Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 29 Januari 2016

ULASAN, PLEASE... JANGAN ' TACKLE' AKU!


Sudah selesai mentelaah buku ini. Alhamdulillah, karya penulis ini tidak pernah menghampakan saya untuk terus membacanya. Biarpun diselitkan kisah cinta namun isu kekeluargaan juga turut ada di dalamnya. Kepada yang belum mendapatkannya, jangan malu-malu dapatkannya di pasaran.


PLEASE… JANGAN ‘TACKLE’ AKU!( ISBN 978-967-446-221-5)
SITI ROZILAH
BUKU PRIMA
2015
RM28.00
658 muka surat

Nur Naziha terpaksa merantau membawa diri akibat sejarah hitam yang telah menconteng arang ke muka keluarganya. Berharap di tempat baharu dia mampu membina kehidupan yang jauh lebih baik. Namun, cinta sentiasa hadir dalam kekalutannya melupakan cinta yang lama. Lokman Azad, anak majikan tempatnya bekerja, dalam diam tertarik dengan keayuan dan budi pekerti Nur Naziha. Namun, hatinya sudah tertutup untuk cinta dan makhluk ALLAH bernama lelaki.
Lokman Azad meluahkan isi hatinya,tetapi ditolak mentah-mentah boleh Nur Naziha. Dia rela bersendirian, apatah lagi emak Lokman Azad tidak menyukai dirinya. Mampukah dia membina kebahagian tanpa restu seorang ibu.
Eizhan cuba melupakan kenangan silam antara dia dan Nur Naziha. Cuba menyemai cinta dengan Jasmin. Sikap Jasmin yang suka berpoya-poya membuatkan dia kurang senang dan tidak gemar akan tindak-tanduk gadis tersebut. Hatinya masih mencintai seseorang yang sudah lama menghilangkan diri. Perkenalannya dengan Shazlynn telah mengubah hatinya untuk mendekati gadis itu dan melupakan Jasmin.
Marzuki abang tiri Eizhan punya dendam yang mendalam terhadap Eizhan dan Puan Dayana dengan niat untuk membalas dendam atas kesengsaraan ibunya. Dia sanggup lakukan apa sahaja asalkan dendamnya terbalas. Dia juga menyukai Nur Naziha tanpa pengetahuan Eizhan. Dalam diam dia sudah merancang Sesuatu yang mampu memusnahkan kehidupan Eizhan dan membakar cinta Nur Naziha terhadap lelaki itu. Ada rahsia yang tersembunyi dan hanya dia sahaja yang tahu.
Jeffri teman sepermainan dan sebaya Eizhan menaruh hati kepada Puan Dayana dan cinta mereka tidak bertepuk sebelah tangan. Pada mulanya Eizhan membantah tetapi memikirkan emaknya sendiri sudah lama hidup sendiri, apalah salahnya jika Jeffri sahabatnya itu benar-benar mencintai emaknya sepenuh hati. Puan Dayana diserang angina ahmar, kejadian itu membuatkan dia insaf dan sedar akan kesalahannya yang lalu.
Kenapa Eizhan dan Nur Naziha berpisah? Apa rahsia yang disembunyikan oleh Marzuki? Sejarah hitam apakah yang dihadapi oleh Nur Naziha sehingga terpaksa merantau jauh? Mahukah Jeffri menerima Puan Dayana yang tidak sihat itu sebagai teman hidup? Ingin tahun kisah seterusnya? Dapatkan karya ini di kedai buku berhampiran.
‪#‎Bukuprima‬
‪#‎karangkrafmall‬

Selasa, 26 Januari 2016

ADUH, PENING! - BAB 1 ( SUDAH BERADA DIPASARAN)



