AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 26 January 2016

ADUH, PENING! - BAB 1 ( SUDAH BERADA DIPASARAN)



Namanya Aleeya Aneesa. Bukan! Bukan penulis novel itu tau. Keluarga memanggilnya Leya. Dia hanya insan biasa yang dilahirkan berpuluh tahun yang lalu. Erk… umur rahsia, boleh begitu? Biarlah rahsia. Tidak perlu diuar-uarkan, terasa tua pula nanti. Sudah berkahwin beberapa bulan yang lepas. Dia bekerja sebagai penjawat awam di pejabat kerajaan. Gaji tidak besar mana, sesuailah dengan kelulusannya yang hanya ada Ijazah Sumber Manusia.
            Tinggi lima kaki empat inci. Pinggang 24 inci. Cukuplah dia memberitahu bahagian tertentu tubuhnya. Boleh bayangkan sendiri. Dia tidaklah gemuk, malah kurus dan cantik bergetah walaupun tidaklah seperti ala-ala model di luar sana. Sudah cukup untuk menggetarkan hati suami sendiri. Setiap hari, dia ke tempat kerja memandu sendiri. Nun di Putrajaya, duduknya pula di Puchong Perdana. Rumah teres dua tingkat, sewanya usah cerita. Jaga status kata suaminya sedangkan boleh saja sewa rumah flat dengan harga jauh lebih murah. Ikutkan sahaja, bukan dia yang bayar sewa pun, tetapi suaminya.
            Dia berkahwin dengan seorang duda beranak lima. Macam mana boleh jadi macam tu? Uh! Panjang ceritanya. Menurut pakar kaji selidik, jika usia sudah melebihi 30-an orang yang akan masuk meminang, jika bukan suami orang, sudah tentulah duda. Mahu tak mahu kenalah terima daripada mendapat status andartu terlajak tak larisnya. Takut tahu, jadi anak dara tua. Jiran tetangga asyik bertanya bila nak makan nasi minyak. Sedangkan setiap hari dia makan nasi minyak di kedai mamak. Emak dan ayah juga membebel, asyik fikir pasal diri sendiri, tak nak berkahwin.
Akhirnya, terjumpa seorang lelaki yang sedang merana kerana ditinggal isteri dan lima anaknya. Terpaksalah dia kutip demi merealisasikan impian kedua orang tua dan jiran tetangga. Kutip? Siapa kutip siapalah agaknya ya? Erk… ke berkahwin kerana nak tutup mulut orang? Boleh sahajalah. Asalkan ada jodoh dan sampai serunya. Bukan main pilih dan tangkap muat sahaja. Dia pilih juga.
            Nama suaminya, Ikmal Hakimi. Sedapnya nama, kan, kan? Kalau tengok pada nama tentulah orangnya kacak bergaya dan ada karisma. Boleh tahanlah, tetapi taklah sekacak Aaron Aziz atau siapa ya nama pelakon lelaki yang sedang popular di Malaysia? Cari sendiri, fikir sendirilah ya.

