AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 11 October 2015

IKATAN KASIH - BAB 10



Rabeta menghempaskan tubuhnya di atas katil. Hilang rasa gembira dibebaskan dari penjara. Mungkin, terlalu tinggi harapannya.  Rupanya orang sepertinya tidak diperlukan kembali dalam keluarga.  Tidak penting, malah banyak menyusahkan. Pedihnya hati, hanya ALLAH SWT yang tahu.  Sakitnya hati, sehingga tiada kata-kata yang mampu diluahkan.  Hanya tangisan dan air mata  menjadi peneman yang setia. Kehadirannya langsung tidak disambut, layanan yang diterima seperti dia adalah orang asing.  Tiada lagi kemesraan antara mereka.  Kalaulah begini jadinya, biarlah dia tinggal sahaja di penjara seumur hidupnya.  Biar terseksa hati dan jiwa, namun dia sedikit tenang dan tidak   berserabut seperti sekarang. 
            Air mata mengalir lagi. Rawan di hati biarlah dia tanggung sendiri.  Kepulangannya tidak dirai, buat apa berlama di sini.  Dia tidak lagi diperlukan dalam hidup mereka.  Sudah hilang  kemesraan antara mereka, sudah hilang rasa kasih dan sayang yang bersemi di hati. Tiada lagi gelak ketawa mereka bersama.  Semuanya hambar, sepi dan sunyi.
            “Eta!” panggil Hajah Kemboja yang sudah pun melangkah masuk ke dalam bilik yang tidak berkunci.
            “Mak?”  Rabeta bingkas bangun. Dia terlupa mengunci pintu.  Duduk di birai katil.
            “Eta jangan ambil hati dengan sikap ayah, berilah ayah masa ya?  Ayah kata Eta bergaduh dengan Ram, jangan berkecil hati ya?”  nasihat Hajah Kemboja.
            “Tak mengapalah mak, Eta akan belajar menyesuaikan diri,”  ujar Rabeta, sekadar ingin menyedapkan hati emaknya sahaja.  Tidak mahu emaknya  turut bersedih dengan apa yang  berlaku.  Cukuplah 15 tahun dia menghancurkan perasaan keluarganya.  Dia ingin membina hidup baharu, di mana, dengan siapa, hanya ALLAH jua yang akan tentukan.  Tidak pernah terlintas langsung dalam fikiran, keluarga sendiri tidak dapat menerima kehadirannya, hanya kerana dia banduan dan bekas penjenayah. 
            “Eta, sabar ya,”  pujuk Hajah Kemboja.  Dia dapat merasakan apa yang sedang bermain dalam fikiran anak perempuannya itu. Hati keibuannya turut tersentuh melihat wajah duka yang sedang duduk menghadapnya.  Mahu sahaja dia menceriakan hidup anak perempuannya itu.  Ingin sahaja dia berkongsi duka dan lara Rabeta. 
            “Mak, Eta cuma minta satu saja daripada mak.  Mana anak-anak Eta? Mereka masih tinggal di rumah lama kami ke? Mak tahu tak, mereka berada di mana?  Eta nak sangat bertemu mereka.”  Wajah anak-anaknya ketika waktu kecil masih mampu dibayangkan.   Tentu sekarang mereka sudah meningkat remaja.  Rindu yang bersarang di dada selama 15 tahun, merentap sanubarinya.  Ingin benar dia memegang, memeluk dan mencium mereka.  Di mana mereka berada? 
            “Eta, mak faham perasaanmu, nak. Mak tak mampu berbuat apa-apa. Kamil dah pesan, jangan beritahu Eta di mana mereka berada.  Eta, lupakanlah mereka. Ya?”  pinta Hajah Kemboja.  Itulah pesanan bekas menantunya sewaktu datang menghantar surat cerai 15 tahun dahulu.  Anaknya juga telah dijatuhkan nusyuz oleh bekas menantunya, bermakna enaknya tidak boleh menuntut hak penjagaan anak-anak.  Kalau Rabeta berkeras juga ingin berjumpa, terpulang kepada budi bicara bekas menantunya itu.
