Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 30 September 2015

UNISEL FAST-TRACK PROGRAM (BAGI PELAJAR LEPASAN MAAHAD TAHFIZ)

Gambar kemasukan yang lama, pengambilan setiap tahun.
Gambar terkini SMART TAHFIZ UNISEL 2018



http://unismart.webs.com/about-unismart

RINGKASAN PROGRAM “FAST-TRACK” YAPIS-UNISEL
Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) merupakan sebuah yayasan yang ditubuhkan bagi memperkasakan pendidikan Islam bagi pelajar khususnya di negeri Selangor. Satu kerjasama akan diadakan bersama Universiti Selangor (UNISEL) untuk mengendalikan program khas ini. UNISEL yang berpengalaman dalam menyediakan program pengajian pelbagai bidang yang berkualiti dan inovatif serta memenuhi kehendak pasaran di samping menyokong dasar pembangunan negara bakal merancakkan lagi matlamat penubuhan YAPIS.

UNISEL adalah universiti milik penuh Kerajaan Negeri Selangor yang menawarkan 86 program telah mendapat akreditasi MQA, di mana 42 program telah mendapat akreditasi penuh atau hanya memerlukan penilaian sendiri.

Program ”Fast-Track” SPM Pelajar Tahfiz anjuran YAPIS-UNISEL ini dijalankan di sebuah penempatan pelajar luar kampus milik UNISEL iaitu di Kota Puteri, Batu Arang. Ia boleh menempatkan sehingga 1000 orang pelajar dalam satu masa.
Dengan prasarana dan kemudahan yang mencukupi untuk melaksanakan program ”fast-track” ini, UNISEL menjadi satu lagi pilihan alternatif pelajar aliran Tahfiz yang ingin melanjutkan pelajaran khususnya dalam bidang professional.

Subjek yang bakal ditawarkan adalah untuk membantu pelajar melengkapkan syarat memasuki mana-mana program di peringkat mana-mana universiti termasuk:-
a) Bahasa Melayu
b) Bahasa Inggeris
c) Matematik
d) Sains
e) Sejarah
f) Matematik Tambahan
g) Bahasa Arab
h) Pendidikan Syariah Islamiah
i) Pendidikan Al-Quran & As-Sunnah
j) Tasawwur Islam

Yuran paling minimum akan dikenakan untuk pengajian, penginapan dan makan minum iaitu sebanyak RM400 sebulan bagi setiap pelajar.
Pelajar yang berjaya menamatkan program ”fast-track” ini dan memperoleh sekurang-kurangnya lima kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia akan diberi peluang untuk mengikuti mana-mana kursus tahun asas sebagai persediaan mengikuti program ijazah sarjana muda yang ditawarkan di UNISEL mengikut pilihan mereka. Untuk mereka yang memperoleh tiga kepujian bakal ditawarkan dengan kursus di peringkat diploma.

Secara amnya, program ini bukan sahaja akan membentuk insan yang profesional dalam bidang akademik bahkan dalam masa yang sama telah pun mempunyai asas agama yang kukuh dalam diri mereka. Program fast-track SPM 2014

Anjuran:
Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) – UNISEL
Program fast-track SPM anjuran YAPIS-UNISEL atau lebih dikenali sebagai Unismart telahpun memasuki tahun kedua pada tahun 2013. Pada pengambilan tahun pertama, seramai 70 orang pelajar telah mendaftar untuk mengikuti program yang dijalankan sebagai memenuhi tanggungjawab sosial UNISEL ini. Program yang dilaksanakan sepenuhnya di Asrama UNISEL Kota Puteri, Ijok ini merupakan satu-satunya peluang kepada pelajar lepasan madrasah/tahifz untuk mengikuti satu kaedah yang disusun secara sistematik bagi membolehkan mereka bersedia untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Walaupun hanya diberi latihan intensif selama 10 bulan, golongan ini telah berjaya membuktikan bahawa mereka juga mampu untuk mencapai kejayaan sepertimana pelajar sekolah yang lain. Mengikut rekod pencapaian pada tahun 2012, lebih 85% daripada pelajar tersebut layak untuk menyambung pengajian di peringkat diploma kerana berjaya memperolehi sekurang-kurangnya tiga kepujian. Pelajar terbaik pada tahun lepas berjaya memperoleh 6A dan kini sedang mengikuti pengajian di sebuah universiti di Yaman. Rata-rata ramai antara mereka telahpun mendapat tempat di institusi pengajian tinggi sama ada dalam mahupun luar negara bagi mengikuti pengajian di peringkat diploma atau persediaan.

