AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 7 November 2015

IKATAN KASIH - BAB 18

 ZAHIR





Kereta dipandu masuk ke perkarangan RIKA.  Hatinya berdebar-debar.  Bukan tidak biasa bertemu dengan Rabeta, tetapi kali ini, lain pula rasanya.  Dalam hati ada taman.
Senyuman dan pandangan Rabeta telah menyentuh hatinya. Hampir layu, bagaikan daun pisang yang sedang dipanaskan di atas dapur.  Sudah lama tidak tidak berasakan perasaan seperti ini.  Kalau terus dibiarkan boleh hangus terbakar.
            “Hai, Inspektor… senyum itu nampak canggung? Marah dengan saya ke?” Rabeta kehairanan, wajah Fakhrul bagaikan berada dalam keadaaan serba-salah.  Langkahnya seperti ada yang tidak kena? Namun, apakah ia?  Dia tersenyum sendiri.
            “Ketara sangat ke?” tanya Fakhrul, terus melabuhnya punggung di kerusi yang ada di pondok wakaf itu.
            Rabeta ketawa, nipis.
            “Pasal canggunglah, saya tegur, Inspektor.”  Rabeta mengangkat kening. 
            Mereka saling tersenyum.
            “Maaflah, sebab lama tak datang ke mari. Keadaan Eta macam mana? Luka dah sembuh?” Fakhrul cuba berbual mesra, seperti selalu. Kali ini memang terasa canggungnya.  Seperti kata Rabeta tadi. Alahai, dia tidak pandai berpura-pura. 
            “Alhamdulillah, lukanya semakin pulih, namun parutnya tetap ada. Masa yang akan menghilangkannya, kalau tidak, bersemadilah ia di situ.  Terima kasih kerana selamatkan saya.”  Rabeta menunduk malu. 
Lain macam pula renungan Fakhrul kali ini.  Seram sejuk rasanya. Pandangan mata yang menikam terus ke lubuk hatinya. Renungan dan pandangan yang amat merbahaya, terutama lelaki dan perempuan. Apalah agaknya yang telah merasuk lelaki itu.
            Sejak tiba tadi, hanya senyuman yang terukir di bibir Fakhrul. Hendak bercakap, bagaikan ada emas di dalam kerongkongnya. Malu pula hendak berterus-terang.  Seperti tidak kena pada waktunya. Apa pula yang akan difikirkan oleh Rabeta, tentang dirinya.  Belum pernah dia berkeadaan begini. Jatuh cinta buat kali kedua, bukan mudah rupanya untuk berterus-terang, meluahkan apa yang terbuku di hati.  Kenapalah berat sangat mulutnya untuk bertanya? 
“Dah kenapa dengan Fakhrul ni?” Rabeta ingin bertanya. Tapi, lidahnya juga membatu.
Rabeta bukan ada sesiapa, sama seperti Fakhrul. Tiada dosa  untuk mereka menyulam kasih.  Tidak salah dia mencintai Rabeta. Masalahnya, dia dan Rabeta bukan muda lagi, untuk meluahkan perasaan masing-masing sama seperti anak-anak muda.  Biarlah bercinta seusai ijab dan kabul, hatinya terus berbisik sendiri.
            “Inspektor?  Inspektor!” panggil Rabeta. Jauh sangat lamunan lelaki di hadapannya itu. Dipanggil berkali-kali masih tidak menyahut. 
Apa agaknya yang telah menimpa Inspektor Fakhrul. Sejak dia mengenali lelaki itu, belum pernah lelaki itu berkeadaan sedemikian. Apalah agaknya yang telah merasuk?  Rabeta menggeleng.  Senyuman mekar di bibirnya. 
            “Erk… jauh sangat saya mengelamun, ya?”  Fakhrul malu sendiri.  Apalah yang tidak kena dengan dirinya hari ini. Sudah gatal sangat hendak berbini agaknya?  Dia mengeluh lagi.
            “Jauh sangatlah, Inspektor, agaknya dah sampai United Kingdom!” usik Rabeta. Dia ketawa, perlahan.
            “Boleh saya bertanya? Bagaimana dengan Kak Naz? Sudah dapat kebenaran untuk menyelamatkannya?” tanya Rabeta beralih pada pokok bicara yang sebenar. 
            “Secepat yang mungkin! Eta, sabar ya,”  jawab Fakhrul.
Segala rancangan sudah diatur. Hanya menunggu dan waktunya sahaja. Dalam tugas kepolisan, bertindak biar bijak. 
            “Saya bimbangkan keadaan Kak Naz, awak sendiri pun nampak, bagaimana keadaan dia. Zara pun dah mula bertanya.”  Ada resah di hati, selagi Nazatul tidak diselamatkan. “Kenapa pihak polis tak serbu saja rumah itu? Sudah terang lagi bersuluh, Kak Naz didera dan dikurung oleh suaminya sendiri. Inspektor pun nampak sendiri, kan?”  Rabeta sebak.  Masih terbayang wajah duka Nazatul. 
