AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 30 December 2015

IKATAN KASIH - BAB 26

Kamarul

BAB 26
            Kamarul leka memerhati adiknya menyusun senarai nama jemputan untuk majlis pertunangannya nanti.  Baharu sahaja bertunang, senarainya sudah panjang berjela.  Belum lagi majlis pernikahan dan majlis resepsi nanti.  Membazir sahaja.  Suruh sambung belajar, tak mahu. Usia baharu 22 tahun, masih muda. Orang perempuanlah katakan, mudah sangat  jatuh cinta.  Pantang diayat sedikit, mulalah angau satu badan.  Dia mencebik, rimas diasak dengan soalan oleh adiknya, bila nak kahwin? Takkan, tidak ada teman wanita?  Hish! Ikut suka dialah, belum terjumpa lagi yang berkenan di hati, hendak buat macam mana?  Kamarul tersenyum dalam hati.
            “Along…  along banyak diamkan dirilah sejak balik, along tak suka angah bertunang ya?” tanya Rizqi dengan wajah cemberutnya.  Abang sulongnya kurang bercakap dan bersembang dengannya sejak pulang dari universiti.  Takkan marah sebab dia sudah hendak bertunang?  Tidak mungkin? 
            “Along cemburu ya?” gurau Rizqi
            “Tak adalah, kenapa pula along tak suka, kenapa along perlu cemburu?  Along tumpang bahagia.  Kalaulah mama Eta ada, kan seronok?  Selagi tidak bertemu mama, along takkan kahwin!”  kata Kamarul tegas.  Itulah impiannya.  Biar satu kampung itu menghalang, dia tidak peduli.  Dia akan cari mamanya sehingga bertemu. 
            “Mama Eta? Bua tapa?”  Rizqi terkedu.  Sudah lama nama itu tidak didengarinya.  Kenapa pula, hari ini abang sulongnya menyebutnya?
            “Buat apa? Diakan mama kita,” kata Kamarul, tegas.  Dia memandang sekeliling, takut didengari pula oleh mama tirinya yang tidak suka nama Rabeta disebut di rumah itu.  Begitu juga dengan ayah, datuk dan neneknya.  Benci sangat mereka dengan mamanya itu. 
            “Tahu takut!” Rizqi mencebik lagi.  Bukan dia tidak ingatkan mamanya, tetapi, entahlah.  Terlalu lama masa berlalu, ingatannya terhadap wajah dan tingkahkalu mamanya semakin hari semakin terhakis.
            “Angah tak nak tunggu sehingga kita jumpa mama?  Lepas tu baharulah kita buat majlis pertunangan?”  cadang  Kamarul.
            “Kalau jumpa?  Kalau tak jumpa?  Nak suruh angah tunggu sampai bila?”  Rizqi tidak setuju dengan cadangan abang sulongnya itu.  Di mana hendak cari mamanya? Sejak dipenjarakan, dia tidak pernah mendengar khabar berita tentang mama kandungnya itu.  Hilang dan ghaib begitu sahaja.  Tiada khabar berita.
            “Kita carilah!”  Kamarul tersenyum.  Ya, dia akan cari sehingga bertemu.
            “Rizqi memandang wajah Kamarul, mengharapkan kepastian akan cadangannya itu.  Biar betul?  Abangnya seriuskah hendak mencari mama mereka? Tapi di mana?
            “Nak cari di mana?” tanya Rizqi, kurang yakin.  Bukan dia tidak rindukan mamanya, sudah pastilah dia rndu.  Cuma, dia bimbang ada hati yang terluka, ada hati yang kecewa, ada jiwa yang marah dan resah.  Itu sebab mereka tidak pernah membincangkan hal tersebut.  Rela simpan sahaja di dalam hati.  Datuk dan neneknya langsung tidak suka jika dia menyebut nama mamanya.
            “Kita mulakan di penjara.” Kamarul tersenyum.
            “Penjara?  Boleh jumpa ke?”  Rizqi kurang yakin.
            “Nenek Kemboja tak tahu ke?”
