AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 17 November 2015

IKATAN KASIH- BAB 20

Kamarul menunggang motosikalnya masuk ke perkarangan rumah neneknya. Pintu pagar terbuka.  Sebuah kereta Wira diparkirkan di anjung rumah banglo dua tingkat itu.  Dia meletak motosikalnya di sebelah kereta, setelah mematikan enjinnya. 
Laman rumah itu dihiasi dengan pepohon pelbagai jenis dan rupa. Bau harum cempaka mengusik hidungnya. Kawasan laman rumah itu bersih dan terjaga rapi. Sudah berbelas tahun dia tidak menjejakkan kaki ke rumah itu. Keadaan dan suasananya juga sudah berubah.  Yang sama hanyalah taman bunga yang semakin indah dan cantik. 
            Tingkap rumah yang bergerigi besi terbuka luas. Kawasan itu sunyi, hanya terdengar sesekali kokokan ayam saling bersahutan. Matanya memandang kiri dan kanan. Pondok wakaf yang terletak tidak jauh dari rumah utama dipandang sekali imbas. Dia masih ingat, di pondok itulah dia selalu bermain. 
            Kamarul mendekati pintu utama. Tertutup rapat. Dia mengetuk dan memberi salam. Tiada sebarang sahutan. Salam  diberi sekali lagi, menunggu seketika. Tidak berapa lama kemudian terdengar orang menjawab salam, sayup menyapa telinganya. 
Dia bergerak jauh sedikit dari pintu utama.  Menunggu dengan hati yang berdebar-debar.  Maklumlah, sudah lama tidak menziarahi neneknya itu. Bimbang juga, jika dimarahi atau disergah nanti.  Apa yang bakal berlaku diterima dengan hati terbuka. 
            “Abang terlupa kunci rumah lagi ke?” tanya Hajah Kemboja sambil membuka pintu seluas-luasnya. Dia terdiam. Wajah tetamu yang hadir membuatkan dahinya berkerut.
Siapalah gerangan pemuda ini? Detik hati kecilnya.  Wajah itu diamati, dipandang dan dibelek, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Cuba mengingat semula, jika wajah itu pernah dilihat sebelum ini, rasanya tidak. 
            “Anak cari siapa? Maaflah, mak cik ingatkan suami mak cik tadi,” sapa Hajah Kemboja ramah. Dalam keramahannya itu, timbul rasa bimbang.  Zaman sekarang ini, orang merompak pelbagai cara.  Ada yang menyamar jadi jurujual, polis pun ada.  Risau juga dia, dahlah dia tinggal seorang diri.  Dia menjengah ke arah pintu pagar. Dia mengeluh.  Suaminya lupa mengunci semula pintu pagar selepas keluar. 
            “Anak mak cik ada dua tiga orang di atas.  Anak nak jumpa mereka ke?” kata Hajah Kemboja lagi. Niatnya, jika lelaki itu perompak atau pencuri, sekurang-kurangnya tidak berani dan membatalkan niat untuk merompak, kalau tahu ada orang lain di rumah.
Hakikatnya, hanya dia seorang diri berada di rumah itu. Rasa bimbang dan takut mengusik tangkai hatinya. Tubuh badan pemuda itu boleh tahan, tak terlawan dia nanti.  Hajah Kemboja mendengus kasar.
            “Nenek! Nenek tak kenal saya?” Hati Kamarul diusik sayu.  Hiba hatinya, apabila neneknya sendiri, tidak mengenalinya. Terlalu lama mereka tidak berjumpa, inilah jadinya.  Cucu sendiri pun tidak cam. 
            “Siapa ya?”  Hajah Kemboja cuba mengingati wajah itu. Dia mengeluh. Ingatannya tidak begitu baik. Faktor usia. 
            “Ini Kamarullah nek, anak ayah Ramadan dan Mama Eta,” kata Kamarul memperkenalkan diri.
            “Kamarul? Anak Ramadan dan Eta?” soal Hajah Kemboja sekali lagi. Memanglah dia ada cucu bernama Kamarul, tetapi sudah lama tidak menjengahnya.  Kenapa tiba-tiba muncul pula hari ini.  Atau orang yang menyamar menjadi cucunya.
            “Nek! Memang ini Kamarul!” Kamarul menerpa dan memeluk Nenek Kemboja. Dia menangis sayu. Hiba hatinya apabila neneknya langsung tidak mengingatinya. Tandanya sudah terlalu lama mereka tidak bertemu.
