Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 15 Disember 2015

ULASAN CEBISAN MANTERA TERAKHIR

Saya baca semua jenis buku tidak kira rumah penerbitan apa, asalkan bermutu dan kena dengan selera.

Cebisan Mantera Terakhir
RM 30.00 / RM 35.00 (Sabah & Sarawak)
ISBN: 9789674300357
Tahun terbit: 2013
Terbitan: ITBM
Jumlah muka surat: 353

Terpikat tengok novel ini apabila terlihat di Buku Tiga Lima mengatakan karya ini bagus dan menarik. Hati melonjak untuk mendapatkannya waktu Pesta Buku Antarabangsa yang lalu. Apa yang boleh saya katakana. Memang buku ini menarik hati saya untuk terus membacanya sehingga ke perkataan terakhir.

Kisah bermula bila Pawang Cha meninggal dunia. Anak-anaknya tahu kenapa arwah meninggal. Namun, mereka tidak mahu membalas dendam kepada orang yang telah melakukan khianat terhadap arwah ayah mereka. Badin, Resedan mahu melupakan apa yang berlaku, yang pergi biarlah pergi. Tidak mahu berdendam lagi. Tetapi tidak kepada Jamin, anak bongsu arwah Pawang Cha yang masih belajar di sebuah universiti di tahun akhir. Dia berusaha mencari dan mengumpulkan semua ilmu-ilmu kepawangan arwah ayahnya. Ingin dibukukan, ingin disimpan sebagai khazanah orang Melayu dalam dunia perubatan. Dia juga sedang membuat tesis tentang perubatan Melayu.

Dalam masa yang sama. Jamin berusaha mencari pembunuh arwah ayahnya. Dia berpakat dengan Pawang Yorr untuk menyantau kembali orang yang telah menyantau arwah ayahnya. Segala bahan-bahan untuk santau dicari, bukan niat sehingga membunuh tetapi mahu orang yang melakukan perbuatan tersebut meminta maaf.

Siapa yang membunuh arwah Pawang Cha? Mampukah Jamin membalas dendam? Apa yang berlaku seterusnya? Kenalah dapatkan buku ini.

Syabas, Tuan Hasanuddin benar-benar membuat kajian sebelum menulis karya ini. Segala perincian tentang keduniaan kepawangan dapat kita ketahui dalam cerita ini. Begitu juga tentang ilmu santau. Biar apapun ilmu yang dipelajari, hendaklah digunakan untuk jalan kebaikan dan bukan untuk menganiayai orang lain. Hari ini kita buat orang, tidak mustahil esok-esok kita pula dibuat orang. Jadilah manusia baik tidak kira siapa kita.

Selamat membaca dan mendapatkan karya ini.


