Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 30 Disember 2016

JALAN PULANG - BAB 22 -ASMAH HASHIM



Salmah memandang laman rumah yang terjaga rapi.  Dia mengeluh berat, pandangannya dilepaskan jauh ke hadapan, pandangan yang kosong dengan mata yang berkaca.  Fikirannya menerawang jauh, memikirkan masa depan anak-anak dan dirinya juga.  Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia menutup buku cerita lama yang telah menghancurkan seluruh hati dan jiwanya. 
            Wajah lelaki yang pernah menjadi kekasih hati dan teman tidurnya bertayangan di ruang mata. Soalan dan jawapan yang tidak ditemui terus berlegar di  hati, kenapa lelaki itu berani kembali ke kampungnya itu?  Kenapa? Salmah mengeluh lagi.  Dia memejamkan mata, setitis air jernih mengalir  perlahan di pipinya yang semakin dipenuhi garis-garis kedutan. Kenangan lama muncul kembali.  Menarik hatinya yang walang semakin terhiris.

25 tahun yang lalu…


            Daun pintu ditolak kasar membuatkan Salmah yang sedang menidurkan Zakuan terkejut.  Dia cepat-cepat membetulkan baju tidurnya yang terselak kerana menyusukan Zakuan yang baru berusia tiga bulan.  Rambutnya yang panjang cepat-cepat diikat tinggi.  Dia bergegas keluar ke ruang tamu.  Pintu utama tertutup rapat, siapa yang membuka pintu tadi?  Salmah ke dapur.  Seorang lelaki sedang duduk di kerusi sambil meneguk sebotol air. 
            “Abang!” sapa Salmah perlahan.
            Lelaki yang hanya bert-shirt lusuh dan berseluar jeans menoleh.  Rambutnya kusut masai.
            Salmah mendekati lelaki itu.
            “Abang nak makan?” tanya Salmah perlahan dan penuh hormat.
            Pandangan tajam lelaki itu menikam matanya.  Dia menunduk.
            “Aku ketuk pintu sampai nak pecah, kau tak dengar ke?” tanya lelaki itu. Mukanya masam mencuka.
            “Saya tidurkan Zakuan,” jawab Salmah.  Dia terus melangkah ke meja makan. Makanan sudah siap terhidang. Dia hanya memandang wajah suaminya melalui ekor mata.  Sejak berkahwin hanya seminggu dua sahaja suaminya itu bercakap lembut dengannya, selebih itu hanya tengkingan dan herdikan yang diterima.  Salmah terpaksa bertahan, demi anak yang dikandungkannya ketika itu. Kini, anak itu sudah pun selamat dilahirkan. 
            “Aku dah makan, tak payah susah-susah masakkan untuk aku! Kalau aku nak makan, aku bagitahu,” ujar lelaki itu.
            “Abang dah seminggu tak balik? Abang ke mana?” soal Salmah perlahan.
            “Kau nak tahu buat apa?  Itu aku punya hal!” marah lelaki itu.
            Salmah menunduk, itulah suaminya, Malek, garang macam harimau lapar, bila ditanya, sudah makan.  Tidak pernah bercakap lembut, hanya tahu marah sahaja, apakah makan daging singa di luar sana?  Sempat pula Salmah bergurau di dalam hati.
            “Sayakan isteri abang, perlulah saya tahu ke mana abang pergi,” jelas Salmah.
            “Kau jangan ambil tahu hal aku!  Aku tak suka!” tempelak Malek. Langsung tidak dipandang wajah Salmah.  Dia mencapai tuala terus menghilang ke dalam bilik air.   
            Salmah mengetap bibir, menahan rasa hiba yang meragut hati.  Dia menggeleng kekesalan, sampai bila harus begini? Ada suami, bagaikan tiada, tidak pernah mahu beramah mesra, hanya tahu marah sahaja.  Bukan dia tiada hati dan perasaan, sering terguris, sering berkecil hati, namun tidak pernah dipeduli. Pandai-pandailah sendiri.
            Nasib baik anaknya minum susu badan, jika tidak hendak diberi minum dengan apa, sudahlah duit jarang ditinggalkan, balik rumah pun dalam seminggu hanya sehari dua. Selepas itu menghilangkan diri entah ke mana. Kalau tahu tempat kerjanya, mudahlah dicari, ini dia tidak tahu suaminya berada di mana.  Untung baik rumah tempat berteduh adalah rumah pusaka arwah orang tua suaminya.  Kalau tidak sudah tentu lama dihalau keluar.
            Salmah menunggu dengan sabar, Malek keluar dari bilik air. Wajah Zakuan yang tenang ditenung lama, entah apalah nasib anaknya itu, hidup seperti orang tidak berayah, sejak dilahirkan sekalipun Malek tidak pernah menyentuh anak itu, jauh sekali hendak menciumnya.  Seolah-olah anak itu bukan anak Malek, suaminya itu.  Salmah mengeluh kesal.
