AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 16 October 2015

IKATAN KASIH - BAB 13

 Inspektor Faizul
Rabeta




Rabeta melutut di tepi katil, sekujur tubuh yang kurus, kelihatan amat lemah dan tidak berdaya.  Berderai air matanya.  Rambut yang kusut masai, berbau hapak, pakaian yang lusuh, tidak berbantal. Terbaring kaku. 
            Faizul pula memeriksa kawasan  bilik tersebut.  Tiada apa yang dijumpai, melainkan taburan makanan yang tidak bersapu dan berkutip.  Hamis, busuk dan meloyakan tekak.
            “Kak Milah!” panggil Rabeta perlahan.  Ya ALLAH! Sebak dadanya.  Kenapa begitu teruk keadaan Jamilah.  Zahir memang kejam! Mahu sahaja dia meraung sekuat hatinya, melepaskan rasa marah yang membuak.
            Faizul menerpa, mendekati. Dia cuba membuka rantai besi yang mengikat kaki dan tangan Jamilah.
            Rabeta masih menangis.  Tidak tergamak melihat apa yang terpampang di hadapannya. 
            “Eta! Kau ke tu?”  tanya Jamilah dengan suara terketar-ketar.
            “Syyy…”  Rabeta menutup mulut Jamilah.  Dia tidak mahu suara mereka didengari oleh para pengawal yang menjaga di luar.  Mereka masih perlu berhati-hati.
            “Boleh buka tak Inspektor?” tanya Rabeta.
            “Eta, kita tak boleh bawa Kak Milah keluar, saya rasa, dia tak mampu nak panjat bukit tu.  Saya rasa, kita tunggu sehingga saya dapat waran geledah untuk membebaskan Kak Milah.  Kalau kita bawa Kak Milah keluar sekarang, saya takut pengawal-pengawal itu akan sedar,”  jelas Faizul.  Bukan mudah membawa Jamilah keluar, melihat keadaannya sekarang yang lemah dan tidak berdaya.  Mana mungkin dibawa keluar. 
            “Habis tu? Takkan kita nak tinggalkan Kak Milah di sini?”  Rabeta tidak berpuas hati. 
            “Eta, tujuan kita hanya hendak memastikan Kak Milah memang ada di sini.  Nanti kita datang balik, saya janji.  Percaya pada saya, okey?”  Faizul memandang wajah Jamilah, walaupun dalam keadaan samar-samar, tapi jelas dipandangan matanya, wajah cengkung dan tidak terurus itu. 
            “Kak Milah!”  Rabeta memeluk tubuh kurus kering itu.
            “Pergilah Eta.  Nanti datanglah semula.  Akak tunggu di sini, ya.”  Jamilah cuba tersenyum.
            “Kak! Sampai hati Zahir, sanggup dia buat akak macam ni?”
            “Jangan menangis, dik!  Tina macam mana?”

            “Alhamdulillah kak, semakin cekap mengguruskan Rumah Ikatan Kasih,”  jawab Rabeta.  Air matanya semakin laju mengalir.  Tidak mampu menahan sebak di dada.  Tidak mampu menahan rasa sedih yang bersarang.  Binatang pun orang tidak buat begitu, inikan manusia.
            “Terima kasih kerana menjaga Tina untuk akak,”  Jamilah mengenggam erat jari jemari Rabeta. 
            “Akak kena kuat ya, nanti kami akan datang selamatkan akak,” janji Faizul.  Dia sendiri berasa hiba melihat keadaan Jamilah.  Banduan di dalam penjara pun lebih baik keadaan mereka.  Ini kerja manusia yang tidak ada hati perut.  Kejam!
            “Terima kasih Inspektor.”  Jamilah mengangguk perlahan.
            “Eta, kita kena keluar sekarang,” ajak Faizul.
            “Kak!” Hatinya berat untuk meninggalkan Jamilah.  Keadaan sahabatnya itu benar-benar menyayat hati.   
            “Pergilah!”  suruh Jamilah. 
|
           “Kami akan datang kembali kak.” Sekali lagi Faizul berjanji.  Dia akan datang dengan pasukan polis pula.  Dia perlu selamatkan Jamilah.  Dia tidak akan membiarkan Jamilah terus diseksa begini.
            “Inspektor, saya disuntik dengan heroin hampir setiap hati.  Tolong selamatkan saya cepat ya, ketagihan saya sudah sampai ke tahap maksima.  Tolong ya!” rayu Jamilah.
            “Ya ALLAH!  Iblis kau Zahir!”  Rabeta mengetap bibir.  Kenapalah Zahir tidak mati sahaja.
            “Syyy…”  Faizul meletak jari ke bibirnya.  Dia tahu Rabeta marah, tetapi janganlah terlalu kuat, tidak pasal-pasal M16 menjamah tubuh mereka nanti.  Bukan dia takut, keselamatan Jamilah lebih utama.  Dia tidak mahu Zahir atau orang-orangnya perasan akan kehadiran mereka. Jika mereka mengetahui tempat persembunyian mereka diketahui, sudah pasti mereka akan berpindah lagi. 
            Rabeta menekup mulutnya.  Geram mencanak di hati.  Rasa hendak dikuburkan Zahir hidup-hidup.  Bukan sahaja hendak diletupkan dengan bom C4, kalau boleh dengan bom nuklear, biar hancur berkecai dan tidak bersisa di bumi.  Kalau  bumi pun pasti tidak mahu menerima orang seperti Zahir.  Perosak bangsa, agama dan Negara.
            “Jom Eta!” ajak Faizul.
            “Kak…  saya balik dulu, akak jaga diri, kuatkan hati dan semangat akak.  Kami akan kembali selamatkan akak,”  janji Rabeta pula.
            “Eta, kalau terjadi apa-apa pada akak, jaga Tina ya,” pesan Jamilah.
            “Kak, semua itu akak jangan bimbang.  Saya akan jaga Tina seperti menjaga anak saya sendiri.  Akak perlu kuat, jangan fikir yang bukan-bukan.  Kami akan kembali.  Akak akan keluar dari sini.” 
            “Ya kak, sabar ya.  Saya akan bertindak segera.  Akak jangan risau.”  Faizul menepuk bahu Jamilah.  Terasa seperti menepuk tulang sahaja.  Ya ALLAH, Kau berilah kekuatan kepada perempuan ini,doa Faizul di dalam hati.  Jamilah sudah seperti kakaknya juga.  Hiba yang bersarang, mengusik hatinya.  Hanya air mata tidak keluar, sengaja ditahan. 
            “Terima kasih Inspektor,” ucap  Jamilah. Air matanya mengalir.  Dia menangis gembira kerana masih dikelilingi oleh mereka yang menyayanginya. 
            “Kami balik dulu kak,” kata Rabeta.  Tidak sanggup berpisah dengan sahabatnya itu.  Rasa hiba terus menampar sanubarinya. 
            “Eta, terima kasih,” kata Jamilah sekali lagi.
            “Jaga diri kak,” pesan Rabeta.

