AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 2 October 2015

MAAFKAN RINA... ( Diterbitkan di dalam MAJALAH MINGGUAN WANITA edisi 1660)





KARYA                  :               ASMAH HASHIM.



                Air mata Hanim mengalir laju.  Hancur hatinya, remuk jiwanya.  Anak harapan keluarga tergamak menconteng arang ke mukanya.  Di mana dia hendak letak muka, apa pula kata kawan-kawan, jiran tetangga dan kaum keluarga.  Nampak sangat dia tidak pandai mendidik anak.  Anak tidak ramai, hanya tiga orang,  tetapi kenapa jadi seperti ini?  Perut anaknya yang sudah membesar dipandang lama, semakin dipandang, semakin sakit hatinya.  Kalaulah ikut rasa marah, mahu sahaja dihalau anak gadisnya itu.  Di suruh belajar dan balik bawa ijazah tetapi anak gadisnya bawa balik rahim yang berisi. 
            “Maafkan Rina mama…” tangis Rina.  Tidak sanggup rasanya memandang wajah mamanya yang sedang cemberut dan tajam merenungnya.  Dia tidak tahu hendak berbuat apa.  Rahimnya semakin membesar.  Dia menyesal! Amat menyesal!  Tangisannya berlagu duka, merenyuk perasaan jiwa dan hatinya. 
            “Maaf?  Kenapa Rina?  Mama tak faham!  Tergamak Rina hancurkan harapan mama dan ayah. Ini ayah tak tahu tau… kalau ayah tahu, bagaimana?”  Ya ALLAH! Semakin perit rasa dadanya.  Kalaulah suaminya tahu apa yang berlaku.  Memikirkan hal itu membuatkan dirinya semakin tidak keruan. 
            Tidak terluah kata-kata, dibunuh pun dia sanggup dan rela.  Salah dirinya sendiri. Ikut hati, mati.  Ikut rasa binasa. Inilah padahnya terlalu mengikut hawa nafsu muda, bersultan di mata, beraja di hati.  Dosa pahala letak ke tepi.  Hukum-hakam langsung tidak dipandangnya.  Bergaul bebas sehingga lupa diri.  Adab seorang muslimah yang beragama Islam dicampak jauh-jauh.  Dipandang tidak, dijengah pun tidak, konon rasa rugi tidak menikmati kehidupan bebas di usia muda.  Rasa tidak mengikut kehendak semasa.   Rugilah, jadi orang muda berfikiran tua.  Hidup biarlah nikmati semuanya, hatta menyerah mahkota dan maruah diri. Ikut peredaran zaman, itulah kata hatinya.  Inilah padahnya.  Orang tuanya juga yang makan hati.  Rina  mengeluh kesal.  Air mata mengalir laju, melepaskan rasa sakit di hati, kecewa di jiwa. 
            “Siapa lelaki yang bertanggungjawab membuntingkan kau?” tengking Hanim.  Rasa hendak dihempuk-hempuk kepala anak gadisnya itu.
            Tidak usah bertanyalah mama, Rina yang bersalah.  Kalau Rina tidak menyerah, tidak akan ada yang berani menjamah, detik hati kecil Rina.  Dia yang tidak pandai menjaga diri.  Dia  yang tidak tahu menghargai diri sendiri.  Kenapa hendak salahkan orang lain?  Kalau sudah diri merelakan.  Bukan dipaksa atau terpaksa.  Sepatutnya dialah yang mendindingkan diri daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak bertanggungjawab.    Tembok yang dipasang oleh keluarganya mudah sahaja dirobohkan, tergedik-gedik mengikut rentak muda-mudi hari ini.  Konon, tidak mahu dikatakan ketinggalan zaman.  Ikut sahaja jalan mereka, biarpun akal ada juga berfikir, tindakan itu salah. 
            “Rina!” jerit Hanim, hilang sabarnya.  Bagaimana dia hendak menyembunyikan perut anak gadisnya daripada pandangan umum?  Ya ALLAH! Apa dosanya sehingga begini besar ujian yang terpaksa di terima? 
            Siapa?  Dia tidak pasti, malam yang gelap tidak berbulan dan berbintang. Hanya tubuh dan tangan yang merayap.  Syaitan ketawa riang, Malaikat menangis melihat noda dan  dosa berlaku tanpa ada segan dan silu.   Inilah balanya kesilapan diri sendiri.  Apa yang harus Rina katakan mama, bisik hati kecilnya.
