AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 6 October 2015

IKATAN KASIH - BAB 9



Air mata mengalir lagi. Rawan di hati biarlah dia tanggung sendiri. Kepulangannya tidak dirai, buat apa berlama di sini. Dia tidak lagi diperlukan dalam hidup mereka. Sudah hilang kemesraan antara mereka, sudah hilang rasa kasih dan sayang yang bersemi di hati. Tiada lagi gelak ketawa mereka bersama. Semuanya hambar, sepi dan sunyi.
            “Eta!” panggil Hajah Kemboja yang sudah pun melangkah masuk ke dalam bilik yang tidak berkunci.
            “Mak?” Rabeta bingkas bangun. Dia terlupa mengunci pintu. Duduk di birai katil.
            “Eta jangan ambil hati dengan ayah, berilah ayah masa ya? Ayah kata Eta bergaduh dengan Redza, jangan kecil hati ya?” nasihat Hajah Kemboja.
            “Tak mengapalah mak, Eta akan belajar sesuaikan diri,” ujar Rabeta, sekadar ingin menyedapkan hati emaknya sahaja.
            “Eta, sabar ya,” pujuk Hajah Kemboja. 
Dia dapat merasakan apa yang sedang bermain dalam fikiran anak perempuannya itu. Hati keibuannya turut tersentuh melihat wajah duka yang sedang duduk menghadapnya. Mahu sahaja dia menceriakan hidup anak perempuannya itu. Ingin sahaja dia berkongsi duka dan lara Rabeta. 
            “Mak, Eta cuma minta satu saja daripada mak. Mana anak-anak Eta?”Rabeta pegang bahu Hajah Kemboja. “Mereka masih tinggal di rumah lama kami ke? Mak tahu tak, mereka berada di mana?  Eta nak sangat bertemu mereka.”
 Wajah anak-anaknya ketika waktu kecil masih mampu dibayangkan. Tentu sekarang mereka sudah meningkat remaja. Rindu yang bersarang di dada selama bertahun-tahun, merentap sanubarinya.  Ingin benar dia memegang, memeluk dan mencium mereka. 
            “Eta, mak faham perasaan Eta. Mak tak mampu berbuat apa-apa. Ramadan dah pesan, jangan beritahu Eta di mana mereka berada. Eta, lupakanlah mereka. Ya?” pinta Hajah Kemboja.
Itulah pesanan bekas menantunya sewaktu datang menghantar surat cerai. Ramadan telah mendakwa Rabeta sebagai nusyuz bermakna anaknya itu tidak boleh menuntut hak penjagaan anak-anak. Kalau Rabeta berkeras juga ingin berjumpa, terpulang kepada budi bicara bekas menantunya itu.
            “Mana boleh mak? Mereka anak-anak Eta! Cuba mak bayangkan, mak duduk di tempat Eta. Apa perasaan mak? Macam mana mak rasa, jika ayah tidak benarkan emak bertemu kami?”
Luka di hati semakin parah jadinya. Haknya sebagai seorang ibu, dinafikan. Biarlah dia diceraikan talak tiga sekalipun, tapi hak penjagaan anak-anak atau pun berilah dia peluang bertemu mereka. Hatinya telah dihancurkan dengan kejam sekali. Terluka dan berdarah. Kejamnya mereka.
            “Eta boleh kahwin lagi, lahirkan anak seramai mana pun. Eta tak payahlah ganggu anak-anak Eta dengan Ramadan. Biarkanlah mereka. Lagipun mereka pun tak ingatkan Eta.” Hajah Kemboja menunduk. 
Tidak tergamak memandang wajah Rabeta yang penuh dengan air  mata. Hancur luluh hatinya melihat tangisan anak perempuannya itu. 
            “Mak cakap apa ni? Mak, tengok Eta ni. Umur Eta  dah 40-an mak. Lagipun siapalah yang nak kahwin dengan bekas banduan? Mana anak-anak Eta, mak? Mana mereka?” Semakin laju air matanya mengalir. Semakin terhimpit rasa kedukaan yang bersarang di hati.
            “Eta… pergilah dari sini, mak tak nak lagi tengok Eta dicaci, dihina dan dikeji. Mak bagi duit untuk Eta mulakan hidup baru. Eta carilah negeri mana pun. Tapi jangan lagi tinggal di sini.  Mak rayu, nak…” rayu Hajah Kemboja. Dia terpaksa, demi kebaikan anaknya juga. 
            “Mak halau Eta? Dah benci sangat emak pada Eta? Kenapa semua orang benci Eta? Eta tak salah mak! Bukan Eta… Percayalah mak!” Tangisannya semakin kuat.
Bukti memang ada. Bukti itu pula menunjukkan dia bersalah. Hanya kerana cap jarinya ada di pisau itu. Ah! Bodohnya dia. Kalaulah dia tidak memegang pisau tersebut!
