AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 1 November 2015

IKATAN KASIH - BAB 17

RABETA






Fakhrul menyandar di sofa. Matanya masih tidak berkelip memandang gambarnya dan Rabeta sewaktu perempuan itu ditahan di wad. Sebagai kenangan. Dia mengeluh. Wajah polos dan lembut itu telah mencuri hatinya.
Ketika usia semakin menjelang senja, perasaan malu semakin menebal pula. Kalaulah dia masih muda belia, sudah lama dia memikat Rabeta untuk dijadikan teman hidupnya. Dia tersenyum sendiri. Rasa rindu menyala-nyala di hati. 
            “Tengok gambar siapa tu?” tegur Hajah Zabedah. Wajah ceria anak lelakinya ditenung seketika. 
            “Mak!” Cepat-cepat telefon bimbitnya disimpan kembali. Dia tersenyum lagi.
            “Kalau sudah ada yang berkenan, cakap sajalah dengan mak. Boleh mak dan ayah masuk meminang.” Seperti mengetahui apa yang sedang bermain di fikiran anak tunggalnya itu. Hajah Zabedah mengerling.
            “Siapalah yang nak dengan saya ni mak?  Setakat polis cabuk,” kata Fakhrul merendah diri.
            “Hai, muka handsome, hidung mancung, kulit sawo matang,takkan tak ada orang nak?  Anak emak yang jual mahal agaknya?”  usik Hajah Zabedah.
            “Mak ni, lebih-lebih pula memuji. Walaupun muka anak emak ni kacak, perempuan sekarang tak nak juga, mak. Mereka nak cari yang berharta. Ada kereta besar. Ada kondominium.” Fakhrul mendengus keras.
Hatinya tertutup untuk mendekati mana-mana perempuan sejak isterinya meninggal waktu melahirkan anak sulung mereka. Sudah berbelas tahun dia menduda.  Mungkin juga kesibukan dengan tugasnya membuatkan dia lupa untuk mencari pengganti arwah isterinya, hinggalah dia bertemu dengan Rabeta. Dia tersenyum sendiri. Kehadiran Rabeta membuka ruang di hatinya.  Mahukah Rabeta menerima dirinya?.
            “Hah! Dah senyum sorang-sorang pula. Memang dah angaulah anak mak ni?”  Semakin galak gurauan Hajah Zabedah.
            “Saya tersenyum sebab terfikirkan kata-kata mak.” pecah gelak Fakhrul.
            “Janganlah merendah diri sangat, Fakhrul.  Anak mak ni, kacak, bergaya, sasa cuma tak seksi saja,” usik Hajah Zabedah lagi. Dia ketawa perlahan.
            “Boleh mak tengok gambar tu? Cantik tak orangnya?  Kalau berkenan, bawa sajalah jumpa mak.  Mak tak kisah, Fakhrul.  Kalau kau berkenan, mak ikut saja. Takkan selamanya kau nak hidup sendiri?  Mak dah tua, kalau nak tak ada lagi, siapa yang nak jaga kau? Kalau ada isteri, taklah mak risau sangat,” luah Hajah Zabedah.
Tubir matanya mula berkaca. Sejak menantunya meninggal, Fakhrul tidak pernah atau menyebut untuk berumah tangga. Kematian arwah bagaikan telah membawa pergi seluruh rasa cinta dan kasih di hati Fakhrul. Selama mana dia hendak hidup menyendiri?
            “Hish, tak naklah mak. Selama ini pun dia hanya anggap saya sebagai kawan aje. Langsung  tiada tanda yang dia suka dengan saya.” Fakhrul menolak dengan baik.
Seingatnya, selama dia mengenali Rabeta, perempuan itu melayannya seperti seorang kawan sahaja. Mereka tidak pernah keluar bersama. Melainkan menyelinap masuk ke rumah Zaheer, itu sahaja waktu mereka pernah berdua-duaan. Jika tidak mereka akan bertemu kerana tugas. Ketika Rabeta ditikam, dia yang melihat kejadian itu terkejut dan hampir hendak tercabut nyawanya sendiri. Alhamdulillah, Rabeta selamat. Kalau tidak pasti dia menangisi kematian buat kali kedua.
            “Kenapa tak mencuba? Kenapa tak bertanya?”
            “Dia bukan mudah didekati, mak. Lagipun mak nak ke bermenantukan bekas banduan? Dia bekas banduan mak? Saya bimbang, mak tak sudi.”  Sengaja menguji hati emaknya.