Tahun ini, bilangan pelajar yang mendaftar telah meningkat kepada 90 orang dari seluruh pelusuk tanah air. Dengan penambahbaikan dari segi akademik dan pembentukan sahsiah, pelajar pada tahun ini juga didedahkan dengan aktiviti-aktiviti yang mampu menjadikan mereka lebih kreatif dalam pelbagai bidang. Sambutan Hari Guru dan Sambutan Hari Raya merupakan aktiviti yang memerlukan mereka merancang sendiri dari segi perlaksanaan dari awal sehinggalah selesainya majlis. Kursus dan aktiviti luar seperti program SPIES dan rehlah juga membolehkan mereka menimba pengalaman baru yang tidak pernah dilalui sebelum ini.

Dari segi kemasyarakatan pula, mereka dilibatkan dengan aktiviti yang memerlukan mereka untuk bersama dengan penduduk kampung berdekatan. Kebolehan menjadi imam merupakan satu nilai tambah yang istimewa pada golongan ini sehingga terdapat lebih 17 buah masjid dan surau di sekitar Kuala Selangor telah memohon untuk menggunakan khidmat mereka sebagai imam tarawih sepanjang bulan Ramadhan yang lalu. Selain daripada mengimarahkan majlis keagamaan di surau umum yang berhampiran, pelajar juga dilibatkan dengan aktiviti seperti sambutan korban dan juga riadhah.

Pelajar bertambah setiap tahun.  Permohonan dibuka bermula sekarang.  Kepada yang berminat  bolehlah mendaftar segera. TEMPAT ADALAH TERHAD.

Permohonan : Secara Online
Program peralihan pelajar aliran Tahfiz memasuki program professional anjuran Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) untuk menduduki kelas intensif Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014.

Maklumat Permohonan Kemasukan:-
a) Tarikh tutup permohonan 15 November 2013
b) Pemohon yang layak akan dipanggil menghadiri temuduga pada SEPANJANG DISEMBER 2013.
c) Pendaftaran kemasukan pelajar baru pada 15 Januari 2014.
Maklumat Syarat Kelayakan:-
a) Pelajar Tahfiz dengan hafalan minimum 10 Juzuk
b) Berumur minimum genap 17 tahun pada 1 Januari 2014 atau memiliki sijil PMR
c) Mempunyai kemahiran 5M (Membaca, Menulis, Mengira, Menghafal dan Memikir)
d) Keutamaan kepada pelajar Hafiz 30 Juzuk dengan Sijil Syahadah / Khatam
Maklumat Jadual Kelas Pengajian:-
Kelas Hafazan : 5.00 Pagi – 7.00 Pagi
Kelas Persediaan : 9.00 Pagi – 11.00 Pagi
Kelas Akademik : 2.30 Petang – 7.00 Petang
Kelas Hafazan : 7.00 Petang – 9.00 Malam

Maklumat Yuran Pengajian:-
a) Yuran Pendaftaran RM300
b) Yuran Peperiksaan RM200
c) Yuran Bulanan RM400 (Pengajian/Asrama/Makan)
Malumat Kemudahan Yang disediakan:-
a) Asrama UNISEL Kampus Kota Puteri dilengkapi surau dan bilik kuliah.
b) Makanan harian disediakan untuk pelajar: Sarapan, makan tengahari & makan malam.
c) Aktiviti Kokurikulum / Seminar / Kursus / Bengkel Motivasi turut diadakan pada hujung minggu.