#NovelMelayu

Jumaat, 11 Disember 2015

KUTEMUI SINAR ITU - BAB 6- ASMAH HASHIM






Diliriknya kawasan khemah yang kelihatan terang benderang  di laman masjid.  Berbalam-balam dipenglihatannya.    Ternyata masih ada penyewa yang sedang menyusun barangan jualan mereka  di bawah khemah yang disediakan dan saling berbincang.  Mesti ada perkara penting sehingga tidak mampu menunggu sehingga esok, fikirnya lagi.  Ummu Salamah menuju ke keretanya yang terletak tidak berapa jauh dari pintu utama pejabatnya.  Syukur Alhamdulllah untuk majlis itu akan berjalan dengan jayanya.  Segala masalah yang bertandang pada siang tadi sudah diselesaikan satu persatu.  Segala urusan berjalan lancar tanpa ada satu pun yang tinggal.  Hebatkah dia dan rakan-rakan seperjuangannya seperti Imah dan Azizah yang turut bertungkus lumus untuk menjayakannya.   Tidak, mereka tidak hebat.  ALLAH jua yang hebat.  Mereka hanya mengikut gerak hati melakukan segala tugasan selain meminta kekuatan daripada ALLAH SWT.  Masalah bas, katering tempat tinggal para peserta bengkel sudah selesai semuanya.  Alhamdulillah.  Sekumpulan sukarelawan masjid terdiri daripada  guru-guru KAFA  yang mengajar di masjid tersebut dan para ahli jawatankuasa muslimat sudah bersedia untuk membantu esok.  Biarlah semua para pekerjanya bercuti, terbukti ALLAH SWT akan menghantar orang lain untuk membantunya.    Orang yang lebih baik daripada yang sengaja mengambil cuti itu, pastinya.
            Dia semakin hampir dengan keretanya.    Kereta Proton Waja berwarna  jingga itu setia menanti, hendak ke mana jika tidak dipandu pergi.  Ummu Salamah tersenyum sendiri.    Kaki kirinya  menyapa lantai perut kereta.  Kunci dimasukkan, dia menghidupkan enjin kereta.  Gear dimasukkan, brek tangan dilepaskan.  Minyak ditekan dan kereta meluncur perlahan keluar dari perkarangan masjid.  Pernafasan cuba dikawal dengan degup jantungnya yang seperti cuba memberitahu sesuatu yang buruk akan berlaku.  Kebimbangan yang entah apa menerpa lagi.  Keraguan pada sesuatu yang entah apa juga, mencengkam di sanubarinya.  Dia perlu yakin terhadap diri sendiri.  Tidak boleh kalah.  Semoga ALLAH permudahkan segala urusan, aamin.
            Biar apa pun perasaannya  kereta itu tetap dipandu perlahan.  Lampu jalan menerangi setiap laluannya, memberi sedikit ketenangan di hati.  Memberi sedikit pencerahan di pandangan mata ketika menyusuri jalan yang ditelan kegelapan malam.  Ternyata setelah  dinihari begini, tiada sebarang kenderaan yang melalui jalan tersebut.  Hanya sesekali bertembung dengan kenderaa yang dipecut laju menuju ke destinasi masing-masing.    Hatinya semakin berdebar, tidak sabar-sabar di mahu segera sampai di rumahnya yang tidak berapa jauh dari masjid.  Degup jantung itu pasti akan kembali reda, setibanya di kuaters hunian keluarganya yang disediakan khas untuk para pekerja karyawan masjid  yang memudahkan dia berulang alik ke tempat kerja dan selesa.  Lebih-lebih lagi apabila dia sering pulang lewat dinihari begini, kiranya keputusan tinggal di situ diambil adalah tepat; demi keselamatan diri sendiri.  Tambahan pula  bukankah suaminya yang mencadangkan begitu, apabila melihat dia yang terpaksa memandu jauh dari rumah yang mereka huni dahulu untuk ke Masjid An- Nur.  Dia akur dan  setuju mengikut nasihat yang diberi.  Ya, pasti degupan jantungnya akan kembali seperti biasa, apabila berada di kalangan ahli keluarga tercinta.  Selamat dan tenang.
