AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 20 November 2015

IKATAN KASIH - BAB 21

Kamarul
Rabeta




Beberapa gambar gadis remaja yang hilang dari rumah disemak satu persatu. Para sukarelawan yang terdiri daripada bekas anggota polis dan orang awam sudah pun membuat pemantauan di beberapa rumah pelacuran dan rumah urut di kawasan yang dikenalpasti.
Malam ini meraka akan cuba mendekati gadis-gadis itu. Jika benar mereka dipaksa, pihaknya akan bertindak menyelamatkan gadis-gadis tersebut.  Bantuan pihak polis juga diperlukan. Tempat itu akan diserbu. Rabeta mengetap bibir. Dia memegang perutnya  yang masih terasa sengalnya. Sesekali ngilu di bahagian tikaman itu. Mungkin luka di bahagian dalam masih belum sembuh sepenuhnya. Malam ini dia akan bertindak sebagai pemandu. Semoga segalanya berjalan lancar.
            “Malam ini jadi ke mak cik?” tanya Zara. Dia jarang dibenarkan keluar ke lapangan. Selalunya Rabeta yang akan turun membantu petugas yang lain.
            “Insya-ALLAH, kita akan selamatkan mereka.  Mak cik harap tiada masalah yang mendatang,” kata Rabeta. Wajah Zara yang kelihatan bimbang direnungnya.  Dia tersenyum.
            “Hati-hati ya mak cik. Zara takut orang yang menyerang mak cik tempohari masih cam  wajah mak cik,” pesan Zara.
Jauh di sudut hatinya, dia bimbangkan keselamatan Rabeta.  Puas dilarang agar tidak turun ke  lapangan, tapi Rabeta degil. Katanya, ingin mencari kepuasan  dengan melihat sendiri gadis-gadis itu diselamatkan oleh sukarelawan yang bertugas malam ini
            “Insya-ALLAH, Zara doakan kami ya, semoga semuanya berjalan lancar,” mohon Rabeta. Mereka saling bertukar senyuman.
            “Tak faham Zara, kenapa manusia mudah sangat terpengaruh dengan hasutan syaitan dan mengikut hawa nafsu, yang sudah berkahwin masih lagi mencari keseronokan di luar. Sedangkan sudah jelas syaitan dan iblis itu adalah musuh yang nyata,” luah Zara lagi. 
            “Entahlah Zara, mak cik sendiri pun tak faham.”  Rabeta mengeluh kesal. Memang dia tidak akan faham. Islam membenarkan hiburan, menggalakkan silaturrahim tetapi semuanya ada batasannya hingga tidak melalaikan tanggungjawab seorang muslim dan muslimat yang sebenar.
            “Sama-samalah kita berdoa, ya mak cik.  Semoga hati-hati kita semua ditetapkan dalam iman dan Islam.”  
            “Aamin!” kata Rabeta, harapannya juga.
            “Bagaimana dengan rancangan mak cik dan Inspektor Fakhrul? Bila keluarganya nak masuk meminang?”  Zara mengalih perbualan.
            “Katanya minggu hadapan, tapi mak cik minta tangguh hingga semua urusan tentang Mama Naz selesai.”
Rabeta berasa malu untuk membicarakan soal hubungannya dengan Fakhrul. Terutama dengan Zara yang masih muda tetapi matang fikirannya.  Sepatutnya dia mencarikan jodoh untuk Zara, tapi dia pula yang sampai jodohnya. Kalau boleh dia ingin Zara menyambung pelajarannya semula. Wajah polos itu mengusik pandangannya.
            “Tak sabar rasanya, mak cik. Entah bilalah kita boleh jumpa Mama Naz. Mak cik teruskan sajalah rancangan mak cik dan Inspektor Fakhrul, soal Mama Naz, biarkanlah dulu.” Hatinya berbunga riang. Bukan dia tidak risaukan keadaan mamanya tetapi sanggupkah dia mengorbankan kebahagian insan lain demi mamanya? 
            “Mak cik tak nak cari ke, anak-anak mak cik?” tanya Zara, bukan niat hendak membuat hati Rabeta dibalut sedih. Sekadar bertanya, agar Rabeta tidak melupakan terus darah dagingnya sendiri. Biar betapa dia menyibukkan diri  dengan urusan di RIKA itu, dia juga harus memikirkan diri sendiri.
            Rabeta memandang wajah Zara. “Sebagai seorang ibu, mana mungkin mak cik lupakan anak-anak. Mak cik akan mencari mereka. Cuma, belum masanya lagi.”
            “Mak cik tahu di mana mereka berada?”
            “Mak cik tak pasti, mungkin orang tua mak cik tahu di mana anak-anak mak cik berada. Mak cik tak nak menyusahkan mereka. Jika sudah tertulis, mak cik akan bertemu dengan mereka, lambat atau cepat, pasti kami akan  bertemu kembali. Lagipun mereka dah tak tinggal di rumah lama kami. Mungkin dah berpindah ke tempat lain.  Insya-ALLAH, hari itu akan datang juga.”  Rabeta melepaskan pandangan melalui tingkap pejabat yang sengaja dibuka luas. Dapatlah dia melihat kenderaan yang keluar masuk dan juga memerhatikan kegiatan para penghuni pusat itu dari jauh.  
            “Mak cik pergilah berehat, malam ni nak keluar pula. Stamina kena jaga mak cik,” nasihat Zara.
            “Yalah, Zara pun sama…” Rabeta mengingatkan Zara juga.  Mereka bangun seawal 4.30 pagi.  Semua penghuni melakukan solat sunat hajat, sunat taubat, sunat tahajud serta amalan sunat yang lainnya.  Mereka akan berzikir, bertahmid dan berdoa memohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan oleh mereka sebelum ini.  Semoga ALLAH SWT menerima taubat mereka, menerima semua amalam mereka.  Doa yang tidak pernah berhenti dan tidak putus-putus.   Sebelum solat  zohor, selalunya jika tiada sebarang urusan, dia akan berehat seketika, menghilangkan rasa mengantuk dan kembali mendapatkan kesegaran mata dan tubuh. 
            “Yalah, Zara pun sama, tugas di pejabat ni ada yang uruskan, tengok tu, tekun mereka bekerja, di dapur dah ada Mak Cik Arni. Masih belum balik dari pasar ya?” Sambil memandang beberapa orang pekerjanya yang sedang bermesyuarat sesama mereka.
***
            Rabeta menunggu di dalam kereta. Beberapa orang kakitangannya sudah melangkah keluar dan menunggu di luar kenderaan. Mereka sedang menunggu seseorang. Beberapa orang gadis yang berpakaian mencolok mata berlegar-legar di bawah rumah kedai tersebut.  Kelihatan juga beberapa buah kereta berhenti di bahu jalan dan bercakap-cakap dengan gadis-gadis itu.
Rabeta hanya mampu menggeleng, melihat dengan mata dan hati yang sedih.  Hairan sungguh dengan sikap mereka. Yang memberi dan membeli tidak pernah puas, seronok agaknya melakukan maksiat. Dia terpaksa menanti pemberi maklumatnya sebelum bertindak. Takut salah tempat pula.
Keretanya juga diletakkan jauh sedikit dari pusat pelacuran tu. Bunyi cermin tingkap diketuk membuatkan dia menoleh. Dia memandang wajah perempuan yang bersolek tebal, pakaian, kus semangat, kalau dia lelaki, boleh gugur iman. Dia hanya tersenyum sinis.    
            “Aku ingat kau tak jadi datang? Nasib baik aku tinjau ke mari.  Maklumat yang kau beri lengkap. Jadi, aku dah dapat kesan beberapa orang gadis yang kau cari itu ada di dalam pusat tu. Tapi berhati-hati, mereka dikawal ketat. Maklumlah pucuk baru,” jelas perempuan itu. Dia langsung tidak memandang wajah Rabeta. 
            “Terima kasih kerana sudi bantu aku,”  ucap Rabeta. Matanya masih memerhatikan gelagat manusia di luar kenderaannya. 