Maklumat Alamat Tempat Pengajian:-
Asrama UNISEL Kota Puteri,
No. 22, Jalan Kota Puteri 5/10A,
Seksyen 5 Kota Puteri,
48100 Batu Arang, Selangor.
Email : unismart.unisel@gmail.com

PUSAT PENGAJIAN MAAHAD HAFIZ KLANG

https://www.hafiz.edu.my/

BELAJARLAH SELAGI MAMPU.




                Dahulu kita belajar kerana kita ingin pandai membaca, menulis dan mengira. Kita belajar untuk mendapat ilmu, biar bermanfaat untuk diri sendiri dan untuk orang lain juga.  Kita seronok ke sekolah apatah lagi orang tua kita cukup marah jika kita malas dan tidak berminat untuk belajar.  Kata arwah abah saya, orang yang tidak belajar kehidupannya seperti lembu, sebab lembu tak ke sekolah. Ikut sahaja cakap tuannya.  Kita, takkanlah hendak disamakan dengan lembu, kan?  Itu sebab kerana takut disamakan dengan lembu, maka rajinlah ke sekolah agar tidak menjadi lembu.  Memang nampak kasar gurau senda arwah abah saya itu tetapi terkesan di hati jugalah. 

                Biarpun arwah abah suruh saya dan adik-adik belajar dan pergi ke sekolah tetapi mereka tidak pernah tanya keputusan peperiksaan saya.  Jika kad kemajuan ada banyak merah, dia akan berkata, rajin-rajinlah tengok dan baca buku, jangan banyak main. Itu sahaja. Tidak pulalah dia berceloteh atau membebel sehingga terasa seperti saya telah melakukan kesalahan yang besar.  Bagi kedua orang tua saya, cukuplah jika kita rajin ke sekolah dan mahu belajar.  Ingin berjaya? Semuanya terpulang kepada diri kita sendiri. Begitu juga cikgu-cikgu di sekolah.  Tidak henti-henti menasihati agar jangan banyak bermain dan berangan.  Tumpukan kepada pelajaran kerana bagi sesiapa sahaja di zaman 80-an itu, pelajaran penting untuk membentuk sahsiah diri.  Bukan A yang dikejar tetapi ilmu yang mampu mendidik kita menjadi manusia yang berguna, bukan sahaja kepada keluarga, juga kepada bangsa dan agama.

                Kini, zaman telah berubah.  Anak-anak kita ke sekolah hanya untuk lulus periksa. Lagi banyak A, lagi bagus.  Kita kerah anak kita belajar mengikut kehendak kita, bukan kehendak mereka.  Begitu juga dengan sistem pembelajaran sekarang.  Kita yang melihat dan menjadi pemerhati ini pun turut pening kepala.  Apa yang dicari sebenarnya?  Adakah A untuk semua mata pelajaran atau pelajaran yang mampu membina dan membentuh sahsiah diri anak-anak kita?

                Anak-anak saya belajar di sekolah kebangsaan tidak habis.   Yang sulong tetap ambil UPSR, dapat keputusan Alhamdulillah, biarpun saya tidak menaruh harapan yang tinggi kerana saya tahu kemampuan anak saya itu.  Dia juga ambil SPM dan STAM, semuanya mendapat keputusan yang cemerlang biarpun SPM dia belajar sendiri sahaja, saya tidak hantar pergi tuisyen pun atau ke sekolah kerana dia ambil peperiksaan itu sebagai calon persendirian.  STAM, kami masukkan dia ke sekolah.  Habis belajar, dia mengajar.  Kemudian sambung belajar semula dan ambil Diploma IT. Sekarang sudah bekerja. Alhamdulillah. 

                Anak yang kedua tidak ambil UPSR, habis darjah lima terus masuk maahad tahfiz.  Umurnya 18 tahun  kami hantar masuk program anjuran UNISEL iaitu Fast track bagi lepasan maahad tahfiz.  Alhamdulillah, biarpun tidak dapat A dalam pelajaran yang diambil, kami tetap bangga dengan pencapaiannya sehingga melayakkan dia menyambung pelajaran diperingkat diploma di KUIS.  Penting sangatkah UPSR atau PT3?  SPM adalah tangga segala-galanya.  Biarpun anak kita dapat biasa-biasa sahaja dalam keputusan yang ada, sekurng-kurangnya waktu SPM kita mintalah mereka berusaha bersungguh-sungguh kerana di sinilah bermulanya segala-galanya.  Jadi, kenapa perlu berkeras untuk anak kita mendapat keputusan tinggi dalam UPSR dan PT3?  Ya, mungkin untuk menentukan sekolah terbaik buat mereka.  Itu betul, tetapi, adakah sekolah biasa tidak mampu membentuk anak kita menjadi pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang?