            “Membisu dan mendiamkan diri tidak mampu membantu mama, Rina! Bercakaplah! Siapa?”  rayu Hanim, sudah tidak mampu berdiri, dia duduk mengadap anak gadis yang membuat aib.
            “Apa yang ingin Rina katakan mama… Rina tidak tahu!”  jawab Rina, muka ditekup menahan malu.  Malam pesta yang bertukar bencana, menghancurkan masa hadapan yang terang menjadi gelap. 
            “ALLAH! Anak mama!”  Hendak pitam rasanya.  Menggigil kakinya.  Takkan anak gadisnya terlibat dalam  pesta… tidak tergamak menyebutnya.  Dia meraung semahu-mahunya.  Kenapalah tergamak anak gadisnya melakukan perkata terkutuk itu! Kenapa wahai anak?  Hanim menangis semahu-mahunya.  Kalaulah cetek fikirannya, sudah tentu teruk tubuh anak gadis itu dikerjakannya.
            Rina menerpa dan memeluk tubuh kurus Hanim.  Hatinya turut hancur berkecai melihat raungan mamanya itu.  Ya ALLAH! Apa yang sudah dia lakukan?  Kenapalah dia bodoh!  Akal yang ada tidak diguna pakai.Mmamanya sering berpesan dan berpesan setiap kali dia pulang ke asrama.  Inilah padahnya tidak mendengar cakap orang tua.  Ikut hati sendiri.  Dia beranggapan larangan mamanya bagaikan orang ketinggalan zaman, tidak mengikut perubahan arus muda-mudi hari ini. 
            “Kenapa Rina?”  tanya Hanim, terasa lemah tubuhnya.  Seram sejuk rasanya.  Anak yang berada di dalam kandungan anak gadisnya tidak tahu siapa ayahnya? Ya ALLAH! Ampunkanlah dosaku, kerana gagal mendidik anak yang diamanahkan kepadaku, kata Hanim dalam hati, tangisan masih kedengaran. Air mata masih mengalir laju.  Sakit dadanya berdenyut-denyut.  Terasa dihimpit sesuatu.  Kenapa anaknya sekejam itu?  Apa yang hendak diberitahu kepada suaminya? Orang tuanya?  Ahli keluarga?  Jiran tetangga?  Anak itu akan lahir, tangisannya akan memenuhi ruang rumah itu sehingga ke luar.  Anak itu akan membesar, lahir menjadi cucunya.  Ya ALLAH!  Semakin sakit kepalanya memikirkan masalah yang bakal berlaku.
            Rina tidak berani berkata apa-apa, kerana memang salahnya.  Dia yang mengejar keseronokkan dunia. Dia yang lupa diri. Dia yang sanggup melakukannya.  Bukan salah sesiapa.  Tangisan berlagu di hati, meraung-raung, merentap sanubari.  Melapah hancur hatinya.  Wajah mamanya yang sedih, menangis, meraung, tidak sanggup ditenung oleh mata. Dia pendosa, dia telah menghancurkan hati orang tuanya.  Rahimnya sudah berpenghuni, bakal lahir tidak lama lagi.  Dia yang berdosa, bukan bayi itu, bukan juga mamanya. 
            “Mama… ampunkan Rina ya… maafkan Rina, kerana lupa diri!” tangis Rina lagi.
            “Rina!” Wajah anak gadisnya dipandang lama.  Terasa menyesal tak sudah kerana tidak begitu mengambil berat akan diri anaknya. Jarang dijengah di asrama. Tidak pernah ditanya aktiviti anak gadisnya itu. Apa sahaja yang diceritakan oleh Rina, didengar dan diterima bulat-bulat.  Hanya duit dikirim,  hanya diberi nasihat.  Tidak pernah dilarang bergaul dengan teman-teman lelaki.  Baginya tiada apa yang salah.  Kalau sekadar keluar sekali-sekala dan berbual mesra. Hanya kawan, apalah salahnya.  Rupanya, anak gadisnya tidak pandai membezakan, baik dan buruk, dosa dan pahala.  Hubungan lelaki dan perempuan ada batasnya.  Bukan begitu caranya.  Dia tidak melarang jika berjumpa beramai-ramai dan di tempat yang terbuka!  Rupanya tetap tidak boleh.  Anak gadisnya tidak tahu keterbatasan itu rupanya?   Aduhai anak!  Cetek sungguh fikiranmu, dangkal sungguh akalmu, Hanim terus menangis duka.  Berdarah hatinya, luka yang teramat dalam, terasa pedih dan peritnya.  Tidak matang rupanya. Umur sahaja besar, tetapi akal belum masak lagi. Apa yang harus dia lakukan?  Hanim terkedu sendiri.
