AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 20 October 2015

RASUAH - BAB 7



           Pagi-pagi lagi majikanku sudah panggil masuk biliknya. Berdebar rasa hati, apalah yang beliau nak agaknya?  Takutlah juga, manalah tahu aku ada buat salah.  Hey, aku bukanlah pekerja yang rajin sangat.  Suam-suam kuku sahaja rajinnya.  Dengan hati berdebar-debar aku pun melangkah masuk ke dalam biliknya. Sebaik melangkah masuk, mataku terus terpandangkan beliau yang sedang menaip sesuatu di laptopnya.
            “Tuan,” sapaku perlahan. Masih berdiri tidak jauh dari meja beliau.
            “Duduk!” pelawanya.
            Aku akur.
            “Hari ini awak ikut saya hantar tender dan buat presentation.” Dia menyerahkan satu fail kepadaku.
            Hah? Ikut dia? Kenapa aku? Terasa peliklah pula. Seboleh-boleh tidak mahu kerutkan dahi, tak mahu berkedut sebelum waktunya.
            “Tak  payah buat muka asam boi awak tu,” tegurnya.
            “Kenapa saya?” tanyaku.
            “Awak sahaja yang tahu pasal projek ini, dah jangan banyak cakap. Jom pergi!”  dia terus mencapai beg bimbitnya dan melangkah keluar.
            Terkejar-kejar aku mengikut dari belakang.

                                                ****
            Sampai di syarikat yang mengeluarkan tender dan tempat kami membuat presentation, kami terus ke bilik yang telah dijadikan tempat menunggu. Ada beberapa syarikat lagi.  Mataku memang tak pernah duduk diam, kalau ikutkan tak baiklah bersikap seperti aku. Majikanku pula buat muka selamba dan saling menegur beberapa orang yang berada di situ.  Lupa nak bagi tahu, syarikat tempat aku bekerja adalah sebuah syarikat hartanah dan pengiklanan.  Semuanya majikan aku nak buat.  Yang pening adalah para pekerjanya. Orang itu jugalah buat dua kerja.  Tidak kisahlah asalkan gaji berbayar. Dalam dunia serba mencabar ini, tidaklah boleh demand dalam mencari pekerjaan.  Asalkan halal, terima sahajalah.

            10 minit kemudian, kami dipanggil oleh salah seorang lelaki yang berpakaian kemas bertali leher, dan serius sahaja wajahnya. Kami dibawah ke sebuah bilik.  Dia mempelawa kami duduk.
            “Encik Zarul dari Syarikat Impian Diana, kan?”  tanyanya.
            Majikannya hanya mengangguk.
            “Begini…” lelaki itu memulakan bicara.
            Terjojol mataku dan mata majikanku. Kami saling memandang sesama sendiri.  Kemudian mata kami memandang wajah lelaki itu yang menyengih dan menunggu jawapan daripada kami. 
            Aku melepaskan keluhan.
            Majikanku sudah angkat punggung dan berlalu pergi.
            Aku terkedu seketika. Nampak sangat majikanku tidak mahu tunggu.  Aku memandang wajah lelaki itu yang telah bertukar serius semula.
            “Urusan kita habis di sini sahaja tahu,” katanya.
            Aku mencebik. Sebelum berlalu, aku nak bagi sedas pada lelaki itu.
 