Namanya Aleeya Aneesa. Bukan! Bukan penulis novel itu tau. Keluarga memanggilnya Leya. Dia hanya insan biasa yang dilahirkan berpuluh tahun yang lalu. Erk… umur rahsia, boleh begitu? Biarlah rahsia. Tidak perlu diuar-uarkan, terasa tua pula nanti. Sudah berkahwin beberapa bulan yang lepas. Dia bekerja sebagai penjawat awam di pejabat kerajaan. Gaji tidak besar mana, sesuailah dengan kelulusannya yang hanya ada Ijazah Sumber Manusia.
            Tinggi lima kaki empat inci. Pinggang 24 inci. Cukuplah dia memberitahu bahagian tertentu tubuhnya. Boleh bayangkan sendiri. Dia tidaklah gemuk, malah kurus dan cantik bergetah walaupun tidaklah seperti ala-ala model di luar sana. Sudah cukup untuk menggetarkan hati suami sendiri. Setiap hari, dia ke tempat kerja memandu sendiri. Nun di Putrajaya, duduknya pula di Puchong Perdana. Rumah teres dua tingkat, sewanya usah cerita. Jaga status kata suaminya sedangkan boleh saja sewa rumah flat dengan harga jauh lebih murah. Ikutkan sahaja, bukan dia yang bayar sewa pun, tetapi suaminya.
            Dia berkahwin dengan seorang duda beranak lima. Macam mana boleh jadi macam tu? Uh! Panjang ceritanya. Menurut pakar kaji selidik, jika usia sudah melebihi 30-an orang yang akan masuk meminang, jika bukan suami orang, sudah tentulah duda. Mahu tak mahu kenalah terima daripada mendapat status andartu terlajak tak larisnya. Takut tahu, jadi anak dara tua. Jiran tetangga asyik bertanya bila nak makan nasi minyak. Sedangkan setiap hari dia makan nasi minyak di kedai mamak. Emak dan ayah juga membebel, asyik fikir pasal diri sendiri, tak nak berkahwin.
Akhirnya, terjumpa seorang lelaki yang sedang merana kerana ditinggal isteri dan lima anaknya. Terpaksalah dia kutip demi merealisasikan impian kedua orang tua dan jiran tetangga. Kutip? Siapa kutip siapalah agaknya ya? Erk… ke berkahwin kerana nak tutup mulut orang? Boleh sahajalah. Asalkan ada jodoh dan sampai serunya. Bukan main pilih dan tangkap muat sahaja. Dia pilih juga.
            Nama suaminya, Ikmal Hakimi. Sedapnya nama, kan, kan? Kalau tengok pada nama tentulah orangnya kacak bergaya dan ada karisma. Boleh tahanlah, tetapi taklah sekacak Aaron Aziz atau siapa ya nama pelakon lelaki yang sedang popular di Malaysia? Cari sendiri, fikir sendirilah ya.