            “Eta, biarlah kami yang uruskan, awak janganlah bimbang. Yang penting, jaga kesihatan diri awak, dan juga keselamatan awak, itu yang lebih penting,” kata Fakhrul.
            “Saya penting? Inspektor perli saya ya? Siapalah saya, Inspektor. Janda. Bekas penjenayah pulak tu.” Dia tidak pernah berasakan dirinya orang penting atau hebat.  Hanya manusia biasa yang sudah musnah hidupnya.
             “Hish, terlalu merendah diri sangat awak ni, Eta. Ramai yang sudi menyunting awak, jika awak buka pintu hati awak  tu. Takkan nak bersendirian seumur hidup awak?”  kata Fakhrul. Berkias.
            “Ya ke?  Jangan-jangan Mat Bangla kat luar sana.” Rabeta ketawa.
Siapalah yang sudi, sedangkan keluarganya sendiri pun membuang dirinya, inikan pula orang luar.  Darjat dan status seseorang masih lagi menjadi pokok utama. Mana ada lelaki yang sudi beristerikan perempuan sepertinya?  Kalau ada, sudah pasti lelaki itu memang sudah tidak siuman, agaknya.
Siapalah yang tidak sunyi?  Dia juga ada hati, ada perasaan. Rindukan kehidupan berkeluarga, seperti yang pernah dinikmati dahulu. Memikirkan hal itu membuatkan hatinya sebak. Kalau boleh dia tidak mahu mengingati masa silamnya yang penuh duka.
            “Janganlah memperkecilkan diri sendiri, Eta.  Ada orang yang sudi, menerima diri awak seadanya.  Kalau ada orang yang  nak masuk meminang, adakah awak sudi?” Fakhrul merenung wajah Rabeta yang redup dan cantik  pada pandangan matanya. 
Seorang perempuan yang ringkas tetapi ada karisma tersendiri dalam dirinya. Hati lelakinya benar-benar sudah terpikat. Inilah jodohnya. Inilah perempuan yang bakal menjadi isterinya. Wah, beraninya dia berkata begitu. Hmm… maaflah, hanya di dalam hati. Menangkap pencuri dan perompak lebih mudah daripada meluahkan perasaan cinta  dan sayang yang bersarang di jiwa.
            “Amboi,amboi! Inspektor demam ke? Dah makan ubat? Bukan main lagi bergurau dengan saya hari ni.  Siapa yang hendakkan saya?”  Semakin tidak keruan perasaannya. Lain benar Inspektor Fakhrul hari ini. Berkias tentang hati dan perasaan.  Perasaan siapa yang telah ditebuk dengan cinta.
            “Saya tak main-main, dan tak juga bergurau. Bukan juga April Fool atau mengusik serta bergurau, mahu pun sindiran. Saya luahkan yang benar, tidak benar melainkan yang benar sahaja!”  jelas Fakhrul, serius sahaja wajahnya merenung Rabeta.
            “Inspektor tak main-main, kan?” Rabeta cuak.  Wajah serius Fakhrul membuatkan hatinya tidak libang-libu. Benarkah ada orang yang hendak meminangnya?  Siapa? Persoalan  itu terus berlegar di fikirannya. 
            “Inspektor jangan main-mainkan perasaan saya?  Janganlah bergurau tak kena tempat. Saya masih bingung ni, janganlah melawak dengan saya.  Kalau boleh buat saya ketawa sekalipun, bukan boleh menang pun, melainkan kita masuk Maharaja Lawak,” gurau Rabeta, menyembunyikan perasaan resahnya.
            “Adakah wajah saya yang serius ini, menampakkan saya sedang bergurau?”
            “Erk…” Rabeta tersipu-sipu. Malu menyapa hatinya.  Dia menunduk, pertama kali terasa begitu malu berhadapan dengan Fakhrul.
            “Beginilah, Eta. Susah betul saya nak luahkan perasaan saya ni. Kita pendekkan cerita. Awak pula anggap saya bergurau. Sebenarnya, saya dah beritahu emak saya tentang awak. Dia nak sangat berjumpa dengan bakal menantunya.  Eta, awak sudi tak terima saya sebagai teman hidup awak?” tutur Fakhrul, berani. 
Dia menarik nafas lega. Hah! Kan sudah terluah segalanya. Bukan susah pun. Apa yang penting, keyakinan diri. Fakhrul tersenyum dalam hati.  Boleh tahan berani juga dirinya.
            Rabeta terlopong mendengarnya. Kemudian, barulah dia menutup mulut, tidak terkata apa-apa. Terkejut. Rasanya, dia tidak salah dengar?  Telinganya masih boleh mendengar, hembusan angin petang yang menyapa mukanya. Masih boleh mendengar desiran dedaun yang ditampar oleh angin yang lalu. Kicauan burung pun masih jelas di pendengaran. 
“Ish…inspektor ni. Biar betul.”