            Faizul melangkah keluar dahulu. Dia mengunci kembali pintu bilik itu sama seperti waktu dia masuk tadi.  Jangan sesekali tinggalkan jejak.  Zahir tidak boleh tahu tempatnya telah diceroboh.

            Rabeta turut berhati-hati ketika melalui  jalan untuk ke pintu pagar.  CCTV yang beroperasi membataskan langkah mereka. 
            Faizul membuka pintu pagar pula. Usai Rabeta keluar, terus pintu itu ditutup.  CCTV itu berpusing 180 darjah membuatkan mereka sempat melarikan diri.  Bukit itu didaki semula.  Kalau bawa Jamilah keluar, tentulah sukar untuk Jamilah memanjat tebing itu.  Biarpun tidak terlalu tinggi, untuk orang selemah  Jamilah tentulah sukar. 
            Mereka menarik nafas lega setelah sampai di puncak bukit. 
            “Tak sanggup saya tengok keadaan Kak Milah!” Tangis Rabeta lagi.  Perasaan sedih masih menebal di hati.  Pilu, bimbang dan simpati bercampur baur di hatinya. Kalau ikut hatinya, hari ini juga dia mahu selamatkan Jamilah.  Tidak sanggup dia membiarkan sahabatnya itu terus diseksa dan didera.
            “Saya pun, saya janji dengan awak, saya akan selamatkan Kak Milah. Jomlah kita balik.  Saya tahu awak tentu dah letih. Eta, jangan beritahu Tina dan Kak Ani ya.  Nanti kecoh pula jadinya.  Biar kita rahsiakan dulu keadaan Kak Milah.  Saya akan selamatkan Kak  Milah secepat yang boleh.  Awak jangan bimbang,”kata Faizul, meyakinkan Rabeta.  Janji itu akan dikotakannya.  Dia perlu bertindak segera.  Keadaan Jamilah agar kritikal ditambah dengan ketagihan heroin.
            “Terima kasih Inspektor.”  Rabeta menunduk tanda hormat tan ucapan terima kasih atas keprihatinan Faizul.
            “Jom kita balik.  Nanti makin lama kita di sini, orang perasan pula.  Dating dan berkelah apa lama-lama,” ajak Faizul.
            Rabeta mengangguk. Dia mengesat air mata yang berbaki di pipi.  Dia melangkah ke keretanya yang diparkir tidak jauh dari kereta Faizul.  Mereka berpisah setelah berada di dalam perut kereta masing-masing.
            Malam itu, Rabeta tidak mampu melelapkan mata.  Pertanyaan Tina akan ketidakhadirannya waktu makan malam diperjelaskan dengan baik. Dia tidak mahu Ani atau Tina mensyaki apa-apa.  Biarlah dia simpan di hati, apa yang dia lihat tadi.  Ya ALLAH, sengsaranya hidup Jamilah.  Kenapa Zahir tergamak lakukan perbuatan seperti itu terhadap isterinya sendiri?  Sudahlah mendagangkan tubuh isterinya, selepas itu diseksa sesuka hati.  Agaknya hati lelaki itu dibuat dari besi, sehingga tiada langsung rasa simpati.  Memang manusia yang tiada hati perut, anak sendiri pun sanggup dia jual. 

No comments:

Post a Comment