            “Entahlah, tapi bolehlah along tanyakan.  Sebut pasal  Nenek Kemboja, along rasa malu pula.  Sudah berbelas tahun, kita tidak ke rumah mereka.  Hari Raya pun kita tak ziarah.”  Rasa hiba menyucuk tangkai hatinya. 
            “Kan… tiba-tiba datang menjengah.  Boleh pengsan Nenek Kemboja!”  Rizqi tersenyum.
            Kamarul bingkas bangun dan menapak ke muka pintu.
            “Along nak ke mana?” Rizqi mendongak memandang wajah abang sulongnya.  Ketika itu dia sedang menyiarap di tengah ruang tamu, sibuk menyediakan kad jemputan.
            “Ke rumah Nenek Kemboja. Jangan beritahu sesiapa.”  Kamarul meletakkan jari telunjuk di tengah bibirnya.  Dia tahu, tiada siapa yang akan gembira mendengar nama ahli keluarga mamanya.  Mereka saling membenci.  Dia tidak pernah membenci mamanya, hatta keluarga mamanya  juga.  Sebagai anak, dia tidak boleh membantah atas arahan orang tuanya.
            “Along, hati-hati.  Sampaikan salam Rizqi pada Nenek Kemboja ya?”  Rizqi mengangguk perlahan.  Wajah Nenek Kemboja menerjah ingatan.  Bagaimanalah wajah neneknya kini?  Adiknya, Riyana rajin ke sana, tetapi Riyana tidak tahu, Nenek Kemboja adalah emak kepada mama mereka.  Yang dia fikirkan, Nenek Kemboja adalah ibu saudara mama tiri mereka.  Wajah mamanya pun, dia ingat-ingat lupa.  Tiada sekeping pun gambar mamanya di rumah itu.  Mungkin Nenek Kemboja masih lagi menyimpan gambar mama mereka.  Rizqi mengangkat bahu, layan diri sendiri.  Dia meneruskan kerja-kerja menyenaraikan tetamu dan menulisnya di atas kad jemputan.  Perlukah dia menjemput Nenek Kemboja dan datuknya?   Nanti apa pula kata kedua orang tuanya serta nenek dan datuk sebelah ayahnya.  Dia mengeluh.  Susahlah kalau macam ini?
*** 

            Kamarul menunggang motosikalnya masuk ke perkarangan rumah neneknya.  Pintu pagar terbuka.  Sebuah kereta Wira diparkirkan di anjung rumah banglo dua tingkat itu.  Dia meletak motosikalnya di sebelah kereta, setelah mematikan enjinnya.  Laman rumah itu dihiasi dengan pepohon pelbagai jenis dan rupa.  Bau harum Cempaka mengusik hidungnya. Kawasan laman rumah itu bersih dan terjaga rapi.  Sudah berbelas tahun dia tidak menjejakkan kaki ke rumah itu. Keadaan dan suasananya juga sudah berubah.  Yang sama hanyalah taman bunga yang semakin indah dan cantik. 
            Tingkap rumah yang bergerigi besi terbuka luas.  Kawasan itu sunyi, hanya terdengar sesekali kokokan ayam saling bersahutan. Matanya memandang kiri dan kanan.  Pondok wakaf yang terletak tidak jauh dari rumah utama dipandang sekali imbas.  Dia masih ingat, di pondok itulah dia selalu bermain. 
            Kamarul mendekati pintu utama. Tertutup rapat.  Dia mengetuk dan memberi salam.  Tiada sebarang sahutan. Salam  diberi sekali lagi, menunggu seketika.  Tidak berapa lama kemudian terdengar orang memberi salam, sayup menyapa telinganya.  Dia bergerak jauh sedikit dari pintu utama.  Menunggu dengan hati yang berdebar-debar.  Maklumlah, sudah lama tidak menziarahi neneknya itu. Bimbang juga, jika dimarahi atau disergah nanti.  Apa yang bakal berlaku diterima dengan hati terbuka. 
            “Abang terlupa kunci rumah lagi ke?” tanya Hajah Kemboja sambil membuka pintu seluas-luasnya.  Dia terdiam. Wajah tetamu yang hadir membuatkan dahinya berkerut.  Siapalah gerangan pemuda ini? Detik hati kecilnya.  Wajah itu diamati, dipandang dan dibelek, dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.  Cuba mengingat semula, jika wajah itu pernah dilihat sebelum ini, rasanya tidak. 
