AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 12 October 2015

IKATAN KASIH- BAB 11



Rabeta melutut di tepi katil, sekujur tubuh yang kurus, kelihatan amat lemah dan tidak berdaya.  Berderai air matanya. Rambut yang kusut masai, berbau hapak, pakaian yang lusuh, tidak berbantal. Terbaring kaku. 
            Fakhrul pula memeriksa sekitar bilik tersebut.  Tiada apa yang dijumpai, melainkan sisa makanan yang bertaburan. Berkulat dan busuk. Hamis dan meloyakan tekak.
            “Kak Naz!” panggil Rabeta perlahan. Ya ALLAH! Sebak dadanya. Kenapa begitu teruk keadaan Nazatul. Zaheer memang kejam! Mahu sahaja dia meraung sekuat hatinya. Melepaskan rasa marah yang membuak.
            Fakhrul menerpa, mendekati. Dia cuba membuka rantai besi yang mengikat kaki dan tangan Nazatul. Rabeta masih menangis. Tidak tergamak melihat apa yang terpampang di hadapannya. 
            “Eta! Kau ke tu?” suara Nazatul terketar-ketar.
            “Syyy…”  Rabeta menekup mulut Nazatul. Dia tidak mahu suara mereka didengari oleh para pengawal yang menjaga di luar. Mereka masih perlu berhati-hati.
            “Boleh buka tak, inspektor?” tanya Rabeta.
            “Eta, kita tak boleh bawa Kak Naz keluar, saya rasa, dia tak mampu nak panjat bukit tu. Saya rasa, kita tunggu hingga saya dapat waran geledah. Kalau kita bawa Kak Naz keluar sekarang, saya takut pengawal-pengawal itu akan sedar,”  jelas Fakhrul. 
Bukan mudah membawa Nazatul keluar, melihat keadaannya sekarang yang lemah dan tidak berdaya. Mana mungkin dibawa keluar. 
            “Habis tu? Takkan kita nak tinggalkan Kak Naz di sini?” Rabeta tidak berpuas hati. 
            “Eta, tujuan kita hanya nak pastikan Kak Naz memang ada di sini. Nanti kita datang balik, saya janji. Percaya pada saya, okey?” Fakhrul memandang wajah Nazatul, walaupun dalam keadaan samar-samar, tapi jelas di pandangan matanya, wajah cengkung dan tidak terurus itu. 
            “Kak Naz!” Rabeta memeluk tubuh kurus kering itu.
            “Pergilah Eta. Nanti datanglah semula. Akak tunggu di sini, ya.” Nazatul cuba tersenyum.
            “Kak! Sampai hati Zaheer, sanggup dia buat akak macam ni?”
            “Jangan menangis, dik!  Zara macam mana?”
            “Alhamdulillah kak…” jawab Rabeta. Air matanya semakin laju mengalir. Tidak mampu menahan sebak di dada.  Tidak mampu menahan rasa sedih yang bersarang. Binatang pun ada perikebinatangannya, inikan manusia.
            “Terima kasih sebab jaga Zara untuk akak,”  Nazatul mengenggam erat jari jemari Rabeta. 
            “Akak kena kuat ya, nanti kami akan datang selamatkan akak,” janji Fakhrul. 
Dia sendiri berasa hiba melihat keadaan Nazatul. Banduan di dalam penjara pun lebih baik keadaan mereka. Ini kerja manusia yang tidak ada hati perut.  Kejam!
            “Terima kasih inspektor.” Nazatul mengangguk perlahan.
            “Eta, kita kena keluar sekarang,” ajak Fakhrul.
            “Kak!” Hatinya berat untuk meninggalkan Nazatul. Keadaan sahabatnya itu benar-benar menyayat hati.   
            “Pergilah!”  suruh Nazatul. 
            “Kami akan datang kembali kak.” Sekali lagi Fakhrul berjanji.  Dia akan datang dengan pasukan polis pula. Dia perlu menyelamatkan Nazatul. Dia tidak akan membiarkan Nazatul terus diseksa begini.
            “Inspektor, saya diberi dadah setiap hari. Tolong selamatkan saya cepat ya, ketagihan saya sudah sampai ke tahap maksima. Tolong ya!” rayu Nazatul.
            “Ya ALLAH! Iblis kau Zaheer!” Rabeta mengetap bibir. Kenapalah Zaheer tidak mati sahaja.
            “Syyy…” amaran Fakhrul.
 Dia tahu Rabeta marah, tetapi janganlah terlalu kuat, tidak pasal-pasal M16 yang menjawab nanti. Bukannya dia takut tetapi keselamatan Nazatul lebih utama. Dia tidak mahu Zaheer atau orang-orangnya perasan akan kehadiran mereka. Jika mereka mengetahui tempat persembunyian mereka diketahui, sudah pasti mereka akan berpindah lagi. 
