AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 11 December 2015

KUTEMUI SINAR ITU - BAB 6- ASMAH HASHIM






Diliriknya kawasan khemah yang kelihatan terang benderang  di laman masjid.  Berbalam-balam dipenglihatannya.    Ternyata masih ada penyewa yang sedang menyusun barangan jualan mereka  di bawah khemah yang disediakan dan saling berbincang.  Mesti ada perkara penting sehingga tidak mampu menunggu sehingga esok, fikirnya lagi.  Ummu Salamah menuju ke keretanya yang terletak tidak berapa jauh dari pintu utama pejabatnya.  Syukur Alhamdulllah untuk majlis itu akan berjalan dengan jayanya.  Segala masalah yang bertandang pada siang tadi sudah diselesaikan satu persatu.  Segala urusan berjalan lancar tanpa ada satu pun yang tinggal.  Hebatkah dia dan rakan-rakan seperjuangannya seperti Imah dan Azizah yang turut bertungkus lumus untuk menjayakannya.   Tidak, mereka tidak hebat.  ALLAH jua yang hebat.  Mereka hanya mengikut gerak hati melakukan segala tugasan selain meminta kekuatan daripada ALLAH SWT.  Masalah bas, katering tempat tinggal para peserta bengkel sudah selesai semuanya.  Alhamdulillah.  Sekumpulan sukarelawan masjid terdiri daripada  guru-guru KAFA  yang mengajar di masjid tersebut dan para ahli jawatankuasa muslimat sudah bersedia untuk membantu esok.  Biarlah semua para pekerjanya bercuti, terbukti ALLAH SWT akan menghantar orang lain untuk membantunya.    Orang yang lebih baik daripada yang sengaja mengambil cuti itu, pastinya.
            Dia semakin hampir dengan keretanya.    Kereta Proton Waja berwarna  jingga itu setia menanti, hendak ke mana jika tidak dipandu pergi.  Ummu Salamah tersenyum sendiri.    Kaki kirinya  menyapa lantai perut kereta.  Kunci dimasukkan, dia menghidupkan enjin kereta.  Gear dimasukkan, brek tangan dilepaskan.  Minyak ditekan dan kereta meluncur perlahan keluar dari perkarangan masjid.  Pernafasan cuba dikawal dengan degup jantungnya yang seperti cuba memberitahu sesuatu yang buruk akan berlaku.  Kebimbangan yang entah apa menerpa lagi.  Keraguan pada sesuatu yang entah apa juga, mencengkam di sanubarinya.  Dia perlu yakin terhadap diri sendiri.  Tidak boleh kalah.  Semoga ALLAH permudahkan segala urusan, aamin.
            Biar apa pun perasaannya  kereta itu tetap dipandu perlahan.  Lampu jalan menerangi setiap laluannya, memberi sedikit ketenangan di hati.  Memberi sedikit pencerahan di pandangan mata ketika menyusuri jalan yang ditelan kegelapan malam.  Ternyata setelah  dinihari begini, tiada sebarang kenderaan yang melalui jalan tersebut.  Hanya sesekali bertembung dengan kenderaa yang dipecut laju menuju ke destinasi masing-masing.    Hatinya semakin berdebar, tidak sabar-sabar di mahu segera sampai di rumahnya yang tidak berapa jauh dari masjid.  Degup jantung itu pasti akan kembali reda, setibanya di kuaters hunian keluarganya yang disediakan khas untuk para pekerja karyawan masjid  yang memudahkan dia berulang alik ke tempat kerja dan selesa.  Lebih-lebih lagi apabila dia sering pulang lewat dinihari begini, kiranya keputusan tinggal di situ diambil adalah tepat; demi keselamatan diri sendiri.  Tambahan pula  bukankah suaminya yang mencadangkan begitu, apabila melihat dia yang terpaksa memandu jauh dari rumah yang mereka huni dahulu untuk ke Masjid An- Nur.  Dia akur dan  setuju mengikut nasihat yang diberi.  Ya, pasti degupan jantungnya akan kembali seperti biasa, apabila berada di kalangan ahli keluarga tercinta.  Selamat dan tenang.
            Dengan cermat kereta  diparkir di hadapan rumah yang terang di anjungnya.  Rumah teres dua tingkat, biasa sahaja namun cukup sempurna di hatinya.   Dahinya berkerut apabila melihat ruang tamu masih terang benderang.  Semakin berdegup jantungnya.  Semakin berdebar hatinya Suaminya belum tidur lagikah?  Anak-anak, Shahirah,  Aishah dan Adam masih berjagakah?  Ummu Salamah membuka daun pintu yang tidak berkunci.
            “Baru balik?  Sudah pukul berapa?  Tidak tahu bezakankah, antara siang dengan malam?” tempelak seseorang dari arah ruang tamu.
            Ummu Salamah  terkejut tidak terkata.  Mengurut dada.  Kenal benar dia akan suara itu.  Dia melangkah ke ruang tamu dengan wajah yang manis walaupun jantungnya semakin kuat bergetar.  Malah, tubuhnya juga merintih-rintih kerana sudah bersedia minta direhatkan.
            “Mak…  bila sampai?” Ummu Salamah mendekati wanita separuh abad.    Bertubuh gempal dan berkaca mata.  Mungkin baharu sampai dari kampung nun jauh di utara tanah air.  Memandangnya dengan wajah cemberut.
            “Siang tadi, ingatkan kau ada di rumah.”  Agak kasar, jerkah wanita yang seperti singa itu.  Hatinya telah dirasuk marah itu dan yang terlahir di bibir kasar belaka.
            “Ada kerja   yang perlu diselesaikan di masjid, mak.”  Tutur kata Ummu Salamah tetap lembut, itulah yang dituntut oleh agama.  Menghormati orang yang lebih tua terutama seorang ibu, walaupun hanya ibu mentua. Taraf mereka sama.  Walaupun kasih sayang ibu mertua terhadap dirinya  jauh tidak sama.  Dia sedar itu.  Namun biarlah disimpan jauh di dalam hati.
            “Kerja, kerjalah juga…  rumahtangga jangan diabaikan!”  lengking suara ibu mentuanya memecah keheningan malam.
            “Insya-ALLAH mak. Ummu cuba sebaik mungkin,” getus Ummu Salamah.  Tutur kata terjaga rapi tidak mahu menggores hati ibu mentua yang datang sekali sekala, walaupun ibu mertuanya tidak teragak-agakmenggores hatinya.  Tubuhnya benar-benar letih dan minta berehat.  Namun dia terpaksa mendengar bebelan  emak mentuanya.  Lambat-lambat dia duduk di sofa sambil matanya tetap melekat  ke wajah ibu mentuanya yang berdiri di hadapannya bagaikan seorang mandur memberi arahan kepada pekerjanya.
            “Suami dan anak-anak, kau tinggalkan begitu sahaja.  Makan minum mereka tidak terjaga.  Kerja itu biarlah berpada.  Bukan sebaliknya terlebih ghairah hendak jadi kaya melulu!”  dengus ibu mentuanya masih keras nadanya,  Sinis.
            “Bukan selalu begini, mak… hanya sesekali.  Ummu takkan melupakan keluarga dan tidak juga pernah ingin jadi kaya.”  Ya ALLAH tabahkanlah hati, detik Ummu sendiri. 
            “Mak pergilah berehat, sudah jauh dinihari ni.  Esok kita bersembang lagi.  Kalau mak nak ikut ke masjid pun bagus juga.  Boleh tengok Timbalan Perdana Menteri, esok beliau hadir merasmikan Karnival Masjid.”

