Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 29 Oktober 2015

ULASAN NOVEL KITAB LAMA - KARYA SHA HANIM RAMLI

Sudah lama tak ulas buku yang telah saya selesai baca. Tajuk karya ini telah menarik hati saya. Tertanya-tanya apa isinya. Kitab Lama? Mesti sesuatu yang menarik untuk dijadikan bahan bacaan.

Kisah bermula di zaman ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Siapa yang tidak tahu akan kekejaman Jepun satu ketika dulu. Membunuh dan merobek nyawa orang macam siang daging untuk makan tengahari sahaja. Langsung tidak ada belas ehsan di hati mereka.

Watak utama Martin, seorang anak muda yang hidup di zaman 2013, sombong, bongkak, hidup bebas, tidak sayangkan bangsa sendiri, tidak suka dengan budaya sendiri. Berpaksikan kehidupan barat semata-mata.

Keanehan berlaku apabila Martin terlihat wajah seorang tua yang meminta sedekah, wajah seorang lelaki yang berpakaian lengkap bagaikan pahlawan lama. Kerana asyik dan leka memerhati, dia terjatuh di bahu jalan dan terus koma tidak sedarkan diri berbulan-bulan. Dalam komanya dia berada di dunia lain.

Martin bertukar MALIM di tahun 1942. Dia menjadi anak Tok Demang, ketua kampung yang kehilangan anak ketika itu. Martin melihat sendiri kehidupan sebelum merdeka. Merasai sendiri bagaimana sukarnya bangsanya mempertahankan tanah air ini daripada dijajah. Selama ini dia beranggapan sejarah yang ada adalah satu pembohongan. Rupanya dia silap. Kembali ke zaman dahulu telah mengubah mindanya terhadap bangsa sendiri. Dia insaf akan kekhilafannya. Dia sedar siapa dirinya dan tanggungjawab yang tergalas dibahunya.

Apa yang berlaku seterusnya? Adakah Malim Deman sama dengan cerita hikayat Malim Deman? Apa yang berlaku pada Martin waktu berada di alam lain itu. Mampukah dia melawan kekejaman Jepun terhadap diri dan keluarganya? Hendak tahu? Kenalah dapatkan buku ini. Karya yang lain daripada yang lain. Ada kisah duka, ada kisah kekeluargaan, ada cinta,cukup rencah dan rasa. Indah bahasanya. Teratur jalan cerita biarpun ada teknik imbas semula atau kembali ke zaman lain.

Karya yang mampu membina jati diri anak muda. Karya yang berunsur sejarah dan tidak membosankan dengan fakta dan tahun.

Harga: RM 20.00
ISBN: 978-967-86-0601-1
Halaman: ~416
Berat: 400 gram
Tarikh Terbit: 25 Ogo 2015
Kategori: Novel



1 ulasan: