AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 20 October 2015

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 11



            Tubuhnya dihempaskan di atas sofa.  Terasa lenguh seluruh tubuh memandu seorang diri melawan kesesakan lalu lintas. Siapa suruh balik waktu orang ramai pulang dari tempat kerja.  Salah dirinya sendiri.  Bekal  nasi lemak dan lauk sambal sotong kering sudah diletakkan di atas meja makan. Kejap lagilah dia akan panaskan.  Zaiton pun masih belum pulang dari kerja.  Baiklah dia berehat dan bersantai-santai seorang diri di dalam rumah yang hampir seminggu juga ditinggalkan.  Terasa rindu dengan tilam dan bantal sendiri. 
            Kerja apa yang dia akan lakukan?  Sambung belajar? Ada juga manfaatnya. Kalaulah dia mendengar  nasihat emak dan ayahnya dahulu memilih bidang perubatan, sudah tentu nasibnya tidak jadi seperti hari ini.  Jadi doktor tidak perlu cantik atau lawa.    Inilah akibatnya ikut nafsu dan otak sendiri. Puas berangan dan berfikir, akhirnya dia terlelap juga.
            “Amboi, sedapnya dia tidur senja-senja ni?  Tak tahu ke waktu begini syaitan dan iblis sedang merayap!” bebel Zaiton sendiri.  Dia mendekati   Rose yang sedang enak dibuai mimpi.   Tubuh  sahabatnya digoyangkan.  Terjerit-jerit dia memanggil Rose.  Memang tidur mampus, detik hati kecil Zaiton.  Dia terus ke dapur.  Secawan air sejuk dibawa ke ruang tamu.  Dia menyengih.  Inilah caranya mengejutkan orang yang susah bangun tidur.
            “Hujan! Hujan!” jerit Rose, terkapai-kapai dia bangun dari tidur.  Terpisat-pisat dia memandang sesusuk tubuh berdiri di hadapannya.
            “Banyak kau punya hujan dalam rumah ni?”  Zaiton mencekak pinggang.
            “Kau ni Ton!” Rose mendengus.  Sedap-sedap sedang bermain hujan dengan Shah Rukh Khan, muncul pula gergasi yang tidak diundang.  Dia mencebik.
            “Kenapa tidur di waktu senja ni? Pergi mandi, nanti kita solat sama-sama.  Lepas tu keluar makan.”  Zaiton menyengih.
            “Aku letihlah.  Aku sedang syok main hujan dengan Shah Rukh Khan, tiba-tiba kau muncul.”  Rose mengenyeh matanya.
            “Shah Rukh Khan?  Kasihan kau tengok pelakon tu.  Tentu dia alami mimpi buruk bersama kau!” sindir Zaiton.
            “Apalah punya teruk kawan aku sorang ni, sampai hati kau hina aku, Ton?” 
            “Dah jangan nak berangan. Bai jual roti kalau suka kat kau pun dah kira bagus.  Ini Shah Rukh Khan…  banyak tinggi punya angan-angan hah?”  gurau Zaiton.
            “Kau memang! Kalau tak usik aku tak sah!”  Rose bingkas bangun dan mula menggeletek Zaiton.  Berderai gurau senda mereka berdua.  Kalau orang tengok cara mereka bercakap, sudah pasti ramai yang menyangka mereka bergaduh
            Usai solat maghrib berjemaah, mereka sama-sama makan malam nasi lemak yang dibekalkan oleh Hanum tadi.  Sambal tumis dan nasi lemak di panaskan di dalam microwave.
            “Sedapnya sambal sotong yang mak kau masak ni, terbaiklah,” puji   Zaiton. Berkali-kali dia bertambah sehingga habis sambal tumis sotong kering itu dimakannya.  Siap meratah lagi. 
            “Makanlah, memang mak aku ingat nak bagi kat kau makan.”  Rose tersenyum puas melihat  Zaiton berselera menjamah masakan emaknya. Bangga juga jika ada orang yang memuji masakan emaknya itu.  Memang air tangan adalah terbaik, tiada siapa yang akan menafikannya.
            “Kau balik kampung, mak kau tak tanya ke?”  Zaiton menyuap nasi ke dalam mulut, matanya tertumpu ke arah Rose yang makan pun bagaikan tidak sudi.  Mungkin sudah kenyang atau masih memikirkan nasib dirinya.
            “Mahu tak tanya!  Rasa berdosa pula aku menipu mereka.”  Rose mengeluh.  Bukan ada niat untuk berbohong, tetapi dia tidak mahu orang tuanya susah hati.