Wajah emaknya sedikit tegang, membuatkan hatinya resah. Kalaulah emaknya menolak, terpaksalah dia melupakan keinginannya untuk berumah tangga. Kalau setakat Rabeta menolak, tidaklah sesusah mana, tapi jika emaknya menolak, terpaksalah dia pendamkan keinginan hatinya.  Biarlah dia membujang sampai ke tua. 
            “Bekas banduan? Kesalahan apa? Mencuri? Penagih dadah?” teka Hajah Zabedah.  Takut pula dia mendengarnya.
            “Kes yang saya kena siasat berbelas tahun lalu.  Dituduh mencederakan suaminya sendiri,”  ujar Fakhrul.  Dia tidak mahu berselindung.
            “Dia bersalah ke? Memang dia lakukan?” soal Hajah Zabedah.
            “Waktu saya soal siasat dahulu, dia benar-benar menafikannya, tapi bukti semua menuding kepadanya. Pihak pendakwa raya dapat sabitkan kesalahan tu. Masa itu saya tak kenal dia, saya percaya dengan semua bukti yang diperolehi. Kesan cap jari, hanya cap jari dia. Kami bertemu kembali setelah berbelas tahun. Sejak kenal orangnya, saya pasti bukan dia yang lakukannya, mak,” jelas Fakhrul panjang lebar. Dia masih ingat pada saat-saat hukuman dibacakan. Rabeta jatuh pengsan. Dia pula hanya mampu memandang sahaja. 
            “Kasihannya. Sekarang dia buat kerja apa?” 
Hajah Zabedah terus mengorek rahsia keperibadian perempuan yang telah bertakhta di hati anak lelakinya. Tentu perempuan itu terlalu istimewa hingga mampu menawan hati Fakhrul. Anaknya itu memang seorang yang terlalu memilih, terlalu cerewet.
            “Sekarang ini, dia menguruskan RIKA. Rumah perlindungan untuk bekas penjenayah dan bekas banduan, mak. Baru-baru ini, dia kena tikam. Mungkin ada orang yang dendam dengannya.    Dia memang berani mak dan tabah orangnya.” Fakhrul menilik reaksi emaknya. Hajah Zabedah mengangguk-angguk dan tekun mendengar.   “Langsung tidak takut dan gentar. Saya yang jadi polis pun tak seberani dia. Kalau mampu menyelesaikan sendiri kes yang sedang disiasatnya, dia akan lakukan sendiri. Sebelum minta bantuan kami. Tugasnya menyelamatkan gadis-gadis yang dipaksa menjadi pelacur. Yang rela, yang tak rela, semua dipujuknya Saya kagum dengan semangatnya,” cerita Fakhrul.
            “Beraninya dia!” Hajah Zabedah teruja mendengarnya.
Padanlah perempuan itu mampu menambat hati Fakhrul. Isteri pertama Fakhrul juga seorang anggota polis. Meninggal waktu melahirkan anak sulung mereka. Cucunya turut meninggal sebelum sempat melihat dunia. Bayi itu lemas di dalam kandungan, akibat terbelit tali pusat. Uri pula melekat dan arwah menantunya tumpah darah.
            “Ya mak, terlalu berani.” Fakhrul mengangguk tanda setuju dengan kata-kata emaknya.
            “Fakhrul, kalau dah berkenan di hati, mak tak ada halangan. Mak pasti ayah juga tidak akan menghalang. Fakhrul sudah cukup dewasa untuk memilih perempuan yang terbaik untuk dijadikan teman hidup.”  Hajah Zabedah mengusap belakang Fakhrul, lembut dan penuh dengan kasih sayang. 
Dia tidak perlu cerewet, asalkan perempuan itu mampu membahagiakan anaknya, itu sudah cukup.
            “Betul ke mak?”  Fakhrul gembira mendengar luahan hati emaknya.
Kalau orang tuanya sudah memberi kata izin, dia akan cuba memikat hati Rabeta. Tiada siapa yang dapat menghalang keinginannya untuk memiliki Rabeta. Berkongsi suka dan duka dengan perempuan itu. Dia tidak akan menghalang Rabeta  meneruskan tugasnya di pusat itu. Satu kerjaya yang murni. Kenapa perlu dia menjadi batu penghalang. Lagipun di situlah dia mengenali Rabeta.
            “Bila nak bawa dia jumpa mak?” Hajah Zabedah tidak sabar ingin bertemu perempuan sehebat Rabeta.
