AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 9 December 2015

IKATAN KASIH - BAB 23





Hujung minggu yang amat mendebarkan hatinya. Tiupan angin pagi menyapa lembut pipinya. Ketenangan RIKA mendamaikan jiwanya. Awal pagi lagi Fakhrul sudah sampai. Rabeta mengajak Fakhrul menemaninya ke majlis pertunangan Jasmina, atas jemputan Kamarul. Hatinya tidak kuat untuk pergi sendirian. Terasa jantungnya berdegup kencang. Kenapa perasaannya berasa berlainan sekali. Peluh dingin menyimbah tubuhnya.
            “Awak tak apa-apa ke?” tanya Fakhrul, apabila melihat Rabeta seperti menggelabah sahaja.  Tidak pernah dia melihat keadaan Rabeta seperti itu.  Di lapangan, perempuan itu cukup berani.  Kali ini berlainan sekali. Apa yang meresahkan Rabeta? Persoalan yang bermain di ruang fikirannya.   
            “Saya baik-baik saja,” jawab Rabeta.
            “Kalau awak keberatan hendak ke majlis tu, baik kita tak payah pergi. Takut saya tengok awak.  Muka dah berpeluh, gelisah saja sejak tadi. Risau saya.” Fakhrul memandu dengan tenang, menuju ke desZarasi yang dituju. Dengan bantuan GPS tidaklah susah mencari tempat itu.
            “Kita dah sampai.”
 Fakhrul memandang kiri dan kanan. Deretan kenderaan beratur di bahu jalan. Kawasan rumah banglo setingkat itu dipenuhi dengan khemah. Para tetamu sudah memenuhi setiap ruang.
            Rabeta benar-benar serba salah. Kenapalah dia bersetuju untuk hadir? Bukan dia tidak tahu alamat itu dekat dengan kampung halamannya. Ya ALLAH, Kau berilah aku kekuatan, doanya dalam hati. Oleh sebab ingin sangat mengetahui siapa Kamarul membuatkan dia membuang perasaan bimbang yang bersarang di hati.
Nama yang tertera di kad tersebut sama dengan nama bekas suaminya.  Dia tidak pernah tahu, bekas suaminya telah berpindah kembali ke kampung itu. Rupa-rupanya mereka tinggal berdekatan dengan orang tuanya.
            Rabeta melangkah keluar dari perut kereta.  Dia digamit oleh Fakhrul yang sudah pun berada di luar. Dia cuba tersenyum, tapi hambar. Berat sungguh kakinya hendak melangkah. Pelbagai persoalan sedang bermain di fikirannya. Cantik rumah itu, begitu juga lamanya.
            “Rabeta.” Fakhrul memerhati wajah pucat Rabeta. Dia menarik hujung baju kurung Rabeta yang duduk di sebelahnya. 
            “Saya ambil air minuman untuk awak, ya.”  Fakhrul melangkah bangun menuju ke bahagian terhidangnya air minuman untuk tetamu. Dia mencapai cawan polisterin dan menuang air ke dalamnya.  Langkah diatur kembali ke arah Rabeta.  Dahinya berkerut, langkahnya mati.
            “Kau! Kau buat apa di sini?  Siapa jemput kau?  Kenapa kau datang?” jerkah Hajah Aminah. Dia mencekak pinggang, memandang garang ke arah  Rabeta yang turut terkejut melihat kelibat bekas mertuanya.
Hajah Aminah terkejut melihat bekas menantunya ada di situ. Sewaktu hendak ke dalam rumah, dia terpandangkan Rabeta yang duduk tenang di kerusi berhampiran khemah untuk tetamu yang diundang.
            “Ibu!” Hanya perkataan itu yang keluar daripada mulut Rabeta. Air mata sudah mula bertakung ditubir matanya. Dadanya semakin sesak.  Suara Hajah Aminah yang kuat itu mampu didengari oleh semua tetamu yang ada.  Tahulah dia sekarang, Kamarul yang datang bertemu dengannya, adalah anaknya sendiri.
            “Kenapa ni Minah?” tanya Haji Mansor yang terkejut mendengar suara tinggi isterinya.
