jiwa raga kita diserahkan kepada jalan ALLAH, tiada keluh kesah di hati.  Malah berasa seronok, gembira dan bahagia.

    Karya yang sepatutnya dibaca dan disimpan oleh setiap keluarga di luar sana.  Karya yang mampu memberi inspirasi kepada sebuah keluarga dalam menuju jalan ke syurga.  ALLAH! Terasa sayu hati ini ketika membawa karya yang benar-benar menyentuh hati.  Bonda Nor berjaya mengusik hati keibuan saya, berjaya mengetuk hati kewanitaan saya dengan gaya bahasanya yang ikhlas  daripada hati.  Tersentuh, terasa, hiba, resah, gembira, bangga, bercampur baur dalam hati. Inilah keluarga contoh dalam menegakkan syiar Islam.  Berkorban masa, waktu dan tenaga hanya untuk agama.  Bukan semua mampu lakukannya. Percayalah, tidak semudah mengucapkan A, B,C...

    Mereka adalah insan hebat yang mampu hidup kerana agama, menyerah diri kepada ALLAH swt bulat-bulat, bukan semua mampu melakukannya. Kita sentiasa bercakap dan berdoa, kepada ALLAH kita berserah, tetapi tetap ada keluh kesahnya.  ALLAH, Bonda Nor​, berjaya membawa pembaca ke dalam keluarga ini tanpa sedar. Turut merasakan ketabahan dan kekuatan keluarga ini. Tiada kata yang mampu saya gambarkan, atau ingin saya perkatakan tentang apa yang saya baca.

      Puas! itu sahaja yang terlahir di hati.  Hanya ALLAH sahaja yang tahu apa yang berdetik di hati saya ketika membaca karya ini.   Semoga ALLAH juga memberi jalan terbaik kepada saya sekeluarga dalam menegakkan agama ALLAH yang suci ini.

     Dalam hati, saya ingin menjadi seperti Puan Nur Azlina.  Dalam hati saya inginkan anak seperti arwah yang bekerja untuk ummah.  Semoga  roh arwah  ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman di sana.  Semoga Tuan Ahmad Azam dan Puan Nur Azlina terus menjalankan kerja-kerja dakwah, semoga mereka diberi kesihatan yang baik, semangat yang jitu dan  keazaman yang tinggi untuk terus menjalankan misi dakwah dan tarbiyah ini.  Tahniah kepada penulis kerana berjaya menyentuh hati para pembacanya dengan pendekatan  penulisan yang lahir dari hati. Dalam diam saya amat kagum dengan Bonda Nor, malah menjadi peminat beliau.  Syabas Bonda Nor.

      Gaya bahasanya mudah difahami, begitu santun. Sajak-sajak yang dimuatkan begitu menyentuh hati. Indah bahasanya, mudah dan menusuk kalbu.

No comments:

Post a Comment