Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 29 Oktober 2015

ASAP KELUAR BERBUNGA-BUNGA






            Aku memandang ke kiri, pandang ke kanan,  tercari-cari tempat duduk yang tidak diganggu gugat dengan hembusan asap rokok yang keluar asapnya berbunga-bunga.  Aku mendengus kasar.  Menyusahkan betul kalau makan di kedai mamak. Tiada tanda     DILARANG MEROKOK! Sedangkan sudah dimaklumkan oleh kerajaan bahawa tidak boleh merokok di tempa awam.
            “Duduk sini ajelah,” kata suamiku sambil menarik kerusi, sudah bersedia melabuhkan punggungnya.
            “Tak nak!” jawabku sambil memuncungkan bibir. 
            Dia menoleh ke belakang.
            Empat orang remaja sedang sedap menghayati keenakkan menyedut asap rokok  dihisap.  Bukan main lagi.  Macam orang besar sahaja lagaknya.  Aku kira umur mereka tidak kurang daripada 15- 17 tahun. Masih bersekolah.  Amboi! Sedut, lepas, sedut, lepas! Hebat! Hebat! Kataku dalam  hati.  Bergelak ketawa, langsung tidak menghiraukan pandanganku yang tajam merenung mereka.
            “Duduk sinilah!” ajak suamiku.
            Aku menggeleng laju.  Uh! Tak sanggup menjadi salah seorang pesakit kanser paru-paru. 
            “Habis tu nak duduk kat mana?” soal suamiku agak kasar. Dia sudah mula menjegilkan mata.
            Aku mengangkat kening dan terus berdiri di meja anak-anak remaja tersebut.  Aku menghentak meja. 
            Sudah lama hidup?  Bukan main sedap kau hisap ya?  Kau nak mati sangat, baik terjun sungai atau laut!  Kau tahu tak rokok tu haram! Tak belajar di sekolahkah?  Tak baca bukukah? Suratkhabar? Kau tahu tak, orang sekeliling kau lebih berisiko dan tinggi  peratusnya untuk mendapat kanser paru-paru berbanding penghisap rokok! Ingat jantan sangatlah ya!
            Hei! Duit nak belanja sekolah pun minta mak bapak, ada hati hisap rokok?  Mula-mula hisap rokok, lepas tu lebih berani, hisap dadah pula.  Berhentilah! Usia kalian masih muda, usah dijahanamkan dengan benda-benda haram ini.  Belum pun usia mencecah 40-an sudah mengidap kanser paru-paru, bukan kau sahaja yang akan mengidap, orang yang sering bersama-sama dengan kau pun akan terbabitlah.
            Kasihanlah dengan diri sendiri, kasihanlah dengan mak bapa.  Tak sedap mana rokok tu, membazir sahaja.  Kau bakar duit dalam tidak sedar.  Kenapalah kau ikut kehendak manusia yang jahat dan banjingan betullah mereka yang ajak kau menghisap rokok.  Biar tutup syarikat yang menjual rokok ini.  Mereka merosakkan kesihatan orang awam, anak-anak muda apalah mereka tahu. Mereka nak sahaja mencuba.  Kononnya, macholah kalau merokok ini.  Macholah sangat.  Nak jadi anak jantan bukan dengan hanya pegang batang rokok dan keluarkan asap berbunga-bunga.  Itu bukan jantan!  Itu berlagak jadi jantan!  Kalau nak tunjuk jantan sangat, jadilah orang berani yang berjuang membawa kebaikan. Bukan hanya pada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain. 
            Kau sedar tak, dalam waktu yang sama, kau sudah menjadi pembunuh! Kau bunuh orang sekeliling kau yang menghidu bau asap rokok tersebut! Kau mana sedar, kau sedap sahaja menyedutnya. Kau peduli apa, jika orang itu jatuh sakit. Ada kau kisah?
            Aku cakap sebab aku kasihan dengan umur kau yang muda itu.  Jangan bazirkan masa dengan buat kerja-kerja yang tidak diredhai ALLAH.
            Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu:” Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah swt mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”. 
            Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.
            Cuba tengok dan bacalah! Jangan besar kepala sangat. Kau itu masih belajar, buatlah cara masih belajar.  Tak usah nak cuba jadi orang dewasa yang kadang-kadang bongok juga. Entah apa sedapnya merokok? Bila usia sudah sampai  peringkat tua, barulah nak berhenti, sebab dah sakit.  Masa itu sudah terlambatlah.  Mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Takkan itu pun tak tahu!
            Aku benci perokok dan aku tak suka berada di persekitaran mereka yang merokok! Memang tidak selesa. Nafasku sesak jika terbau asap rokok.  Boleh tak kalian berambus sebelum aku panggil polis, panggil mak bapa kalian.  Entah-entah mak dan bapa kalian pun tak tahu yang kalian berempat ini merokok.
            Nasib baik kalian anak orang, kalau anak aku sudah lama kusepak sahaja muka itu. Tidak layaklah jadi manusia jika kalian sudah menjadi pembunuh dalam senyap.  Tak bunuh apanya?  Asap rokok itu mampu membunuh manusia, tak tahukah?  Itulah orang suruh belajar, kalian ponteng sekolah.  Lepas itu menyusahkan mak bapa.  Duit habis digunakan untuk beli rokok. 
            “Sudahlah tu!” suamiku menarik tanganku.
            Aku menolaknya perlahan.  Terkebil-kebil budak-budak remaja itu memandangku. Beberapa orang dewasa yang turut ada rokok di tangan mereka, angkat kaki berlalu pergi.  Terasalah agaknya.  Biarlah! Ada aku kisah?  Jangan mereka juga bunuh anak-anak dan isteri mereka sudahlah.  Mana tidaknya, kalau sudah hisap rokok dalam rumah.  Yang anak dan isteri pula, janganlah duduk dekat dengan mereka yang jadi penghisap rokok tegar ini.  Memang ada kesannya.  Seorang teman baik suamiku waktu di zaman sekolah, meninggal dunia kerana menghidap kanser paru-paru.  Arwah seorang perempuan, dia bukan penghisap rokok. Bila diselidiki, suami arwah adalah penghisap rokok tegar dan dia selalu duduk disamping suaminya yang sedang merokok.  Kesannya bukan kepada si perokok tetapi yang menjadi mangsa adalah mereka yang kita sayang.
            Beringatlah sebelum terjadi perkara yang tidak baik, beringat sebelum kena.  Berhentilah, tidak rugi apa-apa pun. Malah bermanfaat untuk semua. Kita memberi persekitaran yang baik kepada manusia yang lain, itu juga pahala. Memberi keselesaan kepada manusia  lain juga akan dapat pahala. 
            “Dah, berambus!” halauku. 
            Terkocoh-kocoh keempat-empat remaja itu keluar dari restoran tersebut.
            Suamiku pula mencubit lenganku.  Tanda proteslah itu.  Ada aku kisah?  Sekurang-kurangnya leteranku tadi buat mereka yang menghisap rokok di dalam restoran itu berlalu pergi  Tenang dan aman rasanya.  Aku tersenyum dalam hati. Dengan muka selamba, aku terus duduk dan memesan makanan. Mata-mata yang memandang tidak kupedulikan.  Kalau tidak ada menegur, siapa yang akan sedarkan anak-anak remaja itu tentang  bahaya merokok ini.  Mungkin mereka tidak ikut sekarang, mungkin satu hari nanti mereka akan ingat juga.


2 ulasan:

  1. Syabas kak Asmah,.ni cerita rekaan ka betoi2 terjadi ni?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Rekaan dik, berani ke akak nak buat macam ni? Bukan kena marah dengan budak-budak tu, suami sendiri yang marah, menyibuk hal orang lain. Harap diberi kekuatan untuk menegur satu hari nanti.

      Padam