                Kelemahan  anak-anak kita adalah kurang membaca.  Kalau rajin membaca, segala masalah akan selesai.  Percayalah, insan yang berjaya adalah insan yang rajin membaca dan mengulangkaji pelajaran, dengar kata orang tua, dengar kata guru dan tidak melawan.  Paling utama, rajin solat dan mengaji.  Itulah sahaja kunci kejayaan seorang pelajar yang baik.

                Sistem akan terus berubah jika cerdik pandai yang ada berterusan buat kajian demi kajian. Berasakan apa yang mereka lakukan ini adalah terbaik buat anak-anak kita.  Mungkin ya, mungkin tidak.  Bagi saya, sebagai orang tua, kita berilah yang terbaik buat anak-anak kita.  Kepada guru-guru bertabahlah. Didiklah anak-anak muridmu sebaik mungkin.  Usah pecahkan kepala untuk mengejar kecermelangan hanya di kertas, tetapi bentuklah anak-anak didikmu menjadi manusia yang punya identiti diri, punya harga diri dan maruah.  A bukan segalanya.  A juga tidak menjamin anak-anak kita menjadi manusia yang berguna jika ilmu yang ada tidak benar-benar bermanfaat untuk diri sendiri, bermanfaat untuk bangsa dan agama. 
               
                Jadi, terpulanglah kepada kita sendiri.  Pilihan terletak di tangan kita.  Tepuk dada tanya selera.  Usah dibebankan anak-anak kita, biarlah mereka belajar kerana ingin mendapatkan ilmu, bukan mengejar A sahaja.  A penting untuk melihat prestasi mereka, tetapi bukan perkara utama.  Dekatkanlah mereka dengan agama, kerana itulah pendinding diri yang terbaik.  Solat, solat, solat, itu sahaja cara untuk mereka menjadi manusia berguna di dunia dan akhirat.

Selasa, 29 September 2015

REUNION



Kredit: Gambar Kumpulan Artis Penjuru Alam sewaktu perkahwinan anak salah seorang bekas ahli.




                Berpuluh tahun tidak bertemu.  Setelah habis waktu sekolah, masing-masing membawa diri.  Ketika zaman 80-an tidak ada telefon bimbit seperti hari ini.  Yang ada hanyalah telefon awam atau telefon rumah. Tetapi bukan semua mampu masukkan talian telefon di rumah.  Hanya keluarga yang  berkemampuan sahaja yang mampu ada telefon di rumah.  Berbalik kepada perpisahan kita dengan rakan-rakan sekolah.  Dengan cinta hati yang ala-ala cinta monyet itu berlalu pergi.  Kita lupakan zaman sekolah.  Kita mula mencari tapak untuk menyambung pelajaran. Ada yang terus bekerja kerana keputusan SPM hanya cukup-cukup makan dan kelulusan tidak membolehkan untuk menyambung pelajaran semula.  Tidak kurang juga yang berumah tangga.  Biasanya si gadislah.  Alhamdulillah jodoh sudah sampai.
                Hari ini, teknologi semakin berkembang pesat.  Dengan adanya telefon bimbit, internet kita sudah mula melangkah lebih jauh. Ada FB pula itu, di sinilah bermulanya pertemuan semula dengan rakan-rakan sekolah lama yang satu waktu dahulu kita sudah hampir melupakannya.  Bukan tidak ingat, tetapi tiada kuasa untuk mencari mereka.   Hendak cari di mana? Rupa-rupanya kawan-kawan kita sudah bertebaran di muka bumi ini.  Ada yang tinggal di Johor, Kelantan dan tidak kurang juga tinggal berdekatan. Perubahan wajah kerana  faktor usia telah menyebabkan kita saling tidak mengenali hatta terlanggar bahu sekalipun.  Bermula dengan pertemuan dengan seorang kawan lama, akhirnya kita hampir dapat mengumpulkan semua rakan-rakan sekolah kita dahulu.  Tentulah kita tersenyum bahagia, terbayangkan wajah masing-masing waktu zaman sekolah dahulu.