***
            Berminggu-minggu dia keluar daerah, mencari rezeki untuk untuk menyara keluarga.  Berhempas pulas di tempat kerja demi menggembirakan seisi keluarga.  Orang berada, dia juga ingin begitu.  Orang ada duit berkepuk, dia juga nak.  Orang berumah besar, dia juga teringin. Orang berkereta menjalar, takkan nak tengok sahaja.  Berusahalah dia siang dan malam memenuhi kehendak sendiri dan  membuat keluarganya bahagia dan senang hidupnya. 
            Kepulangannya kali ini membawa cerita duka, cerita pedih dan sedih. Dahinya yang sudah berkedut, bertambah kedutnya.  Kepenatan yang terasa semakin lelah rasanya.  Sukar untuk dia mempercayainya, kalau tidak dilihat dengan mata kepala sendiri.  Perut anaknya telah membuncit?  Bukan makan  terlebih, ada nyawa yang sedang membesar di dalamnya.  Ada insan yang bakal lahir melihat dunia ini  Tidak tahu siapa ayahnya?  Tidak tahu siapa yang telah merosakkan anak gadisnya itu.  Terhenyak dia disofa ketika melihat kelibat anak gadisnya yang sudah berbulan tidak ditemui.  Hanya isterinya sahaja yang pergi menziarahi anaknya di asrama.  Dia sibuk bekerja.
            “Ya ALLAH!” Hanya perkataan itu sahaja yang mengalir keluar daripada bibirnya.  Wajah isterinya yang bengkak mata dan tidak terurus itu dipandang sekali-sekala berselang-seli dengan wajah anaknya yang monyok.
            “Apa yang harus kita lakukan bang?” tanya Hanim, sudah berhari-hari dia sukar untuk melelapkan mata.  Hilang kantuknya.  Berserabut dan bercelaru fikiran.  Hendak disorok ke mana?  Di universiti? Silap haribulan anaknya bakal dibuang.  Hendak dihantar ke kampung, silap haribulan berkilo-kilo leteran kedua orang tuanya.  Ke mana?  Di mana?  Hanim semakin tidak keruan, galau di hati semakin menyakitkan.
            “Rina?”  Wajah yang tidak beriak itu dipandang tajam.  Tidak tahu perkataan apa yang harus keluar daripada mulutnya.  Hatinya panas terbakar.  Anak gadisnya telah menghancurkan perasaan dan hatinya.  Isterinya turut berasakan perasaan yang sama.  Jelas terpampar perasaan itu di wajah isterinya. Duka telah menghimpit keluarganya.  Perasaan remuk redam, meranapkan semuanya.
            Rina tidak menjawab, sama sahaja reaksinya, tiada perubahan.  Apa yang terlahir hanya ucapan ampun dan maaf.  Berkali-kali dia mengucapkannya.  Biarlah jemu orang tuanya mendengar.  Biar benci orang tuanya mendengar.  Dia yang salah!   Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dia lakukan.  Untung dia masih ingat jalan pulang ke rumah orang tuanya.  Kalau cetek fikirannya, melahirkan anak itu di mana-mana dan kemudian membuangnya, bagaimana?  Ah! Tidak sanggup melakukan dosa lagi.  Apa yang dibawa sudah cukup membebankan dirinya, membebankan kedua orang tuanya.  Inilah padahnya ikut hawa nafsu!  Bila mamanya memberitahu dan menasihati, dia buang endah tak endah.  Tidak mungkin dia akan mengikutnya, dianggap nasihat yang diterima ketinggalan zaman. Bila sudah terjebak, baharu dia sedar… kawan-kawan telah memasukkan sesuatu dalam minumannya.  Dia khayal, dia mabuk dalam keseronokkan dunia.  Konon tidak mengapa, takkan jadi apa-apa, sekadar menghilang tekanan pelajaran.  Inilah padahnya!  Mencari keseronokkan sementara.  Seronokkan sangat!  Rina menangis lagi. 


