AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 1 October 2015

IKATAN KASIH - BAB 8



            Ramli yang baharu pulang dari tempat kerja hanya memerhati sahaja reaksi emak dan ayahnya. Berita yang baharu didengari tentang perkhabaran kepulangan kakaknya mengusik hati.  Untuk apa kakaknya kembali ke rumah itu?  Dia tidak setuju jika kedua orang tuanya membenarkan kakaknya tinggal kembali di situ.  Sudah cukuplah selama 15 tahun mereka dimalukan, dihina dan dicaci oleh penduduk kampung.  Tidak cukupkah lagi?
            “Ram tak setuju kakak tinggal di sini!” luah Ramli, tegas.  Dia mengetap bibir. 
            “Dia kakak Ram!  Dia anak emak, dia berhak tinggal di sini!” Hajah Kemboja sakit hati mendengar kata-kata anak bongsunya itu.  Mereka hanya dua beradik.  Jika Rabeta pergi, tinggallah Ramli sahaja di rumah itu.  Untung masih belum berkahwin, jika tidak sudah pasti hanya dia dan suaminya sahaja berada di rumah.  Usia anak bongsunya itu bukannya muda lagi.  Disuruh berkahwin, ada sahaja alasannya.  Bukan tidak bekerja, wajah boleh tahan.  Apa lagi yang dicari oleh anak lelakinya itu, dia sendiri tidak faham. 
            “Mak nak orang kampung mengumpat kita lagi? Mencari dan menghina kita?  Mak tak serik lagi ke?”  soal Ramli.  Bukan niat dia hendak menghalang, tetapi apa yang berlaku selepas kakaknya dihukum, memang menghancurkan hati dan perasaan mereka sekeluarga. 
            “Biarlah mereka nak cakap! Mereka ada mulut!” Hajah Kemboja mendengus kasar.
            “Sudah! Diam!”  jerkah  Haji Ismail. Sejak tadi dia hanya menjadi pendengar.  Matanya membuntang memandang wajah mereka berdua.  Mukanya merah padam.  Hatinya sudah cukup sakit ketika itu.  Orang kampung sudah mula bercakap, mungkin mereka terlihat kelibat Rabeta tengaahari tadi.  Malam semakin tiba waktunya, dia pula resah di rumah.  Ditambah dengan pertengkaran emak dan anak, membuat hatinya bertambah kacau.  Sudah tentu berita kepulangan Rabeta akan diketahui oleh bekas besannya.  Apalah yang akan berlaku nanti?
            “Abang! Takkan kita nak halau Eta keluar?  Dia anak kita!” Hajah Kemboja menggeleng kesal.  Dia memandang wajah suaminya dengan penuh harapan.   Berharap jawapan yang jujur daripada lelaki yang telah dikahwininya berpuluh tahun itu.
            “Kalau itu yang terbaik, apa kita nak buat?” Haji Ismail bingkas bangun.  Tidak sanggup dia melihat isterinya menangis lagi dan lagi.  15 tahun mereka menyulam duka, memikirkan keadaan Rabeta di dalam penjara.  Kini, kepulangannya  pasti membawa sengketa lama yang cuba dilupakan.
            “Ram!?”  Hajah Kemboja mengharapkan simpati Ramli.
            “Ram begitu juga mak.  Biarlah kakak bina hidupnya di tempat lain.  Bukan di sini.  Dia terpaksa  melupakan anak-anaknya juga.  Mereka sendiri tak ingatkan kakak,”  jawab Ramli jelas.  Bukan tidak mahu menyebelahi emaknya. Kalau boleh dia tidak mahu mendengar lagi kata-kata cacian orang-orang kampung terhadap keluarganya.  Bukan dia tidak sayangkan kakaknya, dia tidak mahu kakaknya dicemuh oleh orang kampung.  Kalau kakaknya terus tinggal di kampung itu, tiada bahagia yang akan muncul dalam hidupnya.  Hanya duka yang menanti. 
            Hajah Kemboja merintih dalam hati.  Ya ALLAH, apa yang harus dia lakukan?  Menghalau anak kandung sendiri, demi memuaskan hati orang lain?  Tidak mungkin dia sanggup melakukannya.  Rabeta sudah terlalu lama menderita, kenapa harus menderita lagi?  Dia sudah pun menerima balasan di atas perbuatannya yang lalu.  Kenapa mereka harus terus menghukum?  Tiada ruangkah untuk anaknya meneruskan hidup, selagi bernafas dan  bernyawa?  Semakin perit hatinya.  Suaminya pula tiba-tiba keluar dari rumah. Langsung tidak memberi apa-apa jawapan.  Semakin perit rasa hatinya.  Ramli juga melarikan diri, sudah tentu mengurung diri di dalam biliknya.  Hajah Kemboja mengetap bibir.  Semakin sakit hatinya.