            “Ah!  Tidak berminat langsung aku.  Hendak tunjuk kau hebatlah, ya?  Aku tidak hairan dengan kerja kau itu.  Hei, kalau sudah dilahirkan sebagai perempuan, bersikaplah seperti perempuan!  Tidak perlu jadi lelaki, suami kau  kerja juga, pukul 5.00 petang sudah sampai di rumah.  Kau, pukul 2.00 dinihari!  Isteri apa namanya itu, hah?”   leternya.
            “Mak…  tiada langsung niat di hati hendak tunjuk hebat.  Ummu hanya menjalankan tugas Ummu sebagai petugas Masjid An- Nur.  Itu sahaja,”  luah Ummu Salamah menyangkal tuduhan emak mentuanya dengan nada yang selembut mungkin.
            “Aku tahu benar orang berpelajaran seperti kau, Ummu! Angkuh melulu.  Itu sebab kau sanggup tinggalkan keluarga konon tuntutan tugas.  Kalau tidak buat pun, tiada siapa marah.  Kau sahaja yang terlebih rajin.”  Dia menjeling tajam ke arah Ummu Salamah.
            “Ummu minta diri dulu.  Esok kita sembang lagi, ya mak.”  Ummu Salamah  bangun perlahan-lahan.  Dia tidak mahu kata-kata ibu mentuanya itu akan membuatkan hatinya sakit.  Dia benar-benar letih.  Bukan main-main.  Dia perlukah rehat, minda dan tubuh  Esok akan bersambung tugasnya lagi.
            “Tak nak dengar leteran akulah ya?  Kau kena ingat Ummu.  Tugas seorang isteri memuaskan dan melayan kehendak suami.  Baik zahir dan batin.  Kalau sudah sibuk 24 jam, mana tanggungjawab kau?  Kalau anak mak kahwin lagi, jangan sesekali kau marah!  Kesalahan itu ada di tangan kau!”  tempelak Halimahton.
            Ummu Salamah berhenti melangkah.  Dia menoleh. Wajah cemberut emak mentuanya dipandang seketika.  Dia melemparkan senyuman sayu dan melangkah semula.  Andai itu takdirnya, suaminya berkahwin lagi, apakan daya.  Hanya itu yang lahir di hatinya.  Sekarang sedarlah dia mengapa jantungnya berdegup bagai nak rak tadi.  Bukan kerana oleh Ustaz Zaki atau sebagainya.  Sebaliknya oleh Puan Halimahton, ibu mentuanya sendiri.
            “Mak!” Imran yang  baru muncul dari tingkat atas rumah terkedu mendengar butir bicara ibu kandungnya itu.
            “Bang,”  Ummu Salamah menyalami tangan suami dengan lembut. Dan air jernih  yang tidak dipinta hadirnya  mengembang di kelopak mata.
            “Ummu minta diri ke bilik dahulu, ya… “
            Dengan riak muka penuh kasih dan sayang, Imran mengusap lembut bahu Ummu Salamah.  Memberi sedikit kelegaan di hatinya. Sedikit ketenangan mengapai lembut.  Agaknya, apa perasaan ibu mentuanya melihat mereka begitu?  Degupan jantung semakin susut ditelan ketenangan yang hadir dengan kedatangan suaminya.

No comments:

Post a Comment