***
            Malam yang  gelap gelita, bersaksikan cahaya bulan dan lampu jalan, dia mengisi beg baju dengan pakaiannya.  Tidak mahu lagi menyusahkan kedua orang tua. Sebelum masyarakat sekeliling mengambil tahu dan mengetahui apa yang berlaku, biarlah dia pergi jauh daripada keluarganya.  Biarlah dia menyelesaikan sendiri masalahnya. Biarlah dia bawa diri ke mana sahaja.  Apa yang penting tidak menyusahkan keluarganya. Tidak memalukan kedua orang tuanya.  Biarlah dia tanggung sendiri, masalah yang telah dicipta ini. 
            Perlahan-lahan langkah diatur.  Berhati-hati agar tidak didengari oleh kedua orang tuanya.   Abang dan adiknya tiada di rumah, mereka tinggal di asrama.  Dia memandang sekeliling. Belum pun melangkah, rasa rindu sudah menjelma.  Kalaulah dia… hanya itu perkataan yang terlahir difikiran.  Salah diri sendiri.  Tersilap percaturan, tersilap langkah dalam mencari kedewasaan.  Keremajaan bukan untuk disia-siakan atau mencari hiburan dan keseronokkan semata-mata.  Keremajaan seharusnya dipelihara, dijaga, disemai dengan adab 2dan akhlak agar tumbuh dengan subur dan membesar sihat dan segar.  Dia menjadi tumbuhan yang layu sebelum berkembang. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan, besar musibahnya.
            Dia memandang bilik kedua orang tuanya.  Harapan mereka tinggi ingin melihat dia berjaya.  Hanya tinggal setahun sahaja lagi, dia akan menamatkan pelajarannya.  Hanya setahun lagi, dia akan menggenggam segulung ijazah yang didambakan oleh orang tua dan dirinya sendiri.  Dia telah musnahkan harapan itu! Dia telah menghancur leburkan impian itu. Dia telah mengkaramkan kapal  yang dikemudinya sebelum sampai ke pelabuhannya. 
            Selamat tinggal semuanya, biarlah kenangan itu tersimpan kemas di hati.  Biarlah dia bawa diri agar tidak menyusahkan orang tuanya.  Jangan orang tuanya malu kerana kebodohan dirinya sendiri.  Sudah terhantuk baharu  hendak sedar! Kalaulah dia hantuk kepala sendiri sebelum terjebak, alangkah bagusnya.  Rina mengeluh berat.  Langkahnya semakin menghampiri pintu.  Beg pakaian ditarik perlahan-lahan, jangan ada yang terdengar langkahnya untuk melarikan diri.
            Daun pintu dibuka perlahan.  Sesekali dia menoleh dan memandang pintu bilik kedua orang tuanya.  Dia menarik nafas panjang, berhati-hati kali ini.  Biarlah dia dilupakan oleh kedua orangnyanya, dia sanggup.  Dia hanya membawa duka di hati mereka, dia hanya membawa sengsara dalam hidup mereka. Biarlah dia bawa pergi dosa yang dicipta sendiri.  Biar tenang hati orang tuanya.
            “Rina?  Nak ke mana?” sapa satu suara yang amat dikenalinya. 
            Ya ALLAH, belum sempat dia melangkah. Sudah disapa oleh mamanya.  Perlahan-lahan dia menoleh.  Ruang tamu yang samar-samar diterangai cahaya lampu luar menjadi terang-benderang.  Dia tidak berani menoleh.  Berdiri kaku bagaikan patung tidak bernyawa.  Terasa berhenti jantungnya berdegup.  Terasa sesak nafasnya.
            “Bawa beg sekali?  Nak ke mana?” tanya Hanim sekali lagi.  Dia menarik tangan dan bahu anak gadisnya.  Wajah kelat anak gadis dipandang seketika. 
            “Abang! Abang!” laung Hanim.  Tahulah dia, anak gadisnya itu berniat melarikan diri.  Dia menggeleng kesal.
