AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 30 December 2015

IKATAN KASIH - BAB 25






Bunyi hon kereta di hadapan pintu pagar RIKA mengganggu lamunannya. Dia mengerut dahi. Air mata yang berbaki diseka dengan hujung baju. Dia berdiri, memerhati… siapakah gerangan yang datang bagaikan samseng. 
            “Puan, nak buka ke pintu! Lelaki tu dah bising-bising, marahkan pengawal tu,” kata seorang petugas RIKA yang datang mendekatinya.
            “Bukalah,” arah Rabeta. Ingin juga dia tahu, siapa punya angkara. Masuk ke tempat orang tiada adab sopan. 
            Pemuda tadi berlari semula ke pintu pagar dan menyuruh pengawal keselamatan membuka pintu pagar. 
            Kereta itu meluncur laju dan berhenti di pondok wakaf tempat Rabeta duduk mengelamun sebentar tadi.
            Rabeta terpinga-pinga melihat kenderaan mewah bersiri-siri itu berhenti di hadapannya. Keluar seseorang dengan muka bengis dan garang. 
            “Hoi! Mana kau sembunyikan isteri aku, hah?” jerit Zaheer, salamnya tertinggal entah di mana.
            Rabeta kebingungan. Apa pula lelaki ini merepek? Bila pula dia sembunyikan isteri dia? Dia belum dapat apa-apa maklumat pun. Takkan Nazatul sudah dibebaskan? Tapi siapa yang membebaskannya?
            “Apa kau cakap ni?” Rabeta berdiri tegak. Matanya membuntang memandang wajah Zaheer yang menyinga merenungnya.
            “Mana Nazatul? Mana kau sembunyikan dia?” tengking Zaheer. Dia tidak menghiraukan mata-mata yang memandang. Agendanya lebih penting.  Mencari Nazatul, isterinya yang sudah diselamatkan. 
            “Papa!” Zara menerpa mendekati Rabeta.
            “Mana mama kau? Mana kau sembunyikan dia?” tanya Zaheer seperti orang gila.
            “Bukankah mama ada dengan papa? Kenapa tanya kami?” Zara mencebik. Wajah lelaki itu dipandang dengan hati yang sakit.  Kalau tidak kerana agama, sudah tentulah lelaki  itu yang paling dibenci. Waima melihat bayangnya sekalipun.
            “Kau orang dah culik dia! Lepas tu buat tak tahu!” marah Zaheer. Dia sudah mula melangkah untuk menghampiri Zara dan Rabeta.
            Suasana di laman RIKA mulai kecoh.  Penghuni-penghuni yang ada, sudah keluar menunggu dan menanti apa yang bakal  berlaku.  Jika Zaheer bertindak kurang ajar, mereka tahu bagaimana hendak menghalaunya. Lelaki yang telah memusnahkan hidup hampir separuh penghuni rumah itu. 
            “Apa papa merepek ni? Siapa culik mama?”  Zara cuak. Mamanya tiada bersama Zaheer. Mungkinkah Nazatul sudah dibebaskan?
            Mata Zaheer tidak berkelip memandang wajah kedua-dua perempuan itu.
            “Baliklah.  Kami tak culik pun Kak Naz dan kami tak tahu di berada di mana? Pergilah cari sendiri.” Rabeta memandang sinis. Nampaknya sahabatnya itu tidak lagi berada di dalam genggaman lelaki itu. Ada kelegaan menapak di hati.
            “Kalau aku dapat cari dan tahu Nazatul berada di sini, aku bakar tempat ini! Kau dengar tak?”  jerkah Zaheer. Dia meludah ke tanah. Penumbuk diacukan kepada Zara dan Rabeta.
            “Oh ya, sebelum aku berambus dari sini. Aku ada hadiah untuk kau Rabeta!” Zaheer masuk ke dalam perut kereta dan keluar dengan sebuah album gambar. Dia mencampak album itu ke atas meja batu yang terdapat di pondok wakaf itu.
            Rabeta dan Zara saling memandang sesama sendiri.
            “Semoga kau bertambah bahagia, wahai bakal mama mertuaku!” kata Zaheer riang. Dia ketawa terbahak-bahak.   
            “Sudah hilang akal agaknya.” Zara memandang album gambar yang berada di atas meja.  Dia mengambil dan membukanya. Gambar majlis pertunangan seorang gadis yang ayu rupawan.
