AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 14 October 2015

IKATAN KASIH - BAB 12

 Inspektor Faizul

Rabeta



Faizul memerhati rumah banglo dua tingkat yang dikawal rapi itu dengan mata yang tidak berkelip.  Kamera CCTV diletakkan di hadapan pintu pagar.  Suara anjing jelas kedengaran.  Rumah itu terletak di bawah bukit, lagi mudahlah dia mengintip.    Keadaan di dalam kawasan yang berjaga rapi itu sunyi.   Sesekali terdengar salakan  anjing jika terlihat kenderaan yang tidak dikenali.  Itulah tempat tinggal baharu Zahir.  Nasib baik maklumat yang diterima tepat dan betul.  Faizul menarik nafas lega.  Misi seterusnya memastikan Jamilah juga berada di rumah itu.  Bagaimana?  Kenalah dia mencari jalannya.
            Dia menutup kembali teropong yang digunakan tadi.  Dia perlu masuk ke kawasan tersebut.  Faizul mengeluh.  Tinggi juga tebing tersebut.  Dia perlu turun ke bawah, semak samun yang ada, boleh membantunya turun tanpa di sedari oleh pengawal yang bertugas mengawal rumah itu.  Penat menyarap Faizul bangkit berdiri.  Dia pura-pura menikmati keindahan dari tebing bukit itu.  Tidak mahu ada yang mensyaki. 
            Kenalah dia tunggu sehingga malam tiba, sebelum memecah masuk ke dalam rumah itu.  Bijak lelaki itu menyorokkan diri, mencari tempat terpencil.  Faizul mengeluh.  Dia berehat di dalam kereta.  Hari semakin menganjak ke senja.  Perutnya yang berbunyi diisi dengan roti planta yang dibelinya sewaktu hendak ke tempat itu.  Air mineral diteguk perlahan-lahan.  Menunggu dengan sabar, malam menjelang tiba.  Bukan dia tidak boleh bawa orang bawahannya bersama. Biarlah dia bertindak sendiri dahulu, jika sudah memastikan Jamilah ada di situ, baharulah langkah seterusnya diambil.  Dia sudah pun memberitahu Jamilah bahawa tempat tinggal Zahir sudah dapat dikesan.  Alamat turut diberi pada Rabeta.
            Sebuah kereta  Myvi hitam berhenti di hadapan keretanya. Dahinya berkerut.  Siapa pula yang datang?  Apa perlu dia buat?  Faizul berlagak biasa, seolah-olah sedang merehatkan diri.  Dia memejamkan mata.
            “Hai!” sapa seseorang.     
     
            Suara itu, macam dia kenal.  Suara perempuan.  Perlahan-lahan mata dibuka.    Matanya membuntang.  Rabeta?  Kenapa perempuan itu ada di sini?
            “Awak buat apa di sini?” tanya Faizul, sedikit rasa marah terbit di hati.
            “Sama macam Inspektorlah, mengintip!” terang Rabeta.
            “Awak dah gila ke?  Kenapalah saya beri alamat rumah ini kat awak?Awak ingatm awak detektif?  Atau penyiasat persendirian macam Nancy Drew atau Siri Salma?”  Faizul menepuk dahinya sendiri. 
            “Erk… tak boleh ke?  Itulah kisah dalam novel, boleh juga dijadikan contoh.”  Rabeta menyengih.
            “Awak tu bukan muda lagi, Rabeta. Saya takut awak tak kuat nak berlari nanti, mereka itu bersenjata semuanya.  Awak faham tak?” Rasa geram dan marah membuak di hati.  Seminggu dia memerhatikan rumah itu, tahu bila Zahir ada dan tiada di dalam rumah itu.    Setelah memastikan tempatnya betul dan orangnya tepat, baharulah dia memberitahu Rabeta segala maklumat yang diperolehi.  Dia tidak pernah terfikir, Rabeta akan  berani datang ke tempat itu.
            “Hey! Tua jangan cakap tau?  Inspektor tu, lebih tua daripada saya.” Rabeta mencebik. Umur bukan ukuran untuk menilai keadaan fizikal seseorang. Ada yang lebih muda daripadanya, tetapi sudah tidak mampu buat apa-apa. 
            Faizul menggeleng kesal.  Rabeta bertubuh langsing, tinggi lampai, wajahnya juga tidaklah setua usianya.  Mungkin wajah keanak-anakan yang dimiliki membuatkan dia tidak dimamah usia.  Tidak dinafikan. 
            “Mana pasukan Inspektor?  Kita nak serang rumah tu bila?” tanya Rabeta.  Dia sendiri tidak sabar hendak menyelamatkan Jamilah.  Rasa  bertanggungjawab dengan apa yang berlaku setahun yang lalu.  Tidak sepatutnya dia meninggalkan Jamilah bersama Zahir.  Pandai lelaki itu melarikan diri, rupanya menyorok di bawah bukit.  Padanlah cari tak jumpa.  Perasaan bencinya terhadap lelaki itu semakin menjai-jadi.  Tidak berhati perut, busuk hati, dan langsung tiada perasaan.  Selayaknya  lelaki itu dihukum dengan kejam.
            “Saya belum mahu melibatkan orang bawahan saya atau pihak polis.  Saya hendak siasat dahulu.  Saya baharu bercadang hendak pecah masuk, tak sangka awak pula muncul!”  Faizal menjeling
            “Saya tahulah jaga diri! Inspektor jangan bimbang.”  Rabeta mendengus kasar.  Kenapalah orang lelaki, mudah sangat memandang rendah terhadap kaum Hawa, terutama pada wanita yang sudah berusia sepertinya.  Usia sahaja tua, tetapi hatinya penuh semangat.   Kalau setakat hendak melawan seorang dua atau lima orang sekaligus, rasanya dia masih mampu.  Tidak sia-sia Jamilah memaksanya belajar seni mempertahankan diri, untuk waktu-waktu terdesak jika ada yang menyerang atau diserang.  Tugas-tugas yang sedang dilakukan membuatkan dia sering berhadapan dengan samseng dan penjenayah yang berbadan tegap dan bengis.
            “Tapi di sini berlainan? Cuba awak tengok, mereka semua bersenjata. Tak salah saya, ada lima orang bersenjatakan M16, boleh berkecai tubuh awak yang cantik tu, kalau terkena tembakan senjata tu.”  Bukan berniat menakutkan, tidak mustahil perkara itu berlaku, sedangkan mereka berdua tidak bersenjata.  Walaupun dia seorang anggota polis, dia tidak boleh sewenang-wenangnya membawa senjata jika tidak bertugas.  Erk… sempat pula dia memuji Rabeta sebentar tadi.  Merah padam mukanya.  Tersalah cakaplah pula. Faizul menyengih.
            “Ooo… mata awak meliarlah selama ini, ya?” Rabeta mencekak pinggang.  Orang lelaki, nampak macam baik tapi mata tidak terlepas memandang susuk tubuh wanita yang ternampak. 
            “Erk…” Faizul hilang kata-kata, hanya senyuman terukir dan perasaan malu yang menebal di hati.  Malunya!
            Rabeta tersenyum sinis. Kantoi! Katanya dalam hati.  Dia membiarkan Faizul menggelabah sendiri.  Mereka memerhati keadaan musuh yang berada di bawah bukit.  Kenderaan keluar masuk dibiarkan sahaja.  Siapa dan apa tujuan mereka tidak perlu diambil tahu.  Mereka berdua ada misi yang lebih penting.  Ketika kenderaann lalu, mereka berpura-pura bersembang dan berbual, kononnya menikmati keindahan tempat itu dari bukit tersebut.
            Malam mula menjelang.  Faizul solat maghrib di kawasan itu juga.  Begitu juga Rabeta.  Sengaja dia membawa air mineral lebih, sejadah dan telekung.  Usai solat mereka memerhati lagi.  Letih berdiri, mereka duduk di atas tikar yang disediakan. Air mineral, biskut dan roti turut diletakkan di atas tikar, konon-kononnya mereka sedang berkelah. 
            “Sudah seminggu saya buat intipan, setiap hari pukul 9.00 malam kereta yang sama akan keluar dari kawasan itu, kadangkala berpatah balik pada tengah malam, kadangkala tak balik langsung.  Saya pasti kereta mewah itu milik Zahir.    Waktu itulah, pengawal yang bertugas tinggal tiga orang sahaja, mereka akan jaga bahagian depan, di anjung atas rumah banglo dua tingkat itu, di bahagian belakang tiada yang jaga waktu itu.  Mungkin mereka berasakan tiada siapa yang akan berani menuruni tebing tinggi itu menuju ke bahagian belakang rumah.  Eta berani ke hendak turun ke bawah?”  tanya Faizul, setelah menerangkan serba ringkas kedudukan pengawal dan rumah itu.
            “Jadi kita akan masuk ke kawasan rumah itu pukul 9.00 malam ini?” soal Rabeta semula.
            “Yalah, kan tadi awak beria-ia nak ikut?” .
 