***
            Haji Ismail tidak selesa untuk berlama di rumah.  Isu panas sedang mereka bahaskan. Kepulangan  Rabeta tengahari tadi membuatkan hatinya kacau.  Kenapa anaknya kembali  ke sini?  Kenapa tidak mati sahaja di dalam penjara?  Kejam sangatkah doanya itu? Kejadian 15 tahun dahulu sudah cukup mencalar maruah dirinya. Kejian dan makian daripada besannya, cukup memedihkan telinga dan menyakiti hati tuanya.  Kejadian itu telah merampaskan ketenangan dan kebahagian serta maruah keluarganya.  Bukan dia tidak sayangkan  Rabeta? Anak itu darah dagingnya.  Tetapi perbuatan anaknya itu sudah keterlaluan.  Isteri jenis apa yang sanggup mencederakan suami sendiri?  Menantunya, seorang lelaki yang baik, bertanggungjawab dan jujur.  Apa yang telah dilakukan oleh anaknya memang tidak masuk dek akal. Sukar untuk dia  mempercayainya.  Nasib baik hanya dihukum 15 tahun, kalau seumur hidup? Dia mengeluh keras.
            Kejadian itu telah meragut kebahagian anaknya.  Kenapa sanggup Rabeta mencederakan Kamil?  Persoalan itu sering berlegar difikirannya sehingga ke hari ini, cuma tidak terluah daripada mulutnya.  Dia tidak sanggup melihat anaknya di mahkamah, tidak juga menziarahi anaknya di penjara. Hati orang tua mana yang sanggup melihat anak kandung sendiri berpakaian lokap dan digari?  Tidak sanggup dia melihat wajah polos itu dituduh bersalah.  Hanya isterinya sahaja yang mengikuti perbicaraan yang berjalan, sehinggalah anaknya didapati bersalah. Anaknya juga telah diceraikan, hancur semuanya.  Cucu-cucunya juga tidak dibenarkan datang ke rumahnya.  Hanya Riyana sahaja yang datang, itu pun sebab, cucunya itu beranggapan mereka adakan ibu saudara kepada mama tirinya.  Kalaulah Rabeta mengetahui, bekas suaminya sudah berkahwin dengan sepupunya sendiri, entah bagaimana reaksi anaknya. 
            Dia menunggang motosikalnya menuju ke masjid.  Terasa tenang ketika berada di rumah ALLAH itu.  Hari semakin larut malam, biarlah isteri dan anak lelakinya bertenang.
            “Tuan haji, kenapa datang balik?” tanya Tok Siak Hussin yang masih belum pulang.  Masih sibuk mengemas masjid dengan dibantu oleh beberapa orang lagi AJK masjid yang bergilir-gilir menjalankan tanggungjawab mereka menjaga kebersihan masjid itu. 
            Haji Ismail hanya tersenyum dan terus masuk ke dalam masjid.  Tidak mahu banyak bicara.  Hatinya tidak selesa untuk berbicara.  Fikirannya sendiri sedang berserabut.
            Dia melakukan solat sunat dua rakaat, solat hajat serta solat taubat.  Bermohon agar diberi ketenangan hati dan jiwa.  Memikirkan solusi untuk menyelesaikan masalah anaknya itu.  Dia tahu, anaknya itu tiada tempat tinggal lain.  Langsung tidak salahkan isterinya jika membela Rabeta.  Cuma, dia tidak selesa.  Itu sahaja.  Sejak Rabeta sampai tengahari tadi, dia masih belum bertemu muka dengan anak perempuannya itu.  Tidak sanggup rasanya bertemu muka
            Masih terngiang-ngiang di telinganya kata-kata besannya sewaktu Rabeta ditahan oleh pihak polis.  Bertambah angina besannya ketika anak perempuannya didapati bersalah.  Habis dicanang satu kampung tentang perbuatan anaknya itu.  Dia tidak mampu menutup mulut bekas besannya.  Tidak tahulah bagaimana penerimaan mereka jika mengetahui  Rabeta telah dibebaskan.  Malah bekas suami dan anak-anak Rabeta, sudah lama tinggal di kampung itu.  Kalaulah Rabeta tahu…  Haji Ismail terus berdoa agar diberi ketenangan dan kesabaran kepada anaknya dalam menghadapi ujian yang tidak pernah kunjung padam