            “Sabarlah mak, biar saya selami perasaannya dulu. Mana boleh main terjah, nanti terlepas. Nak selesaikan kes rompakan pun perlu buat siasatan terperinci, inikan pula nak hati orang.” Fakhrul menyengih. Emaknya pula terlebih suka. Dia baru berangan-angan.
            “Boleh mak tengok gambarnya dulu?” Hajah Zabedah merayu lagi.
            Fakhrul akur. Dia mengeluarkan telefon bimbit.Dia menyerahkannya kepada Hajah Zabedah yang tidak sabar-sabar ingin melihat gambar bakal menantu.
            “Manis orangnya, ada wajah keibuan, pandai Fakhrul pilih, sesuai sangatlah dengan anak mak ni,” usik Hajah Zabedah, senyuman riang terukir di bibirnya. Dia berdoa, semoga jodoh anaknya akan sampai juga.
            “Terima kasih mak, kerana sentiasa berada di sisi saya.” Hiba menyentap.
Kasih sayang emaknya tidak pernah berbelah bahagi. Sabar dengan kelakukannya, setiap masalah dikongsikan dengan kedua orang tuanya. Merekalah kekuatan dirinya. Dia memeluk kejap bahu emaknya yang duduk di sebelah. Mereka saling tersenyum.  Terlihat air mata di tubir mata emaknya. Fakhrul menyeka dengan hujung jarinya. Dia tahu emaknya hanya ingin melihat dia gembira dan hidup bahagia.
***
Zara menatap gambar mamanya. Setiap hari pasti wajah itu akan menjadi santapan matanya. Rindu yang bertapa di hati, begitu berat rasanya.   Bilalah agaknya dia dapat bertemu semula dengan mamanya.
“Kau nak bawa Zara ke mana?  Kau ingat, aku sengaja biarkan kau masuk ke dalam rumah ini dengan begitu mudah?” Zaheer memandang tajam ke arah Nazatul dan Rabeta yang agak terkejut melihat kehadirannya.
“Aku nak bawa Zara keluar dari sini, kau tak berhak jual dia, Zaheer! Dia anak aku, bukan anak kau! Kau tak pernah terima kehadirannya, kenapa  baru sekarang kau mengaku dia anak kau?” tempelak Nazatul.  Pandai lelaki itu bermuka-muka.   
            Rabeta sudah bersedia memegang tangan Zara. Bila-bila masa sahaja dia akan berlari keluar, dia tidak kisah jika terpaksa merempuh lelaki itu.        
            “Jangan harap! Kau berdua akan aku jual!” kata Zaheer berani.
            “Kau ingat kami akan biarkan diri kami jadi hamba kau?” Nazatul mengetap bibir. Dia bersedia hendak meninggalkan rumah itu. Kehadirannya hanya untuk menyelamatkan anak gadisnya.
            “Berani juga kau datang sini, ya? Aku ingat kau tak ingat nak balik. Berbulan-bulan kau hilang!”  Zaheer memegang dagu Nazatul. 
            Nazatul menepis tangan Zaheer. Tidak sanggup dia membiarkan lelaki itu menyentuh kulitnya. Terasa jijik dengan lelaki seperti Zaheer.
            “Kau ingat, aku akan membiarkan kau dan kawan baik kau tu, keluar dari sini dengan mudah?  Orang-orang aku sudah  bersiap sedia di luar!’  Zaheer ketawa kuat. Kurang cerdik agaknya kedua perempuan itu. Masuk kandang harimau, hendak kena baham agaknya?
            “Ada aku peduli? Bagaimana aku masuk, begitu jugalah aku akan keluar dari sini,” kata Nazatul tegas dan tiada gentar di hati. Dia merenung Rabeta yang sudah pun berdiri di sebelah Zara. Zaheer pula berdiri di hadapan pintu bilik, menghalang laluan mereka bertiga. 
            “Jangan kau fikir kau boleh buat sesuka hati kau!  Aku tidak akan izinkan kau bawa Zara pergi dari sini! Kau dengar tak, Naz!” jerit Zaheer, geram.  Perempuan ini sengaja mencabarnya.
“Dia anak aku, Zaheer. Aku berhak ke atasnya.  Kau sendiri tak sukakan dia.  Sejak dia di dalam kandungan, kau suruh aku gugurkannya. Kau bukan seorang papa yang baik! Kau kejam! Aku ingatkan, bila Zara lahir, kau berubah. Tapi tidak! Malah kau sanggup nak jual dia pulak. Manusia jenis apa kau ni?”  Kehadiran Zara langsung tidak membawa apa-apa makna kepada lelaki itu.
