AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 19 October 2015

GADJET - BAB 6



            Aku ada anak-anak yang sedang meningkat remaja.  Pening juga bila selera mereka, selera orang muda sekarang.  Telefon yang canggih-manggih.  Kalau tidak dilayan, lain pula jadinya.  Kejap, kejap, kejap! Aku tarik balik kata-kataku tadi.  Aku takkan layan.  Duit mereka beli telefon canggih tu, duit aku.  Kenapa perlu aku belanja untuk mereka?  Mereka masih sekolahlah?  Buat apa yang canggih?  Nak buat apa? Pertanyaan daripada diriku sendiri.
            “Belikan  ajelah,” kata suamiku.
            Aku menjegilkan mata.  Wajah anak sulongku yang baru tingkatan tiga kupandang atas bawah, bawah ke atas. 
            “Bolehlah mama!” katanya memujuk. Lembut lidah daripada gigi.
            “Beri 10 sebab, kenapa mama kena beli?”  ujiku.
            Dia terdiam, memandang ayahnya dan aku silih berganti.
            Kantoi! Tak ada jawapanlah.  Aku tahu benar citarasa budak sekarang.  Perkara yang pelik-pelik, itulah yang nak dikongsikan sangat.  Bukan aku kata dunia teknologi ini tak baik.  Baik, bagus! Tapi biarlah kena caranya. 
            “Mama!” jeritnya sambil berlalu naik ke biliknya.
            Proteslah tu. Peduli apa aku! Aku tak nak rosakan mindanya yang baru belajar tentang perkara negative yang melambak di dalam dan luar rumah.  Dalam rumah maksud aku, televisyenlah.  Aku jadi tukang cerewet paling cerewet.  Rancangan yang ditonton oleh mereka pun aku tapis.  Bukan apa, aku tak nak mereka lakukan dosa mata, dosa telinga dan dosa segala dosa yang ada.  Bukan hanya anak-anak, termasuklah aku dan suami juga.  Telefon aku pun biasa-biasa sahaja.  Whatsapp ada, tapi aku tak layan sangat. FB? Ada, sangat aktif. Tapi… untuk keperluan sahaja. 
            “Kenapa berkeras sangat. Kena ikut zamanlah sayang oi!” kata suamiku. Dia leka membaca.
            Aku mendengus kasar.
          “Mana boleh? Awak nak dia tengok yang bukan-bukan di telefonnya?  Saya bagi telefon Nokia lama tu dah cukup baik tau?” bebelku.  Cerita kawan-kawan buat aku urut dada.  Mereka terjumpa macam-macam dalam telefon bimbit anak mereka.  Mahu tercabut nyawa aku melihatnya.  Aku tak nak anak-anakku rosak minda mereka melihat benda-benda pelik seperti itu. Tak mahu! Tak mahulah!
            “Kita pantaulah,” pujuk suamiku.
            Selama mana? Sehari, dua hari, tiga hari, seminggu, sebulan? Uh! Tak ada maknanya. 
            “Nanti kecewa budak tu, kalau dia merajuk, awak juga kena pujuk,”  bebel suamiku lagi.
            “Biarlah dia merajuk! Biarlah!” kataku tegas.
           Pernah tak kawan-kawan alami perkara seperti ini? Tentu adakan?  Bukan soal telefon, banyak hal lagi. Memang sakit hati melayan kerenah anak-anak zaman Z yang semakin pandai ‘mengajar’ kita dalam sedar ini. Aku tetap dengan keputusanku.  Muktamad. Tidak boleh berkompromi. Tahun ini dia nak periksa. Biarpun tidak penting. Aku nak ajar dia focus pada pelajaran. Bukan pada telefon.  Minta sangatlah pada cikgu tak payahlah wujudkan grup whatsapp bagai. Kasihan anak-anak yang kedua orang tuanya tidak mampu.  Bukan semua ada telefon dan mampu membeli.  Kalau sudah lima orang anaknya, apa cerita?  Mulalah anak-anak fikir yang bukan-bukan. Curi hak kawan lain misalnya.  Janganlah anak-anakku yang bertiga itu lakukan perkara itu. Mahu meroyan aku sepanjang hari. Pantang aku orang mencuri ini.
            Hujung minggu yang tenang. Wajah anak sulongku masih cemberut.  Anak-anak, boleh pusingkan kepala mama saja.  Aku mendekati anak sulongku yang bernama Aman.  Kenapa aku letak nama Aman, sebab aku nak dia berjiwa tenang dan aman.  Dia duduk di buaian besi sambil membaca buku. Sejak pagi tadi, dia langsung tidak menegurku.  Aku fahamlah dia sedang perang dingin. Tengok, anak sekarang.  Dulu, aku mana berani perang dingin macam tu dengan kedua orang tuaku.  Silap haribulan, tali pinggang berbirat di belakang tubuhku yang kurus, dululah. Sekarang usah dibandingkan.
            “Aman, marah mama?” tanyaku perlahan.  Cuba berkompromi dengannya sedangkan hatiku rasa nak cubit-cubit aje.  Kecil-kecil sudah pandai melawan dan memberontak.  Tunggu sepuluh tahun lagi, entah bagaimana keadaan dirinya?
            Dia menggeleng.
           “Kalau marah, katakan marah, mama tak akan ambil hati,” kataku.
           “Kenapa mama tak bagi Aman beli telefon cangih macam Apple 4s ke?”
          “Hah? 4s, Apple? Aman tahu tak berapa harganya?  Mama pun pakai Samsung biasa aje.  Aman nak buat apa? Nak cari bahan untuk belajar? Fungsi telefon untuk apa, Aman? Mama dah beri telefon yang boleh Aman gunakan untuk telefon mama, jika mama terlambat datang ambil Aman dan adik-adik. Dalam usia Aman sebesar ini, tidak perlu yang mahal dan canggih seperti tu.  Tunggulah sehingga Aman dah habis belajar, dah bekerja. Ketika itu nak beli yang 6s ke, apa ajelah, mama tak kisah, kerana duit Aman sendiri,” terangku. Biar dia faham.
            Apa fungsi telefon? Sekarang ini dalam dunia serba canggih, semuanya nak cepat mudah.  Penggunaan gadjet yang serba moden dan terkini itu memanglah diperlukan oleh mereka yang bekerja di dalam bidang professional. Bukan budak sekolah. Nanti lebih canggih bahan yang mereka kongsikan. Jangan kata mereka akan kongsi bahan yang baik-baik.  Kita sendiri tahu dan sudah lihat kesannya penggunaan telefon tanpa batasan dan kawalan ini.  Yang si gadis sudah pandai menayangkan apa yang tidak sepatutnya.  Yang si pemuda tercari-cari bahan yang mampu menyeronokkan mata.  Wah! Boleh mati terkejut kita dibuatnya.  Janganlah manjakan anak kita sangat-sangat.  Biarlah berpada dan bertempat.  Biar mereka menangis, jangan kita pula menangis di belakang hari.  Ketika itu sudah tidak berguna lagi. Kalau nak bagi guna juga, ajarilah mereka menggunakan dengan bermanfaat. 
            Lihatlah dimana sahaja, masing-masing dengan telefon di tangan. Di meja makan, ketika dalam kereta, sedang menunggu nak naik bas, naik teksi.  Pendek kata, di mana sahaja, telefon dan kita bagaikan tidak boleh dipisahkan.  Kita sudah kurang bercakap, kita sudah kurang bermesra.  Nenek dan datok mula meluat, ada juga yang mula menyampah.  Apalah nak dikata. Baca FB, baca whatsapp, tengok instragram, tengok twitter, tengok blok.   Terpulanglah pada diri sendiri, jangan sampai kita duduk dalam dunia kita sahaja, sehingga terlupa melihat sekeliling.

