AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 24 October 2015

IKATAN KASIH - BAB 16




Zaheer tersenyum riang. Rancangannya hampir berjaya. Setelah Nazatul, kini Jasmina bakal menjadi mangsanya. Tunggulah masa dan ketikanya, Jasmina amat berharga buat dirinya. Itulah lubuk emasnya. Kali ini dia perlu lebih bijak. Dia akan pastikan Jasmina tidak berpaling tadah seperti Nazatul. 
            Sudah seminggu dia tidak menjengah Nazatul, sudah seminggu jugalah isterinya tidak menjamah apa-apa makanan. “Mampuslah kau, Nazatul!” Hatinya bersorak riang. Tidak perlu dia membunuh dengan tangannya sendiri. Mati kelaparan, dia tersenyum panjang.
Tentu Rabeta juga sudah menemui Tuhannya. Harap-harap begitulah, menyusahkan hidupnya sahaja. Dia ketawa sendiri. Selepas ini tiada sesiapa lagi yang mengganggunya. Pasti perniagaannya akan terus maju jaya. Perosak sudah ghaib ditelan bumi.  Kucing sudah mati, tikus boleh terus bermaharajalela. 
Esok barang-barang baru akan sampai dari seberang. Mudah sahaja memujuk mereka berhijrah ke negara ini. Janjikanlah bulan dan bintang, semuanya pasti beres.
            Zaheer melangkah ke ruang bilik bawah tanah. Topeng mulut dan hidung dipakai segera.  Selepas itu barulah daun pintu dibuka. Sebaik sahaja pintu itu terbuka, bau hanyir menyapa, kuat baunya hingga mampu menembus penutup hidung dan mulut itu. Bau badan Nazatul juga membuatkan dia tidak tahan menghidunya. 
Sengaja dia mendera Nazatul begitu, biar dia rasakan perit dan parahnya hati apabila dikhianati.  Dia mencebik, rasa benci semakin hari semakin menggunung di hatinya. Lambat-lambat dia menapak mendekati katil yang menempatkan  Nazatul. Wajah itu dipandang dengan penuh kebencian. Dia memeriksa nadi Nazatul.
“Cis! hidup lagi?”  Sudah seminggu tidak menjamah makanan, tapi masih bernyawa. “Kau makan cicak atau makan tikus?”  Di dalam bilik itu mana ada makanan? Minuman pun tiada, isterinya dapat tenaga daripada mana?
            “Hoi! Bangun!” jerit Zaheer. Sengaja dia mengejutkan Nazatul, sakit benar hatinya. Liat betul nyawa isterinya itu.
            “Kau nak apa lagi?”  Nazatul semakin tidak berdaya. Sudah seminggu dia dibiarkan kelaparan.  Semakin hari, lelaki itu semakin kejam terhadapnya.  Manusia yang tiada hati perut memang sukar diduga tindakannya.
            “Kau masih hidup? Susah aku nak percaya.  Jangan-jangan kau ada bela hantu raya? Kena buka bumbung, barulah mati!” tuduh Zaheer.
            “Kalau aku ada hantu raya, orang pertama yang aku suruh cekik mati, dah tentulah kau!” kata Nazatul, lantas dia ketawa. 
            “Melawan nampak? Kau tahu tak, kawan kau Rabeta… aku dah suruh orang aku bunuh dia. Cuba kau tengok gambar ini!” Zaheer menarik rambut Nazatul yang keras bagaikan berus dawai itu.  Gambar Rabeta ditikam di bahagian perut ditunjukkan kepada Nazatul.
            Nazatul memandang dengan mata berkaca.  Melihat Rabeta rebah membuatkan hatinya menjerit sendiri. Kalaulah dia ada daya bergerak, pasti sudah lama Zaheer mati di tangannya. 
            “Kau memang syaitan!Bapa Iblis!” Marah Nazatul. Terketar-ketar bibirnya menahan geram dan marah.
