AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 20 October 2015

IKATAN KASIH - BAB 14

 KAMIL
RIZQI



             Rizqi tidak mahu mendengar bantahan kedua orang tuanya lagi.  Dia nekad.  Sanggup kahwin lari, jika kedua orang tuanya masih tidak  bersetuju.  Tidak kisahlah jika usia lelaki itu hampir sama dengan usia ayahnya, kalau tua sekalipun, di mana salahnya.  Lelaki itu melayannya dengan baik, romantik dan penyayang.  Bukan dia tidak pernah bercinta dengan lelaki yang sebaya dengannya.  Semuanya menyakitkan hati, hanya tahu memerintah,suka merajuk dan mengugut.  Macamlah dia tidak ada perasaan.  Paling dia tidak suka jika sering marah-marah.  Kalau bertemu, selalunya akan berakhir dengan pertengkaran.  Berbeza dengan lelaki yang baharu sahaja dikenali beberapa bulan yang lalu.  Tidak pernah berkasar dengannya. Lembut melayan  kerenahnya yang panas baran.  Pandai memujuk dan mengambil hati.  Sikap santun  lelaki itu benar-benar menambat hati perempuannya. 
            “Usianya hampir sebaya ayah, layak jadi ayahkau. Kenapa dengan kau ni Riz?” marah Kamil.  Hatinya panas dengan sikap anak keduanya itu. Belajar masih belum habis lagi, sudah  berura-ura hendak bernikah. Kalau dengan lelaki yang sebaya atau tua setahun dua, dia tidak kisah. Ini…  Ah! Dia mengeluh keras. Wajah cemberut ananya dipandang seketika.  Wajah anak gadisnya itu saling tak tumpah dengan wajah bekas isterinya.  Dia mendengus kasar.  Wajah yang ingin dilupakan dari ingatan, namun tidak mampu, kerana wajah itu pernah menghuni di hatinya.

            “Umur bukan  penghalang untuk kami hidup bahagia, ayah. Riz cintakan dia, berilah Riz peluang untuk memilih jodoh sendiri.  Ayah tentu ingin melihat Riz hidup bahagiakan?  Imranlah lelaki yang sesuai untuk Riz, percayalah ayah,” rayu Rizqi.  Dia tidak mahu berkahwin tanpa restu keluarganya.  Apa erti kebahagian jika keluarganya tidak bersama-sama, berkongsi kebahagian itu.
            “Kenapa Riz tak pilih sahaja kawan-kawan dari universiti? Kenapa lelaki tu?” sampuk Habsah, dia juga kurang senang dengan pilihan anak tiri merangkap anak saudaranya itu.  Umur  masih muda, belajar tidak selesai, ada hati ingin berumah tangga?  Bukan ada niat menghalang tetapi biarlah selesaikan pelajaran dahulu. Yalah, kalau jodoh sudah sampai, mana mungkin dihalang. 
            “Ayah tetap bantah!” tengking Kamil, hilang rasa sabar di hati.  Kenapalah anak-anak sekarang susah hendak mendengar kata orang tua.  Nasihat yang diberi, langsung tidak mahu didengari. Ikutkan hati dan perasaan mereka sahaja.  Tidak terfikirkan perasaan orang tua yang telah membesarkan mereka.
            “Ayah! Riz hanya minta restu ayah.  Ayah nak ke kalau Riz buat maksiat? Lahirkan anak luar nikah?  Ayah nak ke Riz pilih jalan songsang, dengan melarikan diri, kahwin di sempadan  Thailand?  Ayah nak ke Riz menconteng arang ke muka keluarga kita?  Ayah… Riz minta ayah fahami perasaan Riz, itu saja, tolonglah ayah,” rayu Rizqi.  Air matanya sudah merembas keluar.

