Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 19 November 2015

KUTEMUI SINAR ITU - BAB 1- ASMAH HASHIM



           



 Air yang bertakung di kelopak mata ditahan agar tidak  gugur mencecah  pipinya, seperti dia mempertahankan dan meningkat-tinggikan harga diri, maruah serta semangat juangnya.  Tidak akan dibiarkan gugur sebelum  berperang.  Namun rasa tersinggung berarustali di hati.  Wajah  Ustaz Zaki yang tersenyum sinis  menerjah ingatannya.  Sukar baginya mengawal perasaan  amarah yang sedang  beraja di hati.  Kalau ikutkan hati mahu sahaja  menghenyak-henyak wajah lelaki itu agar hatinya puas.  Rasa geram dan marah bercampur baur, menikam dan menumbuk bertubi-tubi di sanubari. Langkah diayun bagaikan orang berkawat, hentakannya kuat seolah menggambarkan perasaan yang sedang resah diulit pilu.  Berkali-kali dia beristigfar agar hati tidak diterjah syaitan yang suka menghasut anak  Adam ketika  marah bernaung kejam.
            Ummu Salamah melangkah laju menuju ke kawasan khemah.  Bunyi derapan kakinya begitu jelas kedengaran di telinganya sendiri.   Terlalu kuat agaknya sehingga  menggundang resah di hati mereka yang lalu di hadapannya.  Wajah mereka berkerut seribu apatah lagi melihat wajahnya yang cemberut bagaikan hendak telan sesiapa sahaja yang melintas di hadapannya.  Semakin laju langkahnya semakin kuat hentakan  kasutnya.  Hembusan angin yang menyapa pipi dan tubuhnya  membuatkan tudung labuh berwarna  kelabu yang  menutupi mahkota diri beralun lembut.     Dengan lembut, angin itu seperti cuba membelai hatinya yang sedang walang dan kecewa.
            Sesungguhnya dia tidak mahu menangisi apa yang berlaku lagi. Seperti dia menangisi takdir yang telah menikam diri, bagaimana mungkin dia melupakan apa yang terjadi.  Ketika  itu diri ini terlalu rapuh dalam mengenal sepak terajang  dunia pekerjaan apatah lagi bersama kaum Adam yang hanya  tahu memandang rendah akan dirinya, seorang Hawa kononnya  lemah dan tidak layak  berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mereka yang  dianggap khalifah di muka bumi.  Waktu itu dia baharu sahaja ditukarkan ke sebuah masjid  sebagai Penolong Pengurus   Masjid.  Ustaz Kamil ketika itu ketuanya begitu mudah memperkecilkan kebolehannya.  Semua kertas kerja dan program yang diatur disabotaj dengan mudah.  Menangis dia sendiri.  Sakit hati dan geram mengebom diri.  Dia pasrah.  Sekarang tidak lagi.  Tidak mungkin dia melupakan semua itu.  Bukan mencari dendam atau mencipta  musuh tetapi  cukup, cukup sudah.  Dahulu dia terlalu muda untuk mengerti, sekarang amat memahami.  Mereka tidak boleh lagi memperlekehkan  dirinya.  Hatinya sudah seteguh menara KLCC.  Percayalah!
Huh!  Baharu diuji dengan sedikit ujian sikap manusia yang tidak bertanggungjawab dirinya sudah mengeluh kesah dan serapuh daun kering.  Tiada guna mengeluarkan mutiara jernih itu, hanya kerana sikap segelintir  manusia yang  seperti itu.
Alunan suara Syeikh Muhamad dari Mekah melantunkan bacaan ayat-ayat al-Quran dari gerai berhampiran masjid melembutkan kembali perasaanya yang sedang keras seperti batu.  Biarlah dia menjadi lilin menerangi  orang lain, biarlah dia menjadi payung pelindung dari hujan dan panas.  Biarlah dia menjadi air menyejukkan yang panas.  Biarlah sikap Rasulullah SAW walaupun tidak semuanya  mampu diikuti menjadi ikutan dalam diri.  Kekuatan Baginda menghadapi musuh-musuh Islam, ketabahan dan kesabaran  Baginda wajib dicontohi dan ikuti.  Semoga dia sekuat Rasulullah SAW, doanya di dalam hati.Ya, biarlah!
Sedetik itu dia menghentikan langkah.  Dia mematikan keinginannya untuk kembali ke pejabat.  Dia memeriksa  senarai nama para peserta yang telah menempah khemah untuk menjual barangan mereka, seperti jubah, buku, dan peralatan solat. Semua barang-barang itu ditentukan sendiri oleh pihak empunya gerai dari segi kualiti dan kuantitinya.      Dia hanya perlu memastikan segalanya tersedia, cukup dan memuaskan hati para peserta.
            Dia perlu menyemak senarai para peserta yang menyewa dan memeriksa lesen mereka serta bayaran yang telah dibuat sejak minggu lepas lagi.   Supaya tidak berlaku mereka yang tidak membayar sewa atau  menyewakan khemah itu kepada orang kedua.    Sepatutnya tugas itu dia lakukan bersama seorang lagi pekerja yang  seharusnya membantunya dalam urusan pengaturan dan penyusunan  para peserta mengikut cabutan nombor waktu mereka membayar yuran penyewaan.  Entah ke mana hamba  ALLAH berkenaan.  Jika difikir buat hati dan jiwanya kacau.  Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. 
           