            Firman ALLAH SWT: 
            Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).’ Surah Al-Baqarah Ayat 188.
            Hello… awak itu makan gaji, sudah kahwin? Ada anak bini?  Kenapa bagi mereka makan hasil haram?  Tak tahukah, makan rasuah itu haram?  Tahukan? Saja-saja buat tak tahulah ini.  Tengok muka macam orang Melayu, dan sudah tentu beragama Islam.  Memalukan bangsa saja.  Inikah cara kau nak majukan perniagaan orang Melayu?  Inikah caranya untuk kau menolong orang Melayu?  Jangan bagi malu bangsa sendirilah.  Orang macam kau sepatutnya dihumban dalam kolam buaya. Biar dimamah sehingga hancur.  Orang macam kau menghancurkan negara! Kau pengkhianat Negara, Bangsa dan Agama. Kau ingat rezeki yang kau dapat ini berkatkah?  Jadi darah daginglah! Kalau anak-anak kau tak jadi orang, jangan salahkan pendidikan Negara, tengoklah apa yang kau bagi mereka makan? Kalau isteri kau masih tidak kenal agama, kau jangan salahkan orang lain atau dirinya.Sebab, kau sendiri jauh daripada agama.  Orang Islam yang baik takkan terima rasuah! Orang Melayu yang cintakan Bangsanya tidak akan meminta rasuah! Kau memang jalanglah!  Harta yang kau dapat itu haramlah. Tak berkat! ALLAH benci orang seperti kau. Kau nak tongkat langitkah? Kau ingat, kau akan hidup lama?  Tak akan mati? Tak takutkah ketika ditanya oleh Mungkar dan Nangkir nanti akan dosa-dosa yang kau lakukan?
            Bertaubatlah!  Tidak banyak mana seribu dua yang kau minta. Untuk apa? Jangan tamak haloba, jangan lawan hukum ALLAH kelak diri sendiri binasa. Jangan ikut hati, nanti mati, jangan ikut rasa nanti binasa. Kau tak kasihankah pada anak isteri kau, kalaulah kau ditangkap, bagaimana?  Kalau kami buat aduan, kau ingat kau boleh terlepas?  Oh ya lupa nak bagi tahu, aku sempat rakamkan perbualan kita.  Baiklah kau insaf sebelum aku serahkan rakaman ini pada bos kau.  Hari ini kau terlepas, jangan ingat esok lusa kau akan terlepas juga. Ingatkan bidalan orang tua-tua, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.  Jadi, berhati-hatilah dengan nafsukau  yang raku situ.  Kau menempah malang sendiri. Berapa ramai yang sudah ditangkap kerana meminta rasuah dan memberi rasuah. Kau pun nak rasa ya makan nasi berlaukkan ikan kembung yang berlendih?  Kau ingat duduk dalam penjara seronok?  Hey, malulah, jangan malukan diri sendiri.  Sekarang ini kau sudah menjawat jawatan yang baik.  Kerjalah elok-elok!  Jangan jadi mangsa nafsu sendiri. Rugilah!  Pemakan rasuah dan pemberi rasuah bagaikan sekam dalam pagi, mampu menghancurkan negara dalam senyap!
            Bekerjalah dengan jujur dan penuh rasa tanggungjawab.  Kita bukan nak hidup di dunia sahaja, kubur juga menanti tahu! Bentakku. Geram aku dengan sikap orang seperti lelaki itu. Langsung tidak ada kejujuran dalam diri. Kalaulah aku lelaki pasti penumbuk singgah di mukanya.  Wajahnya yang sebal mendengar bebelanku sedikit pun tidak mengganggu gugat hatiku.  Pergi jahanamlah orang seperti ini.  Semoga ada jalan pulang untuknya sebelum ajal menjemput.
            “Awak buat apa tu?” sapa majikanku yang muncul di muka pintu.
            Aku memandangnya kemudian memandang lelaki tadi yang masih duduk kaki di kerusinya. Aku memandangnya sinis, jijik dan memalukan.  Langkahku laju meninggalkan dia berfikir sendiri akan kat-kataku tadi.  Projek tidak besar mana, rasuahnya sahaja yang lebih. Biarlah tidak dapat asalkan dari rezeki yang halal. Memberi dan menerima rasuah tetap berdosa. Tetap haram.  ALLAH juga murka.
            “Tuan tak nak balik ke?” tanyaku sewaktu melihat dia duduk kembali di bilik menunggu. Takkan majikanku setuju. Ini sudah kes berat. Nak kena bebel juga ke majikanku?

            “Jangan buat muka tak sudah awak tu, saya tak nak mengaku kalah. Saya nak tengok sejauh mana permainan dia,” jawab majikanku.
            Aku terdiam, betul juga. Kenapa harus menyerah. Belum lagi berjuang.  Sekarang masanya berjuang membenteras peminta rasuah dan pemberi rasuah.  Cayalah Bos! Aku tersenyum bangga. 

No comments:

Post a Comment