Dia cuba bangun dan menarik rambutnya dari genggaman Zaheer. Tubuhnya yang lemah dan tidak berdaya itu  terasa menyusahkan dirinya sendiri.  Dia perlu kuat. Kekuatan yang diperolehi dari zikir yang sering dilontarkan daripada bibirnya, hati dan jiwanya.
            “Sekarang, perniagaan aku selamat, kawan kau dah tak ada, kau pula terkurung di sini.  Kau nak harapkan siapa? Zara? Dia juga akan aku bawa ke mari! Tunggu sajalah!” kata Zaheer bangga. Kalau setakat pihak polis yang menjadi batu penghalang, mudah sahaja untuk dia mengelakkan diri daripada mereka.
“Kau boleh ketawa sepuas hati kau! Akan lahir ramai lagi “Rabeta” yang akan menghantui hidup kau!” kata Nazatul keras. 
Amarah menyucuk-nyucuk hatinya. Kalau benar Rabeta sudah meninggal, sudah tentu tiada siapa yang akan datang membawanya keluar dari situ.  Separuh daripada harapannya sudah hilang. Adakah Inspektor Fakhrul akan membebaskannya? Dia akan tunggu kehadiran lelaki itu, membebaskan dia dari sarang neraka ini.
            “Aku takkan biarkan perkara itu berlaku! Tidak ada kelahiran kedua! Faham! Oh ya, tak lama lagi aku akan bertunang. Kau bakal dapat madu yang muda dan cantik. Kau tahu tak, aku nak buat apa dengan dia? Aku rasa kau tahu. Sama seperti kau!” kata Zaheer penuh rasa bangga. Dia ketawa sekuat hatinya. Ketawa menang dan selayaknya diraikan.
            “Tak guna kau Zaheer! Tak habis-habis kau rosakkan anak bangsa kau sendiri! Sanggup kau nak jual isteri kau sendiri? Kau memang manusia yang tiada hati, agaknya kau lahir tanpa hati!” tutur Nazatul terketar-ketar.
            “Isteri setakat malam pertama sahaja, selepas itu… dia hak umum. Ikut suka akulah! Isteri aku!”  Zaheer ketawa lagi. Bergema bilik kosong itu dengan suaranya.
            “Langit tidak selalu cerah, sepandai-pandai tupai melompat, pasti akan jatuh ke tanah juga.  Selama mana kau boleh berlari laju, Zaheer? Kau tunggulah balasan ALLAH!” pesan Nazatul keras.
            “Siapa? ALLAH! Eee… takutnya.” Zaheer mempermainkan kata-kata Nazatul.
            “Aku rasa hati kau sememangnya dah sakit, kau memang dah sakit!” Nazatul  meludah ke lantai. Meluat memandang wajah Zaheer. Lelaki durjana yang merosakkan bangsa dan agama.
            “Ada aku peduli?” Sambil mengangkat bahu.  Ketawanya semakin kuat, rasa bangga menerjah ke dalam diri. Dia bakal menjadi ketua samseng yang terbesar di Kuala Lumpur itu. Dia bakal jadi ‘Raja’. Beberapa kumpulan kecil sudah mula bergabung dengannya.  Mereka ingin membina empayar perdagangan yang terbesar di Asia. Besar sungguh cita-citanya.
            Nazatul pula hanya mampu menangis, benarkah Rabeta sudah tiada lagi? Padanlah sahabatnya itu masih belum datang menyelamatkannya. Rupa-rupaya ada aral. Semakin sakit dadanya, semakin pedih terasa menusuk ke jantungnya. Kenapa lelaki seperti Zaheer tidak mati sahaja? Kenapa nyawanya masih panjang? Nazatul menangis pilu mengenangkan nasib diri, nasib RIKA dan yang paling penting, Zara, anaknya?   
            “Lepaskan aku Zaheer…” rayu Nazatul.
            “Lepaskan kau? Kau jauh lebih berbahaya daripada Rabeta, kau akan terus bersama dengan aku, Naz. Karam aku, karamlah kau!” Zaheer ketawa gembira.