            “Habis? Kau bohong merekalah?”  Zaiton  berhenti mengunyah. 
            “Terpaksa,” kata Rose lirih.
            “Terpaksa?  Baiklah kau berterus-terang.  Tak baik menipu orang tua, berdosa!”  Zaiton tidak bersetuju dengan perbuatan Rose. Tindakannya itu akan mengundang masalah nanti.  Apa salahnya berterus-terang, sekurang-kurangnya kedua orang tua sahabatnya itu ada idea apa yang harus dilakukan. 
            “Tak gamak aku nak cakap dengan mereka, aku dibuang kerja.  Tentu kecewa hati mereka.”  wajah sugulnya muncul semula.  Rose mengeluh.  Nasi lemak yang sedap itu bagaika kurang enak di tekaknya. 
            “Yalah… aku faham.  Kalau aku di tempat kau pun, sudah tentu aku bertindak seperti kau juga.”  Terbayangkan wajah mereka saja sudah buat hatiku terluka.  Zaiton menghabiskan nasi di dalam pinggan.  Sudah dua kali dia menambah.  Kalau tiap-tiap hari ada makanan seenak ini, pasti berat badannya naik semula.  Sebagai setiausaha kenalah dia menjaga penampilan diri. 
            “Apa aku nak buat Ton?”  Rose mengangkat pinggan ke singki.  Dia membasuh dan meletakkannya di rak pinggan-mangkuk yang sedia ada.  Menapak kembali ke meja makan. 
            “Cari sajalah kerja di mana-mana.  Tidak kisahlah kerja apapun, asalkan halal,”  nasihat Zaiton.
            “Tengoklah…”  Berat hatinya nak mencari kerja.  Melihat dirinya sahaja, pasti ramai yang menolak.  Memang tidak adil dunia ini, benarkah ada pilih kasih? Hanya mereka yang cantik sahaja diberi peluang?  Dia mendengus kasar.  Mungkin ada majikan yang baik hati di luar sana.  Mungkin juga belum bertemu jodoh dengan majikan yang baik dan mahu menerima dia seadanya.
            “Kenyang betullah perut aku ni, rasa nak pecah saja,”  kata Zaiton sambil mengusap perutnya yang kekenyangan. 
            “Hah! Dah jangan nak jadi ular sawa, lepas tidur membungkang!  Jom jalan-jalan ringankan tubuh kat taman kanak-kanak di bawah,”  ajak Rose.  Dia suka bersantai di taman permAinn yang terdapat di tingkat bawah apartment itu.  Kadangkala ada juga kanak-kanak dan jiran tetangga yang duduk ambil angin setelah makan malam.  Naik buaian yang disediakan membuatkan hatinya tenang pula.  Macam budak kecil.  Kalau siang pasti dia kena halau.  Rose tersenyum sendiri.
            “Ala… malaslah!”  Zaiton malas nak keluar.  Kalau boleh dia ingin melepak sahaja di depan kaca televisyen sambil melelapkan mata.  Sesekali beri televisyen tengok dia pula.  Selama ini hanya dia sahaja yang melihat peti televisyen itu.  Zaiton tersenyum sendiri.  Entah apalah dia merapu.  Apa yang dia tahu matanya sudah mengantuk.  Apalah pula kawan, malam-malam ajak pergi taman permAinn? 
            “Banyak kau punya malas! Mari teman aku…” paksa Rose.
            “Kau ni memang suka main paksa, kan?”  Zaiton mencebik.  Kalau Roselah, tiada siapa mampu berbuat apa-apa.  Entah-entah bukan pasal kulitnya hitam legam itu dia dibuang kerja tetapi perangainya yang suka memaksa itu. Manalah tahu dia memaksa bosnya buat sesuatu yang tidak disukai. Itu sebab bosnya tidak suka dengannya.  Nasib baiklah dia sudah lama mengenali Rose dan sudah masak benar dengan perangai gadis itu.  Tetapi dia tahu, Rose seorang yang baik, jujur dan bertanggungjawab. Cuma… hmmm. Tiada perkataan yang mengalir keluar dari mulutnya.   Mahu atau tidak terpaksalah dia mengikut kenak Rose, kalau ditolak ajakkannya nanti, menangis pula?  Susahlah, siapa nak pujuk?  Zaiton mencebik.  Kawan punya pasal, ikutkan sahaja.
            Usai mengemas meja makan, mereka melangkah keluar.  Daun pintu ditutup rapat. Rose tersenyum riang.  Dia tahu Zaiton tidak akan menghampakannya.

No comments:

Post a Comment