            “Ya ALLAH! Dah besar cucu nenek.  Dah jadi orang bujang. Dah kacak. Dah segak! Bertuah kau, Kamarul, kenapa baru hari ini datang tengok nenek?”  Hajah Kemboja membalas pelukan Kamarul seketika.
Dia menolak tubuh itu dan meneliti sekali lagi wajah tampan cucunya. Dia menepuk lengan cucunya. Air matanya mengalir keluar. Walaupun duduk sekampung, tapi mereka tidak pernah berjumpa.  Hubungan mereka terputus terus, ugutan dan amaran Ramadan dan kedua orang tuanya, membuatkan dia memadamkan rasa rindu kepada cucu-cucunya, anak Rabeta.
            “Nenek apa khabar?” Hatinya terharu melihat air mata neneknya mengalir. Dia turut berasa sedih.  Salah siapakah semua ini terjadi? Hubungan kekeluargaan terputus begitu sahaja. Hanya kerana kesalahan yang telah dilakukan oleh mamanya, dia dan adik-adiknya kehilangan nenek yang amat pengasih dan penyayang itu. 
            “Alhamdulillah, cu. Mari masuk, buat apa tercegat di muka pintu,” pelawa Hajah Kemboja, sambil menarik Kamarul masuk ke dalam rumah. 
Dia menangis gembira. Tidak sangka sama sekali, cucunya sudi datang bertemu dengannya. Sudah lama dia rindukan saat itu. Sudah terlalu lama dia tidak bertemu dengan cucu-cucunya. Dahulu ada juga Riyana datang menjengah, kini tidak lagi.Dia tidak mampu menahan kerenah bekas menantu dan besannya.
            “Atok mana nek? Tak nampak pun? Nenek pula tinggal sorang-sorang… dengan pintu pagar tidak berkunci. Bahaya nek,” tegur Kamarul.  Dia tahu, di rumah itu tiada sesiapa, mamanya hanya dua beradik, atok dan neneknya sahaja. Kasihan neneknya, tidak dapat menumpang kasih mereka adik beradik.
            “Ke mana lagi, Kamarul. Ke masjidlah, agaknya, “ jawab Hajah Kemboja. Mereka terus berjalan ke dapur.
            “Cantik rumah nenek, dah banyak berubah.” Kamarul tertarik dengan susun atur dari ruang tamu hinggalah ke dapur. Seperti pakar hiasan dalaman. “Pak Su Redza kau yang hias. Dia kan ID,” cerita Hajah Kemboja tentang anak bongsunya.
            “Pak Su Redza, ID? Wah, hebat!”puji Kamarul bangga. Pak Su Redza-nya memang suka melukis dan mengemas rumah. Selalu dia dipaksa membantu mengubah susunan perabut di rumah itu. Kadangkala, bebel juga dia, kalau sudah seminggu berkali-kali susun atur perabut diubah.
            “Sudah minatnya, nenek tak kuasa nak melarang.  Rumah kami ni pun dah jadi seperti bilik pameran dia,”cerita Hajah Kemboja ceria.  Dia faham benar dengan minat anak bongsunya itu.
            Mereka berbual sambil menikmati minuman petang yang disediakan oleh Hajah Kemboja. Kuih seri muka yang enak bersama air kopi panas yang menyegarkan. Kamarul tidak berkelip memandang wajah neneknya. Terlalu rindu pada wajah itu.
            “Kenapa tiba-tiba datang? Kamarul nak cari apa dan siapa?” Hajah Kemboja seperti dapat merasakan tujuan kehadiran Kamarul di rumahnya.  Kalau tidak, pasti cucunya itu tidak akan menjejakkan kaki di rumah itu. Sudah berbelas tahun, tentulah pelik, tiba-tiba muncul.
            “Maafkan Kamarul ya nek.  Lama tak jenguk nenek dan atok,” katanya dengan nada penuh kesayuan. Masih ada sisa rajuk dalam bicara neneknya tadi. Dia tidak salahkan neneknya.  Hubungan yang ada, tidak kira atas sebab apa dan kenapa sepatutnya tidak diputuskan. Silaturahim biarlah hingga ke syurga. Hanya harapan dia seorang. Sedangkan yang lain masih menurutkan amarah. Inilah hasilnya.
            “Nenek tak marah. Malah faham dengan situasi kita. Kamarul datang sini, mama dan ayah tahu ke?  Kerana sudah lama sangat kita tak bertemu, sampai wajah cucu nenek sendiri pun, nenek dah lupa. Nenek dah tua, sayang.Jangan marah nenek ya,” gurau Hajah Kemboja demi menghilangkan rasa sedih yang menembak ke jantungnya.