            Usao solat, dia sambung mengaji pula.  Terasa tenang dan damai hatinya.  Hilang segala rasa kacau dan berserabut yang menjalar di hati.  Bacaan bersambung dari satu muka surat ke satu muka surat.  Biar pergi jauh segala perasaan bimbang di jiwa.
            “Haji, saya nak tutup pintu masjid.  Haji tak nak balik lagi ke?” tanya Tok Siak Hussin. Mata mereka saling bertemu.
            “Pergilah balik. Nanti saya kuncikan,” kata Haji Ismail.  Dia merupakan salah seorang AJK Masjid itu.  Belum terfikir hendak balik lagi.  Biarlah keadaan di rumah sejuk dahulu.  Biarlah Rabeta tidur di rumah, melepaskan rindu yang menjalar di hati. Entah-entah Rabeta mendengar segala butir bicaranya siang dan seketika tadi.  Bukan bermaksud hendak menghancurkan perasaan anaknya sendiri. 
            Siapa kata dia tidak sayangkan anaknya?  Mana mungkin dia membuang darah dagingnya sendiri?  Tidak mampu membela Rabeta dari sebarang penghinaan dan cacian.  Hatinya penuh rasa sayang terhadap anak perempuan yang pernah didukung, dicium dan dibelai ketika kecil dahulu.  Haji Ismail menahan sendu.  Janganlah air matanya mengalir.  Biarlah dia menangis kerana takutkan ALLAH SWT, bukan menangisi nasib anak perempuannya.  Mungkin sudah tertulis takdir Rabeta sejak azali.  Pasti ada hikmah yang menanti.  Semoga Rabeta tabah menghadapi ujian yang sedang dihadapinya.   Usai berdoa, Haji Ismail menyimpan al-Quran dan menutup pintu masjid.  Dia memandu motosikalnya pulang ke rumah.  Suasana gelap di ruang tamu serta beberapa bahagian di dalam rumah, menandakan penghuninya telah pun melelapkan mata.
            “Abang baru balik?”  sapa Hajah Kemboja dalam kegelapan malam di bilik tidur utama.
            “Terkejut saya!” Haji Ismail mengurut dada.  Sebaik sahaja dia membuka pintu bilik, Hajah Kemboja terus menegur.  Nasib baik tidak diserang sakit jantung.  Sengaja dia tidak membuka lampu, dia ingatkan isterinya sudah pun jauh merantau.  Rupanya belum tidur.   
            “Awak ke mana?  Tiba-tiba hilang?” 
            “Awak tak tidur lagi?”  Haji Ismail membuka lampu bilil.  Jubah ditanggalkan dari tubuhnya.  Dia hanya berseluar panjang dan bert-shirt putih pagoda.  Dia duduk di sofa berwarna hitam putih yang terletak di sudut bilik itu.  Dia berbaring sambil memandang siling.  Matanya tidak berkedip.
            “Bang, apa kita nak buat dengan Eta?  Riyana pula sering ke mari.  Siang tadi pun mereka bertembung.  Saya perasan, Eta tak kenal siapa Riyana, tapi kalau dia tahu nama cucu kita tu. Dia tahulah budak tu anak dia.  Saya juga dah bagi tahu, dia bukan lagi isteri Kamil,” cerita Hajah Kemboja. Kalau ikutkan hati, memanglah dia marah dengan sikap suaminya, tapi memikirkan sudah tua-tua begini, tak perlulah sering bertegang urat, tiada penghujungnya.
            “Apa Eta kata tentang penceraiannya?”  Haji Ismail mendengus kasar.
            “Tentulah dia sedih, dia masih  berharap untuk kembali bersama Kamil,” jelas Hajah Kemboja.   
 