            Rabeta menekup mulutnya. Geram mencanak-canak dalam hati. Rasa hendak dikuburkan Zaheer hidup-hidup. Bukan sahaja hendak diletupkan dengan bom C4, kalau boleh dengan bom nuklear, biar hancur berkecai dan tidak bersisa di bumi. Kalau  bumi boleh bercakap, bumi pun pasti tidak mahu menerima orang seperti Zaheer. Perosak bangsa, agama dan negara.
            “Jom Eta!” ajak Fakhrul.
            “Kak…  saya balik dulu, akak jaga diri, kuatkan hati dan semangat akak. Kami akan datang balik  selamatkan akak,”  janji Rabeta pula.
            “Eta, kalau terjadi apa-apa pada akak, jaga Zara ya,” pesan Nazatul.
            “Tak ada apa-apa akan jadi pada akak. Insya-Allah. Akak perlu kuat, jangan fikir yang bukan-bukan.  Kami akan kembali.  Akak akan keluar dari sini.” 
            “Ya kak, sabar ya. Saya akan bertindak segera.  Akak jangan risau.” 
Fakhrul menepuk bahu Nazatul. Terasa seperti menepuk tulang sahaja. 
“Ya ALLAH, Kau berilah kekuatan kepada perempuan ini,” doa Fakhrul dalam hati.
Nazatul sudah seperti kakaknya juga. Hiba yang bersarang, mengusik hatinya.
            “Terima kasih inspektor,” ucap  Nazatul. Air matanya mengalir. Dia menangis gembira kerana masih dikelilingi oleh mereka yang menyayanginya. 
            “Kami balik dulu kak.” Bicara Rabeta tersangkut-sangkut. Tidak sanggup dia berpisah dengan sahabatnya itu. Rasa hiba terus menampar sanubarinya. 
            “Eta, terima kasih,” kata Nazatul sekali lagi.
            “Jaga diri kak,” pesan Rabeta.
            Fakhrul melangkah keluar dahulu. Dia mengunci kembali pintu bilik itu sama seperti waktu dia masuk tadi. Jejak tidak boleh ditinggalkan.  Zaheer tidak boleh tahu tempatnya telah diceroboh. CCTV yang beroperasi membataskan langkah mereka. 
            Fakhrul membuka pintu pagar pula. Usai Rabeta keluar, terus pintu itu ditutup. CCTV itu berpusing 180 darjah membuatkan mereka sempat melarikan diri. Bukit itu didaki semula.  Kalau bawa Nazatul keluar, tentulah sukar untuk Nazatul memanjat tebing itu. Biarpun tidak terlalu tinggi, untuk orang selemah  Nazatul tentulah sukar. 
            Mereka menarik nafas lega setelah sampai di kemuncak bukit. 
            “Tak sanggup saya tengok keadaan Kak Naz!”
 Perasaan sedih masih menebal di hati. Pilu, bimbang dan simpati bercampur baur di hatinya. Kalau ikut hatinya, hari ini juga dia mahu selamatkan Nazatul.  Tidak sanggup dia membiarkan sahabatnya itu terus diseksa dan didera.
            “Saya pun, saya janji dengan awak, saya akan selamatkan Kak Naz. Jomlah kita balik. Saya tahu awak tentu dah letih.” Inspektor Fakhrul meneguk air kosong. “Eta, jangan beritahu Zara dan Kak Arni ya.  Nanti kecoh pula jadinya. Biar kita rahsiakan dulu keadaan Kak Naz. Saya akan selamatkan Kak Naz secepat yang boleh. Awak jangan bimbang.”
Fakhrul, meyakinkan Rabeta. Janji itu akan dikotakannya. Dia perlu bertindak segera. Keadaan Nazatul agar kritikal ditambah dengan ketagihan heroin.
            “Terima kasih inspektor.” Rabeta menunduk hormat dan ucapan terima kasih atas keprihatinan Fakhrul.
            “Jom kita balik.  Nanti makin lama kita di sini, orang perasan pula. Dating apa lama-lama,” ajak Fakhrul.
            Rabeta mengangguk. Dia mengesat air mata yang berbaki di pipi. Dia melangkah ke keretanya yang diparkir tidak jauh dari kereta Fakhrul. Mereka berpisah setelah berada di dalam perut kereta masing-masing.
            Malam itu, Rabeta tidak mampu melelapkan mata. Pertanyaan Zara akan ketidakhadirannya waktu makan malam diperjelaskan dengan baik. Dia tidak mahu Ani atau Zara mensyaki apa-apa. Biarlah dia simpan di hati, apa yang dia lihat tadi. 
“Ya ALLAH, sengsaranya hidup Nazatul.”  Kenapa Zaheer tergamak lakukan perbuatan seperti itu terhadap isterinya sendiri? 
Sudahlah dilacur, selepas itu diseksa sesuka hati. Agaknya hati lelaki itu dibuat dari besi, hingga tiada langsung rasa simpati. Memang manusia yang tiada hati perut, anak sendiri pun sanggup dia jual. 
           



No comments:

Post a Comment