Dia tidak akan melupakan saat-saat itu. Mamanya dan Mak Cik Rabeta datang ke rumah lama mereka. Pada hari itu jugalah dia bakal dijual kepada seorang pengusaha kelab malam di selatan Thailand.  Mamanya berjaya menyusup masuk ke dalam rumah dengan kunci rumah yang masih disimpannya.
Rupa-rupanya kehadiran mama dan  Mak Cik Rabeta sudah dikesan oleh papanya, padanlah mudah sahaja mereka masuk ke dalam rumah yang dikawal rapi. Papanya ada rancangan sendiri untuk memerangkap mamanya.
“Mama. Mudah-mudahan mama selamat,” doa Zara.
Kenapa masih belum ada sebarang berita daripada pihak polis? Dia melepaskan pandangan ke luar tingkap biliknya yang terbuka luas. Matanya terasa panas. Air jernih mengalir keluar. Rasa duka dan pilu di hati tidak pernah berlalu. Kalaulah mamanya tidak ditangkap oleh papanya, pasti sekarang ini mereka berdua sudah hidup bahagia di tempat ini.
            “Di mana papa sorokkan mama?”
Beberapa bulan yang lalu sebelum itu, mamanya melarikan diri. Zara keliru ketika itu. Pergerakannya dikawal oleh papanya 24 jam, hatta ke sekolah. Pada hari mamanya kembali ke rumah itu, dia merasa sangat bersyukur. Lebih-lebih lagi setelah mengetahui niat sebenar Zaheer.
            “Dia juga anak aku! Aku berhak berbuat apa saja terhadapnya!” bentak Zaheer. Wajahnya memerah, bagaikan singa lapar.
            “Kau tidak layak jadi papanya! Kau nak lacurkan anak kau sendiri!” herdik Nazatul, geram dan marah. Sakit benar hatinya. 
            “Itu juga berhak aku lakukan!” kata Zaheer tanpa rasa bersalah.
            “Syaitan!” Nazatul menerpa dan mula menyerang Zaheer. Dengan sekuat hati, dia mula menendang dan menumbuk, bertubi-tubi, hingga Zaheer terganjak keluar dari ruang bilik itu. 
            “Eta! Bawa Zara lari! Sekarang!” jerit Nazatul. Dia terus menyerang Zaheer dengan kudratnya sendiri. Malah sanggup mati untuk Zara. 
            Zaheer mula mengatur langkah. Membalas setiap tendangan dan tumbukan daripada Nazatul.  Mengelak bila perlu. 
            Rabeta  terpaku melihat aksi Nazatul. 
            Zara menarik tangan Rabeta, keluar dari bilik itu menuju ke ruang tamu. 
            “Zara!” jerit Zaheer apabila melihat Rabeta dan Zara sudah berlari menuruni anak tangga.
            Nazatul tidak memberi peluang untuk Zaheer mengejar Rabeta dan Zara. Dia membaling dan terus membaling Zaheer dengan apa saja objek yang tercapai dan ada di dalam ruang itu. 
            “Syyy…”Rabeta meletakkan jari telunjuk di bibirnya.
Di luar rumah beberapa orang lelaki sedang berkawal. Mungkin mereka tidak dengar kekecohan yang berlaku di dalam rumah. Rabeta menarik tangan Zara menuju ke bahagian dapur pula. Pintu dapur dibuka perlahan. Dia menjengah keluar. Tiada siapa di situ. Inilah masanya. Pintu pagar pula tidak berkunci.  Rabeta mencebik, apa punya kawalan agaknya, pintu pagar pun tidak berkunci. Dia memberi isyarat kepada Zara agar mengikutnya keluar. 
            “Mama macam mana?” tanya Zara.
            “Kita larikan dulu, nanti kita selamatkan mama,” jelas Rabeta. Dia tidak mahu mereka bertiga tertangkap. Dia perlu selamatkan Zara dahulu.  Nazatul tahu menjaga dirinya sendiri.
            “Tapi…” Zara keberatan. 
            “Jangan macam tu, Zara. Jomlah!” Rabeta menarik tangan Zara dan berlari keluar melalui pintu dapur dan terus ke pintu pagar belakang yang tidak berkunci.