            Sudahlah berkahwin dengan duda anak lima, dia terus mendapat gelaran ibu segera. Nasib baik bukan dia yang kena jaga. Sesekali suaminya bawa juga anak-anaknya pulang ke rumah, hanya untuk makan-makan dan beramah mesra. Hmm… kenalah jadi seorang ‘ibu tiri’ yang baik semuanya. Dalam fikiran ramai orang, ibu tiri selalunya jahat dan suka mendera. Maaflah ya, dia bukan spesies seperti itu. Masih ada hati dan perasaan.
Anak-anak suaminya masih kecil dan memerlukan perhatian. Tidak mungkin dia menjadi manusia jahat yang hanya ada hati, tetapi tiada perasaan. Anak-anak suaminya tiga perempuan dan dua lelaki. Berumur antara dua tahun sehingga lapan tahun. Hati naluri seorang ibu, tidak perlu belajar menjadi ibu hanya ketika ada anak sendiri. Anak-anak suaminya, anak-anak dia juga walaupun bukan lahir daripada rahimnya.
            Untuk mengelak dapat suami orang, duda pun tidak mengapalah. Ada anak lima pun, dia tak kisah. Namun, kebahagiaan yang baru menjelma bagaikan tercalar dengan sengaja, atau disengajakan. Terasa hendak menjerit sahaja. Walaupun tidak dimadu atau bermadu, dalam diam tak diam dia sudah ‘bermadu’ dengan bekas isteri suaminya. Huh! Susah juga berkahwin dengan duda yang ada anak dan ada bekas isteri! Baik kahwin dengan duda yang kematian isteri! Aleeya mengetap bibir. Rasa hendak dihempuk sahaja fail-fail yang berselerakan di atas mejanya. Fikirannya sudahlah berserabut, ditambah dengan masalah yang dicipta oleh manusia bernama bekas isteri.
            Wajahnya langsung tidak melakar bahagia. Muncung bibirnya boleh panjang sedepa kalau dibiarkan sehingga ke petang. Sakitnya di sini, di hati yang paling dalam. Tidak mampu meluahkan kerana yang terlibat adalah anak-anak suaminya juga. Oleh kerana geram yang melampau, terbit rasa di hati, menyesal dia berkahwin. Biarlah jadi anak dara tua sehingga ke mati. Aleeya mengeluh berat.
            “Kau kenapa? Sejak dari tadi, asyik mengeluh aje aku dengar. Tak penat ke?” tanya Rozita kawan sepejabat yang selalu prihatin dengan dirinya.
            “Tu... bibir kau, boleh sangkut baju. Besar sangat ke masalah kau?” sambungnya lagi.
            Aleeya memandang wajah rakannya itu tidak berkelip. Macam mana dia nak mulakan ya? Terasa seperti mengumpat pula. Lebih-lebih lagi hal rumah tangga sendiri. Buatnya Rozita canang satu pejabat, dia juga yang malu besar nanti.
            “Macam mana ya, aku nak cakap?” Aleeya sedang berkira-kira.
            “Kalau nak kongsi, aku sedia mendengar. Kalau tak sudi, aku pun tak paksa.” Rozita mengangkat bahu.
            Aleeya menyengih. Eh! Masih boleh menyengih lagi. Ingatkan sudah hilang kegembiraan di hati.
            “Hah, boleh pun menyengih,” usik Rozita.
            “Nantilah... aku cerita kat kau. Tapi, bukan waktu sekarang. Sekarang ni, waktu kerja! Jangan culas, nanti kena tindakan tataterbit!” Sempat lagi Aleeya bergurau. Hilang sedikit rasa marah di hati.
            “Yalah… bibir tu jangan biar muncung lama-lama. Aku takut tak boleh nak leperkan semula, nahas kau,” gurau Rozita.
            Aleeya mencebik. Rozita Yamin, ibu kepada dua orang anak yang sedang meningkat remaja. Layak dipanggil kakak, baik dan suka membantu orang lain. Pakaiannya ke pejabat selalu ikut peredaran fesyen tetapi menutup auratlah. Pantang dengar ada jualan murah, pasti dia yang muncul dahulu. Kalau nak tahu pasar raya mana yang buat jualan murah, bolehlah tanya kepadanya. Nak tahu kedai yang murah boleh juga rujuk kepadanya. Tudungnya pula beraneka ragam dan warna. Agak-agaknya almari pakaian dan tudungnya entah besar mana. Aleeya tersenyum sendiri.  Hilang seketika semua masalah yang bersarang di dada.
            Masalahnya tidak akan berkurang. Bukan sahaja dia yang pening. Suaminya sendiri juga pening. Tangan asyik letak di dahi semenjak dua menjak ini. Hendak membantu, dia sendiri tidak tahu macam mana. Semuanya melibatkan wang ringgit. Boleh papa kedana jadinya. Hisy, tak baik fikir begitu! Mungkin semua ini ujian semata-mata. Pasti ada jalan keluar yang terbaik. Sekali lagi keluhan terlahir di bibirnya. Mencanak rasa mual di hati dengan masalah yang timbul. Masalah orang ketiga. Entah apa bekas isteri suaminya hendak sebenarnya? Masih berfikir dan mencari jawapannya.  Diluah mati bapak, ditelan mati emak. Bidalan orang tua-tua yang besar maknanya.
            Tengah hari itu, nasi yang dijamah bagaikan tidak boleh terhadam. Disumbat ke tekak terus ditelan tanpa dikunyah seperti biasa. 40 kali kalau ikut sunahlah. Baik untuk penghadaman jika makanan yang masuk ke mulut dikunyah sehingga lumat. Ini bukan soal malas mengunyah, tetapi mengejar waktu rehat yang hanya sejam. Ditambah dengan masalah yang melingkari jiwanya. Semakin kuranglah nafsu makannya, biarpun makanan yang dibeli adalah kegemarannya juga.
            Kedai yang mereka sedang duduk bersantai ini, jarang didatangi oleh rakan sekerja yang lain. Masakannya biasa-biasa sahaja. Harganya sahaja yang buat perut memulas tiba-tiba. Mahallah. Rasa hendak ketawa melihat wajah Rozita ketika melihat harga makanan yang telah dikira. Ikan keli masak sambal, ulam-ulaman, kuah kari dicurahkan atas nasi, sayur taugeh goreng bersama air teh ais limau RM10.00. Biar betul! Ringan sahaja mulut hendak bertanya. Ikan keli takkan seekor RM5.00? Kalau makan di kedai Wak Karman, lauk seperti itu paling tidak RM7.00 sahaja. RM3.00 lagi boleh buat minum petang. Uh! Wak Karman hanya kau di hati. Aleeya menyengih. Menyesal tak sudah.
Dia lagi mahal kerana ambil sotong dan udang yang memang kegemarannya. Kalau lauk udang di kedai Wak Karman, biasalah RM10.00 sahajalah. Biasalah udang dan sotong mahal. Ini tidak. RM15.00 terbang hanya makan tengah hari. Larilah bajet kalau macam ini.  Apasal pula main kira-kira makanan bagai? Memang kepala sedang biul sekarang ini. Masalah kecil dianggap bagaikan masalah negara. Tak apa, tak apa, dia harus bertenang dan berdiri di belakang suaminya. Tidak akan mengalah dengan permainan janda suaminya.  Kuat Aleeya, kuat! Dia harus mempertahankan rumah tangganya. Kebahagiaan milik dia dan suami.