            “Aku tidak mampu ubah diri aku, Eta. Sekurang-kurangnya aku bantu kau menyelamatkan orang lain daripada menjadi seperti aku!” luahnya.  Ada nada sedih dalam kata-katanya.
            “Tinggalkan pekerjaan ini, kau ikut aku,” pelawa Rabeta.
            “Kalau aku ikut kau, siapa pula nak bantu kau terjah lokasi maksiat semua ni?  Siapa nak jadi pemberi maklumat?” kata perempuan itu sambil menyengih.
            “Aku boleh cari orang lain, yang penting kau ingin bersama dengan aku,” kata Rabeta, masih mengharap.
            Perempuan itu ketawa.
            “Hidup aku biarlah ALLAH yang tentukan. Baik atau buruk, aku sudah terima takdir hidup aku, Eta.” Dia memandang keluar. Matanya berkaca. Kehidupan yang langsung tidak menyeronokkan. Terpaksa dan dipaksa. Hubungan yang tiada ertinya.  Hanya untuk suka-suka dan memuaskan nafsu lelaki yang tidak bertanggungjawab.
            “Nadia, terima kasih.” Rabeta memegang tangan Nadia, erat.
            Cepat-cepat Nadia menarik tangannya.
            “Aku manusia kotor, Eta. Tak sesuai bersentuhan dengan manusia seperti kau.” Nadia menunduk. Kemudian tersenyum semula.
“Jangan mengeji diri sendiri!” marah  Rabeta.  Dia mengenali Nadia di penjara. Perempuan itu ditahan kerana melacurkan diri. Wajahnya lembut penuh sifat keibuan, tetapi orangnya kasar. Dia pernah mengajak Nadia mengikutnya, tinggal bersama-sama di RIKA, tapi perempuan itu menolak. 
“Aku terpaksa, Eta. Kerja apa lagi yang aku tahu selain daripada ni. Tu…tekak enam orang kat rumah tu nak kena isi. Sekolah, makan, pakai. Semuanya aku yang tanggung. “Nadia meneruskan kehidupannya seperti sekarang kerana tuntuan hidup. Baginya, perut anak-anaknya lebih penting daripada memikirkan dosa dan neraka.
            “Aku boleh tolong kau, Nadia.”
            “Kau tolonglah orang lain, Eta. Aku boleh berdikari.”
            Rabeta hanya mampu berdoa, agar pintu hati Nadia terbuka untuk kembali ke pangkal jalan. 
            “Ini nombor tempahan gadis-gadis itu.  Suruh orang-orang kau berhati-hati,” pesan Nadia sebelum menyerahkan sekeping kertas kepada Rabeta.
            “Berapa semalam?” tanya Rabeta semula.
            “RM250 seorang, bukan semalam, per jam la…!” jelas Nadia.
            “Mahalnya!”  Rabeta menggeleng kesal.  Duit sebanyak itu, macam-macam boleh beli.
            “Harga budak baru, kalau ikutkan itu dah kira murahlah. Biasanya RM300 ke atas,” terang Nadia lagi.
            “Yalah, terima kasih sekali lagi.” Rabeta mengangguk, tanda faham. Terpaksalah mereka melabur, walaupun tidak rela. Demi mangsa-mangsa tersebut, mereka sanggup berkorban.
            “Okeylah, aku pergi dulu.  Ada temu janji jam 10.00 malam.  Semoga usaha kau terus berjaya. Jika aku ingin berubah, aku akan cari kau!” kata Nadia sebelum berlalu pergi. 
Rabeta memandang sahaja langkah Nadia dengan hati yang kecewa. Dia tidak pernah putus berdoa agar ALLAH SWT membuka pintu hati Nadia suatu hari nanti.
            Rabeta menggamit orang-orangnya masuk kembali ke dalam kereta. Malam itu mereka akan menyelamatkan dua orang gadis yang baru sahaja dijual oleh kekasih-kekasih mereka.
            “Ini nombor tempahan. Berapa mereka minta, bayar saja. Hati-hati… akak akan telefon pihak polis sekarang.  Bergerak sekarang!” arah Rabeta.  Dua orang petugasnya mengangguk. Mereka terus melangkah keluar dan mendaki tangga rumah kedai itu.  