Mereka berlari sekuat hati meninggalkan kawasan itu. Tidak pandang kiri, kanan, depan dan belakang. Apa yang berlaku dengan Nazatul selepas itu, langsung mereka tidak tahu. Sejak itulah dia terpisah dengan mamanya. Sudah setahun berlalu.  Rasa sedih dan kesal masih menebal di hati. Rasa rindu yang tidak pernah hilang di sanubari.
            “Mama… papa jaga mama dengan baik ke?” Sepertinya dia sedang bercakap dengan mamanya. Bagaimanalah keadaan mamanya, sihatkah dia?  Sakitkah dia?
Pelbagai persoalan bermain di benaknya.  Siang malam dia berdoa agar mamanya diberi kekuatan dan perlindungan oleh ALLAH SWT daripada segala mara bahaya. Separuh hari dia berkurung di dalam bilik. Terasa letih seluruh tubuhnya. Bekerja siang malam, berehat ketika semua penghuni pusat itu melelapkan mata.  Menunggu mereka yang pulang lewat dari tempat kerja masing-masing. 
            “Zara?” sapa Rabeta yang baru sahaja pulang dari hospital.
            “Jauh benar Zara mengelamun?”  Arni menepuk bahu gadis itu perlahan.
            “Teringatkan mama... mak cik,” luah Zara.
            “Kita berdoa, semoga mama berada dalam keadaan selamat, ya Zara.” Rabeta mengeluh berat. 
Dia sendiri hampir terlupa. Entah bagaimana keadaan Nazatul sekarang ini. Bila agaknya Inspektor Fakhrul hendak menyelamatkan sahabatnya itu. Rasa hiba dan bimbang, menghenyak dalam diri. Terpukul dengan kelalaian sendiri. Resah yang mencengkam di sanubari, membuatkan hatinya bimbang.
            “Bagaimana agaknya keadaan mama, kan mak cik, Ibu Arni?” Zara menunduk, air mata tidak mampu ditahan lagi. 
            “Mak cik janji, kita akan segera selamatkan mama. Inspektor Fakhrul dan pihak polis sedang mengesan tempat tinggal baru papa Zara. Kalau mereka dah jumpa, pasti mereka akan selamatkan  mama, sabarlah, semoga ALLAH permudahkan segala urusan kita.” Rabeta mengusap belakang Zara. Dia faham perasaan gadis itu.  Membiarkan Nazatul terus bersama Zaheer, umpama menunggu hukuman mati.
            “Betul mak cik?” soal Zara. 
            Rabeta dan Arni mengangguk serentak.
            “Jangan risau ya….Zara,” kata Arni pula.  Biarpun dia tidak pernah lagi bersua muka dengan Nazatul, tapi dia pasti, Nazatul seorang yang hebat. Hanya orang hebat sahaja yang mampu membantu orang lain, seperti mana yang dilakukan oleh RIKA. 
Nasibnya sama seperti Rabeta, dibuang keluarga. Jatuh cinta bukan satu dosa, tetapi cinta yang buta meranapkan seluruh hidupnya. Siapa yang mahu menerima kehadiran bekas banduan, pelacur dan pengedar dadah. Hebat kehidupan masa silamnya, hinggakan bayangnya tidak mahu dipandang keluarga.
Rabeta mengutipnya di jalanan dan memberinya tempat tinggal, memberinya pekerjaan dan kehidupan baru. Menjadi manusia bertanggungjawab, mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.  Dia benar-benar berasa bangga mengenali dua orang teman dan sahabat yang hebat. Paling ironi, dia tidak pernah  berkahwin pun, orang yang menjanjikan bintang dan bulan kepadanya, telah menjualnya kepada satu sindiket rumah pelacuran dan pengedar dadah. 
Lelaki! Sampai bila agaknya perempuan lemah sepertinya akan terus dipermainkan dan ditindas atas nama cinta?
            “Ibu Arni pula, hilang ke mana?” usik Rabeta.  Dia menepuk peha Arni yang termenung jauh.  Rabeta tersenyum, kisah hidup mereka sangat berwarna-warni. Biarpun perit tetap ada manisnya. Hanya ALLAH jua yang Maha Mengetahui.  Semoga mereka kuat, tabah dan sabar dengan ujian yang sedang mereka hadapi.  Rabeta mengeluh sendiri. 
            Senyuman terukir di bibir masing-masing.  Jika masih mampu tersenyum dan ketawa, bermakna ujian yang datang, tidaklah seberat mana.
           



No comments:

Post a Comment