AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 21 October 2015

IKATAN KASIH - BAB 15



                                                      NAZATUL




Ramadan menunggu dengan sabar. Dia tertoleh ke kiri dan ke kanan.  Suasana nyaman dan selesa di dalam restoran serba mewah itu langsung tidak menarik hatinya.  Lantaran jiwanya sendiri yang  gundah gulana memikirkan masa depan anak gadisnya. Bila ditahan kehendaknya, siap memberontak. Sebagai seorang ayah, dia perlu bertindak dengan wajar. Sementelahan pula, kedua-dua orang tuanya juga membantah pilihan Jasmina.
Hatinya diulit resah. “Mana mereka ni? Janji pukul 12.00 tengahari, ini sudah pukul 1.00 tengahari.”
Ramadan semakin risau dan gelisah.  Sudah dua gelas minuman yang dipesan. Bayang diri yang ditunggu tidak juga tiba. Tak jadi ke? Tidak pula Jasmina menelefon atau menghantar sebarang mesej. Ramadan mengeluh. Tubuhnya disandarkan ke kerusi. Menghilangkan rasa lenguh di tubuhnya.
            “Ayah, maaflah… kami terlambat.” Jasmina tersenyum. Pegangan di lengan lelaki di sebelahnya, terlerai.
            Ramadan menjeling.  Belum apa-apa sudah pandai pegang memegang.  Tiada langsung segan silu. Anak-anak zaman sekarang, dia mengeluh sendiri.  Dia menarik Jasmina berdiri di sebelahnya.
            “Ingatkan tak jadi.”
Ramadan memandang wajah Jasmina dan lelaki yang berada di sebelah anaknya. Mata mereka saling bertembung. Ramadan menundukkan kepala. Begitu juga lelaki itu. Rambutnya tersisir rapi. Berbaju t warna biru muda dan berseluar slack hitam, berkaca mata hitam. Tidak begitu kurus, tinggi lampai. 
            “Mana boleh tak jadi. Ayah, kenalkan ini, Imran Zaheer.” Jasmina bersuara bahagia.         
            “Duduklah,” pelawa Ramadan, kurang mesra.  Tidak tahu harus bagaimana, lelaki itu bukan pilihan hatinya, dia langsung tidak berkenan. Usia mereka hampir sebaya. Selayaknya menjadi ayah kepada anak gadisnya.  Anaknya pun satu! Hish.
            “Terima kasih kerana sudi bertemu dengan saya,” kata Imran Zaheer.
Beberapa kali diberitahu Jasmina, panggil sahaja Zaheer. Namun Jasmina lebih suka dengan nama Imran. Katanya lebih lembut dan muda.  Tidak mungkin dia membantah, apalah ada pada nama. 
Wajah Ramadan yang langsung tiada senyuman sedikit pun tidak mengganggu fikirannya.  Biarlah keluarga Jasmina tidak suka, dia peduli apa.  Bukan dia hendak berkahwin dengan keluarga  Jasmina. Nanti, sudah menjadi isterinya, tahulah dia. 
            “Imran, benar-benar ingin mengahwini anak saya? Tak perasan ke, awak dan dia terlalu jauh berbeza. Maksud saya, umur. Anak saya tu belajar pun tak habis lagi. Menguruskan rumah tangga pun tak pandai lagi. Saya takut dia tidak dapat membahagiakan awak.” Ramadan memprovokasi.         “Jangan nilai diri saya dengan umur. Saya seorang lelaki yang berpengalaman dalam rumah tangga. Lagipun, Jasmina sudah jelaskan. Usia bukan penghalang untuk kami.” Zaheer menjeling ke arah Jasmina. Jasmina melirik manja. “Jasmina sudah cukup bijak untuk memilih. Saya mampu membahagiakan Jasmina, begitu juga sebaliknya.  Saya cintakan dia. Apakah salah? Saya bukan ada isteri? Saya bukan hendak permainkan Jasmina?  Saya ikhlas!” Zaheer tersenyum.
Dia hanya inginkan Jasmina. Dia tidak perlukan kasih sayang keluarga gadis itu. Terima sahajalah dirinya, tidak sudi tengok muka dia selalu pun tidak mengapa. Tidak perlulah dia sering ke rumah mertua. Apa yang penting, ialah Jasmina, lubuk emasnya yang baru.