                Ingin benar kita tahu akan cerita kawan-kawan kita itu. Apa pekerjaan mereka, siapa isteri mereka, tinggal di mana dan berapa orang anak.  Persoalan itu akan bermain dibenak kita selagi kita tidak bertemu semula dengan rakan-rakan kita itu.  Hati melonjak riang, kita mula menubuhkan jawatankuasa untuk membina semula silaturahim yang terputus sekian lama.  Ada juga rakan sekolah kita berkahwin dengan rakan satu sekolah. Kita tumpang bahagia.
                Dalam mencari rakan lama, rakan sekolah, satu kelas, satu pasukan pakaian seragam dahulu, jangan pula kita mencari cinta monyet kita.  Ada juga yang kembali menyambung kisah dan kasih lama biarpun masing-masing sudah berkeluarga.   Bahayalah kalau seperti itu.  Pertemuan semula bukan untuk melakar duka dalam rumah tangga kita sendiri.  Lupakan cinta monyet atau cinta yang tidak kesampaian itu kerana yang berada bersama kita itulah cinta hati kita yang sebenar-benarnya.  Kalau pun teman sebantal kita itu ada kekurangan diri, usahlah dipandang sangat atau diungkit-ungkit, kajilah kelebihan yang ada pada dirinya.  Kekasih atau cinta monyet kita pun bukan hebat mana.  Baharu bertemu kembali, semuanya indah belaka.  Kita tengok senyumannya dahulu dan sekarang tidak berubah. Hati kita mula berbunga mekar.  Kalau itu terjadi, cepat-cepatlah nyah perasaan yang menyinggah.  Itu permainan syaitan.  Reunion diadakan semula cuma satu sahaja tujuannya, untuk kita menyambung silaturahim yang terputus. Bukan tempat menyambung kasih yang tidak kesampaian. Ingatlah, rakan kita itu sudah ada isteri, suami dan anak-anak.  Sebagai rakan lama kita doakan kebahagian mereka.  Itulah yang terbaik sebenarnya. 
                Semoga pertemuan semula dengan rakan sekolah, baik dari sekolah rendah, menengah, di universiti atau di tempat kerja, tujuannya hanya satu, agar kita saling berkenalan semula, merapatkan ukhwah dan hidup bagaikan sebuah keluarga yang besar.  Semoga juga pertemuan semula akan mengeratkan lagi hubungan yang sudah lama terputus.

Rabu, 23 September 2015

PERTANYAAN ATAU SOALAN



Pertanyaan biasa-biasa jika kita bertemu seseorang. Baik teman lama atau teman baharu. 

“Dah kahwin? Berapa anak? Kerja apa?”

Ada masa kita yang mesra alam akan menjawab dengan jujur.  Ada ketika malasnya hendak menjawab.  Apa sahaja soalan, apa sahaja jawapan, terima dengan hati yang terbuka.

Dalam hidup saya, sering bertemu dengan mereka yang berpoligami dan yang lambat kahwin, tidak kurang juga yang tidak punya anak walaupun sudah lama berumah tangga.  Dalam hidup ini, jika kita sering bertanyakan soalan, pastilah kita inginkan jawapan.  Ada ketika jawapan yang diterima memuaskan hati, adakala membuat kita bertanya dalam benak sendiri sebabnya masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diterima. 

Bukan tidak boleh bertanyakan soalan, tetapi tengok-tengoklah keadaan. Pandang kiri kanan dahulu, takut-takut soalan yang ditanya akan membuatkan teman yang baru kita kenal atau teman lama kita itu terasa hati.  Waktu itu kita juga yang rugi dan mula berfikir yang bukan-bukan.

