AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 28 December 2015

IKATAN KASIH - BAB 24

 Rabeta



Sebuah kereta peronda berhenti di hadapan perkarangan rumah Ramadan. Fakhrul berjalan mendekati mereka. Dia memperkenalkan  diri dan bercerita serba sedikit. Mereka mengangguk dan melangkah keluar.
            “Mereka ni dah bersedia nak bawa mak cik ke balai polis… mari, mak cik.” Fakhrul serius memandang wajah Hajah Aminah sudah mula kepucatan. Tangannya sudah memegang erat tangan Haji Mansor.
            “Takkan sampai nak tahan ibu saya, Inspektor? Kasihanlah, dia dah tua,” rayu Ramadan. Bimbang pula hatinya, kalaulah benar-benar ibunya ditahan di lokap tentu ibunya tidak mampu menghadapinya.
            “Fakhrul!” Rabeta memandang dengan mata berkaca. Dia menggeleng. Tidak setuju dengan tindakan drastik lelaki itu. Fakhrul mengerdipkan mata. Dia hanya mengertak, hendak tengok sedegil dan sekeras mana bekas ibu mertua Rabeta itu.
            “Tuan! Dah boleh bawa ke?” tanya salah seorang anggota polis tadi.
            “Bagaimana? Dah bersedia nak minta maaf?  Kalau tidak, saya terpaksa angkut semua yang sesedap rasa menghina orang tadi ke balai.  Kita cakap di mahkamah.” 
            “Erk… tuan! Janganlah! Kami akan minta maaf!”  kata Ramadan, wajahnya pucat. 
            “Mak cik?” Fakhrul memandang Hajah Aminah yang tertunduk ketakutan. Mak cik yang seorang lagi itu pun sudah duduk dan buat pandang ke lain.  Masing-masing ketakutan.
            “Kamarul, mama balik dulu ya. Jas, selamat bertunang. Nanti datang jenguk mama, abang long tahu di mana nak cari mama.” Rabeta memeluk kedua-dua orang anaknya.  Rasa rindu yang selama ini bertakhta di hati, lebur sedikit demi sedikit.
            “Eta! Maafkan kami semua, ya.” Ramadan merenung wajah bekas isterinya. Wajah yang pernah singgah di hati dan matanya. Dia mengeluh.
            “Saya balik dulu!” 
            “Erk… Eta, maafkan ibu ya,” kata Hajah Aminah perlahan.
            “Eta maafkan.” Rabeta cuba tersenyum, namun dia tahu, senyumannya itu langsung tidak ikhlas. Hatinya sudah cukup terluka dengan sikap keluarga bekas mertuanya itu. Nampaknya, semua membencinya. 
            “Ada sesiapa lagi yang sukarela nak makan angin dengan kereta polis? Atau teringin nak merasa tidur di dalam lokap?”  tempelak Fakhrul. 
            Para tetamu yang hadir, mula berganjak menjauhkan diri. Masing-masing tidak mahu turut campur. Tidak pasal-pasal bermalam di lokap.
            “Lain kali, jangan sedap mulut saja menghina orang! Tak kiralah siapa, sebagai manusia yang waras, kita sepatutnya bantu mereka yang tersesat ini kembali ke pangkal jalan, bukan membuang mereka daripada hidup kita! Beri mereka peluang kembali hidup dalam masyarakat!  Faham pak cik, mak cik?”  nasihat Fakhrul. “Saya maafkan kali ini, di lain kali tiada kompromi!” kata Fakhrul tegas.
            “Koperal! Kita balik ke balai!” Fakhrul berjalan mendekati kedua orang anggota polis dan mereka kembali ke kereta peronda yang diletakkan tidak jauh dari pintu pagar.  Suasana tenang kembali.
            “Terima kasih!” kata Fakhrul.
            “Bila-bila masa!” kata salah seorang anggota polis itu sebelum memandu meninggalkan kawasan tersebut.
            Rabeta mengeluh keras. Menyesal pun ada, suka dan gembira juga terselit sama di hati.
            “Buat apa tercegat lagi tu? Awak nak tunggu mereka halau awak lagi?” Fakhrul membuka pintu kereta. 
            Rabeta menurut tanpa berkata apa-apa. Dia duduk kaku, membisu.
            Fakhrul mengerling. Wajah muram Rabeta membuat hatinya sedih. Padanlah perempuan itu gelisah sahaja tadi. Segala-galanya sudah terjawab.  Selama ini Rabeta tidak pernah menceritakan tentang kampung halamannya. Bertahun-tahun tinggal di RIKA, tidak pernah sekalipun Rabeta bercerita hendak balik ke kampung bertemu kedua orang tuanya. Rupa-rupanya dia bukan sahaja dibuang keluarga, malah dibuang oleh orang kampungnya juga. 
            “Ini tempat asal awak?” tanya Fakhrul sambil memulas stereng, meninggalkan kawasan rumah Ramadan. 
            “Ya, inilah tempat saya membesar.” 
            “Mereka tak dapat lupakan apa yang awak lakukan?  Kejam sungguh!”  Fakhrul mengeluh kesal.
            “Entahlah, saya sendiri tak faham.”   
            “Boleh tahan mulut bekas mertua awak tu! Kejam betul! Macam mana awak boleh tahan jadi menantu dia?” Fakhrul mencuri pandang wajah suram Rabeta, simpati menjengah dalam hati.  
            “Rumah orang tua awak di mana?” 
            “Perlu ke awak tahu?”
            “Hish, perlulah, saya kan bakal suami awak.”
            “Nantilah, saya serabut ni.” Rabeta tidak mahu membincangkan tentang keluarganya. Kejadian tadi masih lagi menghantuinya. Akhirnya bertemu muka juga dengan anak-anaknya, hanya Riyana yang tidak kelihatan. Adakah dia takut untuk bertemu dengannya?  Rabeta mengeluh halus.
            “Awak bersabar ya,” pujuk Fakhrul.
            “Saya sudah lama bersabar. Kenapa mereka masih tidak boleh memaafkan saya? Maaf tadi saya panggil awak dengan panggilan nama saja!” Rabeta mendengus kasar. Fikiranya berserabut, kata-katanya juga sudah tunggang terbalik.  Wajah bengis bekas mertuanya begitu menyentuh hatinya.  Marah sangat orang tua itu terhadapnya. 