            Usai membersihkan diri, Malek terus bersiap dan bersedia untuk pergi lagi.  Dia bersiul-siul sambil menyarung baju, seluar dan menyikat rambutnya.  Masih tidak memandang Zakuan atau Salmah.
            “Abang,” panggil Salmah perlahan.  Sebenarnya dia malas hendak bergaduh, tetapi melihat sikap Malek yang acuh tak acuh itu buat hatinya bernanah pilu.  
            “Kau nak apa?”  herdik Malek.  Dipandang Salmah sekali imbas.  Menjeling tajam.
            “Benci sangat ke abang pada saya dan Zakuan?” tegur Salmah.  Dia tidak tahan lagi.
            “Memang aku benci kau! Ada masalah?”  marah Malek. 
            “Kalau bencikan saya, lepaskanlah saya, usah buat saya begini, apa salah saya?”  tanya  Salmah.
            Malek menyengih. 
            “Kau tempat pemuas nafsu aku sajalah! Selagi aku perlukan kau, kau jangan nak gatal-gatal pergi dari sini!”  kata Malek selamba.
            Salmah terkedu, hati berbunga sayang selama ini terhadap satu-satunya lelaki yang mengisi ruang hatinya. Kenapa itu jawapan yang diberi?  Zakuan di sisi dipeluk segera, apalah nasib kau wahai anak, detik hati kecilnya. Jika sudah benci di hati, kenapa dirinya masih disimpan lagi? Hidup tak ubah seperti pelacur yang beri perkhidmatan biarpun halal, tiada kasih sayang, hanya nafsu semata-mata.  Berjuraian air mata mengalir di pipi Salmah, menahan sendu dan duka yang semakin menebal di hati.
            “Menangis, menangis, menangis sajalah yang kau tahu!” tempik Malek.
            Salmah diam membisu., membiarkan Malek  naik angin sendiri.  Usah dilawan, nanti buruk padahnya, demi Zakuan ditelan duka yang bersarang.  Tidak mungkin membiarkan anak itu tidak berayah.
            “Aku nak keluar! Nanti tahulah aku balik!”  Malek mencebik dan berlalu pergi.  Tanpa pamitan sayang, tanpa ciuman pemergiaan.  Ah! hidup berumah tangga agaknya beginikah ia, sengsara sepanjang masa?  Salmah menangis pilu di sisi anak yang tidak mengerti apa-apa. Hanya tahu melihat sesekali melakarkan senyuman buat ibu yang sengsara hatinya.
            Seminggu menghilang, kemudian kembali lagi, wajah tidak pernah ceria, hanya kelat menjelma.  Salmah tidak lalu melihatnya.  Dibiarkan Malek dengan gaya dan kehendaknya.  Dilayan bila perlu, kosong hatinya, hilang sudah rasa sayang yang selama ini duduk diperdu hatinya.  Entah ke mana menghilang?  Bukan disengajakan lantaran sikap suami yang tidak pernah mahu menyemai dan menyiram rasa cinta agar terus subur tumbuhnya.  Yang ada, hanyalah rasa tanggungjawab sahaja selagi bergelar isteri.  Duit tidak pernah cukup untuk keperluan sendiri, tidak berani meminta, jika tidak diberi, pandai-pandailah dia hendak hidup berdua dengan anak yang tidak berdosa. Usah meminta-minta kepada lelaki yang tidak tahu menghargai dia sebagai seorang isteri.  Usah jadi pengemis kepada suami sendiri.  Itulah azamnya di dalam hati.  Salmah menahan duka, lukanya semakin hari semakin parah, tidak mungkin dapat sembuh dengan begitu mudah.
            Dalam sendu dan duka, dua tahun dia bertahan, sehinggalah dia mengandung semula.  Kenapalah subur sangat? Dia tidak memerlukan seorang anak lagi, yang ada sudah cukup terasa perit melaluinya.  Zakuan tidak pernah berasa mempunyai pakaian baharu, semuanya pemberian jiran sekampung.  Dia tidak berani, dan tidak akan berani meminta dengan  Malek yang pemarah dan perongos itu. Susah senang biarlah dia sendiri melaluinya.  Malek bukan pedulipun
            Makankah dia, minumkah dia, langsung tidak bertanya.  Balik hanya ingin melepaskan hawa nafsunya sahaja, kemudian pergi semula. Mengandungkan anak kedua, alahannya teruk pula.  Di hadapan Malek dia berwajah selamba, tidak mahu Malek tahu dia mengandung lagi.  Sudah pasti kemarahan yang akan dilemparkan, bukan kasih sayang atau kata-kata kegembiraan menyambut kehadiran orang baharu.  Ah! sengsara sendiri.   Sedangkan Zakuan tidak pernah ditanya khabarnya, apatah lagi anak yang berada di rahimnya itu.
            Kenapalah dia bodoh, masih menunggu? Kalau tidak kerana ugutan Malek sudah lama dia membawa kaki, pergi jauh dari rumah neraka ini.  Demi Zakuan dan anak yang di dalam rahimnya, dia bersabar, kepada Allah siang dan malam dia berdoa agar dilepaskan dari beban ini. Tidak tahu bilakah akan berlaku?  Air matanya mengalir kesekian kali, tidak pernah kering menangisi hidup sendiri.