            “Mana boleh mak?  Mereka anak-anak Eta!  Cuba mak bayangkan, mak duduk di tempat Eta.  Apa perasaan mak?  Macam mana mak rasa, jika ayah tidak benarkan emak bertemu kami?” Luka di hati semakin parah jadinya.  Kenapa haknya sebagai seorang ibu, dinafikan?  Biarlah dia diceraikan takal tiga sekalipun, tapi hak penjagaan anak-anak atau pun berilah dia peluang bertemu mereka.  Hatinya telah dihancurkan dengan kejam sekali.  Terluka dan berdarah.  Kejamnya mereka.
            “Eta boleh kahwin lagi, lahirkan anak seramai mana pun.  Eta tak payahlah ganggu anak-anak Eta dengan Kamil. Biarkanlah mereka.  Lagipun mereka pun tak ingatkan Eta.” Hajah Kemboja menunduk.  Tidak tergamak memandang wajah Rabeta yang penuh dengan air  mata.  Hancur luluh hatinya melihat tangisan anak perempuannya itu. 
            “Mak cakap apa ni? Mak, tengok Eta ni.  Umur Eta  dah 40-an mak.  Lagipun siapalah yang nak kahwin dengan bekas banduan?  Mana anak-anak Eta, mak? Mana mereka?”  Semakin laju air matanya mengalir.  Semakin terhimpit rasa kedukaan yang bersarang di hati.
            “Eta… pergilah dari sini, mak tak nak lagi tengok Eta dicaci, dihina dan dikeji.  Mak bagi duit untuk Eta mulakan hidup baharu.  Eta carilah negeri mana pun. Tapi jangan lagi tinggal di sini.  Mak rayu, nak…” rayu Hajah Kemboja.  Dia terpaksa, demi kebaikan anaknya juga.  Dia tidak mahu melihat Rabeta terusan dihina oleh bekas mertuanya, bekas suami dan orang-orang kampung.  Dia tidak  mahu Rabeta menderita di rumah itu, apatah lagi bila mendapat tahu, anak-anaknya tinggal berhampiran sahaja.
            “Mak halau Eta?  Sudah hilang ke rasa kasih dan sayang emak pada Eta?  Kenapa semua orang membenci Eta?  Eta tak salah mak!  Bukan Eta yang mencederakan Abang Kamil.  Percayalah mak!”  Tangisannya semakin kuat.  Berkali-kali dia menjelaskan, malah kepada peguamnya, kepada pendakwaraya, kepada hakim juga.  Namun semua seperti memekakkan telinga.   Bukti ada, dan bukti itu menunjukkan dia bersalah.  Hanya kerana cap jarinya ada di pisau itu.  Ah! Bodohnya dia.  Kalaulah dia tidak memegang pisau tersebut!  Akhirnya, merengkoklah dia di dalam penjara selama 15 tahun. 
            “Eta!” Hajah Kemboja terkedu.  Kata-kata Rabeta mencincang lumat hatinya menjadi kecilan kecil.  Dicampakkan ke dalam sekumpulan buaya yang sedang kelaparan.  Terasa jantungnya seperti dirobek, dimamah tanpa perasaan.  Tangisannya pecah juga.
            “Kalaulah emak dan ayah tidak lagi suka Eta terus tinggal di sini.  Baiklah.  Eta akan pergi dari sini.  Eta juga tak sanggup tengok emak, ayah dan adik Ram bermasam muka, muram dan tiada keceriaan di hati masing-masing.  Kepulangan Eta hanya membawa duka di dalam rumah ini.  Eta sedar sekarang, siapalah Eta kini.”  Air mata yang mengalir tidak mahu berhenti.  Terlalu sedih, perit dan sakit hatinya.  Hatinya hancur lumat.  Tidak mampu diubat lagi.  Siapa yang kejam sebenarnya?  Dia tidak mahu menyalahkan sesiapa. 