  “Eta!” Hajah Kemboja terkedu. Kata-kata Rabeta mencincang lumat hatinya menjadi kecil-kecil.  Dicampakkan ke dalam sekumpulan buaya yang sedang kelaparan. Terasa jantungnya seperti dirobek, dimamah tanpa perasaan. Tangisannya pecah juga.
            “Kalau emak dan ayah tidak lagi suka Eta terus tinggal di sini. Baiklah. Eta akan pergi dari sini.  Eta juga tak sanggup tengok emak, ayah dan Redza masam muka.  Eta sedar sekarang, siapalah Eta kini.” 
Air mata yang mengalir tidak mahu berhenti.  Terlalu sedih, perit dan sakit hatinya.  Hatinya hancur lumat. Tidak mampu diubat lagi. Dia tidak mahu menyalahkan sesiapa. 
            Di luar bilik, Haji Ismail terdengar perbualan anak dan isterinya dengan hati yang lara.  Dia sendiri serba-salah. Kalau boleh, dia ingin Rabeta terus tinggal di rumah itu. Ingin berbual, bermesra dan saling bergurau seperti suatu masa dahulu. 
Namun, entahlah, dia terasa canggung dan kekok. Perasaan hambar merasuk diri. Tiada niat ingin berlaku kejam terhadap anak sendiri, apa yang dia lakukan demi diri anaknya juga. 
“Pergilah dari sini, carilah kegembiraan di luar sana.” 
Di kampung ini, semua itu sudah tiada. Yang ada hanyalah kebencian dan dendam yang bertakhta di hati mereka. Air mata lelakinya gugur juga.
            Keluhan dilepaskan keras. Langkah diatur ke tingkat bawah. Tidak sanggup lagi mendengar rintihan kedua beranak itu, di sebalik pintu yang tidak tertutup rapat. Setiap butir bicara keluar laju menyinggah telinganya. Tangisan Rabeta menyiat-nyiat hatinya. Haji Ismail duduk di kaki tangga,  di pintu hadapan rumahnya.  Dia termenung jauh.
            “Tok!” sapa seorang gadis manis, berdiri di hadapannya dengan senyuman yang terukir.
            “Ri… Riyana?” Haji Ismail mengeluh keras. Keadaan di atas sedang bercelaru. Cucunya itu suka bertanya, jika ada sesuatu yang tidak kena di matanya. Jenuhlah dia hendak menjawab setiap persoalan yang akan keluar daripada mulut gadis itu.
            “Nenek Kemboja mana? Nenek kata nak ajar Riyana masak kuih Seri Muka hari ni. Itu sebab Riyana datang,” terang Riyana.
            Haji Ismail terdiam. Wajah cucunya yang polos, lembut saling tak tumpah wajah Rabeta direnung dengan mata berkaca-kaca. Cepat-cepat dia menghalang air mata daripada mengalir.
            “Mama Aida dan ayah tahu ke Riyana datang sini? Kenapa hari ini tak sekolah?” tanya Haji Ismail, tidak tentu arah jadinya. Kalaulah Rabeta tahu siapa gadis sunti ini, tentu kecoh jadinya.
            “Tentulah tahu, kenapa ni tok? Lain macam aje muka tok. Tok demam ke?” Riyana duduk di sebelah Haji Ismail.  Dia memicit tangan Haji Ismail.
            “Kalau tok tak sihat, cakaplah. Nanti Yana boleh minta tolong ayah bawakan ke hospital atau klinik,” kata Riyana, wajahnya masih lagi manis dan ceria. 
            “Eh… mana ada? Atok sihat aje. Mungkin atok letih sangat, agaknya,” tukas Haji Ismail.
Wajah manis dan ceria itu pernah menjadi milik Rabeta suatu ketika dahulu, kini tidak lagi.  Wajah anak perempuannya telah bertukar, suram, tidak ceria, berserabut dan dahinya asyik berkerut.  Terlalu banyak perkara agaknya bermain di dalam fikiran anak perempuannya.
            “Ya ke?  Atok lupa makan ubat darah tinggi ya? Nenek mana? Tak nampak pun?” Riyana menjengahkan kepalanya. Matanya tercari-cari kelibat Hajah Kemboja.
            “Nenek keluar jumpa kawan dia, entah pukul berapa balik agaknya. Riyana baliklah dulu, datang esok ajelah. Mungkin nenek lupa janji dia dengan Riyana,” kata Haji Ismail, menghalau dengan cara berhemah. 
            “Ala tok ni? Takkan Yana nak balik pula?  Macamlah tak biasa. Orang tunggu neneklah.  Mungkin kejap lagi, baliklah tu.”
***
            “Eta… jangan pergi nak!” pujuk Hajah Kemboja. 
Tadi dia juga yang menyuruh anaknya keluar dari rumah itu. Kini, dia menghalang pula. Mahu pening kepala anaknya nanti,  Dia sendiri serba salah. Tangan Rabeta cuba ditarik.
            Rabeta sudah tidak peduli dengan apa yang bakal berlaku. Tiada siapa yang mahu menolongnya. Mahu menerimanya. Biarlah dia pergi. Biar ALLAH tentukan di mana dia perlu tinggal. Dia telah mengisi pakaiannya ke dalam beg yang kecil, mudah untuk di bawa. Tidak perlu membawa banyak pakaian.  Seadanya sahaja.