            Dia melangkah ke ruang kedai masjid  yang sudah tidak digunakan lagi.  Di situ sudah tersusun barang-barang keperluan untuk fakir miskin.  Barang-barang itu disumbang oleh penduduk di sekitar masjid dan melalui kutipan setiap hari Jumaat.   Kerja-kerja pembungkusan dibantu oleh beberapa orang bawahannya.  Itupun setelah dipaksa dan diberi imbuhan kerja lebih masa. Beras, susu, gula, biskut sudah dibalut kemas.
Setiap bulan agihan itu akan diberi bagi meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan,  sedikit sebanyak boleh membantu.    Setiap  kali bertemu mereka, wajah-wajah itu memandangnya dengan mata yang penuh penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak mampu terucap dengan kata-kata.  Kecil bagi mereka yang berada, besar bagi mereka yang serba kekurangan.  Nama fakir miskin itu sudah sedia ada di bahagian kebajikan.  Bahagian itulah yang mencari dana dan mereka yang layak menerima segala bantuan daripada orang perseorangan, zakat dan  Baitulmal.  Ada kalanya mereka datang mengadu lantaran tidak mampu membayar sewa rumah, air dan eletrik.  Itulah tugas utama masjid memastikan semuanya terbela dan mendapat pembelaan.  Tidak kurang juga keluarga yang sudah kehilangan ketua keluarga.  Ibu terpaksa bekerja, anak merempat merata.  Di masjidlah mereka datang meminta,  membantu sekadar mampu sahaja.  Ada kes disuakan kepada kebajikan masyarakat dan pihak zakat.  Semoga mereka  mampu dibantu.
Adakalanya terlintas di kepala bahawa mereka barangkali memerlukan perhatian, belaian  dan kasih sayang.  Dia bertuah mempunyai ayah dan ibu, walaupun tidak sesenang atau sekaya mana tetapi keluarganya masih mampu menyaranya sehingga ke menara gading, malah belajar sampai ke luar negara.  Biar terpaksa bertungkus lumus sendiri mencari wang bagi menyara diri di perantauan, itu bukan penyebab dia tidak boleh berjaya dalam pelajaran.  Lima tahun dirantau orang tidak sekalipun dia melangkah pulang waktu cuti semester.  Cutinya dihabiskan dengan mencari ilmu di tempat lain, bukan hanya tertumpu di universiti tempatnya belajar. 
            Naluri hati manusia, memerlukan kasih dan sayang, belaian manja tidak kira tua atau muda, kecil atau besar.  Jika mereka memerlukan itu semua, apatah lagi dirinya seorang wanita yang sentiasa dahagakan kasih dan sayang serta belaian manja seorang suami.  Anak-anak penyeri hidup, penerang hati ketika pilu dan sedih menghimpit kalbu.  
Wajah yang tidak padam diingatan adalah wajah suami tercinta, Imran…  di waktu begini agaknya apa yang dibuat oleh suaminya?  Mungkinkan di tempat kerja atau sudah keluar makan tengahari bersama kawan-kawan sepejabat.   Wajah yang jarang dilihat ketika berhujung minggu lantaran kesibukkannya menguruskan aktiviti dan program di masjid.   Lelaki yang amat memahami dan berdiri utuh dibelakangnya. Pemberi dan pembakar semangat untuk dia meneruskan kerja-kerja dakwah kepada masyarakat.
Sesekali terdengar keluhan berat daripada  bibirnya.  Bagaikan meluahkan apa yang sedang menumbuk jantungnya ketika dan saat itu.  Terasa meloya tekaknya, pening dan sakit kepala memikirkan apa yang sedang berlaku.  Terasa mahu sahaja dia menghentak kepalanya biar hilang ingatan.  Tidaklah nanti orang akan menuduhnya tidak bertanggungjawab.  Lagipun, nanti dianggap  tidak siuman atau sengaja mahu mencederakan diri sendiri.  Berdosa dan tidak cium bau syurga.   Biar sukar dan susah sekalipun, namun menempah neraka akibat kealpaan diri sendiri yang terlalu mengikur hawa nafsu dengan membunuh diri tidak sama sekali.