            “Ini, ada anak hantu di sini!” Hajah Aminah menuding jari ke arah Rabeta. Sakit benar hatinya.  Geram melihat wajah bekas menantunya yang ada di situ.  Siapa yang menjemput perempuan itu?
            “Kau? Buat apa kau di sini?” Giliran Haji Mansor pula bertanya.
            “Saya dijemput ayah, ibu. Saya tak tahu pun ini rumah Abang Ramadan,” terang Rabeta tergagap-gagap. Dia memenuhi jemputan orang. Dia bukan suka menghampakan permintaan orang lain.
            “Baik kau berambus dari sini! Kau tu pembunuh! Kau bekas banduan! Kau jangan nak malukan cucu aku!” sindir Hajah Aminah. Langsung tiada belas ehsan terhadap bekas menantunya.
            “Jika benar anak-anak saya ada di sini, biarlah saya bertemu mereka sebentar. Lepas tu, saya akan pergi dari sini,” rayu Rabeta. Matanya melilau mencari kelibat Kamarul. Benarlah… pemuda yang hadir tempohari adalah anak sulungnya.   
            “Kau tak boleh jumpa mereka!” jerit seorang lelaki yang muncul di pintu utama, matanya tajam memandang Rabeta. Dia mengatur langkah,  mendekati.
            “Abang Ramadan.” Air mata Rabeta mengalir laju.  Wajah yang pernah dirindui sepanjang masa ketika di tahan di penjara. Lelaki yang pernah menyentuh hatinya.  Ayah kepada anak-anaknya.
            “Siapa jemput kau?” tanya Ramadan kassar. Rasa marah mencengkam hati.
            “Saya, ayah!” Kamarul mendekati Rabeta. Tangan mamanya diraih dan dicium berkali-kali. Tubuh  Rabeta dipeluk erat. Dia menangis kerana terlalu rindu.
            “Ya ALLAH, Kamarul!” Rabeta mencium pipi Kamarul berkali-kali. Rasa rindu membuak di hati.  Akhirnya dia bertemu juga dengan anak-anaknya.
            “Kenapa Kamarul buat macam ni? Kenapa malukan kami?” Hajah Aminah memandang tajam wajah Kamarul. Sakit pula hatinya dengan sikap cucu itu. Memandai-mandai menjemput Rabeta.
            “Mama?” Jasmina yang sudah siap berpakaian indah mendekati Rabeta yang masih kaku berdiri di sebelah Kamarul.
            “Jasmina?” sebak dada Rabeta. Anak-anak yang amat dirindui berada di hadapannya.
            “Mama!” Jasmina berlari, memeluk Rabeta erat. Meluahkan rasa rindu yang sarat di hati.  Dia tidak menyangka abangnya benar-benar mencari mama mereka.
            “Mama ke mana? Kenapa mama tidak cari kami selepas keluar penjara?” tanya Kamarul. Dia tidak menghiraukan mata ayah, datuk dan nenek yang memandangnya dengan perasaan marah.
            “Mana Riyana?  Adik Riyana mana?” Dia ingin sangat bertemu Riyana. Walaupun mereka pernah bertembung muka, tetapi dia tidak kuat untuk berterus terang dengan gadis itu.
            “Kenapa ni?” tanya Riyana dengan dahi berkerut. Sejak tadi dia melihat sahaja perempuan itu dimarahi oleh neneknya. Sejak tadi jugalah dia melihat perempuan itu berdiri kaku, bagaikan terkejut. Kini, perempuan itu menangis dan sedang memeluk abang dan kakaknya. Siapa perempuan itu?  Soalan yang sedang bermain difikirannya.
            “Riyana! Masuk!” arah Aida yang berada di belakang gadis itu. Dia membiarkan sahaja keluarga mertuanya memarahi Rabeta.
            “Jangan masuk campur!” arah emaknya yang datang menarik tangannya.
            “Mak!” Aida meronta minta dilepaskan. Wajah emaknya dipandang seketika, mata emaknya sedang merenung Rabeta yang sedang menangis di laman rumah itu.   