            “Anak cari siapa? Maaflah, mak cik ingatkan suami mak cik tadi,” sapa Hajah Kemboja ramah. Dalam keramahannya itu, timbul rasa bimbang.  Zaman sekarang ini, orang merompak pelbagai cara.  Ada yang menyamar jadi jurujual, polis pun ada.  Risau juga dia, dahlah dia tinggal seorang diri.  Dia menjengah ke arah pintu pagar.  Dia mengeluh.  Suaminya lupa mengunci semula pintu pagar selepas keluar. 
            “Anak mak cik ada dua tiga orang di atas.  Anak nak jumpa mereka ke?” kata Hajah Kemboja lagi. Niatnya, jika lelaki itu perompak atau pencuri, sekurang-kurangnya tidak berani dan membatalkan niat untuk merompak, kalau tahu ada orang lain di rumah.  Hakikatnya, hanya dia seorang diri berada di rumah itu.    Rasa bimbang dan takut mengusik tangkai hatinya.  Tubuh badan pemuda itu boleh tahan, tak terlawan dia nanti.  Hajah Kemboja mendengus kasar.
            “Nenek! Nenek tak kenal saya?” Hati Kamarul diusik sayu.  Hiba hatinya, apabila neneknya sendiri, tidak mengenalinya.  Terlalu lama mereka tidak berjumpa, inilah jadinya.  Cucu sendiri pun tidak cam. 
            “Siapa ya?”  Hajah Kemboja cuba mengingati wajah itu.  Dia mengeluh. Ingatannya tidak begitu baik. Faktor usia. 
            “Ini Kamarullah nek, anak ayah Kamil dan Mama Eta,” kata Kamarul memperkenalkan diri.
            “Kamarul?  Anak Kamil dan Eta?” soal Hajah Kemboja sekali lagi.  Memanglah dia ada cucu bernama Kamarul, tetapi sudah lama tidak menjengahnya.  Kenapa tiba-tiba muncul pula hari ini.  Betulkah?  Atau orang yang menyamar menjadi cucunya.
            “Nek! Memang ini Kamarul!” Kamarul menerpa dan memeluk Nenek Kemboja.  Dia menangis sayu.  Hiba hatinya apabila neneknya langsung tidak mengingatinya.  Tandanya sudah terlalu lama mereka tidak bertemu.
            “Ya ALLAH! Dah besar cucu nenek.  Dah jadi orang bujang yang kacak dan segak! Bertuah kau, Kamarul, kenapa baharu hari ini datang tengok nenek?”  Hajah Kemboja membalas pelukan Kamarul seketika. Dia menolak tubuh itu dan meneliti sekali lagi wajah tampan cucunya.  Dia menepuk lengan cucunya.  Air matanya mengalir keluar.  Walaupun duduk sekampung, tapi mereka tidak pernah berjumpa.  Hubungan mereka terputus terus, ugutan dan amaran Kamil dan kedua orang tuanya, membuatkan dia memadamkan rasa rindu kepada cucu-cucunya, anak Rabeta.
            “Nenek apa khabar?”  Hatinya terharu melihat air mata neneknya mengalir. Dia turut berasa sedih.  Salah siapakah semua ini terjadi?  Hubungan kekeluargaan terputus begitu sahaja.  Hanya kerana kesalahan yang telah dilakukan oleh mamanya, dia dan adik-adiknya kehilangan nenek yang amat pengasih dan penyayang itu. 
            “Alhamdulillah, cu.  Mari masuk, buat apa tercegat di muka pintu,” pelawa Hajah Kemboja, sambil menarik Kamarul masuk ke dalam rumah.  Dia menangis gembira. Tidak sangka sama sekali, cucunya sudi datang bertemu dengannya, akhirnya… . Sudah lama dia rindukan saat itu.  Sudah terlalu lama dia tidak bertemu dengan cucu-cucunya.  Dahulu ada juga Riyana datang menjengah, kini tidak lagi.  Dia tidak mampu menahan kerenah bekas menantu dan besannya.  Rasa marah dan sakit di hati masih berbaki terhadap anaknya, Rabeta.
            “Atok mana nek? Tak nampak pun?  Nenek pula tinggal sorang-sorang dengan pintu pagar tidak berkunci. Bahaya nek,” tegur Kamarul.  Dia tahu, di rumah itu tiada sesiapa, mamanya hanya dua beradik, atok dan neneknya sahaja.  Kasihan neneknya, tidak dapat menumpang kasih mereka adik beradik.
            “Ke mana lagi, Kamarul.  Ke masjidlah, agaknya, “ jawab Hajah Kemboja.  Mereka terus berjalan ke dapur.
            “Cantik rumah nenek, dah banyak berubah.” Kamarul tertarik dengan susun atur dari ruang tamu sehinggalah ke dapur.  Pandai orang yang menyusun atur perabut dan hiasan dalaman rumah itu.
            “Pak Su Ramli kau yang hias.  Diakan Juruhias Dalaman,” cerita Hajah Kemboja tentang anak bongsunya.
            “Pak Su Ramli, Juruhias dalaman? Wah, hebat!”puji Kamarul bangga.  Pak Su Ramlinya memang suka melukis dan mengemas rumah.  Selalu dia dipaksa membantu mengubah susunan perabut di rumah itu. Kadangkala, bebel juga dia, kalau sudah seminggu berkali-kali susun atur perabut diubah.
            “Sudah minatnya, nenek tak kuasa nak melarang.  Rumah kami ni pun dah jadi seperti ruang pameran untuknya,”cerita Hajah Kemboja ceria.  Dia faham benar dengan minat anak bongsunya itu.
            Mereka berbual sambil menikmati minuman petang yang disediakan oleh Hajah Kemboja.  Kuih seri muka yang enak bersama air kopi panas yang menyegarkan.  Kamarul tidak berkelip memandang wajah neneknya. Terlalu rindu pada wajah itu.
            “Kenapa tiba-tiba datang?  Kamarul nak cari apa dan siapa?”  Hajah Kemboja seperti dalam merasakn tujuan kehadiran Kamarul di rumahnya.  Kalau tidak, pasti cucunya itu tidak akan menjejakkan kaki di rumah itu.  Sudah berbelas tahun, tentulah pelik, tiba-tiba muncul.
            “Maafkan Kamarul ya nek.  Lama tak jengah nenek dan atuk,” katanya dengan nada penuh kesayuan.  Masih ada sisa rajuk dalam bicara neneknya tadi.  Dia tidak salahkan neneknya.  Hubungan yang ada, tidak kira atas sebab apa dan kenapa sepatutnya tidak diputuskan. Silaturahim biarlah sehingga ke syurga.  Hanya harapan dia seorang, orang kalau sudah marah, macam-macam boleh terjadi.
            “Nenek tak marah. Malah faham dengan situasi kita.  Kamarul datang sini, mama dan ayah tahu ke?  Kerana sudah lama sangat kita tak bertemu, sampai wajah cucu nenek sendiri pun, nenek dah lupa, faktor usia, sayang.  Jangan marah nenek ya,” gurau Hajah Kemboja demi menghilangkan rasa sedih yang menembak ke jantungnya.
            “Yalah nek.  Sengaja datang, nak tengok nenek.  Kebetulan Kamarul lalu di depan rumah nenek, itu sebab singgah.”
            “Ooo… Jadi selama ini, tak pernah lalulah depan rumah nenek ni?  Adik-adik apa khabar?  Riyana dah lama tak datang, sehingga ke hari ini, dia tak tahu lagi, nenek adalah nenek kandungnya sendiri.  Bukan orang lain.  Tak sampai hati nenek nak bagi tahu, cu. Nanti banyak pula soalannya.  Biarlah dia beranggapan nenek ini adalah nenek saudaranya sahaja,” luah Hajah Kemboja tentang Riyana, cucu bongsunya.
            “Rizqi sibuk dengan urusannya.  Soal Riyana, nenek jangan bimbang ya.  Dia pun sibuk belajar, tahun inikan dia nak ambil SPM,” jelas Kamarul. Tidak mahu neneknya terus menyulam duka di hati.
            “Tak  apalah, kalau ingatkan kami… sudi-sudilah datang.  Pintu rumah nenek terbuka untuk kalian.” Sayu hatinya.  Setiap  hari dia melakar rindu terhadap cucu-cucunya.  Mereka bertiga sahajalah cucu-cucunya.  Ramli, anak bongsunya belum berumah tangga.  Hanya Rabeta, dan Kamarul, adalah anak Rabeta, begitu juga dengan Rizqi dan Riyana.  Sejak Rabeta ditahan di penjara, hubungan dia dan cucu-cucunya terus diputuskan. 
            “Nek, mama ada balik tak?” Bukan mudah untuk dia bertanya.  Dia tidak mahu lagi berteka-teki dengan neneknya.  Tentu neneknya pun dapat membaca, apa yang tersirat, kenapa dia datang ke rumah itu.
            “Mama? Mama yang mana satu? Mama Eta?” Hajah Kemboja memandang tepat ke mata Kamarul.  Kenapa Kamarul, tiba-tiba bertanyakan mamanya? 
            “Yalah, nek.  Mama Etalah.  Nenek tahu tak mama ada di mana?”  tanya Kamarul sekali lagi.
            Hajah Kemboja mengeluh. Dia menyandarkan tubuhnya ke kerusi.  Anak matanya menikam  mata Kamarul yang memandang wajahnya tidak berkelip.  Pandangan yang penu mengharap.
            “Mama pernah balik, cu.  Tapi dah lama dia dah pergi dari sini.  Selepas dibebaskan, dia balik ke rumah ini, sempat bermalam di sini.  Atuk tak mahu mama terus di hina, jika tinggal di kampung ini.  Jadi, atuk suruh mama tinggalkan kampung ini. Sejak itu mama tak pernah balik,” cerita Hajah Kemboja.
            “Jadi, nenek tak tahulah, mama ada di mana?”  rasa kecewa menebak di hati.  
            “Kenapa mama tak cari kami?” soal Kamarul. Kalau sudah keluar dari penjara, kenapa tidak datang cari mereka adik beradik?
            “Ayah Kamil dah bagi amaran, dia tak benarkan mama berjumpa dengan kalian.  Nenek tak boleh berbuat apa-apa.  Terpaksalah nenek merahsiakan di mana kalian berada,”  luah Hajah Kemboja.  Bukan Rabeta tidak ingin mencari anak-anaknya, tapi dia tidah tahu, anak-anaknya berada di mana. 
            “Nenek tahu mama ada di mana?” 
            Hajah Kemboja menggeleng.  Sejak keluar dari rumah itu, Rabeta langsung tidak pernah menghubungi mereka.  Dia seperti berjauh hati, tidak mahu bertanya khabar.  Rasa rindu yang menyuntik di hati, membuatkan jiwanya resah dan sayu.
            Kamarul mengeluh. Ya ALLAH, ke manalah mamanya pergi? Tentu sengsara hidup mamanya, sudahlah dihukum berbelas tahun, diceraikan dan dibuang keluarga.  Dugaan yang datang bertimpa-timpa. Air matanya mengalir juga.  Dia turut berasa sedih dengan nasib yang menimpa mamanya.  Sudah pasti nenek dan atuknya hidup dalam kesunyian, tiada cucu-cucu dan anak di sisi.    Mungkin neneknya juga rindukan mamanya.  Dia perlu mencari mamanya sehingga berjumpa.  Jika benar Pengurus Rumah Ikatan kasih itu adalah mamanya, dia perlu mengembalikan mamanya ke rumah itu.  Wajah kelat neneknya menjadi santapan mata.
            “Nenek ada gambar mama?” perlahan sahaja dia menuturnya.  Malu pun ada.  Semua gambar mamanya, telah dibuang oleh ayahnya.   Dia tidak sempat menyelamatkan sekeping pun.  Semuanya dimusnahkan. 
            “Di rumah tak ada ke?”  Hajah Kemboja terkejut.
            “Tak ada nek.  Semuanya telah dibuang dan dibakar oleh ayah,”jelas Kamarul.  Bua tapa dia berselindung, takkan hendak cerita, hilang waktu mereka pindah ke mari.  Dia bukan pandai berbohong. 