            “Apa jaminan yang awak mampu membahagiakan anak saya?” soal Ramadan, cuak.  Melihat fizikal lelaki itu, memanglah kelihatan sihat dan kuat. Apa pekerjaan lelaki itu? Sudah pencenkah?  Takkan cukup hidup dengan duit pencen sahaja. Dia mengeluh keras. Susah betul kalau dapat anak degil dan suka buat keputusan sendiri.
            “Saya ahli perniagaan… Kalau soal wang ringgit yang pihak perempuan risaukan, saya mampu memberi kemewahan kepada Jasmina. En. Ramadan usah bimbang,” kata Zaheer, seolah-olah menjawab pertanyaan yang bersarang di hati Ramadan.
            “Ahli perniagaan? Perniagaan apa yang awak jalankan?” soal Ramadan semula. Sekarang ini macam-macam bisnes yang ada. Yang baik dan tidak kurang juga perniagaan yang tidak baik.  Dia sendiri menjadi AJK Persatuan Usahawan Malaysia, tidak pula dia pernah dengar nama Imran Zaheer.
            “Perniagaan biasa sahaja,” jawab Zaheer.  Perniagaan apa yang dia ingin beritahu? Dia tahu ayah Jasmina bukan calang-calang orangnya.  Seorang ahli perniagaan yang berjaya juga. Punya firma arkiteknya sendiri. Kontraktor kelas A, itulah yang diberitahu oleh Jasmina kepadanya. Dia perlu berhati-hati.  Kalau silap cakap, kantoilah dia nanti.
            “Saya tahulah, tapi berniaga apa? Apa nama syarikat? Tak ada kad ke?” tanya Ramadan bertubi-tubi.
            “Alah, ayah ni. Kalau Imran dah bagi  tahu, dia berniaga. Berniagalah. Jenis perniagaan pun nak tahu juga ke? Ayah nak bukannya nak bagi pinjaman bank.” Jasmina kurang senang dengan soalan ayahnya. Melihat teman lelakinya mengelabah membuatkan dia terus bertindak. 
Mungkin lelaki itu tidak suka bercerita tentang perniagaannya. Tidak perlulah ayahnya mengorek hingga dalam berkaki-kaki. Cukuplah seinci dua, sudah jelas keikhlasan lelaki itu ingin memperisterikan dirinya, apa lagi yang tidak kena?
            “Ayah kenalah tahu.  Zaman sekarang ini, ahli perniagaan segera pun melambak. Yang menjadi penjenayah, tapi mengaku jadi ahli perniagaan pun banyak. Ayah bimbang, manalah tahu jika Imran menjual dadah atau memperdagangkan manusia?”  Ramadan mencebik. Kenapa rahsia sangat. Hendak beritahu perniagaan sendiri pun susahkah? Dia mengerutkan dahi. Terdetik rasa kurang senang di hati.
            “Hish, ayah ni! Merepek sampai ke situ pula?  Imran takkan buat macam tu,” bela Jasmina. Dia memandang wajah lelaki itu yang kelihatan agak kurang selesa dengan kata-kata  ayahnya tadi.  
            “Yalah, takkanlah saya nak buat kerja haram tu,” nafi Zaheer. Dia menyengih. Kata-kata Ramadan  terus ke tulang hitam. Pedih dan memang dia terasa di hati. Terasa perit tekaknya. Kurang selesa  jika dia terus menunggu lagi.
Soalan demi persoalan yang diajukan bakal mertuanya, takut menjerat diri. Dia harus lepaskan diri dan pergi dari situ.  Tidak lagi mahu berlama-lama menghadap Ramadan yang jelas kurang selesa dengannya.
            “Saya bukan kisah sangat, siapa pun pilihan anak saya. Kalau betul-betul berniaga, biarlah perniagaan yang halal. Saya bukan hendak jual anak atau nak carikan anak saya orang kaya.  Kalau dia dah suka dengan awak, saya tak boleh menghalang.  Saya Cuma nak tengok anak saya bahagia di samping orang yang dia sayang dan mampu membahagiakan dirinya.  Itu sahaja.”  Ramadan mengerling ke arah  Jasmina yang tersenyum bahagia. 
Semoga anaknya itu benar-benar mendapat kebahagian seperti yang diharapkan.
            “Encik Ramadan kena yakin dengan saya.  Saya cintakan Jasmina. Saya berjanji akan menjaganya seperti nyawa saya sendiri. Dia tidak akan kekurangan apa-apa, percayalah,” janji Zaheer.
Kata-kata yang paling indah, yang mengalir keluar daripada mulutnya. Dia perlu yakinkan Ramadan bahawa dialah lelaki yang terbaik untuk gadis itu. Dia tidak mahu rancangannya gagal.