            “Iblis! Kau memang iblis!” jerit Nazatul, jeritannya semakin lemah dan tidak berdaya.  Terkurung bertahun, diberi makan ala kadar sahaja.  Kini, seminggu dia terpaksa menelan air paip di bilik air yang semakin kotor dan berbau itu. Tidak pernah dicuci.  Seperti dirinya. Air mata mengalir laju. 
            “Cakaplah apa yang kau mahu, aku dah menang! Aku dah menang!” soraknya, gembira.  Zaheer mengetap bibir. Wajah Nazatul yang pucat, kering dan tidak bermaya itu langsung tidak mengundang rasa simpati di hati. Benci dan meluat, tumbuh subur di hati. Wanita yang sedikit pun tiada harga padanya.
            “Tolonglah!” rayu Nazatul sekali lagi.
            “Jangan harap!” kata Zaheer, tegas. Dia menolak tubuh Nazatul dengan kakinya yang berkasut. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia memijak-mijak tubuh yang kurus dan kering itu. Dia meludah ke muka Nazatul, dia ketawa lagi. Dendamnya terhadap Nazatul tidak pernah padam. 
Pintu ditutup rapat semula, dikunci, kejap dan kemas. Tidak semudah itu Nazatul boleh melarikan diri. Orang-orangnya sudah siap sedia. Tiada siapa yang akan mampu melepaskan isterinya itu, kecuali pihak polis datang menyerbu. Biarlah Nazatul berkubur di bawah bilik itu, nanti ditimbus sahaja bilik tersebut.
***
              Sebuah Kereta Proton Wira, hitam metalik  dipandu perlahan masuk ke perkarangan RIKA. Tiga pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan melangkah keluar dari perut kereta.  Mereka menapak menuju ke pejabat pengurusan RIKA. 
            “En. Kamarul?” sapa Zara yang baru sahaja keluar dari pejabat pengurusan. Dia menunduk hormat, biarpun Kamarul menghulurkan tangan. 
            “Cik HarZara Imran Zaheer?”  teka Kamarul. 
            Zara mengangguk perlahan. Mereka sudah bercakap di telefon beberapa hari yang lalu. 
            “Ini kawan-kawan saya,” Kamarul memperkenalkan kawan-kawannya kepada Zara. Mereka saling berbalas senyuman dan menunduk tanda hormat.  Yang perempuan, bersalaman.
            “Saya Zara, penolong pengurus pusat ini.  Mari, saya bawa awak semua berjumpa dengan pengurus pusat ini,” ajak Zara setelah memperkenalkan diri.
Keadaan Rabeta yang belum sembuh sepenuhnya, membataskan pergerakannya. Kesan luka di perut Rabeta kembali terbuka beberapa hari yang lalu, salah dirinya sendiri, terlalu banyak bergerak dan masih ingin bekerja walaupun keadaan tidak mengizinkan.
            “Boleh saya tahu, siapa nama pengurus pusat ini?”  tanya Kamarul.
            “Puan Rabeta, kami semua panggil Mak Cik Eta,” jawab Zara.
            .  “Rabeta?” Memikirkan nama itu, seperti Kamarul pernah dengar, tapi di mana?  Dia ingat-ingat lupa. Nama itu begitu dekat dengan dirinya. Dia mengeluh perlahan
            “Cantik tempat ni,” kata Jenny. Kamera di tangannya terus bekerja, dia mengambil gambar di setiap sudut kawasan itu. Gambar beberapa penghuni rumah tersebut turut dirakam dengan lensa kameranya. 
            “Terima kasih, jemput masuk. Sila duduk dulu ya, kejap lagi Puan Rabeta akan bertemu dengan awak semua. Saya minta diri dulu, ada tugas lain yang perlu saya selesaikan.” Zara berlalu setelah membawa Kamarul dan rakan-rakan di ruang tamu pejabat pengurusan. 
            Mata Kamarul tidak lepas-lepas daripada memandang wajah Zara yang lembut itu.
            “Hoi! Kita datang sini, bukan nak cari jodoh.  Kita nak cari maklumat, buat kajian,” kata David, mengingatkan.