                        Di luar bilik, Haji Ismail terdengar perbualan anak dan isterinya dengan hati yang lara.  Dia sendiri serba-salah.  Kalau boleh, dia ingin Rabeta terus tinggal di rumah itu. Ingin berbual, bermesra dan saling bergurau seperti suatu masa dahulu.  Tetapi, entahlah, dia terasa canggung dan kekok.  Perasaan hambar merasuk diri.  Tiada niat ingin berlaku kejam terhadap anak sendiri, apa yang dia lakukan demi diri anaknya juga.  Cukuplah 15 tahun menyulam duka.  Pergilah dari sini, carilah kegembiraan di luar sana.  Di kampung ini, semua itu sudah tiada.  Yang ada hanyalah kebencian dan dendam yang bertahta di hati mereka. Air mata lelakinya gugur juga.
            Keluhan dilepaskan keras.  Langkah di atur ke tingkat bawah.  Tidak sanggup lagi mendengar rintihan kedua beranak itu, di sebalik pintu yang tidak tertutup rapat.  Setiap butir bicara keluar laju menyinggah telinganya.  Tangisan Rabeta menyiat-nyiat hatinya.  Haji Ismail duduk di kaki tangga,  di pintu hadapan rumahnya.  Dia termenung jauh.
            “Tok!” sapa seorang gadis manis, berdiri di hadapannya dengan senyuman yang terukir.
           
            “Ri… Riyana?”  Haji Ismail mengeluh keras.  Kenapalah gadis ini tiba di waktu yang tidak kena.  Keadaan di atas sedang bercelaru.  Apa yang harus dia lakukan? Halau Riyana balik?  Atas alasan apa?  Cucunya itu suka bertanya, jika ada sesuatu yang tidak kena di matanya.  Jenuhlah dia hendak menjawab setiap persoalan yang akan keluar daripada mulut gadis itu.
            “Nenek Kemboja mana?”  Nenek kata nak ajar Riyana masak kuih seri muka hari ni.  Itu sebab Riyana datang,”  terang Riyana sebab kehadirannya di rumah itu.
            Haji Ismail terdiam.  Wajah cucunya yang polos, lembut saling tak tumpah wajah Rabeta direnung dengan mata berkaca.  Cepat-cepat dia menghalang air mata daripada mengalir.
            “Mama Chah dan ayah tahu ke Riyana datang sini? Kenapa hari ini tak sekolah?” tanya Haji Ismail, tidak tentu arah jadinya.  Kalaulah Rabeta tahu siapa gadis manis ini, tentu kecoh jadinya.
            “Tentulah tahu, kenapa ni tok? Lain macam aje muka tok.  Tok demam ke?” Riyana duduk di sebelah Haji Ismail.  Dia memicit tangan Haji Ismail.
            “Kalau tok tak sihat, cakaplah.  Mungkin Riyana boleh minta tolong ayah bawakan ke hospital atau klinik,” kata Riyana, wajahnya masih lagi manis dan ceria. 
            “Eh… mana ada?  Atok sihat aje.  Mungkin atok letih sangat, agaknya,”alasan Haji Ismail. Wajah manis dan ceria itu pernah menjadi milik Rabeta suatu ketika dahulu, kini tidak lagi.  Wajah anak perempuannya telah bertukar, suram, tidak ceria, berserabut dan dahinya asyik berkerut.  Terlalu banyak perkara agaknya bermain di dalam fikiran anak perempuannya.
            “Ya ke?  Atok lupa makan ubat darah tinggi ya? Nenek mana? Tak nampak pun?”  Riyana menjengahkan kepalanya. Matanya tercari-cari kelibat Hajah Kemboja.  Neneknya ke mana?  Takkan seawall begini sudah keluar ke mana-mana.  Hendak ke mana? Keluar dengan siapa?  Atok ada di rumah?  Dengan Pak Su Ram? Tak mungkin, ini hari bekerja?  Pelbagai persoalan bermain di benaknya. 
            “Nenek keluar jumpa kawan dia, entah pukul berapa balik agaknya.  Riyana baliklah dulu, datang esok ajelah. Mungkin nenek lupa janji dia dengan Riyana,”  kata Haji Ismail, menghalau dengan cara berhemah. 