            “Macam mana ni bang?  Takkan awak nak tengok Riz buat semua tu?  Setuju ajelah bang,”  pujuk Habsah. Wajah suaminya yang muram ditenung lama.  Susah juga berbincang dengan orang lelaki, kalau anak sudah suka sama suka, kahwinkan sahaja.  Buat apa ditahan-tahan.  Kalau ikutkan hatinya, dia juga tidak bersetuju, tapi kalau difikirkan kesannya, baiklah ikutkan sahaja.  Dibuatnya  kahwin lari atau tinggal serumah, lebih parah lagi.  Nama baik keluarga juga akan busuk.  Cukuplah sepupusnya memalukan keluarga itu, jangan pula ditambah lagi.   Tua atau muda seorang lelali itu, sama sahaja. Kalau benarlah seperti kata Rizqi, lelaki itu seorang yang bertanggungjawab, baik dan penyatun orangnya.  Apalah salahnya.  Dengar kata lelaki itu duda, lainlah jika  dijadikan isteri kedua atau ketiga. 
            “Biarkan?  Tak kena dengan anak-anak awak, bolehlah awak cakap! Mentang-mentang Rizqi tu hanya anak tiri awak, dengan lelaki  yang tua pun tak mengapa?”  tempelak Kamil.

            “Ke situ pula?  Hey, bang… walaupun saya ni hanya emak tiri, tapi awak jangan lupa, mereka juga anak saudara sepupu saya.  Kami masih ada hubungan kekeluargaan.  Awak dah lupa, bekas isteri awak tu sepupu saya.  Emak dia dengan emak saya, adik beradik!”  Habsah mencuka.  Dia  nasihatkan perkara yang betul, suaminya pula boleh main tuduh-tuduh.  Bercakap ikut sedap mulut sahaja.  Emak budak-budak ini pula, sejak dihalau keluar dari rumah, langsung tidak pernah menjengah ke kampung itu. Elok jugalah tidak balik, buat orang bercerita tanpa henti. Jadi modal sembang orang kampung di kedai kopi. Sakit juga hatinya.   Memalukan keturunan sahaja.

            “Keputusan saya muktamad!” kata Kamil tegas. Bagaikan tidak mahu berkompromi. Malas dia hendak berbalah dengan suaminya. Wajah duka Rizqi ditatap lama, simpati terbit di hati.  Dia menggeleng kesal.

            “Abang!”  Habsah berharap suaminya mempertimbangkan kembali keputusannya.  Hatinya kecewa mendengar jawapan daripada mulut suaminya.  Kalaulah dia bercakap dengan mertuanya, tentu mereka boleh menasihati suaminya.  Ini soal masa depan anak tirinya itu. Kalau hati sudak suka, semua indah belaka.  Janganlah dihalang, silap haribulan pasangan  yang sedang hangat bercinta itu boleh lakukan apa sahaja bagi memenuhi impian mereka.  Habsah mengeluh lagi.
            Kamil mengurung diri di dalam bilik kerjanya. Hatinya kecewa dengan sikap anak keduanya itu. Kenapalah memilih  lelaki yang berumur? Dia mengeluh kecewa.  Rizqi memang degil sedikit, berbeza dengan adik beradiknya yang lain. Jarang mahu mendengar nasihat.  Jika dilarang melakukan apa sahaja, pasti akan keluar pelbagai alasan daripada mulutnya.      Kamarul, Rizqi dan Riyana adalah anak-anak dari perkahwinannya yang pertama.  Sudah berbelas tahun dia tidak bertemu dengan bekas isterinya itu.   Dia tidak pernah melawat ketika bekas isterinya ditahan di penjara.  Kenangan silam mengusik rasa.  Dia tidak akan melupakan kejadian yang hampir meragut nyawanya.  Hampir membuatkan dia pergi menemui ILAHI.  Berpantang maut sebelum ajal, usianya masih panjang.  Kalau tidak pasti  bekas isterinya digantung sehingga mati.

