AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 29 September 2015

IKATAN KASIH - BAB 7



            Dia membuka sampul surat tersebut. Dia menekup mulut. Bibirnya terketar-ketar. Dadanya sebak. Air mata semakin laju mengalir.
            “Sudah 15 tahun Eta diceraikan. Sebaik sahaja Ramadan sedar dan Eta didapati bersalah, dia tiada pilihan, selain menceraikan Eta,” terang Hajah Kemboja.
            “Mak!” Rabeta memeluk Hajah Kemboja. Dia menangis semahu-mahunya. Semakin hancur hatinya. Terasa kosong dunianya. Dia hilang segala-galanya. “Abang Ramadan dah ceraikan Eta?”
 Lemah dia menuturkannya. Dia sudah menjadi janda selama dipenjara. Tersandar dia di sofa. Terketar-ketar bibirnya menahan sendu. Dalam tempoh itu, dia menangis pada setiap malam, mengenangkan anak-anak dan suami tercinta. Menyulam duka. Kerana merekalah, dia terus hidup. Merekalah yang memberinya kekuatan. Kalau tidak sudah lama dia mati di dalam penjara.
“Sampai hati, abang…”
 Sejak diberitahu akan keluar dari penjara, yang ada dalam ingatannya, adalah keluarganya. Impiannya musnah sebelum sempat dia melakukan apa-apa. Jiwanya galau, air mata merembes keluar, bagaikan hujan setelah musim kemarau, laju. Seperti satu tumbukan padu singgah di hatinya. Bengkak dan terluka. Belum berdarah sahaja lagi.
            “Eta!” Hajah Kemboja menangis.
            “Sampai hati Abang Ramadan! Takkan abang pun percaya. Eta isteri abang. Eta sayangkan abang,” rintih Rabeta, bagaikan orang bingung.
“Entahlah Eta,” jawab Hajah Kemboja sedih. Kalau tidak yakin dan percaya, tidak mungkin anaknya itu diceraikan. Ramadan langsung tidak menjenguk Rabeta. Apatah lagi ingin bertanya khabar.
            Rabeta tidak mampu berkata apa-apa lagi. Semuanya sudah jelas di depan matanya. Ramadan seorang suami yang baik dan bertanggungjawab, mereka berkahwin kerana suka sama suka, dan mendapat restu keluarga. Mana mungkin dia memusnahkan kebahagian yang dikecapi itu. 
            Mereka dikurniakan tiga orang anak yang sihat walafiat. Sempurna, comel dan cantik. Air mata terus mengalir lagi. Rasa sedih dan kecewa tidak mampu disembunyikan lagi.
            “Semua orang dah bencikan Eta, ya mak?” tanya Rabeta dalam sendu yang masih berbaki. Air mata yang membasahi pipi diseka dengan hujung jari. Hampir tertutup pandangan mata. Wajah Hajah Kemboja sama-sama di pandangannya.
            “Biarlah semua orang bencikan Eta, tapi mak tetap sayangkan Eta,” luah Hajah Kemboja.
“Ayah?” Tanya Rabeta perlahan. Suaranya antara dengar dan tidak di cuping telinga sendiri.
            Wajah Hajah Kemboja bertukar kelat. Tidak terjawab olehnya. Mata mereka saling berlaga. Hanya hati mereka yang tahu apa yang tersurat dan tersirat. Suasana petang itu suram dan muram itu berlalu pergi dengan hati yang terluka berdarah.
Redza yang baru pulang dari tempat kerja hanya memerhati sahaja reaksi emak dan ayahnya. Berita yang baru didengari tadi mengusik hati. Dia tidak setuju jika kedua orang tuanya membenarkan kakaknya tinggal kembali di situ. Sudah cukuplah selama ini tahun mereka dimalukan, dihina dan dicaci oleh penduduk kampung.
            “Orang tak setuju kakak tinggal di sini!” luah Redza, tegas. Dia mengetap bibir.
            “Dia kakak angah!  Dia anak emak, dia berhak tinggal di sini!”
Hajah Kemboja sakit hati mendengar kata-kata anak bongsunya itu. Mereka hanya dua beradik. Jika Rabeta pergi, tinggallah Redza sahaja di rumah itu. Untung masih belum berkahwin, jika tidak sudah pasti hanya dia dan suaminya sahaja berada di rumah. Usia anak bongsunya itu bukannya muda lagi. Disuruh berkahwin, ada sahaja alasannya. Bukan tidak bekerja, wajah boleh tahan.  Apa lagi yang dicari oleh anak lelakinya itu, dia sendiri tidak faham.
            “Mak nak orang kampung mengumpat kita lagi? Mencaci dan menghina kita?  Mak tak serik lagi ke?” soal Redza. 
Bukan niat dia hendak menghalang, tetapi apa yang berlaku selepas kakaknya dihukum, memang menghancurkan hati dan perasaan mereka sekeluarga. 
            “Biarlah mereka nak cakap! Mereka ada mulut!” Hajah Kemboja mendengus kasar.
            “Sudah! Diam!” jerkah  Haji Ismail.
Sejak tadi dia hanya menjadi pendengar. Matanya membuntang memandang wajah mereka berdua. Mukanya merah padam. Hatinya sudah cukup sakit ketika itu. Orang kampung sudah mula bercakap, mungkin mereka terlihat kelibat Rabeta tengahari tadi. 
Malam semakin tiba waktunya, dia pula resah di rumah. Ditambah dengan pertengkaran emak dan anak, membuat hatinya bertambah kacau. Sudah tentu berita kepulangan Rabeta akan diketahui oleh bekas besannya. Kecoh nanti.
            “Abang! Takkan kita nak halau Eta keluar? Dia anak kita!” Hajah Kemboja menggeleng kesal. Dia memandang wajah suaminya dengan penuh harapan. Berharap jawapan yang jujur daripada lelaki yang telah dikahwininya berpuluh-puluh tahun itu.
            “Kalau itu yang terbaik, apa kita nak buat?” Haji Ismail bingkas bangun. Tidak sanggup dia melihat isterinya menangis lagi dan lagi. Bertahun-tahun mereka menyulam duka, memikirkan keadaan Rabeta di dalam penjara. Kini, kepulangannya  pasti membawa sengketa lama yang cuba dilupakan.
            “Angah!?” Hajah Kemboja mengharapkan simpati Redza.
            “Orang begitu juga mak. Biarlah dia bina hidupnya di tempat lain. Bukan di sini. Dia kena lupakan anak-anaknya juga. Mereka sendiri tak ingatkan dia,” jawab Redza jelas. 
            Hajah Kemboja merintih dalam hati.
“Ya ALLAH, apa yang harus aku lakukan?”
  Hajah Kemboja tidak sanggup melakukannya. Menghalau anak kandung sendiri, demi memuaskan hati orang lain. Rabeta sudah terlalu lama menderita. Tidak patut ditambah deritanya lagi. Dia sudah pun menerima balasan di atas perbuatannya yang lalu.
Semakin perit hatinya. Suaminya pula tiba-tiba keluar dari rumah. Langsung tidak memberi apa-apa jawapan. Semakin perit rasa hatinya. Redza juga melarikan diri, sudah tentu mengurung diri di dalam biliknya. Hajah Kemboja mengetap bibir. Semakin sakit hatinya.
Hatinya penuh rasa sayang terhadap anak perempuan yang pernah didukung, dicium dan dibelai ketika kecil dahulu. Haji Ismail menahan sendu. Janganlah air matanya mengalir. Biarlah dia menangis kerana takutkan ALLAH SWT, bukan menangisi nasib anak perempuannya. Mungkin sudah tertulis takdir Rabeta sejak azali. Pasti ada hikmah yang menanti. Semoga Rabeta tabah menghadapi ujian yang sedang dihadapinya.  
            “Abang baru balik?” sapa Hajah Kemboja dalam kegelapan malam di bilik tidur utama.
            “Terkejut saya!” Haji Ismail mengurut dada. Sebaik sahaja dia membuka pintu bilik, Hajah Kemboja terus menegur. Sengaja dia tidak membuka lampu, dia sangkakan isterinya sudah pun jauh merantau dalam mimpi. Rupa-rupanya belum tidur.
            “Awak ke mana? Tiba-tiba hilang?” 
            “Awak tak tidur lagi?” Haji Ismail membuka lampu bilik. Jubah ditanggalkan dari tubuh. Dia hanya berseluar panjang dan berbaju t putih pagoda. Duduk di sofa berwarna hitam putih yang terletak di sudut bilik itu. Dia berbaring sambil memandang siling.  Matanya tidak berkedip.
            “Bang, apa kita nak buat dengan Eta? Riyana pulak selalu ke mari. Siang tadi pun mereka bertembung. Saya perasan, Eta tak kenal siapa Riyana, tapi kalau dia tahu nama cucu kita tu. Dia tahulah budak tu anak dia. Saya juga dah bagi tahu, dia bukan lagi isteri Ramadan,” cerita Hajah Kemboja.
Kalau ikutkan hati, memanglah dia marah dengan sikap suaminya, tapi memikirkan sudah tua-tua begini, tak perlulah sering bertegang urat, tiada penghujungnya.