            “Saya yakin awak kuat, itu sebab ALLAH uji awak.”
            “Saya tak cederakan suami saya, percayalah tuan!”  Rabeta tetap menafikan. Bukan dia yang melakukannya. 
            “Saya percaya dan yakin dengan awak. Lupakanlah tentang hal itu.  Awak dah ada kehidupan baru,”  pujuk Fakhrul lagi. 
            “Insya-ALLAH, saya sedang cuba. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat juga tengok anak-anak saya.” 
            “Alhamdulillah…” sambung Fakhrul, turut berasa gembira. Biarpun ada duka, namun terselit juga rasa bahagia di hati Rabeta. 
            “Awak kena kuat semangat demi mereka.” Fakhrul tidak mahu Rabeta terlalu memikirkan mereka yang membencinya sedangkan masih ramai lagi yang menyayanginya. Wajah kelat itu dipandang sekali lagi. Dia menggeleng kesal. Hati perempuan, mudah sangat terusik. Biarlah Rabeta melayan perasaannya  sendiri. Sehari dua sahaja, selepas itu akan sejuk kembali. Itulah perempuan. Dia tersenyum sendiri. 
***
            Di celahan kenderaan yang tersusun  di tepi jalan menuju ke rumah Ramadan, seorang insan sedang tersenyum bahagia. Biarpun hatinya sakit melihat kelibat perempuan yang amat dibencinya namun setelah kejadian beberapa jam tadi membuatkan senyuman terukir semula di bibirnya.  Bertuahnya diri.
            “Pucuk dicita, ulam mendatang.” Zaheer tersenyum riang.
Kalau boleh dia hendak melompat tinggi, meraikan kejayaan yang tidak diduga. Musuh sudah berada di dalam tangannya.  Tunggu hari pembalasan yang bakal tiba. Liat juga nyawa perempuan itu, sama liat dengan isterinya. Dia melihat sendiri kejadian di laman rumah bakal tunangnya.  Tahulah dia sekarang siapa Jasmina. Tidak sia-sia dia melabur, tidak sia-sia dia mengayat. 
Wajah Rabeta yang penuh dengan kesedihan sedikit pun tidak mengusik hatinya. Padan muka! Selayaknya perempuan itu dihina! Perempuan keji! Bertambah mudahlah dia hendak mempermainkan Rabeta.
            Ketika kejadian, rombongannya baru sahaja sampai. Dia tidak membenarkan sesiapa pun turun dari kereta hingga selesai drama tadi. Tidak sangka pula dia akan melihat kejadian yang mampu membuat dia ketawa berguling-guling. Kalaulah dia boleh rakam kejadian tadi, pasti akan dinaikkan dalam Youtube biar satu dunia melihat wajah Rabeta, perempuan yang dihukum kerana mencederakan suaminya sendiri. Ironinya hidup.              Sebaik Fakhrul dan Rabeta pulang, barulah rombongan Zaheer turun dari perut kereta. Majlis pertunangan berjalan lancar.
Selepas ini tentu perempuan itu akan bertambah sedih ketika mendapat tahu dia adalah bakal menantu Rabeta. Tentu Nazatul pula akan menangis mendayu-dayu ketika mendapat tahu ‘madu’nya adalah anak sahabat baiknya sendiri. 
Tentu isterinya akan gembira dengan hubungan kekeluargaan yang akan terbina.  Musuhnya akan musnah seorang demi seorang. Sama seperti mana mereka cuba memusnahkan dirinya.
            “Bos! Ada polis di depan pintu pagar!” beritahu orang kanannya, Joe.
            “Hah?  Polis?  Berhenti! Mereka buat apa di situ? Macam mana mereka boleh tahu!?” Zaheer  memandang ke arah rumahnya, dua buah kereta peronda polis berada di situ. Dia menahan marah.
            “Macam mana ni bos?” tanya Joe. Dia turut bimbang.
            “Kita pergi dari sini!” arah Zaheer. Sudah pasti Nazatul telah dibebaskan. Dia menumbuk telapak tangannya sendiri. Geram, marah dan sakit hati bercampur baur di hati. 
            “Macam mana polis tahu? Siapa yang pecah lubang?” lengking Zaheer di dalam kereta yang bergerak laju meninggalkan kawasan rumah sewanya. Terpaksalah dia mencari tempat lain pula.
“Nazatul! Kau jangan harap boleh lepas bebas!” Jerit Zaheer dalam hati.
            “Manalah aku tahu bos!” jawab Joe. Sejak kelmarin dia sibuk menguruskan majlis pertunangan Zaheer. Tidaklah langsung dia menjengah ke rumah itu. Tidak pula terdengar bisik-bisik dari orang bawahnya kehadiran manusia yang mencurigakan. 
            “Kau siasat dan cari Nazatul berada di mana? Aku pasti dia telah dibebaskan!” perintah Zaheer. Hilang keseronokan tadi. Timbul pula rasa marah di hati. 
            “Nazatul, berani kau larikan diri daripada aku!” jerit Zaheer di dalam kereta. 
            “Kita nak ke mana ni bos?”  tanya Joe. 
            “Kita menginap di hotel dulu, nanti kita cari rumah lain,” arah Zaheer, itu sahaja caranya. “Ada jembalang di dalam kumpulan kita ke?” soal Zaheer.
            Joe mengangkat bahu.
            “Kita kena hantar orang kita para petugas kita ni balik dulu. Dengan bayaran sekali,” terang Joe, tidak mahu Zaheer terlupa pula.
            “Yalah!”  Zaheer bingung. Dalam keadaan ini, ada perkara perlu diselesaikan segera.
            Usai membayar upah untuk majlis pertunangannya, dia terus ke  sebuah hotel. Dia perlu berehat dan memikirkan strategi seterusnya. Lima orang konco-konconya telah ditangkap. Janganlah mereka pecahkan rahsia, kalau tidak teruklah dia nanti. 
            “Joe, bawa beberapa orang kita, cuba kau selidik sama ada Nazatul ada di Rumah Ikatan Kasih atau tidak. Hati-hati, jangan sampai mereka nampak!” suruh Zaheer.
            “Baik bos!” Setelah memastikan Zaheer berada dalam keadaan selesa, dia dengan beberapa orang bawahannya bergerak menuju ke RIKA.
***