            “Gambar apa itu Zara?” tanya Rabeta. Dia memandang sahaja kereta Zaheer hingga hilang dari pandangan. Penghuni-penghuni rumah tersebut juga turut bersurai setelah diarahkan. Wajah Zara Zara ditatapnya. Mama mertua? Siapa pula mama mertua?  Keluhan terlahir di bibirnya.
            “Entahlah mak cik. Gambar majlis pertunangan ni… tak tahulah gambar siapa?” Zara menghulurkan album itu kepada Rabeta. Album itu bertukar tangan.
            “Ya ALLAH! Ini Jasmina. Anak mak cik, Zara!” jelas Rabeta. Dadanya  berdebar. Dia terus menyelak helaian album itu satu persatu. Ada gambar Zaheer yang sedang memeluk erat pinggang anak gadisnya, Jasmina. Lemah lututnya.
Baru sahaja dia bersulam duka, kini kesedihan itu datang kembali. Dia tidak kuat berdiri. Adakah… Ya ALLAH! Rabeta terjelepuk jatuh. Berpinar-pinar matanya, pening kepalanya. Apa yang sedang berlaku?
            “Mak cik!” Zara memeluk erat bahu Rabeta.  Dia memandang gambar-gambar yang ada. Dia mengucap panjang.  Apa yang telah papanya lakukan? Air matanya tidak mampu dibendung lagi. Adakah papanya akan terus menyakiti setiap perempuan yang mendekatinya?
***
            Fakhrul memandang wajah Nazatul yang masih nyenyak tidurnya. Badannya sudah sedikit berisi. Sudah mampu menyuap sendiri makanan ke mulutnya. Sudah boleh ke bilik air. Tubuhnya sudah kembali bertenaga.             
            “Inspektor!” Nazatul menegur. Perlahan-lahan dia cuba bangun dan duduk.
            “Kak Naz? Berrehatlah,” suruh Fakhrul. Hilang rasa mengantuknya melihat Nazatul sudah pun terjaga daripada tidurnya.
            “Maafkan akak kerana menyusahkan tuan sekali lagi.” Nazatul memandang wajah Fakhrul. Dia benar-benar terhutang budi dengan lelaki itu.   
            “Kenapa Eta tak datang ziarah akak? Zara mana?” Nazatul tercari-cari kelibat orang yang disayanginya. Sejak dia diselamatkan, kedua-dua insan itu tidak kelihatan.
            “Mereka tak tahu saya dah selamatkan akak,” jelas Fakhrul. Sekaligus menjawab pertanyaan Nazatul.
            “Ya ke? Tapi kenapa?”  Nazatul mengeluh.
            “Saya nak akak sembuh betul-betul dahulu, baru saya bawa mereka ke mari.  Saya tak nak mereka tengok keadaan akak yang lemah.  Nanti pasti mereka bersedih. Lagipun saya tak mahu Zaheer tahu tempat ini. Tentu dia akan mengekori mereka berdua atau mencari mereka. Biar mereka tak tahu, akak selamat di sini. Nanti akak akan dapat bertemu dengan mereka juga.  Akak bersabar ya,” tutur Fakhrul.
            “Teruk sangat ke keadaan akak, inspektor?” Nazatul memegang pipinya sendiri. Lengan dan jari jemarinya dibelek. Memanglah dia kurus. Hidup bertemankan sebiji mentol dan sebuah katil bujang, tiada peluang untuk memanjakan diri.  Makan pun ala kadar sahaja. Kadangkala langsung tidak diberi makan. Makanannya juga dicampur dengan dadah, bagi melemahkan dirinya. 
            “Kalau akak nak jumpa mereka. Akak kena benar-benar sembuh. Lagipun pihak polis hendak ambil kenyataan akak. ”
            Nazatul membuka laci kecil yang berada di tepi sudut katilnya. Dia mengeluarkan pemacu pena yang sudah lama berada di dalam simpanannya. Dia sorokkan di tempat yang tidak boleh ditemui oleh Zaheer.
            “Semua maklumat ada di dalamnya,inspektor.” Pemacu pena itu bertukar tangan.
            “Terima kasih, kak. Kami akan siasat dahulu segala maklumat yang ada ini.  Jika semua maklumat sudah terkumpul, kami akan segera bertindak.  Akak berehatlah ya. Dah lama saya di sini. Insya-ALLAH, esok saya datang lagi,” kata Fakhrul sebelum dia melangkah keluar dari bilik itu.
Dia perlu juga ke RIKA. Sudah seminggu dia tidak ke sana. Dia ingin menjenguk Rabeta.
            Fakhrul kembali ke pejabatnya dan meneliti isi kandungan pemacu pena yang telah dibuka. Maklumat itu diharap dapat membantu pihak polis untuk memberkas Zaheer dan melumpuhkah semua kegiatan haramnya. 
           


          

1 comment: