AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 27 October 2015

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 13



Haikal termenung jauh, sejak dia pulang dari luar negara dan menamatkan pelajarannya dia tidak lagi menghubungi Rose, sahabatnya sewaktu di zaman sekolah.  Bukan sengaja, tetapi itulah permintaan Ain yang kini sudah pun sah menjadi tunangannya.  Dia tahu permusuhan Rose dan Ain ketika di zaman sekolah.  Setelah dewasa dan mereka bertemu kembali, Ain semakin cantik di matanya.   Majlis pertunangannya pun Rose tidak datang.  Kalau boleh dia ingin merahsiakan majlis pertunangan tersebut. Manalah dia tahu gadis itu akan pulang ke kampung.  Aduhai…  mati akal jadinya.  Lagipun dia berbaik dengan Rose  sewaktu zaman sekolah  hanya kerana rasa simpati, tidak lebih daripada itu.  Kini, keadaan sudah berbeza.  Adakah dia berasa malu berkawan dengan gadis itu? 
            Kalau dia tidak lagi berhubung dengan Rose, rasanya tiada masalah agaknya.  Namun perasaan simpati tetap timbul di hati. Gadis itu tiada ramai kawan.  Mungkin keadaan fizikalnya itu membuatkan orang sukar untuk mendekati gadis itu.  Bagi dirinya pula, Rose seorang gadis yang baik, pandai dan tidak berpura-pura.  Hubungan mereka terputus sewaktu dia menyambung pelajaran ke luar negara.  Dia sendiri yang tidak berhubung dengan Rose, dia sendiri tidak tahu apa sebabnya.  Cuma tidak ada hati untuk menghubungi gadis itu lagi. Bukan tidak suka, atau membenci. Entahlah… dia sendiri tidak tahu sebabnya. Mungkin kesibukan belajar dan ingin menumpukan perhatian pada pelajaran membuatkan dia membataskan hubungannya dengan Rose.  Gadis itu pun tidak pernah menghubunginya sehinggalah mereka bertemu baharu-baharu ini. Pertemuan yang tidak disangka-sangka.  Dia mengeluh berat.
            “Jauh menung dan asyik mengeluh saja mak tengok?  Ada masalah ke?”   Hajah Mona duduk di sisi Haikal, satu-satunya anak yang dia ada.  Arwah suaminya sudah lama meninggal, sejak Haikal berusia sebelas tahun.  Sekarang sudah berusia 23 tahun.  Wajah Haikal yang saling tidak tumpah seperti arwah suaminya. Kulit putih kuning, hidung mancung.  Tinggi lampai, badan sederhana besar. Tidak kurus dan tidak terlalu gemuk, sedap mata memandang.  Kening anak bujangnya itu juga lebat.  Tiada sebarang kumis menghiasi wajah anaknya itu.
            “Tak adalah mak, saja memikirkan hal kerja,” luah Haikal.  Tidak mahu emaknya mengetahui masalahnya dengan Rose. 
            “Dah jumpa dengan Rose?  Semalam dah tak datang.  Dia merajuk dengan Haikal ke?” wajah cemberut anak bujangnya menjadi renungan matanya.
            “Dia dah balik ke Kuala Lumpur mak,” beritahu Haikal.
            “Ooo… tak sempat mak nak jumpa dia, rindu pula nak dengar celotehnya. Haikal… mak tahu tentu Haikal serba-salah, kan?  Ain tu musuh ketat Rose.  Rose pula, sahabat Haikal.  Kena jaga hati dan perasaan  isteri, faham maksud mak?”  Hajah Mona tidak mahu Haikal terlalu melebihkan perasaan Rose sehingga menyakitkan hati Ain.  Bukanlah dia tidak suka dengan Rose tetapi dalam keadaan dan situasi seperti itu, Haikal kena memilih.
            “Apa ke situ pula yang mak fikir?  Rose tak pernah ganggu Haikal. Ain pula… macam biasa tetap membenci Rose.  Tahulah saya mak.  Jangan bimbang ya?”  Haikal tersenyum.  Macamlah dia tahu apa nak dilakukan.  Puas dia memujuk Ain agar dapat menerima Rose sebagai seorang kawan.  Ain masih berkeras tidak mahu menerima.  Dia tidak mampu berbuat apa-apa.  Biarlah Rose melalui hidupnya sendiri. 
            “Bila nak balik Kuala Lumpur?”
            “Esok kut mak. Kalau cuti lama-lama, banyak pula kerja yang tertangguh.  Mak jaga diri ya.  Kalau mak berhenti mengajar awalkan bagus, boleh ikut Haikal ke Kuala Lumpur.”   Ajak Haikal.
            “Hish, tak naklah.  Sekurang-kurangnya duduk di kampung ni banyak aktiviti yang boleh mak lakukan.  Biarlah mak di sini.  Haikal sesekali baliklah, atau seringlah telefon mak.” 
            “Insya-ALLAH mak. Itulah mak, Haikal suruh mak nikah lagi, tak nak?”  duga Haikal.  Sejak arwah ayahnya meninggal, hati emaknya bagaikan tertutup untuk bernikah lagi.  Hidup emaknya hanya terisi untuk dirinya sahaja.  Nasib baik emaknya bekerja ketika itu.  Emaknya seorang guru, sekarang pun masih mengajar, tinggal beberapa tahun lagi akan pencen. 
            “Tak naklah…  dah selesa hidup begini.  Tak perlu jaga makan minum orang lain.  Boleh tidur lena tanpa gangguan,” kata Hajah Mona sambil menyengih.  Bukan dia tidak mahu berkahwin lagi tetapi hatinya tertutup untuk mana-mana lelaki.  Dia lebih suka bersendiri.  Lebih aman dan terasa damai di hati.  Dia boleh berbakti dan membantu orang lain.  Kesibukannya dengan persatuan sekolah dan di kawasan kampungnya membuatkan hidupnya tidak pernah sunyi. Dia benar-benar bahagia, apatah lagi melihat kejayaan satu-satunya anak lelaki penyambung   kasih antara dia dan arwah suaminya.
            “Duit gaji kenalah mula simpan sedikit demi sedikit.  Kendurinya hujung tahun ni.  Mak takut tak cukup pula duit untuk hantaran. Bukan sedikit jumlah yang diminta oleh pihak perempuan,” pesan Hajah Mona.  Dia tidak mahu anak bujangnya boros berbelanja. Sudah boleh mula memikirkan untuk masa hadapan.  Sudah bakal bergelar suami orang.  Bukan dia tidak boleh membantu, tetapi dia mahu Haikal menjadi lelaki yang bertanggungjawab.
            “Insya-ALLAH mak. Nanti Haikal masukkan ke dalam akaun mak.  Kalau simpan sendiri, takut terbelanjalah pula.” Sengih Haikal.  Dia seorang yang boros berbelanja.  Duit gaji yang diperolehi tidak pernah bersisa.  Kalau tidak kerana emaknya berkeras suruh dia menyimpan, jangan harap dia akan menyimpan.
            “Haikal tak pernah jumpa Rose di Kuala Lumpur ke?” 
            “Tak pula mak. Nombor telefon dia pun Haikal tak ada,” terang Haikal. 
            “Pergilah rumah Mak Cik Hanum, tanyakan nombor telefon Rose,”  suruh Hajah Mona.
            “Nantilah mak.  Petang ni ada Haikal nak jumpa Ain sebelum balik KL esok” 
            “Kau orang kerja di negeri yang berlAinn.  Kenalah jaga diri baik-baik.  Haikal pun janganlah sesuka hati keluar dengan perempuan lain.  Kena ingat, awak tu dah bertunang, bakal jadi suami orang,” nasihat Hajah Mona.  Dia tidak mahu Haikal curang atau bermain kayu tiga di belakang Ain.  Itu menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab.  Sebagai orang tua, dia perlu mengingatkan dan berpesan agar Haikal tidak tersalah langkah.
            “Baik mak.  Haikal ingat pesan mak tu.” Itulah sikap terpuji yang ada dalam diri emaknya.  Terlalu memikirkan orang lain.  Bagaimana pula jika Ain curang kepadanya?  Dia tersenyum sendiri.  Terlalu jauh dia berfikir.  Nau’zubillah, semoga perkara itu tidak berlaku.  Baik dirinya atau Ain sendiri.  Hubungan mereka terlahir atas dasar cinta, suka sama suka.  Semoga kukuh dan utuh sehingga ke akhirnya

No comments:

Post a Comment