            “Ala, sesekali melihat burung yang lepas bebas, apa salahnya,” gurau Kamarul, sengaja ingin mengusik David yang sentiasa serius belajar. 
            “Erk…  di universiti kita pun ramai juga burung, malah berwarna-warni lagi. Tapi kau tak tertarik pun, ini burung hitam putih. Terkurung dan tidak bebas sangat pun. Entah-entah bekas banduan juga, kau nak ke?” usik  Rohaizad.
            Kamarul mencebik. Burung di universiti terlalu kompleks.  Di sini burungnya menarik, ada nilai eksotik, dia tersenyum sendiri.
            “Hah! Sudah… habislah, dia tersenyum sorang-sorang. Kang naik gilanya, habislah kita. Hari-hari kena datang sini,” sindir Jenny, semakin galak mengusik rakan sekampusnya itu. Pemuda yang sukar ditelah sikap dan pendiriannya. Suka menyendiri, tetapi jika ada tugasan berkumpulan, Kamarul akan memberi kerjasama dengan baik.
            “Apa gunanya kawan, kan?” Kamarul ketawa, riang. Usikan mereka terhenti apabila kelibat Rabeta mendekati. Mereka lantas bangun hormat kepada Rabeta. Berjubah labuh, tudung separa dada, kulitnya kuning langsat.  Manis dan langsung tidak bersolek. 
            “Maaflah terlambat,” kata Rabeta, usai memberi salam dan menunduk hormat kepada para tetamunya.
Dia memandang seorang demi seorang pelajar yang berdiri di hadapannya. Matanya terpaku seketika apabila terpandangkan Kamarul. Wajah pemuda itu seperti pernah dilihat dan amat dikenali. Ingatkan semakin kurang baik sejak akhir-akhir ini. Mungkin faktor usia, agaknya. Dia melakarkan senyuman dan mempelawa mereka duduk semula.
            “Saya Puan Rabeta Haji Ismail.  Panggil sahaja Mak Cik Eta. Boleh perkenalkan diri? Zara dah beritahu saya akan tujuan kamu datang ke mari.  Projek untuk tesis Master ya?” 
            Kamarul lantas memperkenalkan diri dan kawan-kawannya. Beserta tujuan mereka datang ke situ. Nama penuh pengurus tempat itu mengamit hatinya. Nama sama seperti nama mamanya yang dipenjarakan lima belas tahun dahulu. Adakah perempuan yang duduk menghadapnya ini, mamanya? Dia sendiri ingat-ingat lupa wajah mamanya.
Berbelas tahun sudah berlalu, tentulah wajah mamanya juga telah berubah. Samalah dengan dirinya. Sudah semakin dewasa. Dia mengamati wajah Rabeta. Pada setiap sudut dan inci wajah itu dipandang dan diteliti. Dahulu, mamanya tidak bertudung. Perempuan di hadapannya itu bertudung dan berjubah, manis menawan. Lembut wajahnya, ada sifat keibuan. Haruskah dia bertanya? Lidahnya kelu seketika.  Bagaimana jika dia tersilap orang?
            Dia pernah mencari mamanya di penjara tanpa pengetahuan ahli keluarganya. Mamanya sudah dibebaskan, dan tiada siapa yang tahu di mana mamanya berada. Hingga ke hari ini, dia belum lagi bertemu mamanya. Hatinya meronta-ronta ingin mengetahui, adakah perempuan itu, mamanya. 
            “Selamat berkenalan, dan semoga kehadiran kamu ke sini dapat membantu dalam tesis kamu.” Rabeta mengeluarkan beberapa fail peribadi penghuni yang menjadi bekas banduan. 
            “Memandangkan kamu hadir lima orang, saya benarkan kamu menemubual lima orang bekas banduan. Sekarang ini mereka sedang menghadiri  kelas Fardhu Ain. Kelas ni kita adakan setiap hari untuk bekas banduan yang baru beberapa bulan keluar dari penjara,” terang Rabeta. Fail lima orang bekas banduan diserahkan kepada kelima-lima pelajar itu.