Isnin, 26 Disember 2016

CATATAN 7- PENGALAMAN BEKERJA

karya yang memenangi tempat KEDUA  Sayembara Menulis Novel Remaja anjuran Koperasi DBP pada tahun 2014




Saya sudah bekerja sejak kecil, tapi bekerja dengan emak sayalah.  Waktu umur saya 16 tahun, seorang jiran mengajak saya bekerja di sebuah restoran yang terletak berhampiran Bukit Bintang, waktu itu sudah dekat sangat dengan cuti sekolah.  Hendak buat apa waktu cuti selain tolong emak berniaga.  Tak mahulah, ketika itu sudah remaja, sudah tahu malu. Tawaran bekerja saya terima, kerja di mana?  Restoran Sate Ria, sekarang sudah tidak ada lagi.
            Itulah pengalaman pertama saya bekerja.  Umur tidak cukup, mana boleh  bekerja,  saya pergi temuduga dengan seorang lagi rakan sekampung.  Tahu berapa gaji sejam dalam tahun 80-an, RM1.60 sejam.  Semangat hendak bekerja, upah usah kira, yang penting pengalaman.  Hari pertama, saya dan rakan saya diajar cara mengambil pesanan, mengemas meja, dan macam-macam lagi, tak ingatlah semua, tetapi itu pengalaman pertama yang paling saya  suka.
            Pada mulanya memanglah kekok, maklumlah tidak biasa, apatah lagi bekerja di sebuah restoran.  Kerana sudah diajar bekerja sejak kecil, jadi saya cepat belajar, hari kedua sudah mula pandai sedikit, hari seterusnya semakin pandai dan cekap.  Hari-hari seterusnya, saya orang paling pantas buat kerja. 
            Seminggu saya bekerja tiga shif, empat jam sehari. Pekerja sementara, tidak boleh bekerja lebih dari waktu yang telah ditetapkan.  Bermakna mereka tidak mahu bayar lebihlah.  Aku sering juga ambil kerja masa selama dua jam.  Seronok punya pasal, jangan hairan dengan saya.  Saya memang suka bekerja. Lagi banyak, lagi bagus. Sikap saya, jangan tiru.
            Sebulan bekerja, banyak perkara saya belajar, saya mengenal diri saya sendiri. Rupanya saya suka bekerja dengan orang ramai, penyelia saya pun hairan, padahal umur baharu 16 tahun tapi kecekapan bekerja mengalahkan orang yang ada pengalaman.  Tidak tahulah, dia puji ikhlas atau apa, yang penting pujian itu memberi saya semangat untuk bekerja dengan lebih rajin lagi.
            Bekerja di restoran Sate Ria, tentulah menghidangkan sate, pada tahun awal 80-an dan lewat 80-an Restoran Sate Ria banyak cawangan di sekitar Kuala Lumpur.  Selain sate yang beraneka saiz, kuahnya juga sedap, ada juga soto dan nasi goreng.  Waktu tengahari dan malam selalunya pelanggan penuh.  Itu dahulu, akhirnya restoran tersebut terkubur selamanya, saya sendiri tidak tahu sebabnya, sedangkan makanannya sedap dan restorannya juga bersih.  Kalau tidak salah, restoran itu di bawah Syarikat UDA.  Sekarang sate masih ada lagi dan paling terkenal adalah Sate Samuri.