            “Yalah, saya sudah bersedia.”Rabeta menyengih, jantungnya berdegup kencang.  Seram juga nak lakukan tugas seperti ini.  Kalau setakat tanah rata, mudahlah. Ini terpaksa menuruni cerun bukit yang bersemak-samun, macam-macam benda boleh ada di dalam hutan belukar kecil itu.  Redha sahajalah.  Dia sendiri yang hendak turut serta, bukan lelaki itu memaksa pun.  Itu sebab dia sudah bersedia, memakai T-shirt berwarna hitam, tudung hitam dan berseluar hitam.  Kasut kanvas untuk  tugasan lasak seperti itu. 
            Setelah menutup dan mengunci pintu kereta, dengan menggunakan tali, mereka turun ke bawah perlahan-lahan.  Semak-samun yang ada melindungi mereka daripada dilihat oleh pengawal yang bertugas.  Tidak perlu tergesa-gesa. Keselamatan diri yang paling utama.  Mereka turun betul-betul di pintu belakang rumah banglo dua tingkat itu.  Faizul cuba membuka mangga di pintu pagar belakang.  Perlahan-lahan dan cermat sekali.  Jangan sampai disedari oleh musuh.  CCTV turut dipasang di bahagian belakang rumah itu.  Faizul menunjukkan jari telunjuk ke arah CCTV kepada Rabeta. 
            Rabeta mengangguk.  Dia perlu berhati-hati, agar tidak kelihatan di dalam CCTV itu.
            Hampir lima  minit mencuba, akhirnya terbuka juga.  Faizul menolak pintu pagar itu perlahan-lahan.  Dia menunggu sehingga kamera CCTV itu beralih ke arah lain, baharulah dia bergerak ke arah pintu dapur. Kemudian Rabeta pula.  Pintu pagar ditutup semula.  Mereka terhendap-hendap, takut pengawal yang bertugas perasan kehadiran mereka.   Setelah sampai ke pintu dapur, baharulah mereka menarik nafas lega. 
            Faizul cuba membuka pintu dapur pula.  Rabeta menepuk lengannya dan menunjukkan sebuah bilik yang menjulur ke tingkat bawah tanah.  Faizul mengangguk.   Mereka berdua turun ke bahagian itu.  Bergril dan berantai. Faizul membuka beg yang dibawanya.  Pemotong besi dikeluarkan.  Dia cuba memotong besi itu.  Rabeta menghalang.  Jarinya menunjukkan mangga yang ada.  Faizul mengangguk lagi.  Kalau mereka memotong rantai tersebut, nanti Zahir akan sedar, bilik itu telah dipecah masuk.  Mereka perlu lebih berhati-hati, tidak mahu meninggalkan sebarang jejak.  Mudah sahaja Faizul membuka mangga gril dan pintu bilik bawah tanah itu.  Bau hapak menyapa hidung mereka sebaik sahaja pintu itu terbuka.  Usai mereka masuk, pintu ditutup semula.
            “Busuknya!”  kata Rabeta perlahan.  Dia  mengeluarkan topeng penutup muka yang disimpan dalam kocek seluarnya.  Dia menyerahkan satu kepada Faizul.  Mentol yang malap, cahayanya cukup terhad untuk mereka melihat dengan jelas keadaan di dalam bilik yang berbau itu.
            :Faizul menunjuk ke arah katil yang berada di tepi sudut bilik itu, hampir dengan bilik air.  Dengan lampu suluh yang ada,  mereka menyuluh di semua bahagian.  Mata mereka terpaku melihat sesusuk tubuh berbaring lemah, tidak bergerak.  Mereka saling berpandangan.
             


No comments:

Post a Comment