            “Jom!” Hajah Kamalia menarik tangan Aida. Hancur hatinya melihat anak buahnya sendiri, dihina dan dicaci sesuka hati. Biar besar mana sekalipun dosa dan kesalahan Rabeta dahulu, dia sudah pun menerima hukuman selama 15 tahun, tidak cukupkah lagi?  Dia sendiri tidak faham.
            “Nak ke mana, mak?” Aida terkejut dengan tindakan emaknya.
            “Balik rumah mak! Biar mereka bergusti sesama sendiri. Kau jangan sesekali hina sepupu kau sendiri, faham?” larang Hajah Kamalia.
            “Nak balik ke mana? Ini rumah Aidalah mak.”  Aida menarik tangannya semula. 
            “Mak menyesal kahwinkan kau dengan Ramadan!” Hajah Kamalia mencuka.
Kalaulah dia tahu perangai buruk menantunya, mati hidup balik dia tidak akan benarkan anaknya berkahwin dengan Ramadan. Sikap keluarga besannya sudah cukup mengecewakan hatinya. Sanggup memalukan anak buahnya. Langsung tidak menjaga air muka orang lain.
Hiba hatinya melihat anak buahnya menangis. Salahkah dia berhubung dengan anak-anaknya? Dia terus melangkah pulang. Tidak sanggup berlama di situ. Nasib baik adik dan adik iparnya tidak hadir.  Kalau tidak pasti jadi perang besar di situ.
            “Pergi dari sini Eta! Jangan ganggu majlis kami,” halau Ramadan. Rasa benci membunuh semua perasaan cinta dan sayangnya terhadap Rabeta.  Yang ada hanya perasaan dendam dan marah di hati.
            “Kamarul, Jasmina! Masuk!” arah Ramadan kepada anak-anaknya yang masih lagi memeluk Rabeta.
            “Hoi! Dengar tak, ayah kamu suruh masuk?” jerkah Hajah Aminah. Sakit matanya melihat adegan tiga beranak itu. Rabeta tidak layak berada di samping cucu-cucunya.
            “Nenek!” Kamarul berkeras.
            “Kau nak jadi anak durhaka ke?” marah Haji Mansor yang sesekali masuk campur.
            “Kamarul akan jadi anak durhaka, jika membiarkan mama dimalukan!” kata Kamal tegas.
            “Kau diam! Jangan nak ajar ayah pula!”  marah Ramadan.
            “Jasmina! Masuk!” jerit Ramadan. Suasana menjadi kecoh. Para tetamu mula bercakap sesama sendiri.
            “Kenapa Kamarul jemput perempuan ini? Kamarul nak malukan mama dan ayah?” Marah Ramadan.
            “Mama berhak hadir! Bukan ke Jasmina anak mama juga?” soal Kamarul, mempertahankan tindakannya sendiri.
            “Ooo… penjenayah ni dah bebas? Tadi aku tengok dia datang dengan lelaki. Entah-entah dah jadi kupu-kupu malam. Siapa yang nakkan bekas banduan ni?  Nasib baik kau ceraikan dia, Ramadan. Kalau tak malu keluarga kita!” sampuk seorang perempuan yang sebaya emak mertuanya.
            Rabeta memandang wajah perempuan itu.  Air mata diseka dengan jarinya. Dia mengetap bibir. 
            “Hei Rabeta! Baik kau berambus! Mengacau aje. Memalukan keluarga aku tak habis-habis!” kata Hajah Aminah kasar.
            “Ibu!” Rabeta memandang emak mertuanya, mohon belas ehsan agar dia dibenarkan turut serta dalam majlis itu. Dia tidak dapat melihat anak-anaknya membesar di hadapan mata, sekurang-kurangnya pada hari bahagia anaknya itu, dapatlah dia turut sama berasakan kegembiraannya.   
            “Kau nak suruh pihak lelaki tolak anak kau ni? Kau ingat mereka suka berbesankan bekas penjenayah? Bekas banduan? Hey! Aku sendiri tak sudi bermenantukan kau, inikan pula orang luar!”  jerkah Hajah Aminah.
Dia tidak menghiraukan penduduk kampung yang melihat dan memerhati. Mereka bercakap sesama sendiri. Adik-beradik sebelah Ramadan menjuihkan bibir ke arah Rabeta.
            “Baliklah! Atau nak kami panggil polis untuk halau kau?” halau Ramadan.