Ahad, 17 Januari 2016

RATAP RABITAH - AMINAH MOKHTAR



RATAP RABITAH
AMINAH MOKHTAR
UTUSAN PUBLICATION
PEMENANG HADIAH SAKO 3
RM43.00
Rabitah seorang pejuang tanah air.  Telah berusaia 100 tahun. Mempunyai sepuluh orang anak.  Kisah ini lebih kepada penceritaan Rabitah terhadap apa yang berlaku dalam hidupnya.  Bercerita tentang anak-anaknya yang telah berubah sikap tidak lagi menyayangi  tanah pusaka nenek moyang mereka.  Dia turut berasa hati dengan sikap anaknya Mohd Yasser dan keluarganya yang ingin merobohkan rumah pusakan yang dibina oleh nenem moyang Rabitah.  Dia juga telah berjanji dengan arwah orang tuanya untuk mempertahankan tanah pusaka tersebut daripada dimusnahkan.  Pulau  Gunung Cengal sudah tidak berpenghuni lantaran orang-orang muda menjauhkan diri, meninggalkan kampung itu dan merantau ke tempat lain. Yang tinggal hanya tujuh orang tua yang menunggu hari kematian sahaja. Biarpun Pulau itu kaya dengan hasil bumi.  Anak-anak tidak lagi menghargai keindahan alam. Tidak lagi suka bermain dengan ombak dan pantai, sungai dan bukit bukau tidak lagi indah dipandang.  Dipunggah, dipunahkan sesuka hati. Ingin segera memusnahkan keindahan yang ada demi membina sesuatu yang lebih moden dan katanya mengikut peredaran zaman kini.
Rabitah masih berkeras mempertahankan apa yang menjadi milik nenek moyangnya.  Tanah pusaka tidak boleh dijual beli. Tanah pusaka adalah maruah nenek  moyang yang harus dipertahankan.  Terasa diri seperti kain buruk, hidup tidak diendahkan lagi. Lara hatinya, rusuh jiwanya melihat sikap anak cucu yang tidak lagi menghargai peninggalan warisan keturunan mereka.   Selagi ada nyawa Rabitah terus mempertahankan miliknya itu. 