            Joe memarkirkan keretanya tidak jauh dari pagar RIKA. Menunggu dan menunggu. Dia yang keletihan, hampir terlelap. Enjin kereta sudah dimatikan. Kereta itu bercermin hitam menyukarkan orang lain untuk  melihat siapa yang ada di dalam. 
            “Kau pergi tanya pengawal keselamatan tu, sama ada Nazatul dah balik?”  perintah Joe, setelah puas menunggu, bosan pun menyapa.
            “Hish, nanti keluar si Rabeta, nayalah aku!”  Rustam membantah. Mana tidaknya, dia salah seorang penyerang Rabeta tempoh hari. Perempuan itu tidak mati pun. Malah masih sihat. Memang liat nyawanya.
            “Kau takut apanya? Acukan saja pistol kau tu!” marah Joe. 
            “Yalah, yalah…” Rustam melangkah keluar.  Dia mendengus kasar. Menyampah dengan tugas menghendap ini.  Kalau boleh serbu sahaja, buat apa bertanya dan mengintai seperti ini. Menyusahkan dan membosankan, rungutnya dalam hati.
            Joe memandang sahaja dari jauh. Seorang lagi orang bawahannya sudah pun keluar memantau keadaan. Rustam pula melakukan tugas yang diberi tadi. 
            “Dia tak nampak kelibat Nazatul pun di sini, Joe! Katanya dah bertahun mereka tak lihat Nazatul,”  terang Rustam selepas sepuluh minit bertemuramah dengan pengawal di situ. Dia melangkah masuk semula ke dalam perut kereta.
            “Memang Nazatul tak ada di sini! Jom,” ajak Joe. Ke mana pula Nazatul di bawa pergi? Hendak kembali ke rumah itu, tidak mungkinlah. Tentu pihak polis masih ada di situ. Dia mengeluh. 
            “Agak-agak kau mana ya pihak polis bawa Nazatul?  Jom kita cari di hospital,”  ajak Joe.
            “Hospital? Aku tak sukalah bau ubat,” kata Rustam kurang senang.
            “Jangan banyak cakap! Kalau bos arahkan lagi teruk. Dibuatnya dia suruh kita cari di semua hospital di Malaysia ni, macam mana? Kau nak?” Joe mencebik. Kerja yang membosankan, mencari orang yang entah ke mana menghilang. 
            “Kau ni Rustam, asyik nak membantah saja!” 
            “Kau diamlah, Ravi!”
            “Sudah! Aku tak suka dengar orang bertekak! Sakit telinga tau!” marah Joe. Dia terus memandu menuju ke HKL. Manalah tahu Nazatul dibawa ke situ. 



No comments:

Post a Comment