            Saya bekerja di restoran tersebut tidak lama, sebulan lebih sahaja, penyelia suruh saya bekerja lagi di situ, saya tolak, sebab nak masuk tingkatan lima dan ambil SPM, takkan nak bekerja, nanti tidak ke sekolah saya. Saya tolak tawaran tersebut biarpun dijanjikan kenaikan gaji. Kalau sudah ditawarkan bekerja, tentulah saya seorang pekerja yang bagus.  Bukan main lagi puji diri sendiri ya? 
            Habis sekolah, saya belajar menaip, memang ada sijil menaiplah.  Memang cekap menaip.  Saya sebenarnya minat dan bercita-cita hendak bekerja di pejabat. Bukan main lagi ya?  Itu minat sayalah tetapi tidak kesampaian.  Puas minta dan memohon, tiada siapa yang layan. Maklumlah tiada pengalaman, setakat sijil menaip siapalah pandangkan? Waktu itu SPM tidak keluar lagi, jadi faham-fahamlah.  Saya berkahwin muda sangat, belum sempat dapat menikmati usia muda, sudah dipinang orang.  Arwah abah terus sahaja terima. Sewaktu sedang bertunang, saya mendapat tawaran bekerja di sebuah klinik pergigian di Damansara Utama, Dzul Dental Surgery sebagai pembantu doktor. 

            Bekerja di klinik pergigian bukanlah mudah, sebulan kena kursus di cawangan Dr. Dzul yang terletak di Ampang Point. Berulang aliklah saya dari Bangsar ke Ampang.  Dua biji bas tau.  Nampak macam senang bekerja di klinik, saya diajar cara membersihkan alat-alatan yang digunakan untuk mencabut gigi dan merawat pesakit, guna air panas yang mendidih, ada bekas khas, bukan main basuh dengan air paip.  Semuanya  wajib dicuci.  Cara menyusun alat yang akan digunakan juga diajar, cara memasukkan ubat pelali dalam bekasnya.
             Banyak lagilah, nama alatan tersebut pun saya dah lupa, maklumlah sudah lama sangat.  Sebulan selepas kursus saya dihantar bertugas  di Klinik milik Dr. Dzul di Damansara Utama, selain mempunyai klinik, Dr. Dzul juga punya syarikat membekalkan alatan dan ubat-ubatan untuk klinik pergigian.  Sekarang sudah terkenal dan kaya rayalah beliau, waktu tahun 80-an tidak ramai yang menjadi pembekal peralatan pergigian ini. Setahun saya bekerja dengan klinik tersebut sebelum berhenti. 

            Paling saya tidak lupa, apabila salah seorang doktor yang menjadi pekerja di klinik itu mencabut gigi seorang pelajar UITM, waktu itu tengahari, gigi geraham pula itu.  Mak ai! Tak tahulah silapnya di mana, memancut darah keluar macam air pancut, kau rasa?  Saya pula nak pitam melihatnya. Kasihan pelajar tersebut. Nasib dialah dapat doktor baharu yang merawatnya.  Klinik tersebut punya dua orang doktor yang bekerja ikut shif, seorang doktor lelaki dan seorang lagi doktor berbangsa cina tetapi beragama Islam dan berasal dari Australia.  Bolehlah cakap Melayu sikit-sikit, jenuhlah speaking mat salleh dengan  beliau.  Saya  berhenti dengan cara baiklah.  Pekerjaan yang kurang saya  minati, tetapi terpaksa kerana hanya itu sahaja peluang yang datang.  Jadi, tidaklah cemerlang.  Setakat biasa-biasa sahaja. 