            Sudahlah berkahwin dengan duda anak lima, dia terus mendapat gelaran ibu segera. Nasib baik bukan dia yang kena jaga. Sesekali suaminya bawa juga anak-anaknya pulang ke rumah, hanya untuk makan-makan dan beramah mesra. Hmm… kenalah jadi seorang ‘ibu tiri’ yang baik semuanya. Dalam fikiran ramai orang, ibu tiri selalunya jahat dan suka mendera. Maaflah ya, dia bukan spesies seperti itu. Masih ada hati dan perasaan.
Anak-anak suaminya masih kecil dan memerlukan perhatian. Tidak mungkin dia menjadi manusia jahat yang hanya ada hati, tetapi tiada perasaan. Anak-anak suaminya tiga perempuan dan dua lelaki. Berumur antara dua tahun sehingga lapan tahun. Hati naluri seorang ibu, tidak perlu belajar menjadi ibu hanya ketika ada anak sendiri. Anak-anak suaminya, anak-anak dia juga walaupun bukan lahir daripada rahimnya.
            Untuk mengelak dapat suami orang, duda pun tidak mengapalah. Ada anak lima pun, dia tak kisah. Namun, kebahagiaan yang baru menjelma bagaikan tercalar dengan sengaja, atau disengajakan. Terasa hendak menjerit sahaja. Walaupun tidak dimadu atau bermadu, dalam diam tak diam dia sudah ‘bermadu’ dengan bekas isteri suaminya. Huh! Susah juga berkahwin dengan duda yang ada anak dan ada bekas isteri! Baik kahwin dengan duda yang kematian isteri! Aleeya mengetap bibir. Rasa hendak dihempuk sahaja fail-fail yang berselerakan di atas mejanya. Fikirannya sudahlah berserabut, ditambah dengan masalah yang dicipta oleh manusia bernama bekas isteri.
            Wajahnya langsung tidak melakar bahagia. Muncung bibirnya boleh panjang sedepa kalau dibiarkan sehingga ke petang. Sakitnya di sini, di hati yang paling dalam. Tidak mampu meluahkan kerana yang terlibat adalah anak-anak suaminya juga. Oleh kerana geram yang melampau, terbit rasa di hati, menyesal dia berkahwin. Biarlah jadi anak dara tua sehingga ke mati. Aleeya mengeluh berat.
            “Kau kenapa? Sejak dari tadi, asyik mengeluh aje aku dengar. Tak penat ke?” tanya Rozita kawan sepejabat yang selalu prihatin dengan dirinya.
            “Tu... bibir kau, boleh sangkut baju. Besar sangat ke masalah kau?” sambungnya lagi.
            Aleeya memandang wajah rakannya itu tidak berkelip. Macam mana dia nak mulakan ya? Terasa seperti mengumpat pula. Lebih-lebih lagi hal rumah tangga sendiri. Buatnya Rozita canang satu pejabat, dia juga yang malu besar nanti.
            “Macam mana ya, aku nak cakap?” Aleeya sedang berkira-kira.
            “Kalau nak kongsi, aku sedia mendengar. Kalau tak sudi, aku pun tak paksa.” Rozita mengangkat bahu.
            Aleeya menyengih. Eh! Masih boleh menyengih lagi. Ingatkan sudah hilang kegembiraan di hati.
            “Hah, boleh pun menyengih,” usik Rozita.
            “Nantilah... aku cerita kat kau. Tapi, bukan waktu sekarang. Sekarang ni, waktu kerja! Jangan culas, nanti kena tindakan tataterbit!” Sempat lagi Aleeya bergurau. Hilang sedikit rasa marah di hati.
            “Yalah… bibir tu jangan biar muncung lama-lama. Aku takut tak boleh nak leperkan semula, nahas kau,” gurau Rozita.
            Aleeya mencebik. Rozita Yamin, ibu kepada dua orang anak yang sedang meningkat remaja. Layak dipanggil kakak, baik dan suka membantu orang lain. Pakaiannya ke pejabat selalu ikut peredaran fesyen tetapi menutup auratlah. Pantang dengar ada jualan murah, pasti dia yang muncul dahulu. Kalau nak tahu pasar raya mana yang buat jualan murah, bolehlah tanya kepadanya. Nak tahu kedai yang murah boleh juga rujuk kepadanya. Tudungnya pula beraneka ragam dan warna. Agak-agaknya almari pakaian dan tudungnya entah besar mana. Aleeya tersenyum sendiri.  Hilang seketika semua masalah yang bersarang di dada.
            Masalahnya tidak akan berkurang. Bukan sahaja dia yang pening. Suaminya sendiri juga pening. Tangan asyik letak di dahi semenjak dua menjak ini. Hendak membantu, dia sendiri tidak tahu macam mana. Semuanya melibatkan wang ringgit. Boleh papa kedana jadinya. Hisy, tak baik fikir begitu! Mungkin semua ini ujian semata-mata. Pasti ada jalan keluar yang terbaik. Sekali lagi keluhan terlahir di bibirnya. Mencanak rasa mual di hati dengan masalah yang timbul. Masalah orang ketiga. Entah apa bekas isteri suaminya hendak sebenarnya? Masih berfikir dan mencari jawapannya.  Diluah mati bapak, ditelan mati emak. Bidalan orang tua-tua yang besar maknanya.
            Tengah hari itu, nasi yang dijamah bagaikan tidak boleh terhadam. Disumbat ke tekak terus ditelan tanpa dikunyah seperti biasa. 40 kali kalau ikut sunahlah. Baik untuk penghadaman jika makanan yang masuk ke mulut dikunyah sehingga lumat. Ini bukan soal malas mengunyah, tetapi mengejar waktu rehat yang hanya sejam. Ditambah dengan masalah yang melingkari jiwanya. Semakin kuranglah nafsu makannya, biarpun makanan yang dibeli adalah kegemarannya juga.
            Kedai yang mereka sedang duduk bersantai ini, jarang didatangi oleh rakan sekerja yang lain. Masakannya biasa-biasa sahaja. Harganya sahaja yang buat perut memulas tiba-tiba. Mahallah. Rasa hendak ketawa melihat wajah Rozita ketika melihat harga makanan yang telah dikira. Ikan keli masak sambal, ulam-ulaman, kuah kari dicurahkan atas nasi, sayur taugeh goreng bersama air teh ais limau RM10.00. Biar betul! Ringan sahaja mulut hendak bertanya. Ikan keli takkan seekor RM5.00? Kalau makan di kedai Wak Karman, lauk seperti itu paling tidak RM7.00 sahaja. RM3.00 lagi boleh buat minum petang. Uh! Wak Karman hanya kau di hati. Aleeya menyengih. Menyesal tak sudah.
Dia lagi mahal kerana ambil sotong dan udang yang memang kegemarannya. Kalau lauk udang di kedai Wak Karman, biasalah RM10.00 sahajalah. Biasalah udang dan sotong mahal. Ini tidak. RM15.00 terbang hanya makan tengah hari. Larilah bajet kalau macam ini.  Apasal pula main kira-kira makanan bagai? Memang kepala sedang biul sekarang ini. Masalah kecil dianggap bagaikan masalah negara. Tak apa, tak apa, dia harus bertenang dan berdiri di belakang suaminya. Tidak akan mengalah dengan permainan janda suaminya.  Kuat Aleeya, kuat! Dia harus mempertahankan rumah tangganya. Kebahagiaan milik dia dan suami.

No comments:

Post a Comment