AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 30 September 2015

BELAJARLAH SELAGI MAMPU.




                Dahulu kita belajar kerana kita ingin pandai membaca, menulis dan mengira. Kita belajar untuk mendapat ilmu, biar bermanfaat untuk diri sendiri dan untuk orang lain juga.  Kita seronok ke sekolah apatah lagi orang tua kita cukup marah jika kita malas dan tidak berminat untuk belajar.  Kata arwah abah saya, orang yang tidak belajar kehidupannya seperti lembu, sebab lembu tak ke sekolah. Ikut sahaja cakap tuannya.  Kita, takkanlah hendak disamakan dengan lembu, kan?  Itu sebab kerana takut disamakan dengan lembu, maka rajinlah ke sekolah agar tidak menjadi lembu.  Memang nampak kasar gurau senda arwah abah saya itu tetapi terkesan di hati jugalah. 

                Biarpun arwah abah suruh saya dan adik-adik belajar dan pergi ke sekolah tetapi mereka tidak pernah tanya keputusan peperiksaan saya.  Jika kad kemajuan ada banyak merah, dia akan berkata, rajin-rajinlah tengok dan baca buku, jangan banyak main. Itu sahaja. Tidak pulalah dia berceloteh atau membebel sehingga terasa seperti saya telah melakukan kesalahan yang besar.  Bagi kedua orang tua saya, cukuplah jika kita rajin ke sekolah dan mahu belajar.  Ingin berjaya? Semuanya terpulang kepada diri kita sendiri. Begitu juga cikgu-cikgu di sekolah.  Tidak henti-henti menasihati agar jangan banyak bermain dan berangan.  Tumpukan kepada pelajaran kerana bagi sesiapa sahaja di zaman 80-an itu, pelajaran penting untuk membentuk sahsiah diri.  Bukan A yang dikejar tetapi ilmu yang mampu mendidik kita menjadi manusia yang berguna, bukan sahaja kepada keluarga, juga kepada bangsa dan agama.

                Kini, zaman telah berubah.  Anak-anak kita ke sekolah hanya untuk lulus periksa. Lagi banyak A, lagi bagus.  Kita kerah anak kita belajar mengikut kehendak kita, bukan kehendak mereka.  Begitu juga dengan sistem pembelajaran sekarang.  Kita yang melihat dan menjadi pemerhati ini pun turut pening kepala.  Apa yang dicari sebenarnya?  Adakah A untuk semua mata pelajaran atau pelajaran yang mampu membina dan membentuh sahsiah diri anak-anak kita?

                Anak-anak saya belajar di sekolah kebangsaan tidak habis.   Yang sulong tetap ambil UPSR, dapat keputusan Alhamdulillah, biarpun saya tidak menaruh harapan yang tinggi kerana saya tahu kemampuan anak saya itu.  Dia juga ambil SPM dan STAM, semuanya mendapat keputusan yang cemerlang biarpun SPM dia belajar sendiri sahaja, saya tidak hantar pergi tuisyen pun atau ke sekolah kerana dia ambil peperiksaan itu sebagai calon persendirian.  STAM, kami masukkan dia ke sekolah.  Habis belajar, dia mengajar.  Kemudian sambung belajar semula dan ambil Diploma IT. Sekarang sudah bekerja. Alhamdulillah. 

                Anak yang kedua tidak ambil UPSR, habis darjah lima terus masuk maahad tahfiz.  Umurnya 18 tahun  kami hantar masuk program anjuran UNISEL iaitu Fast track bagi lepasan maahad tahfiz.  Alhamdulillah, biarpun tidak dapat A dalam pelajaran yang diambil, kami tetap bangga dengan pencapaiannya sehingga melayakkan dia menyambung pelajaran diperingkat diploma di KUIS.  Penting sangatkah UPSR atau PT3?  SPM adalah tangga segala-galanya.  Biarpun anak kita dapat biasa-biasa sahaja dalam keputusan yang ada, sekurng-kurangnya waktu SPM kita mintalah mereka berusaha bersungguh-sungguh kerana di sinilah bermulanya segala-galanya.  Jadi, kenapa perlu berkeras untuk anak kita mendapat keputusan tinggi dalam UPSR dan PT3?  Ya, mungkin untuk menentukan sekolah terbaik buat mereka.  Itu betul, tetapi, adakah sekolah biasa tidak mampu membentuk anak kita menjadi pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang?

                Kelemahan  anak-anak kita adalah kurang membaca.  Kalau rajin membaca, segala masalah akan selesai.  Percayalah, insan yang berjaya adalah insan yang rajin membaca dan mengulangkaji pelajaran, dengar kata orang tua, dengar kata guru dan tidak melawan.  Paling utama, rajin solat dan mengaji.  Itulah sahaja kunci kejayaan seorang pelajar yang baik.

                Sistem akan terus berubah jika cerdik pandai yang ada berterusan buat kajian demi kajian. Berasakan apa yang mereka lakukan ini adalah terbaik buat anak-anak kita.  Mungkin ya, mungkin tidak.  Bagi saya, sebagai orang tua, kita berilah yang terbaik buat anak-anak kita.  Kepada guru-guru bertabahlah. Didiklah anak-anak muridmu sebaik mungkin.  Usah pecahkan kepala untuk mengejar kecermelangan hanya di kertas, tetapi bentuklah anak-anak didikmu menjadi manusia yang punya identiti diri, punya harga diri dan maruah.  A bukan segalanya.  A juga tidak menjamin anak-anak kita menjadi manusia yang berguna jika ilmu yang ada tidak benar-benar bermanfaat untuk diri sendiri, bermanfaat untuk bangsa dan agama. 
               
                Jadi, terpulanglah kepada kita sendiri.  Pilihan terletak di tangan kita.  Tepuk dada tanya selera.  Usah dibebankan anak-anak kita, biarlah mereka belajar kerana ingin mendapatkan ilmu, bukan mengejar A sahaja.  A penting untuk melihat prestasi mereka, tetapi bukan perkara utama.  Dekatkanlah mereka dengan agama, kerana itulah pendinding diri yang terbaik.  Solat, solat, solat, itu sahaja cara untuk mereka menjadi manusia berguna di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment