Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 13 Julai 2015

KUMPULAN CERPEN ANA BALQIS

Kumpulan Cerpen ANA BALQIS – SAYAP NUN

ANA BALQIS

Rekto Verso

2015

****  bintang.

Saya mengenali penulis ini di dada akhbar, dahulu memang sering beli suratkhabar dan pastilah ruangan cerpen dan puisi menjadi pilihan untuk say abaca.  Tidak pernah terlepas peluang membacanya. Ketika itulah saya mengenali karya-karya penulis hebat seperti Aminah Mokhtar, Ana Balqis, Puteri Andalas, Siti Jasmina Ibrahim dan Azmah Nordin.  Waktu itu saya hanya menjadi peminat sastera.  Belum termimpi hendak jadi penulis.  Membaca karya mereka membuatkan hati sering berdetik, hebatnya mereka menulis, bagaimana ya mereka dapat idea?  Bagaimana mereka menulis?  Tentu mereka berpelajaran tinggi sehingga mampu menulis sesuatu yang diluar jangkauan fikiran akal manusia seperti saya.    Dalam diam saya mengagumi kejayaan mereka memenangi ANUGERAH SASTERA terutama jika menghantar karya ke penerbitan Utusan.
Hari ini saya mengenali penulis ini secara peribadi.  Bangga menjadi salah seorang pengikut dan peminat beliau. Jom kita bercerita tentang karya Kumpulan cerpen ini, Sayap Num adalah salah satu tajuk cerpen dalam karya ini.   Di ruang prakata penulis diterangkan satu persatu kenapa penulis menggarap cerita mengikut tajuk yang ada.  Seperti kisah Dailog Dua Perempuan, kisah seorang wartawan dan seorang isteri yang hidup bermadu.  Di akhir cerita betapa terkesannya di hati penulis itu yang sering berasakan hidupnya serba tidak sempurna tetapi bagaimana dengan wanita yang hidup berkongsi dan  mempunyai seorang anak ini berasakan hidupnya serba sempurna sedangkan suaminya jarang-jarang ada di rumah? Malah anak sendiri tidak mengenal ayahnya.  Begitu kejam, kan? Kadang-kala kita menjadi manusia yang tidak tahu bersyukur dengan apa yang ada.

Banyak kisah menarik dalam kumpulan cerpen ini.  Gaya bahasa Prof.  Ana Balqis usah dipertikaikan lagi.  Ada ketika terlalu berterus-terang, ada ketika berpuitis gayanya.    Temanya juga berbeza-beza.  Teknik penulisan juga begitu.  Apapun tahniah sifu Ana Balqis.  Semoga terus sukses dalam dunia penulisan.

ATLAS PERANG SALIB



ATLAS PERANG SALIB
SAMI BIN ABDULLAH AL-MAGHLUTS
PTS-  karya  terjemahan.
2015
RM65.00 ( Semenanjung)
*****
                Karya yang bercerita tentang Perang Salib selama 200 tahun. Begitu lama.  Dari perang salib  pertama sehinggalah seterusnya.   Ada Perang Salib besar dan kecil.  Sewaktu mula membacanya, buat hati berkata-kata.  Wah! Orang-orang Islam sengaja di perangi oleh orang-orang Kristian hanya untuk menguasai  kawasan, penjajahan secara kekerasan selama 200 tahun.  Ada diceritakan betapa kejamnya askar-askar Salib ini membunuh orang-orang Islam tanpa belas ehsan.  Ada ketika askar-askar Islam yang menang, ada ketika askar-askar Salib yang menang.  Bukan sedikit nyawa terkorban.  Bukan sedikit harta benda yang rosak. Itu semua tidak menjadi kudis di hati para pejuang tentera salib demi menjayakan misi dan visi mereka.  Memerangi manusia lain yang tidak buat salah pun pada mereka?  Pelikkan?  Itulah rakusnya mereka.  Tidak ada  belas ehsan, tidak kira orang tua, muda, kanak-kanak, kalau boleh semuanya dibunuh, hendak dihapuskan hanya kerana kuasa dan penjajahan. 
                Bayangkanlah negara Asia Timur sudah diperangi sejak abad ke 12 lagi. Malah sehingga kini.  Kejamnya manusia yang sanggup membunuh manusia lain hanya atas nama KUASA dan ingin menunjukkan kekuatan.     Peperang bermula 1098 Masihi (Rabiulakhir 491H)  Dalam masa yang sama orang-orang Mongol juga menyerang negara-negara Islam.  Serangan bangsa itu menyebabkan kejatuhan Kerajaan Abbasiyyah di Baghdad pada tahun 656H (1258 M).  Buku yang menarik untuk dibaca dan dijadikan bahan bacaan di rumah.   Ketika membacanya, hanya keluhan dan kekesalan yang terlahir di hati saya.  Begitu kejam sekali Paus Kristian waktu itu.   Kesan daripada perang Orang Islam bangkit menjadi orang yang berilmu, baik ilmu perubatan, matematik, astronomi, sains, kimia, biologi, fizik dan sebagainya, semuanya dikuasai oleh orang-orang Islam.  Orang-orang Islamlah yang pertama mencipta ilmu-ilmu ini.  Sayang sekali, sebahagian daripada kita beranggapan ilmu-ilmu ini hanyalah ilmu sekular dan ilmu dunia, sedangkan  ilmuan Islam dahululah yang telah memperkenalkannya dan telah dicuri oleh orang-orang barat serta mengatakan ilmu-ilmu ini adalah hak mereka.   Bayangkan peradaban Islam kekal cemerlang selama 1000 tahun.   
                Kalau hendak tulis, pasti berkajang-kajang jadinya. Kalau hendak tahu kisahnya, kenalah dapatkan buku ini.  Simpan satu di rumah sebagai bahan bacaan buat anak-anak. Biar mereka kenal sejarah negara-negara Arab ini.  Tentang negara Islam keseluruhannya. 
               

AHMAD AMMAR, ENGKAU MILIKNYA

TAJUK    :        AHMAD AMMAR ENGKAU MILIKNYA
Penulis    :        Bonda Nor
Terbitan           Galeri Ilmu
                          2015
                         RM17.00

    Ini karya kedua saya baca tentang Allahyarham Ahmad Ammar.  Setiap karya tentang arwah ada keistimewaannya tersendiri, dan setiap penulis ada caranya tersendiri.  Begitu juga penulis karya ini yang lebih menfokuskan kepada orang tua arwah iaitu Tuan Ahmad Azam dan Puan Nur Azlina.  Sebenarnya Ybhg Tuan Ahmad Azam saya kenali dari jauh sejak anak sulong saya menjadi pelajar di tadika ABIM Alor Setar.  Kemudian masuk darjah satu di sekolah Seri ABIM Alor Setar.  Dari situ kami sekeluarga mengenali dengan lebih dekat badan NGO ini. 

    Sewaktu anak bersekolah di sekolah rendah ABIM Alor Setar, suamilah yang mula-mula berjinak menjadi ahli ABIM dan  AJK ABIM Daerah Alor Setar.  Waktu anak sulong dalam darjah enam, saya pula masuk bekerja dengan badan NGO ini.  Sebagai Setiausaha Kerja Hal Ehwal Wanita ABIM Negeri Kedah.  Ketika  itu Ybhg Ahmad Azam adalah Yang Di Pertua ABIM Malaysia.  Saya sering hadir muktamar ABIM Pusat, sering mengikut seminar atau  mesyuarat yang diadakan oleh HELWA Pusat.  Cuma tidak perasan akan kehadiran Puan Nur Azlina.  Seronok rupanya bekerja di lapangan dakwah dan tarbiyah ini.  Seperti yang diberitahu oleh penulis, Bonda Nor.

     Usrah adalah perkara penting yang ditekankan kepada semua ahli ABIM begitu juga yang bekerja di bawah agensi ini.  Saya bekerja tujuh hari seminggu termasuklah usrah, wajib saya hadiri.  Di sini ukhwan dan persahabatan terjalin utuh. Pernah merasakannya  betapa indah jika kita bekerja kerana ALLAH SWT dan membawa misi agama Islam dan bila saya baca karya ini, maka ia begitu terkesan di hati.

    Mengenali keluarga ini dari jauh.  Memang benar,  kepimpinan Tuan Ahmad Azam begitu terserlah sewaktu menjadi ketua pimpinan ABIM,semangat dakwahnya begitu kuat turun ke akar umbi.  Setiap petugas bekerja tidak kira waktu, masa dan tenaga.  Semuanya dilakukan dengan sukarela.  Gaji yang saya terima, bukanlah besar mana, kalau saya beritahu pasti takkan ada orang percaya.  Kecil sangat, tetapi hati puas kerana dapat berkhidmat untuk ummah.  Seperti kata Bonda Nor dalam karya ini.  Jika seluruh jiwa raga kita diserahkan kepada jalan ALLAH, tiada keluh kesah di hati.  Malah berasa seronok, gembira dan bahagia.