            Dengan cermat kereta  diparkir di hadapan rumah yang terang di anjungnya.  Rumah teres dua tingkat, biasa sahaja namun cukup sempurna di hatinya.   Dahinya berkerut apabila melihat ruang tamu masih terang benderang.  Semakin berdegup jantungnya.  Semakin berdebar hatinya Suaminya belum tidur lagikah?  Anak-anak, Shahirah,  Aishah dan Adam masih berjagakah?  Ummu Salamah membuka daun pintu yang tidak berkunci.
            “Baru balik?  Sudah pukul berapa?  Tidak tahu bezakankah, antara siang dengan malam?” tempelak seseorang dari arah ruang tamu.
            Ummu Salamah  terkejut tidak terkata.  Mengurut dada.  Kenal benar dia akan suara itu.  Dia melangkah ke ruang tamu dengan wajah yang manis walaupun jantungnya semakin kuat bergetar.  Malah, tubuhnya juga merintih-rintih kerana sudah bersedia minta direhatkan.
            “Mak…  bila sampai?” Ummu Salamah mendekati wanita separuh abad.    Bertubuh gempal dan berkaca mata.  Mungkin baharu sampai dari kampung nun jauh di utara tanah air.  Memandangnya dengan wajah cemberut.
            “Siang tadi, ingatkan kau ada di rumah.”  Agak kasar, jerkah wanita yang seperti singa itu.  Hatinya telah dirasuk marah itu dan yang terlahir di bibir kasar belaka.
            “Ada kerja   yang perlu diselesaikan di masjid, mak.”  Tutur kata Ummu Salamah tetap lembut, itulah yang dituntut oleh agama.  Menghormati orang yang lebih tua terutama seorang ibu, walaupun hanya ibu mentua. Taraf mereka sama.  Walaupun kasih sayang ibu mertua terhadap dirinya  jauh tidak sama.  Dia sedar itu.  Namun biarlah disimpan jauh di dalam hati.
            “Kerja, kerjalah juga…  rumahtangga jangan diabaikan!”  lengking suara ibu mentuanya memecah keheningan malam.
            “Insya-ALLAH mak. Ummu cuba sebaik mungkin,” getus Ummu Salamah.  Tutur kata terjaga rapi tidak mahu menggores hati ibu mentua yang datang sekali sekala, walaupun ibu mertuanya tidak teragak-agakmenggores hatinya.  Tubuhnya benar-benar letih dan minta berehat.  Namun dia terpaksa mendengar bebelan  emak mentuanya.  Lambat-lambat dia duduk di sofa sambil matanya tetap melekat  ke wajah ibu mentuanya yang berdiri di hadapannya bagaikan seorang mandur memberi arahan kepada pekerjanya.
            “Suami dan anak-anak, kau tinggalkan begitu sahaja.  Makan minum mereka tidak terjaga.  Kerja itu biarlah berpada.  Bukan sebaliknya terlebih ghairah hendak jadi kaya melulu!”  dengus ibu mentuanya masih keras nadanya,  Sinis.
            “Bukan selalu begini, mak… hanya sesekali.  Ummu takkan melupakan keluarga dan tidak juga pernah ingin jadi kaya.”  Ya ALLAH tabahkanlah hati, detik Ummu sendiri. 
            “Mak pergilah berehat, sudah jauh dinihari ni.  Esok kita bersembang lagi.  Kalau mak nak ikut ke masjid pun bagus juga.  Boleh tengok Timbalan Perdana Menteri, esok beliau hadir merasmikan Karnival Masjid.”