Dia sudah mula menayangkan wajah dan tubuh Jasmina kepada beberapa lelaki hidung belang yang tidak pernah puas. Selalu sahaja hendak kelapa muda. Harga yang lumayan dan berbaloi baginya.    Tiada langsung cinta untuk gadis itu, yang ada hanyalah mainan perasaan yang palsu dan tipu.  Cintanya hanya pada duit dan harta. Tanpa duit dan harta, dia bagaikan mati.
            “Saya tak mampu hendak menghalang kehendak Jasmina. Kalau awaklah pilihan dia, saya terima sahaja. Bawalah keluarga awak untuk masuk meminang. Kita buat secara baik, mengikut adat Melayu. Saya harap awak kotakkan janji awak.  Jagalah anak saya dengan baik.” Ramadan longlai.
Sebagai seorang ayah, dia sudah menjalankan tanggungjawabnya. Terserah kepada Jasmina pula untuk terus kekal bahagia, seperti yang dikatakannya.
            “Terima kasih, ayah.” Jasmina memeluk Ramadan. Hatinya berlagu riang. Impiannya terlaksana. Dia akan berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya sendiri. Imran Zaheer, biarlah tua sekalipun, kalau hati sudah suka, semuanya indah sahaja.
Senyuman lelaki itu mampu mencairkan hatinya. Sejak pada pertemuan pertama mereka. Dia sudah tidak peduli dengan kecaman datuk dan neneknya. Biarlah hanya ayahnya sahaja yang bersetuju, itu sudah cukup untuk dirinya. Restu sudah diperolehi, tunggulah angkatan meminang datang ke rumah orang tuanya.
***
            Aida diam, membatu. Tidak berani memandang wajah mertuanya.
“Kenapa dengan kau ni, Ramadan? Hah, dah tak ada lelaki lain di dalam dunia ni?”
 Sebaiknya Aida mahu tidak masuk campur kerana bukan urusannya. Walaupun perkara yang dibincangkan adalah mengenai masa depan anak tirinya. Kalau anak kandungnya buat perkara yag sama, dia juga tidak mampu menghalang. Jodohkan ketentuan ILAHI, tiada siapa mampu menghalang.  Nasib baik Jasmina meminta izin, kalau dibuatnya kahwin lari? Boleh malu besar mereka seisi keluarga.
            Ramadan terkebil-kebil memandang wajah orang tuanya.
            “Kau pun tak menghalang ya, Aida?  Kau biarkan sahaja anak tiri kau tu bertunang dengan lelaki tua?” marah Hajah Aminah. 
Wajah menantunya yang menunduk sejak tadi membuatkan hatinya sakit. Macamlah sudah pupus lelaki muda di dunia ini. Romantiklah, penyayanglah, hormat orang perempuan, dan macam-macam lagi kebaikan yang terserlah. Alasan!  Ramadan dan suaminya juga tua, tetapi tak romantik pun. Buat endah tak endah, adalah.  Belum dapat lagi, semuanya cantiklah, dia mendengus geram.
            “Abang Ramadan dah setuju, takkan Aida pula nak larang?” Mempertahankan diri sendiri.
Mulut ibu mertuanya memang boleh tahan, kalau setakat nak membebel sehari suntuk, serahkan sahaja kepada ibu mertuanya. Sebagai anak menantu, dia hanya boleh mendengar dan jangan berani nak komen. Silap haribulan, boleh hilang telinga.
            “Kalau benda lain, tahu pula kau larang. Ini soal hidup anak tiri kau! Kaubuat tak tahu saja?” bebel Hajah Aminah lagi.
“Hish. Geram aku tau. Yang si Jas ni, langsung tak nak dengar cakap orang. Ikut kata hati dia aje!” Marah betul dia dengan keputusan anak lelakinya itu. Cucunya pula, buat keputusan mengikut hati dan nafsu. Main tangkap muat sahaja.  
            “Biarlah ibu, lagipun mereka sudah suka sama suka. Tak sampai hati saya nak larang.” Ramadan memandang wajah marah ibunya yang berdiri mencekak pinggang, pandangan tajam menikam matanya. Kalaulah ada api di mata ibunya sudah pasti marak membakar dirinya.
            “Ayah pun tak tahulah Ramadan, apa yang ada dalam kepala kau orang anak beranak? Lelaki dah macam tu kau buat menantu? Ayah bimbanglah,”  luah Haji Mansor.  Sejak sampai tadi, dia membiarkan sahaja isterinya berleter.
            “Siapa yang akan datang meminang nanti?”  sambung Haji Mansor.