    Karya yang sepatutnya dibaca dan disimpan oleh setiap keluarga di luar sana.  Karya yang mampu memberi inspirasi kepada sebuah keluarga dalam menuju jalan ke syurga.  ALLAH! Terasa sayu hati ini ketika membawa karya yang benar-benar menyentuh hati.  Bonda Nor berjaya mengusik hati keibuan saya, berjaya mengetuk hati kewanitaan saya dengan gaya bahasanya yang ikhlas  daripada hati.  Tersentuh, terasa, hiba, resah, gembira, bangga, bercampur baur dalam hati. Inilah keluarga contoh dalam menegakkan syiar Islam.  Berkorban masa, waktu dan tenaga hanya untuk agama.  Bukan semua mampu lakukannya. Percayalah, tidak semudah mengucapkan A, B,C...

    Mereka adalah insan hebat yang mampu hidup kerana agama, menyerah diri kepada ALLAH swt bulat-bulat, bukan semua mampu melakukannya. Kita sentiasa bercakap dan berdoa, kepada ALLAH kita berserah, tetapi tetap ada keluh kesahnya.  ALLAH, Bonda Nor​, berjaya membawa pembaca ke dalam keluarga ini tanpa sedar. Turut merasakan ketabahan dan kekuatan keluarga ini. Tiada kata yang mampu saya gambarkan, atau ingin saya perkatakan tentang apa yang saya baca.

      Puas! itu sahaja yang terlahir di hati.  Hanya ALLAH sahaja yang tahu apa yang berdetik di hati saya ketika membaca karya ini.   Semoga ALLAH juga memberi jalan terbaik kepada saya sekeluarga dalam menegakkan agama ALLAH yang suci ini.

     Dalam hati, saya ingin menjadi seperti Puan Nur Azlina.  Dalam hati saya inginkan anak seperti arwah yang bekerja untuk ummah.  Semoga  roh arwah  ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman di sana.  Semoga Tuan Ahmad Azam dan Puan Nur Azlina terus menjalankan kerja-kerja dakwah, semoga mereka diberi kesihatan yang baik, semangat yang jitu dan  keazaman yang tinggi untuk terus menjalankan misi dakwah dan tarbiyah ini.  Tahniah kepada penulis kerana berjaya menyentuh hati para pembacanya dengan pendekatan  penulisan yang lahir dari hati. Dalam diam saya amat kagum dengan Bonda Nor, malah menjadi peminat beliau.  Syabas Bonda Nor.

      Gaya bahasanya mudah difahami, begitu santun. Sajak-sajak yang dimuatkan begitu menyentuh hati. Indah bahasanya, mudah dan menusuk kalbu.

Jumaat, 3 Julai 2015

DIDIKAN ANAK-ANAK




(Gambar hanya hiasan tiada kena mengena dengan artikel ini)

Dia seorang lelaki dan dia seorang perempuan.  Hidup mereka biasa-biasa sahaja.  Bertemu jodoh dan berjanji seia sekata.  Berjanji akan setia sehingga ke hujung nyawa.  Setahun berlalu, lahirlah seorang putera yang menjadi kebanggan mereka berdua.  Bahagia, ceria dan gembira.  Mereka berkahwin tanpa ada rasa cinta, bercinta selepas bernikah.  Alhamdulillah, terhindar daripada segala pencemaran nafsu serakah.  Dalam mengenal hati budi, lelaki/suami itu rupanya seorang yang panas baran, suka memerintah, bercakap kasar dan tidak ada sifat berhemah dalam mendidik seorang isteri.  Perempuan/ Isteri pula membayangkan sebuah rumah tangga yang penuh romantika.  Kata-kata suami dalam diam telah mengguris hatinya.  Mula-mula si isteri hanya mendiamkan diri, lama-kelamaan tidak mampu mendiamkan diri lagi.  Kata-kata kasar dan kelat suami di balas dengan kata-kata kesat dan kasar yang sama.  Sering bertengkar, terutama atas urusan anak-anak mereka. 

Anak pula dididik dengan cara Islam, pendidikan agama diberi, dihantar ke sekolah agama, diberi pendidikan agama yang secukupnya, tidak dibenarkan bergaul  bebas, tidak dibenarkan bercampur dengan orang yang bukan-bukan.  Setiap hari anak-anak akan mendengar ibu dan ayah mereka bertengkar.  Di hadapan anak-anak berlakulah peperangan dunia ketiga.  Ibu tak berasa bersalah, ayah tetap dengan egonya.  Biarpun hubungan mereka tetap seia sekata, masih ada bahagia tetapi menyimpan dendam yang sarat di hati.  Meneruskan kehidupan demi anak-anak, kononnya. 