Alunan muzik qasidah dari khemah berhampiran membuatkan hatinya turut bernyanyi bersama. Irama padang pasir dengan kata-kata pujian kepada Rasulullah SAW mencuit hatinya yang sedang lara dan kecewa atas sikap rakan sekerja  yang hanya tahu mementingkan diri sendiri. Di satu sudut alunan ayat-ayat suci Al-Quran yang dipasang bergema mengubah suasana di laman masjid bagaikan berada di negara  Asia Timur. Beralun lembut dan berombak membelai  kalbu.  Perit limpahan matahari memancarkan cahayanya menerangi alam menyentuh kulitnya.  Seperit perasaannya ketika itu. 
Dengan riak muka  bersahaja dia melangkah ke pejabat.  Daun pintu ditolak  perlahan.  Biarpun hatinya sedang membahang tetapi tidak usahkan ditunjukkan sangat.  Biar membakar di hati,  kesabaran perlu ada biar bagaimana keadaan yang bermain di hati.  Dia menuju ke biliknya.  Longgokan fail bersusun kemas di atas meja.  Senarai nama  persatuan yang akan turut sama dalam program  Karnival Masjid An-Nur diteliti.  Mengikut senarai itu semua  sudah bersetuju untuk hadir.   Persatuan Ibu-ibu Tunggal,  Persatuan Pemuda Masjid dan  jemputan kepada sekolah-sekolah persekitaran Kuala Lumpur juga sudah dibuat.  Bahagian protokal Jabatan  Perdana Menteri sudah dimaklumkan tentang  majlis perasmian Karnival tersebut.    Timbalan Perdana Menteri akan turun merasmikan majlis tersebut.  Itu yang buat hatinya ralat sangat apabila mereka yang dilantik sebagai ahli jawatankuasa bagaikan tidak mahu memberi kerjasama.  Menghilang apabila tiba waktunya.
            Sepanjang Karnival itu berbagai bengkel diadakan.  Ya ALLAH mahu pengsan  jadinya.    Bas yang akan mengangkut para peserta dari universiti yang dijemput belum diselesaikan.  Dia membelek lagi fail tersebut.  Penceramah juga masih belum ada, penginapan juga tidak selesai?  Kenapa ini berlaku.  Ummu Salamah menghempas fail-fail tersebut.  Berdentum bunyinya bergema di segenap ruang biliknya.  Dia menahan getar di hati.  Esok sudah bermula, hari ini segala urusan tidak selesai.  Sepatutnya urusan itu selesai  minggu lepas lagi.  Orang yang diharapkan ke mana perginya?  Ummu Salamah melangkah keluar.  Dia mencengkak pinggang.  Mereka hendak malukan diakah?  Kalau dia tidak mengapa?  Ini seluruh warga masjid itu akan mendapat malu.  Sudahlah aktiviti itu mendapat liputan luas dari pihak media.  Mendidih darahnya, menggelegak hatinya. 
            “Mana  Ustaz Zaki?  Ustaz Naim mana?” mata Ummu Salamah tercari-cari wajah  kedua lelaki tersebut.  Tiada jawapan, seramai 15 orang para petugas  Bahagian Kebajikan  hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.
            Ummu Salamah beristighfar  berkali-kali.    Hancur luluh hatinya, hancur lebur perasaannya.  Semangat berkobar-kobar untuk menjayakan karnival itu bagaikan direntap dari jantungnya. 
            “Imah, Azizah, masuk bilik saya…  sekarang!” arah Ummu Salamah. 
            “Imah, awak pergi ke  bahagian penginapan.  Tengok sama ada bilik-bilik sudah berkemas atau tidak.  Semua peserta seramai 100 orang  wajib ada penginapan esok.    Selepas itu hubungi syarikat bas sekolah atau apa sahaja kenderaan untuk mengangkut para peserta dari universiti yang telah kita pilih. 