            “Eta cakap apa bila dia tahu pasal tu?” Haji Ismail mendengus kasar.
            “Tentulah dia sedih, dia masih berharap nak bali semula dengan Ramadan,” jelas Hajah Kemboja. “Hah? Jangan harap, bekas besan awak tu nak terima anak kita kembali!”
            “Habis tu apa kita nak buat?”
            “Awak tanya saya? Saya sendiri buntu memikirkannya,” jawab Haji Ismail. Langsung  tidak memandang wajah Hajah Kemboja. Terus melayan perasaan sendiri.
            “Saya kasihankan Eta, bang. Kalau dia  tak tinggal di sini, ke manalah dia nak pergi? Ini kampung dia juga, tempat dia membesar.” 
Kalau boleh malam itu juga Hajah Kemboja inginkan jawapan daripada mulut suaminya.  Takkanlah dia hendak menghalau anak perempuanya itu.
            “Awak ingat, saya tak sayangkan anak sendiri ke?” tempelak Haji Ismail. Dia juga ada perasaan, dia ‘kan ayah kepada Rabeta.
            “Tapi… saya tak tergamak nak halau dia, bang!” keluh Hajah Kemboja sekali lagi.
            “Awak fikir, saya sampai hati ke?” Haji Ismail bangun dan duduk pula. Dia memandang wajah isterinya. Mata mereka saling bertembung.  Sesekali terdengar keluhan mereka berdua.
            “Kemboja, cuba awak bayangkan apa yang akan jadi, kalau Ramadan, Aida dan bekas besan awak tahu Eta dah pulang? Awak nak anak awak kena serang lagi?” Haji Ismail tenung tepat Hajah Kemboja. “Dulu mereka tak boleh nak buat apa-apa dengan dia, sebab dia terus ke penjara, sekarang dia dah bebas. Macam-macam mereka boleh buat pada  dia. Saya tak sanggup tengok anak saya tu dicaci dan dihina, awak faham tak? Awak nak saya berparang pula ke?”
            “Takkan mereka akan buat macam tu bang?” Hajah Kemboja merengus kasar.
            “Kita tak tahu, Kemboja, entah-entah mereka masih marah lagi dengan Eta. Manalah kita tahu?
            “Abang sebenarnya dah tahu ya, Eta keluar hari ini?” Hajah Kemboja merenung tajam wajah suaminya.
            Haji Ismail diam. Panggilan telefon daripada pihak penjara beberapa hari yang lalu langsung tidak diberitahu kepada sesiapa. Usai menerima panggilan, akalnya bagaikan tidak berhenti berfikir, sampai beku jadinya.  Mulutnya turut terkunci untuk memberitahu isterinya.
Pejam celik, pejam celik, 15 tahun sudah berlalu. Kuat sungguh anaknya melawan takdir hidupnya. Sabar dengan kehidupan di dalam penjara.
            “Kalau saya beritahu awak pun, apa yang awak boleh buat?” Haji Ismail mengerling.
            “Sekurang-kurangnya, kita bolehlah jemput dia!” kata Hajah Kemboja. Kecil hatinya. Anak perempuannya balik ke rumah tanpa dijemput oleh sesiapa. Bagaikan anak terbuang sahaja, tiada saudara mara.
            “Redza macam mana?” Haji Ismail mengeluh keras lagi.
            “Sama macam awak jugalah. Tak setuju Rabeta tinggal di sini,” adu Hajah Kemboja, sayu.
            “Kalau Rabeta tinggal di sini, lama kelamaan dia akan bertembung dengan Riyana, takkan saya nak larang budak tu datang ke mari? Nanti banyak pula soalan yang keluar dari mulutnya. Kalau dia tahu? Hish… tak sanggup saya nak bayangkan. Macam saya cakap tadi. Saya fikirkan perasaan Eta, bukan tentang kita saja.”
            “Pening kepala saya ni, tahu tak?” Haji Ismail bingkas bangun. Kalau berfikir hingga ke subuh pun, perkara itu tidak akan selesai. Lainlah keluarga bekas besannya sudah tidak kisah lagi. Malah memaafkan anak perempuannya itu. Ini tidak, dendam di hati mereka masih basah lagi. Dia bingkas bangun. Matanya sudah terasa pedih. Tubuhnya pun  sudah mula minta direhatkan.
            Hajah Kemboja sendiri pun pening memikirkan apa yang berlaku. Serba-salah jadinya.  Wajah Riyana yang saling tak tumpah waktu Rabeta remaja bermain di ruangan mata.  Sayu di hati.  Rasa marah membuak di jiwa, terhadap sikap bekas besannya.

No comments:

Post a Comment