AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 11 November 2015

IKATAN KASIH - BAB 19

 KAMIL
RIZQI



Habsah diam, membatu.  Tidak berani memandang wajah mertuanya yang sudah mula menyerang suaminya.  Sebaiknya tidak masuk campur kerana bukan urusannya.  Walaupun perkara yang dibincangkan adalah mengenai masa depan anak tirinya.  Kalau anak kandungnya buat perkara yag sama,  memuja lelaki yang jauh berumur, dia juga tidak mampu menghalang.  Jodohkan ketentuan ILAHI, tiada  siapa mampu menghalang.  Mungkin sudah tertulis, jodoh anak tirinya dengan lelaki yang berumur. Asalkan lelaki itu mampu menjaga dengan baik anak tirinya itu, apalah salahnya.  Nasib baik Rizqi meminta izin, kalau dibuatnya kahwin lari? Boleh malu besar mereka seisi keluarga.
            Kamil terkebil-kebil memandang wajah ayah dan ibunya yang mula berleter sebaik sahaja diberitahu ada orang hendak masuk meminang Rizqi.  Mereka dari awal lagi tidak setuju.  Rizqi pula mengurungkan diri dalam bilik, setelah dimarahi oleh datuk dan neneknya.
            “Kau pun tak menghalang ya Chah?  Kau biarkan sahaja anak tiri kau tu bertunang dengan lelaki yang layak dipanggil ayah?” marah Hajah Aminah.  Wajah menantunya yang menunduk sejak tadi membuatkan hatinya sakit. Macamlah sudah tiada lagi lelaki muda di dunia sehingggakan lelaki tua yang menjadi pilihan cucunya itu.  Kononnya romantiklah, penyayanglah, hormat orang perempuan, dan macam-macam lagi kebaikan yang terserlah. Langsung tidak menawan hatinya.  Kamil dan suaminya juga tua, tetapi tidaklah romantik.  Buat endah tak endah, adalah.  Belum dapat lagi, semuanya cantiklah, dia mendengus geram.
            “Abang Kamil dah setuju, takkan Chah pula nak larang?” Mempertahankan diri sendiri. Mulut ibu mertuanya memang boleh tahan, kalau setakat nak membebel sehari suntuk, serahkan sahaja kepada ibu mertuannya.  Sebagai anak menantu, dia hanya boleh mendengar dan jangan berani nak komen.  Silap haribulan, boleh hilang telinga.
            “Kalau benda lain, tahu pula kau larang. Ini soal hidup anak tiri kau! Kaubuat tak tahu saja?” bebel Hajah Aminah lagi.   Sakit benar hatinya. Marah betul dia dengan keputusan anak lelakinya itu. Cucunya pula, buat keputusan mengikut hati dan nafsu.  Langsung tidak mahu merujuk dan bertanya dengan orang tua.  Bukan bertanya nak minta persetujuan, tetapi bertanya lelaki yang bagaimana sesuai di jadikan suami. Ini tidak, main tangkap muat sahaja. Tua pula itu. 
            “Biarlah ibu, lagipun mereka sudah suka sama suka. Tak sampai hati saya nak larang.” Kamil memandang wajah marah ibunya yang berdiri mencekak pinggang, pandangan tajam menikam matanya. Kalaulah ada api di mata ibunya sudah pasti marak membakar dirinya.
            “Ayah pun tak tahulah Kamil, apa yang ada dalam kepala kau orang anak beranak? Lelaki dah berusia, kau nak jadikan menantu?  Ayah bimbanglah”  luah Haji Mansor.  Sejak sampai tadi, dia membiarkan sahaja isterinya berleter.
            “Siapa yang akan datang meminang nanti?”  sambung Haji Mansor.
            “Katanya, kedua orang tuanya sudah meninggal, mungkin saudara maranya sahaja,” jelas Kamil.  Semakin berserabut fikirannya. 
            “Tak boleh ke kau bantah kehendak anak kau tu?” masih tidak berpuas hati dengan keputusan cucu dan anaknya itu.  Kalau bolehlah, dia tidak mahu cucunya bertunang atau apa sahaja dengan lelaki tua itu. Mudah sangat buat keputusan.
            “Ibu, ayah, tolonglah faham keadaan saya,” rayu Kamil.  Dia buat semua ini demi kebahagian anaknya. Kalau ikut hati, dia sendiri tidak setuju.  Tetapi, apakan daya.