            Setelah lapan tahun berkahwin, kami sekeluarga, ketika itu anak masih seorang, suami pula ditawarkan bekerja, naik pangkatlah, bertukar tempat kerja ke utara tanah air,. Kedah. Bekerja sebagai kerani perkhidmatan di ASNB cawangan Utara. Di Kedah, kami mendapat anak kedua.  Setelah anak kedua berumur enam tahun, saya mula bertanya kepada suami, boleh tak jika saya  nak bekerja?  Pada mulanya dia membantah, maklumlah, isterinya ini manalah ada pengalaman sangat. Setakat ada sijil menaip dan sijil komputer yang saya ambil saja suka-suka.


            Satu hari, dia bertanya, nak kerja ke?  Saya macam tidak percaya sahaja, dia bertanyakan soalan bernilai tinggi itu. Tentulah nak!  Dari duduk rumah melayan televisyen dan segala jenis telenovela saya tonton, baiklah bekerja, dapat juga hasilnya.  Dia yang tolong carikan, rasa nak menangis pun ya.  Nak tahu bekerja di mana?  Bekerja dengan sebuah badan NGO yang aktif di utara tanah air dan di Malaysia.  Aduhai!  Perwatakan, penampilan saya berubah 360 %, mana tidaknya, ketika itu saya baru berjinak-jinak memakai tudung. 
            Angkatan Belia Islam Malaysia Cawangan Kedah yang terletak di Jalan Datuk Kumbar menjadi tempat pertama saya bekerja dalam bidang pentadbiran pejabat.  Wah!  Tak riang riakah saya?  Pekerjaan yang saya minati selama ini dan angan-angankan sudah ada di hadapan mata.  Saya bekerja sebagai Setiausaha Hal Ehwal Wanita ABIM Kedah, atau nama singkatannya HELWA, bukan main lagi, jadi setiausaha wei!  Kau orang tak bangga?  Saya bangga yang amat. 

            Hari pertama masuk kerja, saya disyaratkan memakai tudung labuh, jubah, stoking dan sarung tangan. Sudah macam ustazah, orang yang mengenali saya di kawasan perumahan Jalan Datuk Kumbar tertoleh-toleh memandang penampilan saya, maklumlah pakai baju kurung pun hanya waktu Hari Raya sahaja, bila saya berjubah dan bertudung labuh, tentulah mereka hairan.  Jangan nak ketawa ya?  Tetap cantik dan comel.

            ABIM Negeri Kedah terletak di dalam sekolah Ren. Islam ABIM Alor Setar, macam mana saya dapat bekerja di situ?  Ketika itu suami aktif dengan badan NGO tersebut. Nak ambil saya bekerja pun masuk mesyuarat.  Anak sulong pula bersekolah di sekolah rendah tersebut, faham-faham sahajalah, ada orang dalam.

            Biarpun saya minat bekerja di pejabat, boleh menaip dan menggunakan komputer, tidak bermakna saya pandai buat kerja hal-hal pejabat.  Hari pertama sudah disuruh buat memo untuk dihantar kepada para guru yang mengajar dan kepada pihak pengurusan juga.  Alahai!  Nak buat macam mana?  Apa perlu ada dalam memo tersebut.  Pening juga kepala, hendak bertanya, terasa malu, nampak sangat tidak tahu buat kerja.

            YDP ABIM Kedah telah memanggil saya dan menerangkan bidang tugas saya, tugas saya selain membantu pengurusan ABIM Kedah, saya juga bekerja di bawah Hal Ehwal Wanita ABIM Kedah, menguruskan aktiviti mereka, membantu buat surat menyurat.  Turut menjadi penyelaras program mereka. 

            Di ABIM Kedah, perkara pertama yang saya disuruh lakukan adalah menerbitkan kembali BULETIN mereka yang terhenti sebab tiada siapa yang urus.  Kau rasa?  Kenapa saya?  Aduh! Pening kepala!  Manalah saya tahu tentang penerbitan?  Nak tulis apa? Nak buat apa?  Alasan YDP ABIM Kedah ketika itu, kerana saya seorang penulis, tahun 1999 cerpen saya sudah tersiar di dalam majalah, itu dijadikan alasan oleh majikan saya untuk saya menerbitkan makalah untuk ABIM Negeri Kedah.  Tugas yang berat buat saya yang langsung tidak berpengalaman. Walaupun saya penulis, bukan saya yang terbitkan! Mereka tidak tahu agaknya?