            “Setiap daripada mereka disabitkan kesalahan yang berlainan. Boleh teliti fail yang saya beri itu. Jom kita ke bilik kuliah,” ajak Rabeta.
            “Berapa umur Kamarul?” tanya Rabeta sebelum dia membawa para pelajar itu bertemu dengan bekas banduan yang bakal mereka temubual.
            “Muda lagi mak cik. Belum baligh katanya selagi belum bertemu dengan mamanya,” usik Rohaizad, kawan baik Kamarul. Sudahlah seorang Kamarul pendiam, teman wanita pun tiada. Kata sahabatnya itu, selagi tidak bertemu dengan mamanya, selagi itulah dia akan menyendiri.
            “Hah? Belum baligh? Bertemu mama?”  Rabeta berfikir sejenak. Dia tersenyum.   
            “Saya nak cari mama saya. Kebetulan pula, namanya sama dengan nama mak cik. Nama ayahnya pun sama,” kata Kamarul tanpa berselindung.
            Rabeta memandang wajah Kamarul tanpa berkelip. 
            Rakan-rakan Kamarul, terdiam. Mereka saling memandang antara satu sama lain. 
            “Mama awak ke mana?” tanya Rabeta perlahan.
            “Terlalu peribadi untuk saya ceritakan. Mungkin di lain kali?” 
Kamarul tidak mahu kawan-kawannya tahu. Hanya Rohaizad dan David sahaja yang mengetahui kisah sebenar. Itupun secara kebetulan, mereka tinggal sebilik. Rabeta baru sahaja dikenali, tidak manis jika dia berkongsi cerita hal peribadinya, terutama yang melibatkan keluarganya.
            “Tak mengapa, saya tidak akan memaksa.  Setiap orang berhak untuk berkongsi atau tidak kisah peribadi mereka. Kalau tidak ada masalah lain, jom kita ke ruang pelajar.” Rabeta tidak mahu memaksa.  Dia bingkas bangun dan membawa mereka ke kelas Fardhu Ain yang sedang berjalan. Setelah meminta kebenaran daripada ustaz yang mengajar, lima orang bekas banduan dipanggil keluar untuk ditemubual oleh para pelajar tersebut. 
            “Silakan. Saya minta diri dulu. Kalau sudah selesai dan jika ada perkara lain yang ingin ditanyakan, saya ada di pejabat.” Rabeta berlalu setelah memperkenalkan para pelajar itu kepada subjek tesis mereka.
            Kamarul memandang sahaja langkah Rabeta.  Kenapa hatinya kuat mengatakan, itulah mamanya.  Dadanya sebak tiba-tiba. Rupa-rupanya, mama bersembunyi di sini.
“Adik nampak nenek menangis-nangis, along. Atok pun nampak sedih.”
“Kenapa adik tak tanya nenek?”
“Nenek tak mahu beritahu. Perempuan tu pun keluar dari rumah tu macam tu aje.”
Mungkin adiknya tidak mengenali mama mereka. Waktu kejadian mamanya dipenjara, Riyana masih bayi, lagipun tiada gambar mamanya di rumah.  Ayah telah buang semuanya.        
            “Hoi! Takkan yang tua pun kau nak cuba?  Hey, kita belum terdesaklah! Umur pun baru 23 tahun. Kalau terdesak sangat, aku pun boleh,” usik Jenny. Hairan dia melihat sikap Kamarul. Pandang perempuan tu macam hendak ditelan. Macamlah tidak pernah jumpa perempuan.
            “Apalah kau ni, Jenny! Aku teringatkan mama akulah!”  Kamarul mencebik. Dia menyengih semula. 
            “Kalau kau rindu sangat dengan mama kau, baliklah kampung.” Thulasi menggeleng. Telefon pintarnya sudah tersedia. Mereka duduk menghadap subjek mereka. Dua orang perempuan dan tiga orang lelaki. 
            “Jomlah buat kerja, asyik nak usik aku saja.”  Hal peribadi akan diselesaikan Kamarul selepas segala tugasan selamat sampai ke tangan pensyarahnya. 
           

No comments:

Post a Comment