            “Yalah nek. Sengaja datang, nak tengok nenek. Kebetulan Kamarul lalu di depan rumah nenek, itu sebab singgah.”
            “Ooo… Jadi selama ini, tak pernah lalulah depan rumah nenek ni? Adik-adik apa khabar?  Riyana dah lama tak datang. Sampai ke hari ini, dia tak tahu lagi. Tak sampai hati nenek nak bagi tahu, cu. Nanti banyak pula soalannya. Biarlah dia anggap nenek ini adalah nenek saudaranya sahaja,” luah Hajah Kemboja tentang Riyana, cucu bongsunya.
            “Jasmina sibuk dengan urusannya. Soal Riyana, nenek jangan bimbang ya. Dia pun sibuk belajar, tahun inikan dia nak ambil SPM,” jelas Kamarul. Tidak mahu neneknya terus menyulam duka di hati.
            “Tak apalah, kalau ingatkan kami… sudi-sudilah datang. Pintu rumah nenek terbuka untuk kamu.” Sayu hatinya. Setiap  hari dia melakar rindu terhadap cucu-cucunya. Mereka bertiga sahajalah cucu-cucunya. Redza, anak bongsunya belum berumah tangga. Sejak Rabeta ditahan di penjara, hubungan dia dan cucu-cucunya terus diputuskan. 
            “Nek, mama ada balik tak?” Bukan mudah untuk dia bertanya. Dia tidak mahu lagi berteka-teki dengan neneknya. Tentu neneknya pun dapat membaca, apa yang tersirat, kenapa dia datang ke rumah itu.
            “Mama? Mama yang mana satu? Mama Eta?” Hajah Kemboja memandang tepat ke mata Kamarul.  Kenapa Kamarul, tiba-tiba bertanyakan mamanya? 
            “Yalah, nek. Mama Etalah. Nenek tahu tak mama ada di mana?”  tanya Kamarul sekali lagi.
            Hajah Kemboja mengeluh. Dia menyandarkan tubuhnya ke kerusi.  Anak matanya menikam  mata Kamarul yang memandang wajahnya tidak berkelip.  Pandangan yang penu mengharap.
            “Mama pernah balik, cu. Tapi dah lama dia dah pergi dari sini. Selepas dibebaskan, dia balik ke rumah ini, sempat bermalam di sini. Atok tak mahu mama terus dihina, jika tinggal di kampung ini. Jadi, atuk suruh mama tinggalkan kampung ini. Sejak itu mama tak pernah balik,” cerita Hajah Kemboja.
            “Jadi, nenek tak tahulah, mama ada di mana?”  rasa kecewa menebak di hati.  
            “Kenapa mama tak cari kami?” soal Kamarul. Kalau sudah keluar dari penjara, kenapa tidak datang cari mereka adik beradik?
            “Ayah Kamarul dah bagi amaran, dia tak benarkan mama berjumpa dengan kamu. Nenek tak boleh buat apa-apa.  Terpaksalah nenek rahsiakan,”  luah Hajah Kemboja. Bukan Rabeta tidak ingin mencari anak-anaknya, tapi dia tidak tahu, anak-anaknya berada di mana. 
            “Nenek tahu mama ada di mana?” 
            Hajah Kemboja menggeleng. Sejak keluar dari rumah itu, Rabeta langsung tidak pernah menghubungi mereka.  Dia seperti berjauh hati, tidak mahu bertanya khabar.  Rasa rindu yang menyuntik di hati, membuatkan jiwanya resah dan sayu.
            Kamarul mengeluh. Ya ALLAH, ke manalah mamanya pergi? Tentu sengsara hidup mamanya, sudahlah dihukum berbelas tahun, diceraikan dan dibuang keluarga. Dugaan yang datang bertimpa-timpa. Air matanya mengalir juga. Dia turut berasa sedih dengan nasib yang menimpa mamanya.
Sudah pasti nenek dan atoknya hidup dalam kesunyian, tiada cucu-cucu dan anak di sisi.    Mungkin neneknya juga rindukan mamanya. Dia perlu mencari mamanya hingga berjumpa. Jika benar Pengurus RIKA itu adalah mamanya, dia perlu mengembalikan mamanya ke rumah itu.  Wajah kelat neneknya menjadi santapan mata.
            “Nenek ada gambar mama?” Perlahan sahaja dia menuturkannya. Malu pun ada. Semua gambar mamanya, telah dibuang oleh ayahnya. Dia tidak sempat menyelamatkan sekeping pun. Semuanya dimusnahkan. 