            “Katanya, kedua orang tuanya sudah meninggal, mungkin saudara maranya sahaja,” jelas Ramadan.  Semakin berserabut fikirannya. 
            “Tak boleh ke kau bantah kehendak anak kau tu?” Masih tidak berpuas hati dengan keputusan cucu dan anaknya itu. Kalau bolehlah, dia tidak mahu cucunya bertunang atau apa sahaja hubungan dengan lelaki itu. Mudah sangat buat keputusan.
            “Ibu, ayah, tolonglah faham keadaan saya,” rayu Ramadan. Dia buat semua ini demi kebahagian anaknya. Kalau ikut hati, dia sendiri tidak setuju.  Namun, apakan daya.
            “Kalau jadi apa-apa dengan cucu ibu, kaulah yang bertanggungjawab, Ramadan!” Hajah Aminah mengugut. Duduk bangun dia, tak keruan di ruang tamu itu. “Ayah dan ibu tak nak berkompromi dalam hal ini. Kau tak siasat ke latar belakang lelaki tu? Betul ke duda? Benar ke ahli perniagaan?” Hajah Aminah mencebik.
            “Ibu janganlah bimbang sangat, kita doakan yang baik untuk Jas. Saya yakin Imran tu boleh  membahagiakan cucu ibu.” Ramadan sudah tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk memujuk ibu dan ayahnya.
Dia menggaru-garu kepala. Pening sungguh dia memikirkan sikap kedua orang tuanya yang suka mencampuri urusan rumah tangganya. Dulu, Rabeta diceraikan atas kehendak kedua orang tuanya. Kononnya, tidak mahu bermenantukan seorang pembunuh. Dia akur kerana mungkin benar kata orang tuanya itu, Rabeta sememangnya berniat hendak membunuhnya. Kenapa dia harus meneruskan hidup dengan perempuan seperti itu. 
            “Bekas mertua kau dah tahu ke yang cucunya sudah dipinang orang?” tanya Hajah Aminah.
            “Tak ibu. Ibu pun bukan suka mereka kan?  Anak-anak saya sendiri sudah lama tidak ke sana.  Riyana juga sudah jarang ke rumah mereka. Saya tak izinkan. Saya takut dia bertembung dengan Eta,” jelas Ramadan.
Hubungannya dengan bekas mertuanya juga renggang sejak dia menceraikan Rabeta. Puas emak mertuanya merayu agar dia tidak menceraikan isterinya itu. Namun dia tidak berdaya. Dia rasa terhina, baginya Rabeta telah mengkhianati dirinya, cintanya terlalu mendalam terhadap Rabeta. Dia tidak menyangka Rabeta begitu tega melakukannya.
            “Baguslah. Mereka tidak berhak  datang  pun. Entah-entah Jasmina ikut perangai emaknya. Degil dan keras kepala.  Dasar  keturunan yang tak baik, itu sebab anak-anak kau pun engkar mendengar cakap kau,”  bebel Hajah Aminah lagi.
            “Erhmmm…” Aida berdehem. Keturunan Rabeta, keturunannya juga. Jangan pula hendak disamakan.
            Hajah Aminah menjeling menantunya yang buat muka sepuluh sen itu.  Kalau tidak kerana anak-anak Ramadan yang rapat dengan Aida, jangan haraplah dia hendak  bermenantukan Aida.
            “Kau terasa ke?” sindir Hajah Aminah.
            “Taklah juga ibu, sipi-sipi tu adalah.” Wajah Aida keruh.
            “Kalau dah tahu dan terasa, jaga-jagalah diri tu, jangan terikut pula!” Hajah Aminah menjeling tajam.
            “Sudahlah ibu, biarkan Jasmina pilih jalan hidupnya sendiri. Bahagia atau tidak, itulah permintaan dan kehendaknya sendiri. Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai  ayahnya,  Susah juga kalau anak tak dengar kata, nasihat kita bagaikan racun bagi mereka,” kata Ramadan.
            “Ikut suka kaulah, Ramadan. Ibu hanya mengingatkan sahaja. Jangan menyesal di kemudian hari dahlah ya.” Hajah Aminah menapak semula ke sofa, penat pula dia berdiri.
            Ramadan dan Aida saling memandang.  Mereka hanya mampu melepaskan keluhan. Tidak berani bertegang urat lama-lama dengan kedua orang tuanya. Nanti dituduh anak durhaka dan kurang ajar pula.  Kalau boleh ingin sahaja menjawab, tapi apa gunanya?

No comments:

Post a Comment