****
            Kira-kira 17 tahun dahulu…
            Pagi minggu itu, isterinya telah keluar awal pagi usai solat subuh untuk membeli sarapan di gerai berdekatan taman mereka.  Dia pula masih berselimut di katil setelah selesai menunaikan solat subuh.  Anak-anak juga begitu, maklumlah hujung minggu, hari tidak bekerja dan tidak ke sekolah. Masing-masing menyambung  tidur semula.  Begitu juga dengan sepupu isterinya yang menumpang tinggal di rumah itu.   Dia cuba melelapkan mata kembali.  Bunyi benda jatuh dari tingkat bawah membuatkan hatinya tidak tenang. 
            “Eta! Eta! Apa yang jatuh tu?” tanya Kamil sambil melangkah keluar dari bilik dan turun ke tingkat bawah.  Dia  menapak ke runang tamu, tiada siapa di situ.  Pintu depan sedikit terbuka, isterinya terlupa  mengunci pintu semulakah?  Dahinya berkerut. Pasu bunga Kristal milik isterinya bertaburan serpihannya di lantai.   Dia menutup daun pintu dan berjalan ke dapur  untuk mengambil penyapu dan penyodok sampah.  Takut serpihan itu dipijak oleh orang lain.  Baharu beberapa langkah dia berjalan, terasa ada benda tajam  menyucuk belakangnya.  Berkali-kali, tusukan itu terasa sakit, seperti ada bendalir mengalir keluar.  Dia cuba menoleh untuk melihat siapa yang telah menikamnya.  Dia rebah di lantai dapur.  Kesakitan terasa di setiap urat sarafnya.  Dia kehilangan suara untuk meminta tolong.  Dia berdoa, agar ada orang yang datang membantunya.  Matanya terpejam rapat, menahan sakit.
            “Abang!” suara isterinya bergema di telinga.  Namun dia tidak mampu bergerak.   Terasa seperti ada orang mencabut benda tajam yang telah menikamnya.   Seminggu selepas  sedar dari koma, dia diberitahu yang isterinya telah ditahan oleh pihak polis dan disyaki sebagai orang yang telah mencederakannya.   Pada mulanya dia sukar untuk mempercayainya.  Mana mungkin isterinya itu sanggup mencederakan dirinya.  Segala bukti yang ditunjukkan oleh pihak polis menjurus kepada isterinya.    Atas desakan keluarga dan kemarahan mereka tidak dapat dibendung, akhirnya dia menceraikan isterinya setelah perempuan yang dikahwininya itu disabitkan kesalahan dan dipenjara 15 tahun. Apa guna ada hubungan sedangkan hatinya sakit dengan apa yang berlaku.  Sehingga ke hari ini, hatinya masih lagi sakit.  Bertambah perit apabila melihat wajah anak-anak, mereka masih tidak boleh menerima hakihat yang mama merekalah mencederakan dirinya, kecuali Riyana yang tidak sempat mengenali Rabeta lebih rapat lagi.  Biarpun bekas isterinya itu menafikan  perbuatannya, berkali-kali  menidakkan tuduhan yang telah dilemparkan kepadanya. Anak-anak juga tidak percaya.  Sehingga ke saat ini dia tidak pernah bertemu semula dengan bekas isterinya itu.  Begitu juga anak-anak, dia menghalang keras mereka bertemu semula dengan mama mereka.
.            
 ***
            Apa yang harus dia lakukan dengan Rizqi? Permintaan Rizqi tidak mungkin dipenuhi.  Benarkah lelaki yang ingin dikahwini oleh anaknya itu baik?  Dia belum pernah lagi bertemu dengan lelaki terbabit, hanya melihat gambar yang diserahkan oleh Rizqi kepadanya. Diaharus menemui lelaki itu, baharulah dia boleh membuat keputusan.  Ini melibat masa depan anak gadisnya.  Cinta sahaja tidak cukup untuk sebuah rumah tangga yang bahagia. Kamil mengeluh keras.  Lebih mudah menjaga anak-anak ketika mereka masih kecil.  Apabila dewasa lain pula jadinya.  Masing-masing sudah pandai dan ingin membuat keputusan sendiri.  Kamil melepaskan keluhan berat.

No comments:

Post a Comment