Memerah pipinya menahan perasaan malu yang menebal di hati. Terasa janggal sekali berada di sisi lelaki itu. Ya! Lelaki itu baru sahaja meluahkan perasaannya. Boleh mati terkejut, kalau dia tidak kuat. Manakan tidak, bertahun-tahun mengenali Inspektor itu, rupanya dalam diam, menyimpan perasaan terhadapnya. Sedangkan dia tidak berani bermain dengan perasaan sendiri. Takut kecewa di belakang hari, itu sebab dia berusaha menganggap lelaki itu hanya teman biasa yang banyak membantunya dan pusat itu.
            “Sudi tak?” tanya Fakhrul sekali lagi.
            “Kena jawab segera ke?” Terkebil-kebil Rabeta memandang wajah Fakhrul yang menunggu jawapan daripadanya.
            “Kena jawab segera ke?” soal Rabeta kembali.  Kalaulah dia anak dara, tentulah kena ikut adat dan bertemu dengan kedua orang tuanya. Namun dia janda, dia pula sudah dibuang keluarga. Siapa yang seharusnya memberikan jawapan untuk dirinya sendiri. Adakah dia boleh membuat keputusan untuk diri sendiri?
            “Mestilah! Saya perlukan jawapan daripada awak. Takkan soalan tadi, nak dibiar tergantung?  Bahaya, boleh jatuh gaung!” gurau Fakhrul, namun masih ada seriusnya.
            “Ya ALLAH, saya ingatkan Inspektor bergurau.  Maafkan saya. Kalau benar hajat di hati, boleh tak beri saya masa untuk berfikir, ini melibatkan masa hadapan saya. Saya tidak mahu kecewa buat kali kedua. Saya bekas banduan dan penjenayah. Inspektor pula seorang pengamal undang-undang, tak malu ke keluarga Inspektor nanti? Saya tak mahu Inspektor,” jelas Rabeta. Mampukah mereka hidup bahagia di sebalik kisam silamnya yang suram?
            “Sudah lama kita saling mengenali, Eta. Saya rasa  sudah cukup kenal hati budi awak. Saya bukan muda lagi. Apa kata kita terus bernikah sahaja, selepas itu kita belajarlah mengenali hati masing-masing. Bukan ke lebih manis dan sopan caranya,” ujar Fakhrul penuh yakin.
            “Bagaimana dengan keluarga Inspektor?  Mahukah mereka menerima keadaan diri saya?”  Rabeta tidak mahu sebuah perkahwinan yang tidak direstui keluarga.  Selalunya tiada kebahagiaan.  Dia mahu keluarga Fakhrul menerima dirinya, seadanya. Bukan menilai siapa dirinya yang semalam, tetapi menilai dirinya yang hari ini. Rabeta yang semalam juga seorang yang baik. Cuma keadaan telah menjebakkan dirinya ke dalam kehidupan yang penuh duka.
            “Emak saya ingin benar bertemu dengan awak, bermaksud, dia sudah setuju dengan pilihan hati saya. Dah lama sangat saya menduda. Sudilah menerima saya sebagai teman hidup awak, Eta.  Biarlah saya membahagiakan awak. Sejak isteri saya meninggal, belum ada seorang perempuan pun mampu menambat hati saya, kecuali awak,” kata Fakhrul berterus-terang.  Memang  dia berani kali ini. Terasa bangga dalam diri. Bukanlah susah sangat hendak meluahkan kata cinta. Hanya perlukan keberanian. 
            “Malunya saya! Selama ini, Inspektor  memerhatikan saya, ya?” Rabeta menekup mukanya yang terasa tebal seinci. Berhadapan dengan Fakhrul kali ini, terasa lain sekali. Dalam diam, lelaki itu melakar kasih terhadapnya.
            “Nak malu kenapa? Awak berhak disayangi dan awak ramai yang menyayangi, tengoklah di sini. Semua orang sayangkan awak, termasuklah saya. Tapi sayang saya, lain tau.” Gurau Fakhrul.
            “Ya ALLAH, apa yang harus saya katakan lagi, Inspektor. Beginilah, berilah saya masa untuk memikirkan hal ini. Ini tentang soal hidup saya di masa hadapan. Saya tidak mahu kecewa lagi. Bila orang yang kita sayang dah tak percaya, jauh di sudut hati terasa dikhianati. Inspektor boleh tunggukan?”
            “Baiklah, saya bagi awak masa seminggu, cukup?” Fakhrul melakar senyuman. Walaupun belum mendapat kata putus, tetapi tanda-tanda bahagia bakal menjelma sudah kelihatan. Dia akan menurut permintaan Rabeta. Biarlah harapan dan impiannya tercapai untuk menyunting Rabeta menjadi suri hatinya. Senyuman Rabeta menyegarkan hidupnya.
            Rabeta tertunduk malu.
            Fakhrul tersenyum dengan penuh mengharap.






      

No comments:

Post a Comment