            “Hah?  Jangan harap, bekas besan awak tu nak terima anak kita kembali!”
            “Habis tu apa kita nak buat?”
            “Awak tanya saya? Saya sendiri buntu memikirkannya,” jawab Haji Ismail.  Langsung  tidak memandang wajah Hajah Kemboja.  Terus melayan perasaan sendiri.
            “Saya kasihankan Eta, bang.  Kalau dia  tak tinggal di sini, ke manalah dia nak pergi? Ini kampung dia juga, tempat dia membesar.”  Kalau boleh malam itu juga Hajah Kemboja inginkan jawapan daripada mulut suaminya.  Takkanlah dia hendak menghalau anak perempuanya itu.   
            “Awak ingat, saya tak sayangkan anak sendiri ke?” tempelak Haji Ismail.  Dia juga ada perasaan, diakan ayah kepada Rabeta.
            “Tapi… saya tak tergamak nak halau dia, bang!” keluh Hajah Kemboja sekali lagi.
            “Awak fikir, saya sampai hati ke?”  Haji Ismail bangun dan duduk pula.  Dia memandang wajah isterinya. Mata mereka saling bertembung.  Sesekali terdengar keluhan  mereka berdua.
            “Kemboja, cuba awak bayangkan apa yang bakal terjadi, kalau Kamil, Habsah dan bekas besan awak tahu Eta dah pulang?  Awak nak anak awak tu diserang oleh mereka?  Dulu mereka tak boleh nak buat apa-apa dengan dia, sebab dia terus ke penjara, sekarang dia dah bebas. Macam-macam mereka boleh buat terhadap dia.  Saya tak sanggup tengok anak saya tu dicaci dan dihina, awak faham tak? Awak nak saya berparang pula ke?”
            “Takkan mereka akan buat macam tu bang?”  Hajah Kemboja merengus kasar.
            “Kita tak tahu, Kemboja, entah-entah mereka masih marah lagi dengan Eta. Manalah kita tahu?
            “Abang sebenarnya tahu ya, Eta keluar hari ini?”  Hajah Kemboja merenung tajam wajah suaminya.
            Haji Ismail diam.  Panggilan telefon daripada pihak penjara beberapa  yang lalu langsung tidak diberitahu kepada sesiapa. Usai menerima panggilan, akalnya bagaikan tidak berhenti berfikir, sampai beku jadinya.  Mulutnya turut terkunci untuk memberitahu isterinya.  Pejam celik, pejam celik, 15 tahun sudah berlalu.  Kuat sungguh anaknya melawan takdir hidupnya.  Sabar dengan kehidupan di dalam penjara. 
            “Kalau saya beritahu awak pun, apa yang awak boleh buat?” Haji Ismail mengerling.
            “Sekurang-kurangnya, kita bolehlah jemput dia!” kata Hajah Kemboja. Kecil hatinya.  Anak perempuannya balik ke rumah tanpa dijemput oleh sesiapa.  Bagaikan anak terbuang sahaja, tiada saudara mara.
            “Ramli macam mana?” Haji Ismail mengeluh keras.
            “Sama macam awak jugalah.  Tak setuju Rabeta tinggal di sini,”  adu Hajah Kemboja, sayu.         
            “Kalau Rabeta tinggal di sini, lama kelamaan dia akan bertembung dengan Riyana, takkan saya nak larang budak tu datang ke mari? Nanti banyak pula soalan yang keluar dari mulutnya.  Bekas besan awak tu, tentu tak suka! Kamil dan Habsah, kalau dia tahu?  Hish… tak sanggup saya nak bayangkan.  Macam saya cakap tadi. Saya fikirkan perasaan Eta, bukan tentang kita saja.”
            “Pening kepala saya ni, tahu tak?” Haji Ismail bingkas bangun.  Kalau berfikir sehingga ke subuh pun, perkara itu tidak akan selesai.  Lainlah keluarga bekas besannya sudah tidak kisah lagi. Malah memaafkan anak perempuannya itu. Ini tidak, dendam di hati mereka masih basah lagi.  Dia bingkas bangun. Matanya sudah terasa pedih. Tubuhnya pun  sudah mula minta direhatkan.
            Hajah Kemboja sendiri pun pening memikirkan apa yang berlaku.  Serba-salah jadinya.  Wajah Riyana yang saling tak tumpah waktu Rabeta remaja bermain di ruangan mata.  Sayu di hati.  Rasa marah membuak di jiwa, terhadap sikap bekas besannya.  Dia memandang suaminya yang sudah pun lena.  Kedengaran bunyi dengkurnya.  Letih sangatlah tu, mudah sahaja melelapkan mata.  Akhirnya dia sendiri turut merebahkan diri di tilam.  Tubuh yang sudah dimamah usia, memerlukan rehat secukupnya.

2 comments:

  1. Konflik yang sangat menarik. Moga berjaya diterbitkan dan dipermudahkan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih darimindaketinta. Karya ini telah ditolak oleh sebuah rumah penerbitan dan saya sedang mencuba dengan sebuah lagi rumah penerbitan. Terima kasih kerana sudi hadir ke mari.

      Delete