            “Kalau jadi apa-apa dengan cucu ibu, kaulah yang bertanggungjawab Kamil!  Ayah dan ibu tak nak berkompromi dalam hal ini.  Kau tak siasat ke latar belakang lelaki tu? Betul ke duda? Benar ke seorang ahli perniagaan?”  Hajah Aminah mencebik.  Kenapalah anak-anak sudah tidak mahu mendengar nasihat mereka sebagai orang tua.
            “Ibu janganlah bimbang sangat, kita doakan yang baik untuk Riz.  Saya yakin lelaki itu mampu membahagiakan cucu ibu.” Kamil sudah tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk memujuk ibu dan ayahnya.  Kamil menggaru kepala. Pening sunggu dia memikirkan sikap kedua orang tuanya yang suka mencampuri urusan rumah tangganya.  Dia terpaksa menceraikan bekas isterinya juga atas kehendak kedua orang tuanya. Kononnya, tidak mahu bermenantukan seorang pembunuh.  Dia akur kerana mungkin benar kata orang tuanya itu, Rabeta sememangnya berniat hendak membunuhnya. Kenapa dia harus meneruskan hidup dengan perempuan seperti itu.  Di mana letaknya ucapan sayang yang selama ini meniti di bibir Rabeta ketika itu.  
            “Bekas mertuakau dah tahu ke yang cucunya sudah dipinang orang?” tanya Hajah Aminah.
            “Tak ibu.  Ibu pun bukan suka merekakan?  Anak-anak saya sendiri sudah lama tidak ke sana.  Riyana juga sudah jarang ke rumah mereka. Saya tak izinkan.  Saya takut dia bertembung dengan Eta,” jelas Kamil.  Hubungannya dengan bekas mertuanya juga rengang sejak dia menceraikan Rabeta.  Puas emak mertuanya merayu agar dia tidak menceraikan bekas isterinya itu. Namun dia tidak berdaya.  Dia rasa terhina, baginya Rabeta telah mengkhianati dirinya, cintanya terlalu mendalam terhadap Rabeta.  Dia tidak menyangka Rabeta begitu tegah mencederakannya.
            “Baguslah. Mereka tidak berhak  datang  pun. Entah-entah Rizqi ikut perangai emaknya yang degil dan keras kepala.  Dasar  keturunan yang tidak baik, itu sebab anak-anak kau pun engkar mendengar cakap kau,”  Bebel Hajah Aminah lagi.
            “Erhmmm…” Habsah berdehem.  Keturunan Rabeta, keturunannya juga.  Jangan pula hendak disamakan.
            Hajah Aminah menjeling menantunya yang buat muka sepuluh sen itu.  Kalau tidak kerana anak-anak Kamil yang rapat dengan Habsah, jangan haraplah dia hendak  bermenantukan Habsah.
            “Kau terasa ke?” sindir Hajah Aminah.
            “Taklah juga ibu, sipis-sipis tu adalah.” Wajah Habsah keruh.
            “Kalau dah tahu dan terasa, jaga-jagalah diri tu, jangan terikut pula?” Hajah Aminah menjeling tajam.
            “Sudahlah ibu, biarkan Rizqi pilih jalan hidupnya sendiri.  Bahagia atau tidak, itulah permintaan dan kehendaknya sendiri.  Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai  ayahnya,  Susah juga kalau anak tak dengar kata, nasihat kita bagaikan racun bagi mereka.” Kata Kamil.
            “Ikut suka kaulah, Kamil. Ibu hanya mengingatkan sahaja. Jangan menyesal di kemudian hari dahlah ya.”  Hajah Aminah menapak ke sofa, penat pula dia berdiri.  Sejak dia sampai, dia hanya berdiri, tidak betah duduk, sakit dan berserabut dan hatinya. 
            Kamil dan Habsah saling memandang.  Mereka hanya mampu melepaskan keluhan.  Tidak berani bertegang urat lama-lama dengan kedua orang tuanya. Nanti dituduh anak durhaka dan kurang ajar pula.  Kalau boleh ingin sahaja menjawab, tapi apa gunanya? Ini akan menyakitkan hati hati kedua orang tua itu. 
            Sejam berlalu begitu sahaja.  Ibunya baru sahaja mendiamkan diri.  Sesekali terdengar juga kata-kata sinis, namun dipandang sepi oleh Kamil dan Habsah. Selama mana kedua orang tuanya hendak marah. Buruk baik Rizqi cucu mereka juga.  Biar apa pun berlaku di masa hadapan, sebagai ketua keluarga dan ayah kepada Rizqi, dia hanya mampu berdoa, agar kebahagian berpihak kepada Rizqi dan lelaki itu benar-benar mengotakan janjinya.  Cinta mampu membuat manusia jadi gila.

No comments:

Post a Comment