Kalau umurnya sudah lanjut, masih tidak berumah tangga, usahkan ditanya kenapa tak kahwin lagi. Siapa yang tidak mahu berumah tangga?  Tanyalah sesiapa sahaja, kecuali Rabiatul Adawiyah, sanggup hidup sendiri demi cintanya kepada ALLAH biarpun dijanjikan pangkat dan harta. Mereka yang tidak berkahwin, bukan sengaja tidak berkahwin.  Ada sebab mengapa itu terjadi kepada mereka.  Jangan ditanya kenapa sebabnya, sebabnya mereka pun tidak tahu kenapa tidak sampai-sampai jodoh kepada mereka. ALLAH menjadikan setiap makhlukNYA itu berpasang-pasang seperti yang termaktud di dalam surah  Faatir, ayat 11.

Firman ALLAH Ta’ala :
“Dan Allah menciptakan kamu dari tanah kemudian dari air mani, kemudian Dia menjadikan kamu berpasangan (laki-laki dan perempuan). Dan tidak ada seorang perempuanpun mengandung dan tidak (pula) melahirkan melainkan dengan sepengetahuan-Nya. Dan sekali-kali tidak dipanjangkan umur seorang yang berumur panjang dan tidak pula dikurangi umurnya, melainkan (sudah ditetapkan) dalam Kitab (Lauh Mahfuzh). Sesungguhnya yang demikian itu bagi Allah adalah mudah.”

                Kesimpulannya, jika ada teman kita yang sudah masuk angka 30-an tetapi masih sendiri, usahlah ditanya ‘BILA NAK KAHWIN’ kerana soalan itu mampu membunuh hatinya yang redha dengan ketentuan ILAHI.  Sebagai rakan dan kenalan, apa salahnya kita doakan yang baik-baik sahaja, nasihatkan yang baik-baik sahaja. Usah sentuh langsung soal kahwin, kerana sudah pasti jika sampai jodohnya kita adalah orang yang akan dijemput menghadirinya. Jodoh, ajal dan maut milik ALLAH, hanya ALLAH sahaja yang tahu.   Jadi, ingatlah, bukan mereka tidak mahu tetapi mereka tidak dipertemukan lagi dengan jodoh yang telah ditentukan ALLAH kepada mereka.  Kita tidak perlulah menyibukkan diri dan menjadikan bahan untuk bercerita pula.  Biarlah mereka dengan diri mereka, mereka sahaja yang tahu apa yang terbaik buat mereka. Melainkan jika kita ada jodoh yang sesuai untuk kawan kita itu dan ingin menjodohkan mereka.  Itulah yang sepatutnya.  Bukan menyalahkan orang yang tidak berkahwin kononnya terlalu memilih.  Dalam Islam memang kena memilih, takut main tangkap muat sahaja, naya hidup. Orang lain menyulam gembira, kita menyulam duka. 

                Soalan yang sering kita jumpa juga adalah, “Kenapa tak ada anak lagi? Bila nak dapat anak ni?” Kenapa kita pula sibuk?  Mereka ada anak ke, tak ada anak ke?  Kita peduli apa?  Kenapa Kita sering menjadi manusia yang sibuk akan hal orang lain?  Cuba berhenti bertanyakan soalan seperti ini.  Adakah akan mengganggu aktiviti harian kita jika mulut kita tidak bertanyakan hal tersebut.  Kita kena ingat, seperti yang tertulis di dalam al-Quran, ayat di atas.  Hanya ALLAH sahaja yang tahu kenapa, bila dan bagaimana untuk setiap hamba-hambaNYA.  Kita sebagai hambaNYA hanya perlu melakukan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.  Sujud dan rukuklah kepadaNYA.  Itu yang terbaik.  Sebagai insan yang mengenali mereka yang alami apa sahaja masalah, hendaklah kita mendoakan yang terbaik buat mereka.  Itulah kawan yang baik namanya.  Semoga kita tidak lagi mengguris hati orang lain dengan  pertanyaan yang bukan-bukan.  Biarlah soalan yang mampu membuatkan dia tersenyum dan kita pula mampu ketawa gembira mendapatkan jawapannya.