AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 23 September 2015

PERTANYAAN ATAU SOALAN



Pertanyaan biasa-biasa jika kita bertemu seseorang. Baik teman lama atau teman baharu. 

“Dah kahwin? Berapa anak? Kerja apa?”

Ada masa kita yang mesra alam akan menjawab dengan jujur.  Ada ketika malasnya hendak menjawab.  Apa sahaja soalan, apa sahaja jawapan, terima dengan hati yang terbuka.

Dalam hidup saya, sering bertemu dengan mereka yang berpoligami dan yang lambat kahwin, tidak kurang juga yang tidak punya anak walaupun sudah lama berumah tangga.  Dalam hidup ini, jika kita sering bertanyakan soalan, pastilah kita inginkan jawapan.  Ada ketika jawapan yang diterima memuaskan hati, adakala membuat kita bertanya dalam benak sendiri sebabnya masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diterima. 

Bukan tidak boleh bertanyakan soalan, tetapi tengok-tengoklah keadaan. Pandang kiri kanan dahulu, takut-takut soalan yang ditanya akan membuatkan teman yang baru kita kenal atau teman lama kita itu terasa hati.  Waktu itu kita juga yang rugi dan mula berfikir yang bukan-bukan.

Kalau umurnya sudah lanjut, masih tidak berumah tangga, usahkan ditanya kenapa tak kahwin lagi. Siapa yang tidak mahu berumah tangga?  Tanyalah sesiapa sahaja, kecuali Rabiatul Adawiyah, sanggup hidup sendiri demi cintanya kepada ALLAH biarpun dijanjikan pangkat dan harta. Mereka yang tidak berkahwin, bukan sengaja tidak berkahwin.  Ada sebab mengapa itu terjadi kepada mereka.  Jangan ditanya kenapa sebabnya, sebabnya mereka pun tidak tahu kenapa tidak sampai-sampai jodoh kepada mereka. ALLAH menjadikan setiap makhlukNYA itu berpasang-pasang seperti yang termaktud di dalam surah  Faatir, ayat 11.

Firman ALLAH Ta’ala :
“Dan Allah menciptakan kamu dari tanah kemudian dari air mani, kemudian Dia menjadikan kamu berpasangan (laki-laki dan perempuan). Dan tidak ada seorang perempuanpun mengandung dan tidak (pula) melahirkan melainkan dengan sepengetahuan-Nya. Dan sekali-kali tidak dipanjangkan umur seorang yang berumur panjang dan tidak pula dikurangi umurnya, melainkan (sudah ditetapkan) dalam Kitab (Lauh Mahfuzh). Sesungguhnya yang demikian itu bagi Allah adalah mudah.”

                Kesimpulannya, jika ada teman kita yang sudah masuk angka 30-an tetapi masih sendiri, usahlah ditanya ‘BILA NAK KAHWIN’ kerana soalan itu mampu membunuh hatinya yang redha dengan ketentuan ILAHI.  Sebagai rakan dan kenalan, apa salahnya kita doakan yang baik-baik sahaja, nasihatkan yang baik-baik sahaja. Usah sentuh langsung soal kahwin, kerana sudah pasti jika sampai jodohnya kita adalah orang yang akan dijemput menghadirinya. Jodoh, ajal dan maut milik ALLAH, hanya ALLAH sahaja yang tahu.   Jadi, ingatlah, bukan mereka tidak mahu tetapi mereka tidak dipertemukan lagi dengan jodoh yang telah ditentukan ALLAH kepada mereka.  Kita tidak perlulah menyibukkan diri dan menjadikan bahan untuk bercerita pula.  Biarlah mereka dengan diri mereka, mereka sahaja yang tahu apa yang terbaik buat mereka. Melainkan jika kita ada jodoh yang sesuai untuk kawan kita itu dan ingin menjodohkan mereka.  Itulah yang sepatutnya.  Bukan menyalahkan orang yang tidak berkahwin kononnya terlalu memilih.  Dalam Islam memang kena memilih, takut main tangkap muat sahaja, naya hidup. Orang lain menyulam gembira, kita menyulam duka. 

                Soalan yang sering kita jumpa juga adalah, “Kenapa tak ada anak lagi? Bila nak dapat anak ni?” Kenapa kita pula sibuk?  Mereka ada anak ke, tak ada anak ke?  Kita peduli apa?  Kenapa Kita sering menjadi manusia yang sibuk akan hal orang lain?  Cuba berhenti bertanyakan soalan seperti ini.  Adakah akan mengganggu aktiviti harian kita jika mulut kita tidak bertanyakan hal tersebut.  Kita kena ingat, seperti yang tertulis di dalam al-Quran, ayat di atas.  Hanya ALLAH sahaja yang tahu kenapa, bila dan bagaimana untuk setiap hamba-hambaNYA.  Kita sebagai hambaNYA hanya perlu melakukan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.  Sujud dan rukuklah kepadaNYA.  Itu yang terbaik.  Sebagai insan yang mengenali mereka yang alami apa sahaja masalah, hendaklah kita mendoakan yang terbaik buat mereka.  Itulah kawan yang baik namanya.  Semoga kita tidak lagi mengguris hati orang lain dengan  pertanyaan yang bukan-bukan.  Biarlah soalan yang mampu membuatkan dia tersenyum dan kita pula mampu ketawa gembira mendapatkan jawapannya.

No comments:

Post a Comment