AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 2 December 2015

IKATAN KASIH - BAB 22

            Faizul menyandar di sofa. Matanya masih tidak berkelip memandang gambarnya dan Rabeta sewaktu  perempuan itu ditahan di wad.  Sebagai kenangan.  Dia mengeluh.  Wajah polos dan lembut itu telah mencuri hatinya.  Dalam diam, dia menyimpan perasaan kasih dan sayang terhadap Rabeta.  Ketika usia semakin menjelang senja, perasaan malu semakin menebal pula. Kalaulah dia masih muda belia, sudah lama dia memikat Rabeta untuk dijadikan teman hidupnya.  Dia tersenyum sendiri.  Rasa rindu menyala di hati. 
            “Tengok gambar siapa tu?” tegur  Hajah Zabedah.  Wajah ceria anak lelakinya ditenung seketika. 
            “Mak!” cepat-cepat telefon bimbitnya disimpan kembali.  Dia tersenyum lagi.
            “Kalau sudah ada yang berkenan, cakap sajalah dengan mak.  Boleh mak dan ayah masuk meminang.”  Seperti mengetahui apa yang sedang bermain difikiran anak tunggalnya itu. Hajah Zabedah mengerling.
            “Siapalah yang nak dengan saya ni mak?  Setakat pegawai polis cabuk,” kata Faizul merendah diri.
            “Hai, muka macam Ton Selleck, misai seperti Dato’ K, takkan tak ada orang nak?  Anak emak yang jual mahal agaknya?”  usik Hajah Zabedah.
            “Mak ni, lebih-lebih pula memuji.  Walaupun muka anak emak ni kacak, perempuan sekarang tak nak juga, mak.  Mereka nak cari yang berharta, ada kereta besar dan tinggal di kondominium.” Faizul mendengus keras.  Hatinya tertutup untuk mendekati mana-mana perempuan sejak isterinya meninggal waktu melahirkan anak sulong mereka.  Sudah berbelas tahun dia menduda.  Mungkin juga kesibukan dengan tugasnya membuatkan dia lupa untuk mencari penganti arwah isterinya, sehinggalah dia bertemu dengan Rabeta. Dia tersenyum sendiri. Kehadiran Rabeta membuka ruang di hatinya.  Mahukah Rabeta menerima dirinya?.
            “Hah! Dah senyum sorang-sorang pula. Memang dah angaulah anak mak ni?”  Semakin galak gurauan Hajah Zabedah.
            “Saya tersenyum sebab terfikirkan kata-kata mak.  Ada ke muka saya macam Tom Selleck, kaki Tom Selleck pun tak ada, mak?  Marah jejaka tampan dan seksi tu mak, oi!”  pecab gelak Faizul.
            “Janganlah merendah diri sangat, Faizul.  Anak mak ni, kacak, bergaya, sasa  cuma tak seksi saja,” usik Hajah Zabedah lagi. Dia ketawa perlahan.
            “Boleh mak tengok gambar tu? Cantik tak orangnya?  Kalau berkenan, bawa sajalah jumpa mak.  Mak tak kisah, Faizul.  Kalau kau berkenan, mak ikut saja.  Takkan selamanya kau nak hidup sendiri?  Mak dah tua, kalau nak tak ada lagi, siapa yang nak jaga kau? Kalau ada isteri, taklah mak risau sangat,” luah Hajah Zabedah. Tubir matanya mula berkaca.   Sejak arwah menantunya meninggal, Faizul tidak pernah atau menyebut untuk berumah tangga.  Kematian arwah menantunya bagaikan telah membawa pergi seluruh rasa cinta dan kasih di hati Faizul.  Selama mana dia hendak hidup menyendiri?
            “Hish, tak naklah mak.  Selama ini pun dia hanya anggap saya sebagai anggota polis saja. Langsung  tiada tanda yang dia suka dengan saya.” Faizul menolak dengan baik.   Seingatnya, selama dia mengenali Rabeta, perempuan itu melayannya seperti seorang kawan sahaja.  Mereka tidak pernah keluar bersama. Melainkan menyelinap masuk ke rumah Zahir,, itu sahaja waktu mereka pernah berdua-duaan.  Jika tidak mereka akan bertemu kerana tugas.  Ketika Rabeta ditikam, dia yang melihat kejadian itu terkejut dan hampir hendak tercabut nyawanya sendiri.  Nasib baik Rabeta selamat. Kalau tidak pasti dia menangisi kematian seorang perempuan buat kali kedua.
            “Kenapa tak mencuba?  Kenapa tak bertanya?”
            “Dia bukan mudah didekati, mak.  Lagipun mak nak ke bermenantukan bekas banduan? Dia bekas banduan mak?  Saya bimbang, mak tak sudi.”  Sengaja menguji hati emaknya.  Wajah emaknya sedikit tegang, membuatkan hatinya resah.  Kalaulah emaknya menolak, terpaksalah dia melupakan keinginannya untuk berumah tangga.  Kalau setakat Rabeta menolak, tidaklah sesusah mana, tapi jika emaknya menolak, terpaksalah dia pendamkan keinginan hatinya.  Biarlah dia membujang sampai ke tua. 
            “Bekas banduan? Kesalahan apa? Mencuri? Penagih dada?” teka Hajah Zabedah.  Takut pula dia mendengarnya.
            “Kes yang saya kena siasat berbelas tahun lalu.  Dituduh mencederakan suaminya sendiri,”  ujar Faizul.  Dia tidak mahu berselindung.
            “Dia bersalah ke? Memang dia lakukan?” soal Hajah Zabedah.