            “Ala tok ni? Takkan Riyana nak balik pula?  Macamlah tak biasa.  Riyana tunggu neneklah.  Mungkin kejap lagi, baliklah tu.”  Riyana kurang senang dengan sikap Haji Ismail hari ini.  Selalunya beria-ia datoknya suruh dia tidur di situ, duduk lebih lamalah.  Hari ini berubah pula.  Seperti tak sabar menyuruhnya balik.
            “Eta… jangan pergi nak!” pujuk Hajah Kemboja.  Tadi dia juga yang menyuruh anaknya keluar dari rumah itu. Kini, dia menghalang pula. Mahu pening kepala anaknya nanti,  Dia sendiri serba salah. Tangan Rabeta cuba ditarik.
            Rabeta sudah tidak peduli dengan apa yang bakal berlaku. Tiada siapa yang mahu menolongnya. Mahu menerimanya.  Biarlah dia pergi.  Biar ALLAH tentukan di mana dia perlu tinggal.  Dia telah mengisi pakaiannya ke dalam beg yang kecil, mudah untuk di bawa.  Tidak perlu membawa banyak pakaian.  Seadanya sahaja.  Dia sendiri tidak tahu harus ke mana? Ikutlah langkah kakinya nanti. Buku simpanannya juga telah disimpan ke dalam beg pakaiannya.  Duitnya sendiri,  duit emak dan ayahnya yang menerima pencen  langsung tidak pernah menyentuhnya.  .
            Langkah mereka terhenti.  Kedua-dua saling berpandangan.  Riyana dan Haji Ismail sendiri terkedu.   Masing-masing tidak berganjak dan tidak bergerak.  Kaku, terkejut dan tidak tahu apa yang  harus mereka katakana.
            “Nenek? Tadi atok kata, nenek tak ada di rumah. Atok suruh Riyana balik, nasib baik tak ikut cakap atok,” Riyana menepuk lengan Haji Ismail. 
            “Ri… Ri… Riyana?”  kepalanya terteleng memandang wajah gadis manis yang duduk di sisi ayahnya.  Nama gadis itu sama seperti nama anak bongsunya.  Apakah gadis itu, anaknya?  Atau kebetulan, nama mereka sama?  Rabeta memandang wajah emak dan ayahnya silih berganti, meminta jawapan daripada mulut mereka berdua.  .
            “Riyana anak siapa?” tanya Rabeta. Air mata yang berbaki di mata dan pipi sudah dilap bersih.  Dia tidak mahu gadis itu melihat dia dalam keadaan bersedih.  Emaknya pula berdiri kaku di ruang tamu itu.  Ayahnya pula bagaikan selesa duduk di kaki tangga.
            “Riyana, pergi balik dulu, cu.  Esok datang  balik,” pinta Haji Ismail. Dia tidak mahu Rabeta terus ditimpa kesedihan.
            “Ayah!  Riyana anak siapa?” soal Rabeta.  Panas hatinya.  Terasa menggelegak jiwanya.  Kenapa ayah dan emaknya membisu?  Apa yang ingin mereka rahsiakkan daripadanya? 
            “Nama saya Riyana, nama ayah saya Kamil, nama mama, Habsah.  Mak cik kenal ke ayah Riyana?” soal Riyana kembali setelah memperkenalkan diri.
            “Anak Kamil?  Siapa naka emak Riyana tadi?”  Rabeta mula mendekati.  Wajah bersih itu menjadi santapan matanya.  Dibelek dan diteliti. 
            Haji Ismail cuba menghalang Riyana dari terus bercakap. Kenapalah cucunya itu berada di situ, diketika itu?  Dia mengeluh keras. 
            “Nama mama Riyana, Habsah, atau mama Chah,” jawab Riyana tanpa mensyaki apa-apa/
            “Habsah? Chah?  Habsah mana mak?  Anak pak long ke?  Abang Kamil dah kahwin lain? Kahwin dengan anak pak long?” soal Rabeta bertubi-tubi.  Terasa lemah lututnya.  Cepat-cepat dia duduk di sofa.  Matanya berkaca semula.   Sejak dia balik, banyak sangat kejutan yang diterima. Untung jantungnya sihat. Kalau tidak sudah pasti dia rebah kerana terlampu terkejut.