            Langkah mereka terhenti. Kedua-dua saling berpandangan. Riyana dan Haji Ismail sendiri terkedu. Masing-masing tidak berganjak dan tidak bergerak.  Kaku.
            “Nenek? Tadi atok kata, nenek tak ada di rumah. Atok suruh Yana balik, nasib baik tak ikut cakap atok,” Riyana menepuk lengan Haji Ismail. 
            “Ri… Ri… Riyana?” Kepala Rabeta terteleng memandang wajah gadis manis yang duduk di sisi ayahnya. Namanya sama dengan nama anak bongsunya. Rabeta memandang wajah emak dan ayahnya silih berganti, meminta jawapan daripada mulut mereka berdua.
            “Riyana anak siapa?” tanya Rabeta. Air mata yang berbaki di mata dan pipi sudah dilap bersih.  Dia tidak mahu gadis itu melihat dia dalam keadaan bersedih. Emaknya pula berdiri kaku di ruang tamu itu. Ayahnya pula bagaikan selesa duduk di kaki tangga.
            “Riyana, pergi balik dulu, cu. Esok datang  balik,” pinta Haji Ismail. Dia tidak mahu Rabeta terus ditimpa kesedihan.
            “Ayah! Riyana anak siapa?” soal Rabeta. Panas hatinya. Terasa menggelegak jiwanya. Kenapa ayah dan emaknya membisu? Apa yang ingin mereka rahsiakan daripadanya? 
            “Nama saya Riyana, nama ayah saya Ramadan, nama mama, Aida. Mak cik kenal ke ayah Riyana?” soal Riyana kembali setelah memperkenalkan diri.
            “Anak Ramadan?  Siapa nama  emak Riyana tadi?” Rabeta mula mendekati. Wajah bersih itu menjadi santapan matanya. Dibelek dan diteliti. 
            Haji Ismail cuba menghalang Riyana dari terus bercakap. Kenapalah cucunya itu berada di situ, di ketika itu?  Dia mengeluh keras.
            “Nama mama Riyana, Aida,” jawab Riyana telus.
            “Aida? Aida mana mak? Anak pak long ke? Abang Ramadan dah kahwin lain? Kahwin dengan anak pak long?” soal Rabeta bertubi-tubi.
Terasa lemah lututnya. Cepat-cepat dia duduk di sofa. Matanya berkaca-kaca semula. Sejak dia balik, banyak sangat kejutan yang diterima. Untung jantungnya sihat. Kalau tidak sudah pasti dia rebah kerana terlampu terkejut.
            “Eta!” Hajah Kemboja mendekati Rabeta yang sudah mula menangis lagi. Sejak dia balik, hanya air mata yang dijamu. Penat dan letih rasanya. Kalau boleh dia sendiri tidak mahu lagi menangis.  Cukuplah bertahun-tahun dia menangisi hidupnya sendiri.
            Rabeta mendekati gadis manis yang sudah pun duduk di sebelahnya. Ayahnya sudah menjauhkan diri. Wajah gadis itu menjadi tilikan matanya.  Dia menggeleng-geleng.  Berubah sungguh wajah anak itu. Maklumlah sewaktu ditinggalkan gadis itu baru sahaja berumur setahun.
            “Eta tak minta banyak, Eta hanya minta untuk berjumpa dengan anak Eta aje. Tak kiralah mereka ingat Eta atau tidak, sudi atau tidak.  Mak, ayah… Eta berhak tengok mereka, kan mak?”  Rabeta merenung wajah emaknya yang sudah basah dengan air mata.
            “Eta, jangan kusutkan lagi masalah yang ada. Biarlah bekas suami Eta hidup bahagia dengan anak-anaknya.  Biarlah mereka hidup aman damai.  Mereka tak perlukan Eta lagi,” pujuk Hajah Kemboja. 
            “Bagaimana dengan Eta? 15 tahun masa dan waktu Eta dirampas begitu sahaja. Mak dan ayah tak kasihan ke dengan Eta?” Rabeta memandang silih berganti wajah kedua orang tuanya yang kelihatan serba-salah. Apatah lagi dirinya, bukan ada niat hendak menjadi anak derhaka, berkasar terhadap orang tua sendiri. Namun dia berhak tahu.  Riyana pula berdiri kaku merenungnya bagaikan orang bingung.
“Erk… ada masalah ya? Yana minta diri dululah. Nanti orang datang balik.”
            “Pergilah balik!” halau Haji Ismail dengan nada lembut. Kalaulah Riyana membuka soalan, habislah, akan bocor semua perkara. Riyana tidak tahu dia mempunyai mama lain selain Aida. Sengaja mereka merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan Riyana.
            Rabeta terkedu melihat Riyana mengayuh  basikalnya laju meninggalkan rumah itu, sebelum sempat dia bertanya lanjut.


No comments:

Post a Comment