Mohd Yasser serta ahli keluarganya tetap dengan keputusan mereka. Langsung tidak simpati dengan Rabitah yang sudah tua dan uzur tetapi muda semangatnya.  Dia tidak mahu menyerah kalah.
Apa yang berlaku seterusnya? Dapatkah Rabitah mempertahankan tanah dan rumah pusaka yang telah berusia beratus tahun itu? Di mana anak-anaknya seramai 10 orang itu? Adakah mereka akan pulang bersama-sama menjaga harta warisan nenek moyang mereka?  Jawapannya ada dalam RATAP RABITAH.  Ratap seorang tua yang cintakan tanah pusaka.


*** 
Dengan menggunakan POV satu, iaitu; pertama kali saya jumpa. Watak terus bercerita tentang diri, pengalaman dan keluarganya.  Novel ini juga dibahagikan kepada beberapa episode.  Setiap episode mempunyai ceritanya tersendiri. Masih kisah dan luahan rasa Rabitah tentang kehidupannya.  Gaya bahasa yang mudah difahami biarpun ada metaforanya.  Latar tempat pula membuatkan kita berfikir di luar kotak fikiran.  Mungkin tempat itu benar-benar di sebuah pulau atau hanya simbolik penulis ingin menyampaikan sesuatu.  Apa yang dapat saya huraikan.  Cerita ini ada cerita disebalik cerita. Ada yang ingin disampaikan oleh penulis.  Tentang bangsa, tanah air, parti pemerintah, gabungan kuasa, seperti menunjukkan tentang masa depan negara ini.  Luahan rasa seorang anak Melayu yang cintakan Negaranya.  Tentang anak Melayu yang beragama Islam mempertahankan budaya dan bahasanya daripada terus dicemari dan dipandang sepi oleh golongan tertentu.   Bak kata-kata yang terdapat dalam karya ini.

“Sebesar mana pun rumah orang dalam dunia ini, kecantikan rumah kita tidak ada tolong bandingnya, kerana rumah Melayu yang ada tiang seri, ini warisan moyang kamu; rumah bertiang enam, berbilik lima, bercermin Madinah, berbingkai ayat Al-Quran penukang Makkah.”
Dailog ini seperti mengatakan hidup bersyariat, Islam datang kepada orang Melayu melalui warisan nenek moyang dahulu.  Harus dan wajib dipelihara kesuciannya.  Watak dua orang lelaki  warga asing yang menjadi orang suruhan cucu-cucu Rabitah bagaikan mewakili pendatang asing yang datang ke negara ini.  Antara dailognya;
“Nanti dulu tuan. Kalau tuan tidak mahu dengar cerita perut dan nafas atuk tuan, dengar dulu cerita orang berdagang seperti saya.  Cerita bangsa lelongan dari tanah seberang.  Puncanya, hanya inilah tuan, tiang seri sebatang yang tidak dipedulikan warisan. Akhirnya rumah hilang, kami hidup terbuang.”
Jalan cerita yang benar-benar menyentuh hati.  Seperti melihat bangsa sendiri menjual dan
mengadai maruah bangsa tanpa kita sedar akan akibatnya. 