            Waktu mesyuarat pertama Buletin ABIM Kedah, adalah mencari nama yang sesuai, akhirnya DEMI MASA menjadi tajuk atau nama bagi makalah tersebut.  DEMI MASA diterbitkan sebulan dua kali.  Saya dan dengan bantuan suaminya mencari pencetak untuk mencetak makalah tersebut. Saya juga yang kena cari bahan, cari maklumat aktiviti ABIM seluruh negeri Kedah, saya yang menaip dan menyusun artikel yang akan disiarkan.  Kau rasa?  Minggu pertama, memang hancuslah! Tetapi majikan saya masih positif.  Saya mula membelek majalah, cari maklumat di internet. Maklumlah orang cepat belajar.  Sebulan bekerja dengan NGO tersebut.  Saya berbangga dengan kemampuan diri sendiri. Saya mampu melakukan semua urusan yang diberi dengan sempurna.  Setiap arahan dan tugasan yang diarahkan tiada satupun saya culas atau buat sambil lewa.

            Bekerja dengan ABIM Negeri Kedah, banyak mengajar saya menjadi manusia kreatif dan cepat dan cekap bekerja. Satu arahan, saya boleh faham 10. Itu kata majikan saya.  Senang berurusan dengan saya. Mudah faham dan mudah bergerak.    Kenapa saya jadi macam itu? Entahlah, saya sendiri tidak tahu.  Bekerja dengan ABIM Kedah, mereka hanya mengarahkan sahaja, yang lain pandai-pandailah kau buat sendiri. Jadi, sebagai pekerja, saya harus kreatif, inovatif dan berusaha sendiri.  Yang tiada, diadakan, yang susah, disenangkan. 
           
            Sewaktu bekerja dengan ABIM, saya banyak didedahkan dengan program dan majlis-majlis, macam-macam program dan wacana, betapa semangatnya saya bekerja dengan badan tersebut dan terbiasa menjawab telefon dengan ayat…
“Assalamualaikum, Abim Kedah!”
Sampai di rumah pun saya jawab seperti itu.   Teruknya saya!

            Bekerja dengan badan NGO, pekerja tidak ramai, tenaga kerja hanya beberapa kerat yang makan gaji, yang lainnya sukarelawan.  Jadi, faham-faham sahajalah jika ada program besar dijalankan.  Saya sebagai pekerja tetap, semua aktiviti saya jadi AJK, fahamkan?  Orang yang pernah bekerja dengan badan NGO dan sukarelawan pasti faham.  Namun, itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk bekerja besungguh-sungguh, apatahlah tempat saya bekerja untuk agama.  Setiap program saya bantu sebaik mungkin, kebetulan saya bekerja tujuh hari seminggu, maklumlah bekerja untuk dua majikan,  HELWA dan ABIM.  HELWA ada programnya sendiri, begitu juga ABIM, kadang-kadang bekerjasama dalam satu program, kau rasa apa tugas setiausaha? 

            Biarpun tidak lama saya bekerja dengan mereka, kerana suami ditugaskan kembali ke Kuala Lumpur, namun kenangan itu tidak pernah saya lupakan, dan bagi saya tempat terbaik yang pernah saya bekerja. Majikan yang baik.  Saya menjadi manusia paling kreatif ketika bersama mereka.  Saya mampu buat apa sahaja, perkara yang saya tidak pernah lakukan pun saya mampu buat seperti menerbitkan sebuah buletin atau makalah untuk ABIM Negeri Kedah, mungkin masih tersimpan Buletin DEMI MASA di pejabat ABIM Kedah, harap-haraplah. Cuma, saya tidak simpan untuk diri sendiri.  Setelah saya berhenti, buletin itu hanya mampu diterbitkan sebulan sekali, dan akhirnya dengar kata diberhentikan terus sebab tiada siapa yang mampu menguruskannya.  Bekas majikan saya berkata, saya adalah pekerja terbaik yang pernah bekerja dengan mereka.