            “Di rumah tak ada ke?” Hajah Kemboja terkejut.
            “Tak ada nek.  Semuanya dah dibuang dan dibakar oleh ayah,” jelas Kamarul. Buat apa dia berselindung, takkan hendak cerita, hilang waktu mereka pindah ke mari. Dia bukan pandai berbohong. 
            “Ya ALLAH, benci sungguh keluarga ayah kamu terhadap mama Eta! Semakin pedih hatinya mengenangkan kebencian mereka hingga ke tulang hitam. 
            “Maafkan kami, nek.” Kamarul menunduk. Malu terasa di hati. Tidak tahu apa yang harus dikatakan lagi.
            Hajah Kemboja bingkas bangun dan menuju ke ruang tamu. Dia membuka laci almari yang terdapat di ruang itu. Sebuah album gambar dikeluarkan. Dia kembali ke dapur. Album itu diletakkan di hadapan Kamarul. Matanya lunak memandang wajah Kamarul yang masih lagi menunduk. Mungkin melayan rasa duka di hati.
            “Di dalam album itu, hanya ada gambar kamu sekeluarga, pilihlah yang mana satu, yang berkenan di hati.”  Hajah Kemboja mengeluh sendiri. 
            Kamarul menatap kembali kenangan terindah dalam hidup keluarganya ketika bersama mamanya, Rabeta. Hatinya diulit pilu.  Senyuman gembira jelas terpancar di wajah mamanya ketika itu.  Nampak jelas kemesraan mereka sekeluarga. Terpancar tanda sayang di wajah mama terhadap ayahnya.  Semakin dia yakin, bukan mamanya yang mencederakan ayahnya.  Tidak mungkin seseorang itu mencederakan orang yang disayanginya.  Cuma, dia tidak tahu siapa yang melakukannya, dan tiada siapa pun tahu. 
            “Boleh Kamarul ambil beberapa keping gambar kami sekeluarga ni, nek?” tanya Kamarul meminta izin.
            “Ambillah, cu…” Hajah Kemboja memberi keizinan. Dia tidak perlu bertanya untuk apa Kamarul  memerlukan gambar-gambar itu. Di hati keluarganya, Rabeta sudah mati. Mungkin cucunya ada sebab tersendiri. 
            “Kamarul dah lama di sini.  Kamarul minta diri dulu, ya nek. Nanti Mama Aida dan ayah cari pula.  Insya-ALLAH, nanti Kamarul datang lagi.” Kamarul memeluk erat tubuh Hajah Kemboja. Dia mencium pipi dan dahi neneknya dengan penuh kasih dan sayang. Semakin sedih hatinya. Dia menahan tangis dengan menarik nafas. Janganlah gugur hai si air mata. Melihat wajah muram neneknya, buat hatinya bernanah duka.
            “Datanglah ziarah nenek, ya cu… sekurang-kurangnya hilang juga rasa rindu nenek dengan mama kamu,” pinta Hajah Kemboja.
            “Insya-ALLAH, nek.  Kamarul janji akan bawa mama pulang tengok nenek,”  janji Kamarul.  Tubuh itu masih dirangkulnya.  Berat hatinya henda berpisah dengan perempuan yang telah melahirkan mamanya itu.
            “Kamu ada jumpa mama  Eta ke?”
            “Erk… tak lagi nek. Kamarul baru bercadang  nak cari mama. Kamarul janji akan cari sampai jumpa,” kata Kamarul penuh yakin. Kamarul memandang beberapa keping gambar mereka sekeluarga dahulu, cukup ceria dan cukup bahagia.  Kini, kebahagian tu sudah lenyap daripada hidup mereka. Sudah lama berkubur dalam hati masing-masing. Apa yang ada kini hanyalah perasaan benci dan syak wasangka. Hubungan kekeluargaan mereka juga sudah terputus bagaikan tidak boleh disambung lagi.
            Mereka berpisah dengan menyimpan perasaan rindu yang masih menggunung tinggi. Kamarul berjanji akan sering menziarahi neneknya itu. Biarlah keluarga sebelah ayahnya berbuat demikian, tetapi dia tidak akan melakukan perkara yang sama. Wajah dan lambaian neneknya tersemat di hati. 
            Begitu jugalah harapan Hajah Kemboja, ingin sering bertemu dengan cucu-cucunya.  Bergurau dan berbual seperti dahulu. Semoga hubungan yang terputus kembali bertaut.

No comments:

Post a Comment