            “Kenapa Hanim?” Terpisat-pisat  Rudi mendekati isterinya bersama anak gadisnya, beg pakaian yang berada  berhampiran anak gadisnya turut menjadi lirikan matanya. 
            “Kenapa Hanim?  Rina nak ke mana?”  tanya Rudi, hairan menerjah.  Hendak melarikan dirikah anak gadisnya itu?  Malam-malam begini? 
            “Rina nak lari dari rumah, bang!” adu  Hanim.  Semakin kecewa hatinya. 
            “Ya ALLAH! Rina nak menyusahkan mama dan ayah lagikah?” tanya Rudi, turut berasa hati dan benar-benar kecewa.  Melarikan diri tidak menyelesaikan masalah pun. Malah membebankan lagi.
            “Rina dah buntu ayah, mama… Rina tidak tahu apa yang harus  Rina lakukan?”  tangis Rina, dia menyandar di dinding. Dia menunduk, tidak berani memandang wajah kedua orang tuanya.  Rasa bersalah yang tidak pernah surut  di hatinya.  Semakin menajam, menikam jantung hati, membunuh dalam senyap.  Mampu melumpuhkan akal dan fikiran.  Boleh berlaku apa sahaja jika sudah terdesak dan mendesak.
            “Melarikan diri tidak menyesalkan masalah Rina! Apa mama dan ayah nak jawab dengan abang dan adik, dengan nenek dan atok di kampung? Dengan kawan-kawan dan jiran tetangga? Tentu mereka akan bertanyakan Rina, ketika itu apa yang ingin kami jawab?”  kata Hanim.  Dia duduk di sofa, mencari kekuatan diri.
            “Maafkan Rina… mama, ayah!”  rintih Rina dalam sendunya.
            “Nasi sudah menjadi bubur, anakku… tidak mungkin mama dan ayah membiarkan Rina terus hanyut sendiri.  Rina nak ke mana dengan keadaan begini?  Adakah dengan melarikan diri, Rina terlepas daripada masalah ini?” soal Rudi. Hatinya terbakar kecewa.
            “Ya, Rina… tidak guna kami marahkan Rina, segalanya sudah berlaku.  Nanti sama-samalah kita fikirkan solusinya ya nak,”  pujuk Hanim lembut.  Memarahi, menengking dan menjerit tidak berguna lagi.  Segalanya sudah berlaku.  Dia terpaksa menerimanya biarpun parah.  Biar berdarah dipukul  anaknya itu, keadaan tetap tidak berubah.  Yang membesar akan terus membesar dan bakal lahir juga ke dunia ini.  Bangkai gajah tidak mungkin dapat ditutup.  Terpaksa juga ditempuhinya.  Biar bernanah telinga, terima sahajalah.  Inilah dugaan yang terpaksa dihadapinya.  Semoga ada jalan keluar terbaik buat mereka sekeluarga. 
            Salah dirinya juga, tidak memberi pelajaran agama, hanya mementingkan ilmu dunia.  Hanya mengajar bagaimana berjaya, tidak mengajar bagaimana menjaga diri sebagai seorang perempuan yang terbatas pergaulannya.  Tidak memaksa dan menyuruh anaknya solat dan menutup aurat sebaik-baiknya.  Semua perkara diambil mudah, akhirnya  memakan diri.  Duit boleh dicari, maruah dan harga diri tidak akan ada galang gantinya. 
            “Mama… ayah… maafkan Rina!”  Rina menerpa memeluk Hanim yang menangis sayu.  Biar apapun berlaku, dia sudah menjahanamkan dirinya sendiri, tetapi masih ada jalan keluar, sokongan keluarganya amat diperlukan kini.
            Hanim mengeluh kesal. Biar berat bahu yang memikul, terpaksalah dia hadapinya juga.  Semoga ada jalan keluar yang terbaik buat mereka sekeluarga. Ya ALLAH, ampunkanlah kejahilan kami… doa Hanim dalam hati.  Tubuh anaknya yang semakin berisi dipeluk erat.  Bukan menyetujui perbuatan noda dan dosa anaknya tetapi tidak mahu menambah dosa yang ada.  Kembali kepada ALLAH jalan yang terbaik buat keluarganya.

Allah  berfirman: 
            “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk,” (al-Israa': 32)

No comments:

Post a Comment