Masa berlalu, anak seorang jadi dua dan jadi tiga.  Sikap suami dan isteri masih seperti itu juga.  Bertengkar depan anak-anak dianggap perkara biasa.  Anak-anak melihat, mendengar dan mendiamkan diri. Masa berlalu, anak-anak itu meningkat remaja.  Belajar di sekolah agama, sudah tentulah baik sikapnya, tidak keluar berfoya-foya, tidak buat perkara yang bukan-bukan.
Ayah dan ibu sungguh berbangga, anak-anak kononnya jadi manusia.  Dapat didikan agama, boleh mengaji, solat dan jadi imam dengan baik.  Tetapi…  dalam mencari kebaikan dan menuju jalan ALLAH pasti ada dugaan yang berat buat keluarga ini.  Anak-anak yang dididik dengan didikan agama yang baik, rupanya menjadi anak yang kuat melawan, tidak hormat kedua orang tua, cakapnya kasar, langsung tidak menghargai apa sahaja yang dilakukan oleh kedua orang tua mereka.  Sayang, anak-anak itu sayang kedua orang tuanya, tetapi sikap melawan mereka bagaikan anak-anak yang tiada didikan agama.  Mana silapnya?

Dalam memilih jodoh, ikutlah apa yang telah ditentukan dan diberi garis panduan oleh agama.  Bukan kerana hanya kecantikan dan kekacakkannya sahaja.  Jika lelaki atau perempuan itu tidak solat, mereka bukanlah jodoh yang baik buat anak-anak kita.  Percayalah.  Lelaki yang baik buat perempuan yang baik.  Jika kedua mereka tidak menjaga hubungan baik dengan ALLAH swt, bagaimana mereka hendak menjaga hubungan sesama pasangan.  Jangan mencari bakal suami atau isteri yang tidak tahu menghormati kedua orang tuanya sendiri, kerana satu hari nanti lelaki dan perempuan itu tidak akan tahu menghormati kita sebagai pasangannya.

1)  Jangan sesekali bergaduh di hadapan anak-anak, sikap ini akan diikuti oleh anak-anak yang beranggapan mereka boleh melawan, boleh bercakap kasar.

2) Suami dan isteri kenalah belajar saling hormat menghormati.  Apa sahaja perkara berbincanglah dengan baik.

3) Ilmu agama sahaja tidak cukup, jika tidak diikuti dengan keperibadian yang baik daripada kedua orang tua.  Lihat Rasulullah saw, Baginda membawa Islam dalam hidup kita tetapi Baginda mempunyai akhlak yang baik dan mulia.  Jadikan Rasulullah saw sebagai role model yang baik untuk diikuti.

4)Jangan hanya tahu mengajar anak tentang agama, tetapi ayah dan ibu tidak turut sama melakukannya.  Seperti ibu ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan ia berjalan senget. 

5)Dalam mendidik anak-anak, semua perkara hendak diambil tahu, solatnya, akhlaknya, adabnya.  Bukan sahaja anak-anak tetapi orang tua juga.  Jika anak-anak diajar sopan, tertib dan beradab sedangkan orang tuanya kasar dan tidak menghormati orang lain, anak-anak takkan menjadi.  Percayalah.

6) Dalam mendidik perlu seiring antara kedua orang tua.  Bukan hanya suami yang berharap anak-anak diberi pendidikan agama, tetapi ibu pula sebaliknya.

7)Anak-anak cermin orang tua.  Jadi…  kedua orang tua perlu duduk berbincang dalam menentukan masa depan anak-anak.

8)Dalam zaman ini, kedua orang tua perlu bertegas dalam mendidik anak-anak, tidak membiarkan percampuran lelaki dan perempuan, SOLAT, WAJIB! Paksa jika perlu kerana itulah pendinding untuk mereka dan mencegah daripada melakukan kemungkaran.

9)Biar mereka menangis sekarang, jangan kita pula menangis di kemudian hari.

10) Pasangan hendaklah ada sikap saling hormat-menghormati,dan tunjukkan kasih sayang di hadapan anak-anak

Berbalik kepada cerita di atas.  Sikap kedua orang tua yang tidak baik membina sikap yang tidak baik dalam diri anak-anak. Itulah yang sebenarnya terjadi. Bukan kerana hanya mendapatkan didikan agama anak-anak jadi sebaliknya.  Anak-anak akan jadi baik, jika orang tua sempurna akhlaknya.  Apapun dalam mendidik anak-anak, pasti ada dugaan dan cabaran.  Sebagai orang tua, jangan putus harapan dan jangan berhenti berdoa untuk kebaikan dunia dan akhirat.