Usah diroboh tanah pusaka
 lantainya budi kilau cahaya tiang seri, digilap, dijaga
pasak bumi pelindung nawa anak-cucu bergilir usia
 tidak tuan hilang kuasa.

Rabu, 6 Januari 2016

ROH RUMAH SEWA



ROH RUMAH SEWA
NAIM TAMDJIS
BUKU PRIMA
2015
RM21.00
518 muka surat.
Kisah bermula dengan prolog.  Mengisahkan Rafael terganggu tidurnya apabila mendengar suara tangisan bayi di bawah rumahnya.  Dia mensyaki ada orang membuang anak di kawasan rumahnya.  Dia mencari suara tangisan itu sehinggalah dia menemui seorang bayi di bawah rumahnya.  Kerana masih bujang, Rafael bercadang membawa bayi itu ke rumah penghulu kampung. Di tengah jalan dia bertemu dengan pemuda kampung yang sedang bersantai.  Rafael meminta tolong mereka untuk menghantar bayi tersebut ke rumah penghulu kampung. Mai Keding, Osman dan Syafiq berlari bertempiaran apabila terlihatkan bayi yang dikendung oleh Rafael.  Bayi? Betulkan ada bayi?  Rafael turut melarikan diri ketika terpandangkan wajah bayi tersebut. Kenapa? 
                Teknik imbas semula banyak diketengahkan dalam karya ini.  Tujuannya hendak menceritakan semula kisah silam yang bersangkutan dengan rumah yang telah disewa oleh Rafael.  Rafael, seorang guru muda yang telah dihantar bertugas di sebuah kampung terpencil.  Dia telah menyewa sebuah rumah yang unik pembinaannya.  Menurut kata beberapa orang kampung dan guru di sekolah tempatnya mengajar, rumah itu berhantu.  Rafael tidak mudah mempercayainya.  Dia beranggapan di zaman serba moden ini kehadiran hantu tidak wujud. 
                Satu malam, Rafael diganggu oleh mimpi aneh.  Dia telah bertemu dengan seorang lelaki yang berpakaian bagaikan seorang hulubalang yang bernama Panglima Endai dan juga seorang lagi lelaki yang bernama Buragas yang mendakwa Rafael adalah tuan mereka.  Dalam mimpi itu juga, Rafael dibawa ke zaman silam bermulanya kewujudan kedua-dua makhluk yang tidak diundang itu.  Rafael tidak dapat menerima mereka. Dia berusaha agar mereka menjauhkan diri daripadanya.  Tetapi tidak berjaya.  Panglima Endai dan Buragas menjaga keselamatan Rafael biarpun lelaki itu tidak suka dengan kehadiran mereka.  Rafael tidak pernah ambil kisah dan  hanya berasa tidak selesa ketika Panglima Endai hadir dalam mimpi-mimpinya. Rafael juga mendapat tahu akan asal-usul keturunannya.Siapakah nenek moyang Rafael?  Jawapan ada dalam novel ini.

                Bagaikan membaca kisah sejarah Negeri perak di mana Jww. Birch dibunuh menjadi latar kisah dan Daerah di Negeri Perak menjadi latar tempat.  Namun, kita akan terus membacanya sebab ingin tahu kisah selanjutnya.  Apa yang berlaku dengan Rafael?  Panglima Endai dan Buragas berjaya menyelamatkan Rafael dari disihir. Siapa yang ingin menyihir Rafael?  Kenapa?  Adakah Rafael sudi menerima kehadiran Panglima Endai dan Buragas sedangkan kedua makhluk itu telah menyelamatkan nyawanya?  Kawasan kampung  Pulau Manis punya sejarahnya tersendiri.  Apakah ia? Kenapa Panglima Endai dan Buragas berada di kampung itu? Hendak tahu kisah selanjutnya?  Kenalah dapatkan karya seram ini.
                Banyak teknik imbas semula namun tidak mencacatkan jalan cerita malah menjadi penguat cerita.