            “Ah!  Tidak berminat langsung aku.  Hendak tunjuk kau hebatlah, ya?  Aku tidak hairan dengan kerja kau itu.  Hei, kalau sudah dilahirkan sebagai perempuan, bersikaplah seperti perempuan!  Tidak perlu jadi lelaki, suami kau  kerja juga, pukul 5.00 petang sudah sampai di rumah.  Kau, pukul 2.00 dinihari!  Isteri apa namanya itu, hah?”   leternya.
            “Mak…  tiada langsung niat di hati hendak tunjuk hebat.  Ummu hanya menjalankan tugas Ummu sebagai petugas Masjid An- Nur.  Itu sahaja,”  luah Ummu Salamah menyangkal tuduhan emak mentuanya dengan nada yang selembut mungkin.
            “Aku tahu benar orang berpelajaran seperti kau, Ummu! Angkuh melulu.  Itu sebab kau sanggup tinggalkan keluarga konon tuntutan tugas.  Kalau tidak buat pun, tiada siapa marah.  Kau sahaja yang terlebih rajin.”  Dia menjeling tajam ke arah Ummu Salamah.
            “Ummu minta diri dulu.  Esok kita sembang lagi, ya mak.”  Ummu Salamah  bangun perlahan-lahan.  Dia tidak mahu kata-kata ibu mentuanya itu akan membuatkan hatinya sakit.  Dia benar-benar letih.  Bukan main-main.  Dia perlukah rehat, minda dan tubuh  Esok akan bersambung tugasnya lagi.
            “Tak nak dengar leteran akulah ya?  Kau kena ingat Ummu.  Tugas seorang isteri memuaskan dan melayan kehendak suami.  Baik zahir dan batin.  Kalau sudah sibuk 24 jam, mana tanggungjawab kau?  Kalau anak mak kahwin lagi, jangan sesekali kau marah!  Kesalahan itu ada di tangan kau!”  tempelak Halimahton.
            Ummu Salamah berhenti melangkah.  Dia menoleh. Wajah cemberut emak mentuanya dipandang seketika.  Dia melemparkan senyuman sayu dan melangkah semula.  Andai itu takdirnya, suaminya berkahwin lagi, apakan daya.  Hanya itu yang lahir di hatinya.  Sekarang sedarlah dia mengapa jantungnya berdegup bagai nak rak tadi.  Bukan kerana oleh Ustaz Zaki atau sebagainya.  Sebaliknya oleh Puan Halimahton, ibu mentuanya sendiri.
            “Mak!” Imran yang  baru muncul dari tingkat atas rumah terkedu mendengar butir bicara ibu kandungnya itu.
            “Bang,”  Ummu Salamah menyalami tangan suami dengan lembut. Dan air jernih  yang tidak dipinta hadirnya  mengembang di kelopak mata.
            “Ummu minta diri ke bilik dahulu, ya… “
            Dengan riak muka penuh kasih dan sayang, Imran mengusap lembut bahu Ummu Salamah.  Memberi sedikit kelegaan di hatinya. Sedikit ketenangan mengapai lembut.  Agaknya, apa perasaan ibu mentuanya melihat mereka begitu?  Degupan jantung semakin susut ditelan ketenangan yang hadir dengan kedatangan suaminya.