            Fitnah juga tidak henti-henti melanda.  Kita ingin jadi manusia pertama yang menyampaikan berita.  Berkongsikan yang baik-baik sahaja.  Usah diganggu orang lain.  Ingat, apa yang kita lakukan, tuliskan, mesejkan akan dinilai di hadapan ALLAH swt nanti. Jadi, berhati-hatilah menggunakan gadjet yang semakin rapat dengan kita kini.  Gadjet itu tidak salah, yang salah adalah kita, bagaimana kita manfaatkan kegunaanya dalam kehidupan kita sehari-hari. 

            Anak-anak semakin leka dan lalai, pelajaran entah ke mana, setiap hari, setiap masa mengadap gadjet yang ada.  Bukan sahaja tengok youtube, malah ada yang sanggup melayar video lucah.  Mudah sahajakan? Semuanya di jari anda. 
        Anak-anak kita pula gunakan untuk merosakkan orang lain.  Mana tidak rosaknya, rakam apa sahaja tidak kira hatta diri sendiri yang tidak senonoh dan langsung tidak sesuai untuk dipaparkan dalam skrin telefon.  Terbelalak mata mak ayah. Waktu itu siapa kita nak salahkan?  Tepuk dada tanya selera.  Semoga kita melakukan yang terbaik buat diri kita dan keluarga.  Wallahu’alam

            “Nak beli juga ke?” tanyaku.
            “Tak payahlah mama. Biarlah Aman belajar dahulu,”  kata Aman mula mengendur.
            Aku menarik nafas lega.  Biarlah dia belajar menghargai apa yang ada.

No comments:

Post a Comment