Rabeta menarik nafas panjang, kelelahan di hati dilepaskan pergi. Rabeta terus menelefon Fakhrul. Dia menunggu dengan sabar. Enjin kereta sudah dihidupkan. Semoga orang-orangnya dapat bertemu dengan gadis-gadis itu. Kalau tidak, gagallah rancangan mereka. 
Dia juga berharap gadis-gadis itu belum lagi dilanggan oleh sesiapa. Sambil menunggu, matanya melilau, takut terjumpa dengan orang yang mengenalinya. Terutama mereka yang telah cuba membunuhnya. Pihak polis masih belum dapat mengesan kelima-lima penyerangnya itu.
            Hampir setengah jam menunggu.  Dia sendiri sudah gelisah. Tidak tenteram hati dan perasaan.  Apa pun yang berlaku, semoga semuanya selamat. Matanya masih tertanam di laluan menuju ke tingkat atas. Menanti dengan penuh debaran di hati. Terlihat kelibat orangnya. Dahinya berkerut. Sesaat kemudian turun seorang lagi dengan dua orang gadis yang tidak berkasut. Mereka berjalan laju bagaikan berlari.  Rabeta membuka pintu kereta. Mereka terus melangkah masuk. 
            “Hoi! Mana mahu pergi?” jerit seorang lelaki yang baru sahaja turun dari tingkat atas bangunan itu. Dia berlari mendekati kereta Rabeta. Rabeta menekan pedal minyak dan berdesup keretanya dipandu laju meninggalkan kawasan itu. Pihak polis baru sahaja tiba. Rabeta menarik nafas lega. Bertempiaran lari gadis-gadis dan perempuan-perempuan yang ada di situ. Begitu juga dengan kereta yang tersadai di bahu jalan. 
            “Alhamdulillah, lega!” kata salah seorang sukarelawan itu. Dia sering membantu di lapangan, menggunakan kekacakannya untuk memancing para kupu-kupu malam mendekatinya.  
            “Alhamdulillah,” kata Rabeta pula, setelah mereka berada jauh dari kawasan tersebut.
            “Susah juga kami nak bawa mereka keluar kak, nasib baik pengawal mereka pergi ke tandas, waktu itulah kami bawa mereka lari! Kalau tidak jangan harap! Kawalan ketat,” terang Rahim pula, petugas tetap di RIKA.
            “Mereka orang baru, memanglah dikawal ketat. Rabeta memandang wajah gadis-gadis yang diselamatkan tadi dengan cermin depan. Dia mengeluh.
            “Dah pesan dengan Ravi dan Daniel? Terus balik ke RIKA, bila tugas mereka dah selesai di balai polis?”  
            “Dah kak… “ 
            Dua orang lagi ditugaskan mengajak mereka yang ditangkap agar mendaftar masuk ke RIKA. Pada yang akur, mereka diikat jamin, jika enggan, terus akan disumbat ke dalam lokap. 
            “Terima kasih kerana selamatkan kami,” ucap salah seorang gadis itu.
            “Lain kali jangan mudah sangat dengar pujuk rayu lelaki! Tak pasal-pasal jadi perempuan murahan!” tempelak Hadi dengan muka selamba. Geram dan marah bertubi-tubi di hati.
            “Hadi!” Rabeta menegur. Bukan masanya untuk menyalah atau mencari salah. Semoga apa yang berlaku memberi impak kesedaran dalam diri kedua gadis itu. Biarpun maruah dan harga diri sudahpun musnah tetapi masih ada ruang dan peluang untuk kembali ke pangkal jalan. Ada beberapa orang lagi yang masih tidak  dapat dikesan. Semoga Nadia dapat mengesan gadis-gadis itu dan dapatlah mereka  diselamatkan.
            Kereta meluncur laju kembali ke RIKA. Masing-masing membisu, melayan perasaann sendiri.  Hilang sudah rasa bimbang dan risau di hati masing-masing.  Usaha mereka berhasil. Perancangan yang rapi pasti berjaya.


 

No comments:

Post a Comment