            Rabeta memandang wajah-wajah mereka, sebahagian daripada para tetamu amat dikenalinya. Bukankah dia pernah menjadi sebahagian daripada keluarga Ramadan. Hatinya bernanah duka.
            “Tak payah. Saya dah datang.” Fakhrul mencelah. Kemudiannya berdiri membelakangkan Rabeta.
            “Fakhrul…” rayu Rabeta.
            “Cukup! Dah puas mengata tunang saya?  Dah puas menghina dia? Apa? Bekas penjenayah bukan manusia? Tak ada perasaan? Tak ada hati?” Fakhrul yang sedari tadi diam, mencelah. “Awak Ramadan, perempuan yang awak hina ini, adalah ibu kepada anak-anak awak! Pernah melayan nafsu dan menyediakan segala keperluan awak, ini cara awak melayan dia? Biar banyak mana pun dosa dia terhadap awak, 15 tahun dia dihukum! Tak cukup lagi ke?”
Fakhrul lantas berpaling ke arah Hajah Aminah. “Mak cik pula, sepatutnya sebagai orang tua, bimbing yang muda, bukan menambah garam pada luka! Hina orang ikut sedap hati saja. Kalau terkena dengan batang hidung sendiri, bagaimana? Sanggup ke nak hadapi?” tengking Fakhrul. Berapi telinganya mendengar butir bicara mereka. Hinaan dan cacian yang dilontarkan mengusik hatinya. 
            “Ewah,ewah,ewah! Nak jadi hero pula kat sini! Ini rumah anak aku, ini kampung aku! Kau orang luar buat apa masuk campur! Aku nak hina ke, aku nak caci ke, itu hak aku! Kau siap?  Setakat tunang! Ada aku peduli!” jawab Hajah Aminah, sedikit pun tidak gentar berdepan dengan Fakhrul.
            “Saya tak nak bersikap kurang ajar dengan mak cik. Baik, jika mak cik tak nak hentikan perbuatan mak cik ni, jom ikut saya ke balai! Saya boleh tahan mak cik kerana mengganggu ketenteraman awam! Saya Inspektor Fakhrul dari Bahagian D7. Ada sesiapa yang nak tidur lokap hari ini?” Fakhrul memandang wajah mereka yang memandang jijik kepada Rabeta.
            “Erk…  Inspektor polis? Dahlah Minah, jom kita masuk ke dalam rumah.” Haji Mansor menarik tangan isterinya. Kalau sudah melibatkan pihak polis, panjang lagilah ceritanya. 
            “Awak kenapa? Takut sangat dengan polis?  Dia bukan boleh buat apa-apa pun!” Hajah Aminah masih berkeras.
            Fakhrul mengetap bibir. Orang tua ini memang tidak makan saman. Dia menjeling tajam ke arah Hajah Aminah yang mencekak pinggang merenungnya. Mereka saling menikam pandang. Perasaan marah mendidih dalam hati Fakhrul.
            “Baik!” Fakhrul mengeluarkan telefon bimbitnya.  Dia menelefon seseorang.
            “Inspektor buat apa?” tanya Haji Mansor.
            “Saya panggil kereta peronda, saya terpaksa tahan isteri pak cik!” kata Fakhrul tegas.
            “Fakhrul!” Rabeta cuba membantah.
            Fakhrul mengangkat tangan dan memandang tepat ke dalam mata Rabeta.
            Kamarul dan Jasmina memeluk tubuh masing-masing. Sedikit pun tidak membantah.
            “Inspektor! Takkan sampai nak bawa ibu saya ke balai polis?” Ramadan menggelabah. 
            “Kalau tak nak saya bawa ibu awak ke balai polis, minta maaf dengan tunang saya, sekarang juga! Banduan tu, lebih baik sikapnya  daripada manusia di luar ni tau?  Suka-suka nak hina orang! Apa, orang jahat tak boleh insaf ke? Tak boleh jadi baik? Jangan ingat berjubah, berkopiah, kita dah cukup baik?  Cermin diri dulu, sebelum nak tuding jadi kat orang lain!” lengking Fakhrul. 








No comments:

Post a Comment