            “Ya ALLAH, benci sungguh keluarga ayah kamu terhadap mama Eta!?   Semakin pedih hatinya. Kebencian mereka sehingga ke tulang hitam. 
            “Maafkan kami, nek.” Kamarul menunduk. Malu terasa di hati.  Tidak tahu apa yang harus dikatakan lagi.
            Hajah Kemboja bingkas bangun dan menuju ke ruang tamu.  Dia membuka laci almari yang terdapat di ruang itu.  Sebuah album gambar dikeluarkan. Dia kembali ke dapur.  Album itu diletakkan di hadapan Kamarul.  Matanya lunak memandang wajah Kamarul yang masih lagi menunduk. Mungkin melayan rasa duka di hati.
            “Dalam album itu, hanya ada gambar kalian sekeluarga, pilihlah yang mana satu, yang berkenan di hati.”  Hajah Kemboja mengeluh sendiri. 
            Kamarul menatap kembali kenangan terindah  dalam hidup keluarganya ketika bersama mamanya, Rabeta.  Hatinya diulit pilu.  Senyuman gembira jelas terpancar di wajah mamanya ketika itu.  Nampak jelas kemesraan mereka sekeluarga.  Terpancar tanda sayang di wajah mama terhadap ayahnya.  Semakin dia yakin, bukan mamanya yang mencederakan ayahnya.  Tidak mungkin seseorang itu mencederakan orang yang disayanginya.  Cuma, dia tidak tahu siapa yang melakukannya, dan tiada siapa pun tahu. 
            “Boleh Kamarul ambil beberapa keping gambar kami sekeluarga ni, nek?” tanya Kamarul meminta izin.
            “Ambillah, cu…” Hajah Kemboja memberi keizinan.  Dia tidak perlu bertanya untuk apa Kamarul  memerlukan gambar-gambar itu.  Di hati keluarganya, Rabeta sudah mati.  Mungkin cucunya ada sebab tersendiri. 
            “Kamarul dah lama di sini.  Kamarul minta diri dulu, ya nek.  Nanti Mama Chah dan ayah cari pula.  Insya-ALLAH, nanti Kamarul datang lagi.”  Kamarul memeluk erat tubuh Hajah Kemboja.  Dia mencium pipi dan dahi neneknya dengan penuh kasih dan sayang.  Semakin sedih hatinya.  Dia menahan tangis dengan menarik nafas.  Janganlah gugur hai si air mata.  Melihat wajah muram neneknya, buat hatinya bernanar duka.
            “Datanglah ziarah nenek, ya cu… sekurang-kurangnya hilang juga rasa rindu nenek dengan mama kamu,” pinta Hajah Kemboja.
            “Insya-ALLAH, nek.  Kamarul janji akan bawa mama pulang tengok nenek,”  janji Kamarul.  Tubuh itu masih dirangkulnya.  Berat hatinya henda berpisah dengan perempuan yang telah melahirkan mamanya itu.
            “Kamu ada jumpa mama  Eta ke?”
            “Erk… tak lagi nek.  Kamarul baharu bercadang  nak cari mama.  Kamarul janji akan cari sampai jumpa,” kata Kamarul penuh yakin.    Kamarul memandang  beberapa keping gambar mereka sekeluarga dahulu, cukup ceria dan cukup bahagia.  Kini, kebahagian tu sudah lenyap daripada hidup mereka.  Sudah lama berkubur dalam hati masing-masing.   Apa yang ada kini hanyalah perasaan benci dan syak wasangka.  Hubungan kekeluargaan mereka juga sudah terputus bagaikan tidak boleh disambung lagi.
            Mereka berpisah dengan menyimpan perasaan rindu yang masih menggunung tinggi. Kamarul berjanji akan sering menziarahi neneknya itu. Biarlah keluarga sebelah ayahnya berbuat demikian, tetapi dia tidak akan melakukan perkara yang sama.  Wajah dan lambaian neneknya tersemat di hati. 
            Begitu jugalah harapan Hajah Kemboja, ingin sering bertemu dengan cucu-cucunya.  Bergurau dan berbual seperti dahulu.  Semoga hubungan yang terputus kembali bertaut.


No comments:

Post a Comment