Rabu, 9 Disember 2015

ADUH, PENING!


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah, akhirnya buku terbaharu saya akan berada di pasaran.  Tahun 2015 hanya ada antologi cerpen bersama barisan penulis yang lain.  KOMPLOT PENULIS dan KAPUR KASUT VS KAPUR TULIS.  ADUH, PENING adalah karya ketiga saya bersama ALAF 21 syarikat penerbitan KARANGKRAF.

Saya masih kekalkan tema kekeluargaan dalam tulisan saya. Kali ini kisah GILA TALAK pula.  Kenapa GILA TALAK? Macam tidak ada kisah lain hendak dipaparkan.  Sebenarnya, GILA TALAK juga berlaku dalam persekitaran kita.  Cuma, kita tidak tahu di mana ianya berlaku.  Bagaimana kisahnya? Kenalah dapatkan karya ini.  JANGAN LUPA! JANUARI 2016, nantikan kemunculannya!

Rabu, 2 Disember 2015

KUTEMUI SINAR ITU - BAB 5- ASMAH HASHIM




            Alhamdulillah, hanya perkataan itu mengalir laju di bibirnya.  Biarpun nafasnya tiba-tiba berdegup kencang.  Biarpun kakinya berasa lembik, selembik  besi yang sedang dipanaskan dengan haba yang tinggi.  Memang penat, memang letih tetapi hati mana yang tidak  berasa puas, apabila dapat melakukan sesuatu untuk masyarakat di luar sana?  Rasa puas dapat mencurah bakti di tempat dia bekerja.  Dia ingin keberkatan daripada ILAHI setiap titik peluh diperolehi.  Tidak dipersoal sewaktu di Padang Masyar nanti.  Besar tanggungjawab apabila bekerja di dalam bidang agama ini.  bukan hanya kepada diri sendiri malah kepada masyarakat.  Dia cuba memahami, dia cuba mengerti dan menjalankan tanggungjawabnya setakat yang dia mampu.  Salahkah tindakannya itu?  Kenapa ada segelintir manusia terutama rakan sekerja kurang menyenangi caranya.  Malah ada yang sanggup buat surat layang dan memo untuk menukarkannya ke tempat lain.  Hancur luluh hatinya.  Bernanah hatinya.  Namun entah  dari mana datang kekuatan untuk terus bertahan.  Mungkin inilah kehendak ALLAH, ujian bagi dirinya, untuk menguji keikhlasan hati bekerja di sebuah Masjid yang juga dianggap sebagai rumah ALLAH SWT.
            Mengapa jantung ini berdegup kencang lagi?  Ada apa yang tidak kena?  Kenapa seperti  bermain sembunyi-sembunyi pula denganku?  Sekejap kencang dan sekejap berentak tenang?  Tetapi apa? Siapa? Aduh…!  Getus Ummu Salamah, dicengkam resah gelisah.  Padahal seluruh tubuhnya sudah benar-benar letih.  Dalam fikirannya bersusun-susun dengan pelbagai agenda.  Tidak kisahlah Ustaz Zaki hendak  memburukkan dirinya.  Tidak kisahlah!    Ingin sekali dia  menarik pernafasannya supaya ia menyelusup di pembuluh lalu ke paru-parunya, agar boleh bernafas dengan tenang, setenang  air di kolam.  Ingin sangat-sangat.  Tetapi kenapa jantungnya harus berdegup tidak keruan begitu.  Matanya berpinar-pinar kerana sejak pagi tadi tidak putus-putus meneliti  pelbagai dokumen dan fail.  Segala keperluan untuk majlis perasmian esok sudah hampir siap sepenuhnya
            Ingin diterbangkan jauh-jauh perasaan resah dan gundah yang tidak menentu daripada jantungnya yang berdegup kencang itu.    Berkerut wajahnya.    Dia tidak suka hanya duduk sahaja.  Dia tidak suka hanya datang dan pergi pejabat tanpa berbuat apa-apa.  Walaupun hanya bekerja di masjid.    Tetapi bukankah peranan masjid lebih besar dan lebih penting daripada segala institusi di dunia ini?  Sama sahaja pentingnya dengan pekerjaan lain.  Tiada beza.  Apa salahnya masjid yang muram dan suram diimarahkan.  Buat berbagai program dan majlis.  Kehadiran orang ramai membuatkan rumah ALLAH ini meriah.  Salahkah?  Selagi mereka mahu menjaga adab ketika di dalam masjid apalah salahnya.
            Bagaimana  jika majlis esok tidak berjaya?  Bagaimana segala urusan untuk  esok menghadapi masalah?  Apa harus dia lakukan?  Ah! Tidak sanggup aku  memikirkan tentang perkara itu, degupan  jantung yang kencang    bagaikan membayang sesuatu yang menakutkan itu.  Sungguh!  Ummu Salamah menyandarkan tubuh di kerusi.  Kain tudung dibetulkan entah ke berapa kali,  Baju jubah yang dipakai tidak lagi sekemas pagi tadi.  Berkedut di sana sini.  Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan, melepaskan  lelah kepenatan dan kebimbangan  baru yang entah apa.  Biar penat seharian bertungkus-lumus di masjid, namun hatinya puas.   Keadaan di pejabat sudah sunyi sepi.  Ada sebahagian lampu sudah pun ditutup.  Penyaman udara masih terpasang di ruang biliknya, menyapa halus pipinya.  Di luar juga tiada kedengaran suara kenderaan yang lalu lalang. 