            “Eta!” Hajah Kemboja mendekati Rabeta yang sudah mula menangis lagi.  Sejak dia balik, hanya air mata yang dijamu.  Penat dan letih rasanya.  Kalau boleh dia sendiri tidak mahu lagi menangis.  Cukuplah bertahun-tahun dia menangisi hidupnya sendiri.
            Rabeta mendekati gadis manis yang sudah pun duduk di sebelahnya.  Ayahnya suda menjauhkan diri.    Wajah gadis itu menjadi tilikan matanya.  Dia menggeleng.  Anak sendiri di hadapan mata, dia tidak kenal?  Berubah sungguh wajah anak itu. Maklumlah sewaktu di tinggalkan gadis itu baharu sahaja setahun.  Hanya beberapa hari sahaja lagi mereka sekeluarga akan meraihkan sambutan ulang tahun.  Pada hari pertama dia melangkahkan kaki ke rumah itu. Dia sudah disambut oleh gadis itu. Padanlah emaknya menghalau dia pergi dari rumah itu.  Dia cuba memahami kehendak mereka.  Kenapa berahsia sangat?  Apa kena mengena perempuan itu  dengan dirinya?
            “Eta tak minta banyak, Eta hanya minta untuk berjumpa dengan anak Eta aje.  Tak kiralah mereka ingat Eta atau tidak, sudi atau tidak.  Mak, ayah… Eta berhak tengok mereka, kan mak?”  Rabeta merenung wajah emaknya yang sudah basah dengan air mata.
            “Eta, jangan kusutkan lagi masalah yang ada.  Biarlah bekas suami Eta hidup bahagia dengan anak-anaknya.  Biarlah mereka hidup aman damai.  Mereka tak perlukan Eta lagi,” pujuk Hajah Kemboja.  Kenapalah keras sangat hati anaknya itu.  Sukarkah untuk dia memahami kedudukan yang sebenar?
            “Bagaimana dengan Eta?  15 tahun masa dan waktu Eta dirampas begitu sahaja.  Mak dan ayah tak kasihan ke dengan Eta?”  Rabeta memandang silih berganti wajah kedua orang tuanya yang kelihatan serba-salah.  Apatah lagi dirinya, bukan ada niat hendak menjadi anak durhaka, berkasar terhadap orang tua sendiri. Tetapi dia berhak tahu.  Riyana pula berdiri kaku merenungnya bagaikan orang bingung.
            “Erk… ada masalah ya? Riyana minta diri dululah.  Nanti Riyana datang balik,”  kata Riyana bagaikan orang bersalah.  Dia kurang senang dengan situasi yang sedang berlaku.  Keadaan yang dia langsung tidak faham.  Kenapa mak cik itu menangis, dia tidak tahu.  Kenapa wajah atok dan neneknya muram, langsung dia tidak tahu.  Sebelum keadaan menjadi lebih gawat, lebih baiklah dia berlalu pergi.  Urusan orang tua-tua, budak-budak jangan masuk campur, detik hati kecilnya. 
            “Pergilah balik!” halau Haji Ismail dengan nada lembut.  Kalaulah Riyana membuka soalan, habislah, akan bocor semua perkara.  Riyana tidak tahu dia mempunyai mama lain selain Habsah. Sengaja mereka merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan Riyana.
            Rabeta terkedu melihat Riyana mengayuh  basikalnya laju meninggalkan rumah itu, sebelum sempat dia bertanya lanjut.  Wajah kedua orang tuanya pula…  hanya keluhan yang mengalir keluar.
***
            Itulah kali terakhir dia bertemu Riyana, anaknya dan kedua orang tuanya. Mereka tetap di hati.  Sudah lama dia tidak menghubungi mereka.  Perlukah?  Sedangkan mereka yang menghalau dia keluar dari rumah.   Rajuk masih bersisa, marah masih berbaki, hatinya masih terluka dengan apa yang terjadi.  Pergilah jauh-jauh kenangan lama, biar diukir kisah baharu di dalam hidupnya.

No comments:

Post a Comment