AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 24 November 2015

KUTEMUI SINAR ITU - BAB 3- ASMAH HASHIM






Dari kejauhan, wajah itu dipandang lama.  Terukir senyuman puas, sepuas saat melihat pemilik wajah itu terkial-kial sedang menguruskan program yang akan berlangsung esok. Langkah kasar yang menggegarkan  jubah yang dipakai oleh Ustazah Ummu Salamah.  Itu sudah cukup menggambarkan kemarahan yang sedang menembak dan membuat-buak di dalam hati  ustazah muda dan rupawan itu..  Terbalas dendam di hatinya.  Terlaksana rasa mual  yang bersarang.  Adakah patut? Setiap minggu ada sahaja program dan majlis yang dianjurkan oleh Masjid An- Nur.   Tiada ruang  yang kosong untuk dia bernafas.  Kehendak pihak atasan juga cukup menghimpit hati dan perasaannya.
            Sesungguhnya, bukan dia tidak mahu turut mengimarahkan masjid seperti zaman Rasulullah SAW.  Tetapi dia tidak tahan.  Nah, saksikanlah sendiri akan sikap manusia yang tidak tahu menghargai masjid.  Bukankah apabila sudah terlalu ramai yang berkunjung, kekotoran terdapat di sana sini, terutama  bilik air? Gerutu di dalam hati Zaki.  Wajahnya berkerut seribu.  Rambutnya yang sudah mula memutih diraup ke belakang.    Biarpun bukan dia yang membersihkannya, rasa kurang selesa.  Sakit mata dan sakit hati tetap menjebak diri.  Seperti dia terjebak dalam semua tugasan yang telah ditetapkan untuknya oleh Ustazah Ummu Salamah masih belum selesai.  Memang sengaja dia tidak mahu selesaikannya, sengaja dia berbuat begitu demi mengajar  ustazah muda itu.
            Huh! Biar ustazah muda yang memandai-mandai mencadangkan dan mengarah orang lain buat itu dan ini pergi membereskan semua kerja itu sendiri.  Biar padan!.  Hebat sangat iagaknya.  Lain kali jika hendak buat apa-apa aktiviti biarlah ustazah itu berfikir panjang dahulu.  Kalau saban minggu ada sahaja ideanya mahu mengimarahkan itu, ini, siapa yang sanggup bekerjasama.  Siapa yang punya waktu untuk membantu terus menerus?
            Mengarah memang senang, bukan?   Cubalah bergerak seorang diri, mampukah? Getus hatinya.  Kini dia yang sudah berada di rumah, semakin lebar senyuman terukir, semakin lega rasa di hati apabila memikirkan bagaimana rasanya sang ustazah muda rupawan itu apabila Karnival Masjid An- Nur tidak berjaya.
            Huff!  Tidak sabar-sabar rasanya mahu melihat wajah Ustazah Ummu Salamah yang berkulit kuning langsat itu memerah padam bak udang terkena api apabila dimarahi oleh pihak atasan.    Tidak sabar menunggu hari esok.  Di mana segala masalah dihempap ke bahu ustazah muda itu.  Saat yang sememangnya di nanti-nantikan.  Saat yang akan membuatkan dia bernyanyi  lagu irama padang pasir. Jelas kedengaran pukulan gendang dan petikan gabus yang mengalunkan irama rancak membuatkan tubuhnya mengikut lenggok irama yang sedang dimainkan.  Bergerak tubuhnya, bergoyang pinggulnya menarikan tarian gelek dari negara Asia barat itu.   Tenang hatinya,  riang jiwanya.    Panahan matahari yang sedang memancar terik walaupun belum menjelang tengahari cukup  memeritkan tubuhnya yang dibaluti jubah berwarna putih.  Udara yang nyaman dan angin yang menyapa lembut tidak mampu mengurangkan rasa geram di hati.
            Terbukti wanita memang tidak layak memerintah.  Wanita tidak layak menjadi ketua jabatan  Wanita tidak layak apa pun. Kecuali menjaga rumah dan membiakkan zuriat.  Emosi dan hormon yang sering tidak seimbang.  Lihat isterinya, usai berkahwin dengannya, dia menyuruh  isterinya itu berhenti kerja, biar pangkat besar sekalipun.  Biar berpelajaran tinggi.  Wanita tempatnya di rumah. Muktamad.  Begitu juga ibunya, siang malam di rumah beradanya.  Di sisi ayahnya siang dan malam.  Ke hulu ayahnya, ke hululah ibunya.  Tiada masalah pun.  Tiada sebarang rungutan daripada mereka?  Ibu tidak pernah membantah, begitu juga isterinya.  Akur dan ikut.  Selagi tidak mengajak ke arah kemungkaran.  Khabarnya, usai  Karnival ada lagi program besar yang dirancang oleh ustazah itu.  Aduh…!  Apa yang  Ustazah Ummu Salamah cari?  Apa  yang untungnya berbuat demikian?   Tidakkah semua ini memenatkan?   Kalau masyarakat hendak hadir ke masjid, datang sahajalah.  Paling kurang enak apabila ada yang menumpang tidur di ruang solat  dengan air liur basi dan kulit mati bersepahan di sana sini.   Tidak termasuk lagi bekas minuman dan makanan yang tidak dibuang dengan sempurna.   Tidak tahukah itu tempat untuk orang beribadat?