            “Azizah, pergi telefon senarai penceramah  bebas atau siapa sahaja yang boleh isi slot-slot bengkel yang kita adakan.  Cari yang sesuai mengikut tajuk yang telah kita tetapkan.  Ini failnya,”   arah Ummu Salamah.  Dia tidak boleh panik atau menggelabah.  Perlu bertenang dan selesaikan masalah satu persatu.
            “Semua itukan kerja Ustaz Zaki dan Ustaz Naim?”  kata Azizah kurang senang apabila disuruh.  Bukan tugas dia.
            “Ya, tugas mereka! Sekarang ini semua urusan ini tidak selesai, jadi awak dan Imah kena selesaikan!”  kata Ummu Salamah menahan marah.
            “Suruhlah mereka,”  Azizah mencebik.  Tugasnya mengemas kini program yang bakal berlangsung sepanjang bulan inipun belum selesai.  Berpuluh program  sudah diatur, bersusun fail di atas mejanya. 
            “Boleh tak jangan bantah,”  Ummu Salamah memandang tepat ke wajah Azizah, pekerja bahagian pengkeranian yang terlalu  berkira dalam urusan kerja.  Sukar  disuruh.  Kalau tidak kerana terpaksa dia sendiri tidak mahu meminta bantuan wanita itu.  Dia hanya ada  dua kaki dan dua tangan.  Mana mungkin dia melakukannya sendirian.  Inilah gunakan kerja berpasukan.  Inilah gunanya ahli jawatankuasa program.
            “Hish,”  rungut Azizah dan berlalu pergi bersama fail yang diserahkan oleh Ummu Salamah.
            “Ustazah tak apa-apakah?  Saya buat segera.  Kalau ada apa-apa yang ustazah perlukan beritahu sahaja,”  kata Imah. 
            “Terima kasih Imah.  Nanti kalau ada tugasan yang masih belum selesai, saya minta tolong awak ya,”  Ummu Salamah melemparkan senyuman.  Harapan di hati kalau boleh  biarlah semua  pekerja bawahannya sebaik Imah yang tidak pernah berkira soal tenaga dan masa.  Ada ketika terpaksa menunggu sehingga lewat malam membantu mana yang perlu.
            “Saya pergi dahulu ya, ustazah.  Sabarlah, ustazah mampu harunginya,”  pujuk Imah memberi semangat.
            Ummu Salamah mengangguk dan tersenyum, sejuk seketika hatinya yang sedang walang itu.
Setelah Imah keluar dari biliknya.  Ummu Salamah duduk di kerusi.  Dia menyandar melepaskan lelah di hati.  Ke mana perginya Ustaz Zaki dan Ustaz Naim?  Hadiah untuk para penceramah juga tidak kelihatan.  Mereka sudah  setuju untuk membeli bingkai gambar yang ada ayat-ayat suci Al-Quran, itu urusan Ustaz Naim.  Makanan dan minuman peserta sudahkah ditempah?  Dia menjengah ke bilik sebelah tempat menyimpan segala barang-barang untuk peserta bengkel.  Beg-beg hadiah dan perkakasan alat tulis masih tidak diisi ke dalam  beg kertas yang telah dibeli sejak minggu lepas lagi,  urusan itu  adalah kerja Ustaz Zaki dan ahli jawatankuasanya.    Mengapa semua ini berlaku disaat-saat akhir.  Kenapa dia tidak dimaklumkan segala urusan itu tidak selesai lagi?  Bukankah ahli jawatankuasa sudah dilantik dua bulan sebelum majlis bermula.  Sepatutnya hari ini segala urusan itu selesai dan bersedia untuk program keesokan harinya.  Ke mana menghilangnya mereka yang  terdiri daripada petugas masjid itu?

6 ulasan:

  1. Tahniah Asmah. Tajuk yang menarik dan tentunya ceritanya pun menarik.

    BalasPadam
  2. menarik..tak sabar nak tunggu novel ni siap

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Ainnur. semoga ada rezeki karya ini diterbitkan.

      Padam
  3. Moga aktiviti ni jadi contoh kepada petugas2 masjid. Mengimarahkan masjid memang satu tugas yg mulia tapi tak ramai yang menyambutnya...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul Juea, sebab kemalasan yang menghantui diri mereka.

      Padam