            Pekerjaan yang terakhir saya adalah bekerja dengan sebuah rumah anak yatim yang juga ada kena mengena dengan ABIM, Kompleks Kebajikan Rukaiyah yang terletak di Sg. Merab adalah tempat terakhir saya bekerja.  Itupun secara kebetulan seorang kawan  beritahu, ada kerja kosong, dan pekerjaan itu ditawarkan kepada saya jika berminat.   Menjadi penolong pengurus dan pegawai kewangan.  Hebat punya jawatan, tetapi saya buat semua kerja di rumah kebajikan itu, dari tukang cuci sehingga ke pegawai, kau rasa?  Berseronoklah dengan pekerjaan yang diamanahkan.

            Masuk kerja 8.30 pagi, saya akan mengemas seluruh kawasan, membersihkan kawasan asrama, maklumlah budak-budak yang tidak terajar untuk membersihkan sendiri kawasan tempat tinggal mereka.  Siap semua kerja saya mengemas dan memasak, jika perlu dua jam.  Selepas itu masuk pejabat pula, uruskan surat menyurat dan kewangan, tulis cek, buat akaun.  Aduhai! Saya mana ada pengalaman buat akaun?  Tak pernah belajar pun! Langsung tidak pernah, tapi bagaimana saya boleh jadi pegawai akaun? 

            Kalau ikut hati nak cerita, banyak lagi, terlalu banyak, sepanjang saya  bekerja dengan orang, semua pekerjaan yang tidak pernah saya tahu dan buat, sekolah pun setakat SPM sahaja, bukan ada diploma atau sebarang sijil kemahiran.  Bagaimana saya boleh menguruskan penerbitan buletin, bagaimana saya boleh menguruskan kewangan sebuah rumah anak yatim yang duit dalam  akauan beratus ribu dengan jujur dan amanah. Sepanjang saya menguruskan kewangan rumah anak yatim itu, segala laporan kewangan tersusun kemas, ikut cara saya, janji orang faham dan saya sendiri faham. 

            Wei!  Duit sentiasa ada dalam tangan, kalau kau tak kuat, boleh pecah amanah tau!  Buku cek pula saya uruskan, setakat nak tipu bayaran yang dibuat senang sahaja, tapi itu bukan diri saya, saya yakin ALLAH  melihat perbuatan dan hati saya.  Apatah lagi menguruskan kewangan rumah anak yatim. Dua tahun saya  bekerja di rumah anak yatim tersebut sebelum berhenti dan buka rumah anak yatim sendiri.  Majikan saya menangis dan  pengurus saya marah kerana saya berhenti. 

            Saya bukan bercerita ingin membangga diri tetapi ingin memberitahu, bahawasanya jika kita bekerja dengan jujur, bertanggungjawab, ikhlas ALLAH akan balas dengan kebaikan.  Cuba lihat pekerjaan saya pada awal usia muda saya, saya bekerja di mana?  Pembantu restoran sahaja, sekarang saya di mana?  Saya seorang penulis dan juga membantu suami menguruskan rumah anak  yatim milik kami sendiri.

            Apa yang ingin saya beritahu adalah di mana sahaja kita berada, dan dengan siapa pun kita bekerja, biarlah bekerja dengan ikhlas, jujur dan bertanggungjawab, usah berkira tenaga, fahami tugasan yang diberi, buat sebaik mungkin.  Kita buat bukan minta dipuji, tetapi untuk kepuasan hati, itulah yang saya lakukan.  Saya buat semuanya dengan jayanya sebab saya hendak membuktikan kemampuan diri sendiri.  Biarpun saya tidak berkelulusan tinggi, tetapi saya boleh bekerja dengan baik dan majikan juga sayang. 

            Bekerjalah dengan hati, maka hasilnya juga akan lahir dengan baik dan berjaya.  Bukan ada niat membangga diri tetapi ingin mengajak teman-teman bekerja dengan jujur dan baik bukan untuk orang lain tetapi untuk kecermelangan diri sendiri.  Kepuasan hati sendiri.  Bukan untuk mendapat pujian orang, tetapi pujian dari hati sendiri.  
  
     Dan tahulah kenapa suami saya kontrol saya, kalau dia tak kontrol, isteri dia layak jadi YB, kau rasa?  saya kuat bekerja dan hanya fikirkan pekerjaan, sejak dia kontrol, malas pula nak buat apa kerja sekalipun, kau rasa? putus asalah sebab suami dah tak sokong.   Jangan tiru perangai saya.