            Dia  tersenyum sendiri memikirkan cabaran yang terpaksa dilalui untuk menjalankan program Karnival Masjid An- Nur.  Dia bukan sahaja terpaksa berhubung dengan mereka yang di dalam masjid, malah berbagai pihak turut terlibat sama.  Agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun dan syarikat koprat.  Setiap program yang dianjurkan oleh masjid  perlu ada  penaja, tidak sepenuhnya ditanggung  oleh pihak masjid.  Imah  masih lagi berada di kerusinya.  Simpati menerjah diri.  Dia benar-benar bersyukur dengan kerjasama yang  diberi oleh gadis itu.    Tenaga gadis itu terpaksa dikerah ke sana ke mari untuk menyelesaikan segala masalah yang ada, untuk menyempurnakan apa yang kurang.   Dia benar-benar bersyukur dalam duka tetap ada manisnya.
            “Ustazah, tak balik lagi?  Sudah lewat malam ini,”  sapa seseorang.
        Sapaan itu mematikan lamunannya.  Ummu Salamah memandang  ke arah pintu bilik pejabatnya. Dia menguntumkan senyuman buat Imah yang berwajah comel, lembut dan kecil orangnya.  Berusia awal dua puluhan.  Sering berjubah dan bertudung labuh sewaktu di pejabat.  Dia bersyukur tidak terhingga dengan kewujudan Imah sebagai kerani di situ.  Imah  yang sentiasa sudi membantunya tanpa mengira imbuhan, terbukti tenaga yang diberi dengan hati terbuka. Pintalah apa sahaja bantuan, pasti direalisasikan dengan jayanya.  Terpancar keikhlasan di mata gadis itu.  Redup pandangannya  menyentuh hati.  Lembut kata-kata mengusik diri.  Keikhlasan bukan boleh direka-reka.
            “Kejap lagilah Imah.  Imah tak balik lagi?”  tanya Ummu Salamah mesra sambil mata memandang jam yang tersarung di lengannya.
            “Baru nak bertolak, tengok bilik ustazah masih terang, itu yang singgah,”  jawab Imah lembut.
            “Hati-hati memandu.  Kejap lagi saya balik.”  Ummu Salamah mengukir senyuman lagi. “Sesampai di rumah nanti, sms saya, okay.”
            “Insya-ALLAH, ustazah.”  Imah mengenyitkan mata.
            Gadis  manis itu berlalu meninggalkannya setelah memberi salam.  Sebaik-baik sahaja Ummu Salamah menjawab dengan sekeping doa semoga  perjalanan gadis itu selamat sampai ke rumah. Jantungnya  berdegup kencang secara tiba-tiba.  Hatinya tertanya-tanya sendiri, apakah yang bakal terjadi?  Mungkin bimbang menyusuri kerana dia juga akan memandu seorang diri di waktu malam pekat apatah lagi dia seorang perempuan.  Mungkin di luar sana mata-mata liar dan jahat sedang dan sering mencari peluang untuk merompak malah mengoncang  maruah diri. 
            Entah mengapa, semakin bertatih menjunjung sebuah perjuangan suci, semakin sukar rasanya, sesukar untuk mempastikan segala urusan berjalan lancar.  Debaran di jantung bagaikan tidak mahu berhenti.  Termangu malah semakin bingung dan  diselubungi kerimasan.  Ummu Salamah mencapai beg tangannya.  Lampu di ruang biliknya terus ditutup.  Pintu juga ditarik perlahan.  Dia melangkah keluar dari pejabat  hampir pukul 2.00 pagi.
            Ya ALLAH hampir waktu tahajud-Mu, detik hati kecilnya dan jantungnya kian menghentak, debaran, degupan yang menggoncang  nalurinya membuatkan dia kelemasan.  Langkah dihayun perlahan, mencari seseorang.  Pengawal keselamatan yang bertugas.  Sekurang-kurangnya  dirinya berasa berani sikit.  Udara malam yang sejuk dan nyaman bagaikan cuba menyejukkan hatinya yang rawan. Dikerlingnya di bahagian utama ruang solat, hmmm…  masih ada yang menyinggah bersolat di Masji An-Nur, selain ke tandas, tentunya.  Ah, bukankah itu antara fungsi masjid, bagi memudahkan orang-orang yang bermusafir  singgah untuk membersihkan diri dan berehat?  Biarlah.  Asalkan bukan mengambil hak masjid selagi itu dibenarkan.  Mereka yang panjang tangan pun sesekali menyinggah juga.  Kasut para pengunjunglah yang menjadi mangsa.  Datang ke masjid bukan  untuk beribadat tetapi untuk mengambil hak orang lain.  Ummu Salamah mendengus keras, Kasar bersarang.
            Bukankah mencuri itu adalah haram?  Hasil yang diperolehi juga haram.  Makanan yang dimakan juga jadi haram jika dibeli dengan duit haram tersebut.  Nau’zubillah…  maka kalau  hasilnya sampai  mendarah daging dalam diri dan keluarga si pencuri itu, bagaimana?  Mengapa harus diizinkan kejahatan menular  dalam hati?    Tidakkah nanti hati akan  mati dan kotor kerana gara-gara dicemari dengan makanan  yang haram?  Jadi, bagaimana  Hidayah mahu sampai, jika hati disarangi kekotoran? Gerutu Ummu Salamah, perasaan hiba  menghuni.  Semoga hati mereka terbuka satu hari nanti untuk bertaubat dan mencari jalan hidup yang lebih diberkati ALLAH SWT.  Aamin…!