            Hembusan nafasnya semakin berat.  Esok Karnival Masjid An- Nur akan berlangsung.  Banyak perkara belum selesai dan sengaja tidak mahu diselesaikan.   Mahu sahaja  dia tergelak besar.  Ahli jawatankuasa bahagiannya, dia suruh cuti semuanya.   Ustaz Naim baliklah engkau ke kampung.  Berehatlah bersama keluargamu.  Ustaz Khairul, segeralah engkau bercuti, rehatkan minda dan tubuh.  Mereka ikut sahaja arahannya.  Sama malas dengan dirinya.  Langsung tiada rasa bersalah, malah  turut  ketawa riang.  Semakin  lebar senyumannya.  Biar ustazah Ummu Salamah berkepak seorang diri, bagai burung patah sayapnya.  Biar dirasakan.  Biar padan dengan mukanya.
            Matanya yang berbinar-binar resah masih lagi memerhatikan ustazah itu berjalan membelah cahaya matahari yang sedang garang  pancarannya.  Dahinya berkerut lagi.  Bibirnya cemberut terus.  Di sebenarnya tiak pasti kenapa hatinya berat sangat ingin membantu.  Adakah kerana ustazah itu seorang wanita menyebabkan dia tidak suka diarah-arah.  Rasa malas sering menerjah.  Bagi dirinya masjid biarlah hanya jadi tempat beribadah.  Buat apa susah payah mengatur berbagai program atau membenarkan orang datang melawat?  Untuk apa?  Masjid bukannya zoo dan bukan juga muzium untuk dilawati para pelancong dan sebagainya.  Tidak mungkin mereka tidak tahu tentang masjid?  Takkanlah rumah ALLAH hendak dijadikan tempat berpesta pula?  Mengapa  perkara semudah ini pun, ustazah itu sengaja buat-buat tidak faham?  Zaki mendengus kasar.  Biarlah  Penolong Pengurus Kanan itu buat seorang diri semua rancangannya.  Biar, biar, biar…!  Dia tidak mahu pening-pening kepala.  Kalau masjid tidak merancang apa-apa aktivitipun bukan ada masalah.  Tetap ada orang datang solat dan beribadah.  Kalau sudah beramai-ramai, kotorlah pula persekitaran masjid.  Dia tidak mahu perkara itu berlaku.
            Dengan perasaan yang sebal, Zaki bergerak disela-sela  orang ramai yang mula memenuhi ruang masjid, kebetulan hari itu adalah hari Jumaat.  Tentulah ramai ke masjid awal.  Kebetulan kawasan khemah sudah dipenuhi para peniaga.  Makin ramailah datang  berjalan. Sambil cuci mata.  Dia keluar meninggalkan perkarangan masjid yang bagaikan tempat berpesta, dengan alunan irama muzik dan suara  orang mengaji bersilih ganti.  Dia memandang ke kiri dan ke kanan, bau semerbak menikam hidungnya. Haruman minyak wangi yang dijual oleh beberapa gerai di situ.  Lagi berlama dia di situ nanti dilihat pula oleh Ustazah Ummu Salamah yang tidak suka tengok orang senang itu.  Sengaja dibiarkan telefonnya  mati.  Biarkan.  Biar mereka tidak  menjumpainya.  Bayangnya pun dia tidak mahu Ustazah Ummu Salamah jumpa.  Dia mencebik.  Perasaan geram menyula dalam diri.
            Rajin sangat!  Hendak tunjuk baik!  Macam dia seorang yang bagus dan mampu buat kerja. Untuk apa? Hendak mengampu orang atasan?   Untuk apa mengampu?  Zaki mengomel sendirian.   Perasaan semakin panas.  Kalau rajin tidak menyusahkan para petugas  yang lain, baguslah juga.  Ini tidak semua terpaksa campur tangan, tunduk pada arahan ustazah itu.  Seperti  tunduk kepada Firaun.  Hish! Malasnya  melayan ustazah yang suka menjerat diri ini.  Masalahnya juga masih belum selesai.  Sudah berkali-kali dia meminta pindah dari masjid tersebut.  Tidak sanggup bertugas sebumbung dengan ustazah itu.   Biarlah ustazah itu buat sendiri.  Pandai sangat, memandai-mandai!
            Langkahnya diatur menuju ke kenderaannya. Hatinya semakin panas, sama panas dengan cahaya matahari yang sedang memancar terik.   Dia mengerling kenderaannya  yang diletakkan tidak jauh dari perkarangan rumah lebih kurang satu kilometer dari  masjid.  Rumah untuk para petugas masjid memang disediakan.    Menapak laju hendak  segera sampai ke arah kenderaannya  yang berwarna hitam matlik.  Sengaja dia mematikan telefonnya.  Malas hendak berjawab kata dengan rakan-rakan setugas yang akan hanya buat fikirannya kacau bilau.  Pasti mereka mencarinya.  Biarlah.  Dia tidak peduli apa.  Tiada siapa suruh tunjuk rajin menganjurkan  berbagai program dan majlis.  Dia sendiri tidak faham dengan sikap ustazah yang seperti lipas kudung tidak pandai duduk diam.
            Hish, ustazah! Tugasku adalah sebagai imam  di masjid itu, biarpun jarang bertugas sudah terasa letihnya.  Tahu?  Ini hendak ditambah dengan berbagai program  yang kononnya hendak mengimarahkan masjid. Untuk apa?  Hengak mengotorkan  kawasan masjid?  Hendak melihat berbagai jenis dan spesis menyinggahi masjid ini?  Kalau mereta tahu menjaga dan menghargai kesucian masjid tidak mengapalah.  Ini tidak, pasti ada kerosakan di mana- mana.  Dia masuk ke dalam perut kereta,  memandu laju meninggalkan perkarangan masjid.

2 comments: