AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 18 October 2015

IBU BAPA DAHULU, IBU BAPA SEKARANG






Assalamualaikum.

Hari ini menerima kunjungan sahabat suami bersama isterinya. Isterinya kebetulan seorang guru besar di sebuah sekolah di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Katanya, dia telah minta pencen awal, kerana tidak sanggup menghadapi keadaan sekolah sekarang ini. Kenapa? Hanya mereka yang bergelar pendidik faham dan mengerti.

Siapa yang ajar kita membaca, menulis dan mengira? Tentulah CIKGU, bukan? Kita ke sekolah, ayah dan ibu kita bukan seorang yang berpelajaran, mereka serahkan sepenuhnya pendidikan kita kepada cikgu atau guru kita di sekolah. Memohon dan merayu agar kita dididik menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Kita tidak berani mengadu jika kita dipukul atau didenda. Jangan haraplah kedua orang tua kita akan simpati. Biar dicubit sehingga keluar isi perutpun, cikgu tetap dihormati. Kata-kata seorang guru diguna pakai oleh orang tua kita. Kata-kata guru menjadi azimat untuk melihat kita berjaya. Mereka menyanjung guru-guru kita. Mereka mengucapkan jutaan terima kasih apabila kita pandai membaca, mengira dan menulis.

Guru kita seorang yang garang, kita takut untuk bersemuka, angkat muka pun tidak berani. Rotan sentiasa di tangan, paling tidak bulu ayam sentiasa dibawa ketika masuk ke dalam kelas, bukan untuk membuang habuk, itulah rotan yang akan hinggap di tubuh jika kita membuat salah, tetapi pernah kita kira kira berapa kali hinggap di badan? Berapa tulang belulang kita yang patah riuk? Berapa birat kesan pukulan itu di badan? Kerana mereka yang garang, mendidik, memukul, menegur. Bukankah kerana seorang guru kita menjadi doktor, peguam,  pensyarah, dan sebagainya?  Memang, mereka tetap jadi cikgu. Janganlah kita jadi manusia yang lupa diri, lupa daratan dan lupa akan jasa mereka yang pernah mendidik kita.  Adakah salah didikan mereka terhadap kita?  Kerana kita pernah dipukul, pernah didenda, pernah dimarahi... . APA KITA JADI HARI INI?

Sekarang, zaman telah berubah. Kita menjadi ibu bapa yang mempunyai pendidikan tinggi, paling sengkek pun kita ada SPM atau STPM, paling canggih PHD. Sistem pendidikan berubah, kerana seorang pelajar yang dipukul guru, cedera maka seluruh sekolah di Negara ini tidak membenarkan para pelajar dirotan, dicubit pun tidak boleh.Buat kerja rumah, siap atau tidak, juga tidak boleh ditegur. Jangan sesekali marah, jangan sesekali rotan. Akan sampailah surat saman, atau surat layang kepada PPD atau kepada Guru Besar. Guru-guru semakin kurang semangat untuk mengajar kerana mereka tidak boleh menegur, mereka tidak boleh mendenda jika para pelajar mereka tidak buat kerja sekolah.

Kita mudah melenting, kita mudah marah jika anak kita didenda, anak kita dipukul atau anak kita dicubit. Kita mudah hendak saman sekolah, kita tidak memberi HAK kepada guru-guru untuk MENDIDIK ANAK-ANAK kita, Lihatlah hari ini, berapa ramai anak-anak tercicir dalam pelajaran? Berapa ramai para pelajar tidak lagi berminat pergi ke sekolah, berapa ramai pula yang tidak lagi menghormati guru-guru yang ada. Kita melahirkan pelajar yang tidak lagi menghormati orang tua, guru-guru dan institusi pendidikan. Sewenang-wenangnya guru-guru dihina dan dicaci oleh para pelajar mereka sendiri tanpa segan dan silu.

Siapapun kita, besar mana pun pangkat dan darjat kita. Anak-anak kita perlukan didikan, perlukan pelajaran. Siapa yang mampu mendidik mereka? Kita? Kesibukan kita bekerja siang dan malam mencari duit untuk keperluan keluarga membataskan kita untuk mendidik anak-anak kita sendiri. Jadi? Siapa yang lebih sesuai mendidik mereka? Tentulah GURU-GURU di sekolah. Tugasan pihak kementerian yang dibebankan kepada pada pendidik ini membuatkan mereka tidak punya banyak masa dan ruang untuk melihat anak-anak kita. Ditambah dengan sikap kita pula yang terus mengecilkan kebolehan dan peranan sebenar para GURU-GURU ini dalam melahirkan generasi yang berilmu, beramal, beradab dan berakhlak. Marilah kita kembali seperti kedua orang tua kita dahulukala. Menyerahkan pendidikan anak-anak kita kepada GURU-GURU yang ada. Mereka berhak diberi peluang mendidik dan mengajar anak-anak kita.

Jangan biarkan generasi kita terus menjadi generasi yang tidak beradab, berilmu dan berakhlak kerana sikap ego kita yang telah pun memakan diri tanpa kita sedari. Tepuk dada, tanya selera.



2 comments:

  1. Dulu ibu bapa akan menyinga kalau anak-anak nak jadi pelakon atau penyanyi tetapi sekarang ibu bapa turut bersorak sehingga meleleh air mata kegembiraan melihat anak 'berteriak-teriak di atas pentas.

    ReplyDelete
  2. benar Sharifah. Hiburan bagaikan satu kebanggaan pula. Seronok tengok anak-anak jadi artis.

    ReplyDelete