            “Waktu saya soal siasat dahulu, dia benar-benar menafikannya, tapi bukti semua menuding kepadanya.  Pihak pendakwaraya dapat membuktikan bahawa dia yang mencederakan suaminya.  Ketika itu saya tidak mengenali dia, saya percaya dengan semua bukti yang diperolehi.  Kesan cap jari, hanya cap jari dia.  Kami bertemu kembali setelah berbelas tahun.  Sejak kenali orangnya, saya pasti bukan dia yang lakukannya, mak,”  jelas Faizul panjang lebar.   Dia masih ingat disaat-saat hukuman dibacakan.  Rabeta pengsan sebaik sahaja hukuman dibacakan.  Dia pula hanya mampu memandang sahaja. 
            “Kasihannya, sekarang dia buat kerja apa?”  Hajah Zabedah terus mengorek rahsia keperibadian perempuan yang telah bertahta di hati anak lelakinya.  Tentu perempuan itu terlalu istimewa sehingga mampu menawan hati Faizul. Anaknya itu memang seorang yang terlalu memilih, terlalu cerewet.
            “Sekarang ini, dia menguruskan Rumah Ikatan Kasih yang menjadi tempat perlindungan bagi bekas-bekas penjenayah dan bekas banduan, mak.  Baru-baru ini, dia hampir kehilangan nyawa, mungkin ada orang yang dendam dengannya.  Tindakan dia dan kumpulannya hampir melumpuhkan pusat-pusat pelacuran di Kuala Lumpur.  Dia memang berani mak dan tabah orangnya.  Langsung tidak takut dan gentar.  Saya yang jadi polis pun tak seberani dia.  Kalau mampu menyelesaikan sendiri kes yang sedang disiasatnya, dia akan lakukan sendiri, biasanya dia akan minta bantuan pihak polis.  Tugasnya menyelamatkan gadis-gadis yang dipaksa menjadi pelacur.  Ada juga yang  rela, itupun dipujuknya agar kembali ke pangkal jalan.  Saya kagum dengan semangatnya,”  cerita Faizul tentang perempuan yang telah bertahta di hatinya.
            “Beraninya dia!” Hajah Zabedah teruja mendengarnya.  Padanlah perempuan itu mampu menambat hati Faizul.  Isteri pertama Faizul juga seorang anggota polis.  Meninggal waktu melahirkan anak sulong mereka. Cucunya turut meninggal sebelum sempat melihat dunia.  Bayi itu lemas dalam kandungan, akibat terbelit tali pusat.  Uri pula melekat dan arwah menantunya tumpah darah.    Sejak itu Faizul menutup pintu hatinya untuk berkahwin lagi.
            “Ya mak, terlalu berani.”  Faizul mengangguk tanda setuju dengan kata-kata emaknya.
            “Faizul, kalau dah berkenan di hati, mak tak ada halangan. Mak pasti ayah juga tidakakan menghalang.  Faizul sudah cukup dewasa untuk memilih perempuan yang terbaik untuk dijadikan teman hidup.”  Hajah Zabedah mengusap belakang Faizul,lembut dan penuh dengan kasih sayang.  Dia tidak perlu cerewet, asalkan perempuan itu mampu membahagiakan anaknya, itu sudah cukup.
            “Betul ke mak?”  Faizul gembira mendengar luahan hati emaknya. Kalau orang tuanya sudah memberi kata izin, dia akan cuba memikat hati Rabeta.  Tiada siapa yang dapat menghalang keinginannya untuk memiliki Rabeta.  Berkongsi suka dan duka dengan perempuan itu. Dia tidak akan menghalang Rabeta  meneruskan tugasnya di pusat itu. Satu kerja yang murni. Kenapa perlu dia menjadi batu penghalang.  Lagipun di situlah dia mengenali Rabeta.
            “Bila nak bawa dia jumpa mak?” Hajah Zabedah tidak sabar ingin bertemu perempuan sehebat Rabeta.
            “Sabarlah mak, biar saya salami perasaannya dulu.   Mana boleh main terjah, nanti terlepas.  Nak selesaikan kes rompakan pun perlu  buat siasatan terperinci, inikan pula nak hati seorang perempuan.”  Faizul menyengih.  Emaknya pula terlebih suka.  Dia baharu angan-angan.
            “Boleh mak tengok gambarnya dulu?”  Ingin benar dia melihat perempuan yang sudah bertahta di hati anak lelakinya.
            Faizul akur.  Dia mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluarnya.  Dia membuka fail yang tersimpan gambar Rabeta.  Dia menyerahkannya kepada Hajah Zabedah yang tidak sabar-sabar ingin melihat gambar bakal menantu.
            “Manis orangnya, ada wajah keibuan, pandai Faizul pilih, sesuai sangatlah dengan Tom Selleck Malaysia ni,” usik Hajah Zabedah, senyuman riang terukir di bibirnya.  Dia berdoa, semoga jodoh anaknya akan sampai juga.
            “Terima kasih mak, kerana sentiasa berada di sisi saya.”  Hiba menyentap.  Kasih sayang emaknya tidak pernah berbelah bahagi. Sabar dengan kelakukannya, setiap masalah dikongsikan dengan kedua orang tuanya.  Merekalah kekuatan dirinya.  Dia memeluk kejap bahu emaknya yang duduk di sebelah.  Mereka saling tersenyum.  Terlihat air mata di tubir mata emaknya.  Faizul menyeka dengan hujung jarinya.  Dia tahu emaknya hanya ingin melihat dia gembira dan hidup bahagia.

No comments:

Post a Comment