AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 4 January 2016

IKATAN KASIH - BAB 27




            Beberapa gambar gadis remaja yang hilang dari rumah disemak satu persatu. Para Sukarelawan yang terdiri daripada bekas anggota polis dan orang awam sudah pun membuat pemantauan di beberapa rumah pelacuran dan rumah urut di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.  Info daripada pemberi maklumat juga sudah mereka perolehi.  Tunggu langkah seterusnya.    Malam ini meraka akan cuba mendekati gadis-gadis itu. Jika benar mereka dipaksa, pihaknya akan bertindak menyelamatkan gadis-gadis tersebut.  Bantuan pihak polis juga diperlukan.  Tempat itu akan diserbu.  Rabeta mengetap bibir.  Dia memegang perutnya  yang masih terasa sengalnya.  Sesekali ngilu di bahagian tikaman itu.  Mungkin luka di bahagian dalam masih belum sembuh sepenuhnya.  Malam ini dia akan bertindak sebagai pemandu.  Semoga segalanya berjalan lancar.
            “Malam ini jadi ke mak cik?” tanya Tina, dia jarang dibenarkan keluar di lapangan. Selalunya Rabeta yang akan turun membantu petugas yang lain.
            “Insya-ALLAH,  jika benar gadis-gadis itu dipaksa, kita akan selamatkan mereka.  Mak cik harap tiada masalah yang mendatang,” kata Rabeta.  Wajah Tina yang kelihatan bimbang menjadi renungannya.  Dia tersenyum.
            “Hati-hati ya mak cik.  Tina takut orang yang menyerang mak cik tempohari masih cam  wajah mak cik,” pesan Tina. Jauh di sudut hatinya, dia bimbangkan keselamatan Rabeta.  Puas dilarang agar tidak turun ke  lapangan, tapi Rabeta degil. Katanya, ingin mencari kepuasan  dengan melihat sendiri gadis-gadis itu diselamatkan oleh sukarelawan yang bertugas malam ini
            “Insya-ALLAH, Tina doakan kami ya, semoga semuanya berjalan lancar,” mohon Rabeta.  Mereka saling bertukar senyuman.
            “Sampai bila perkara ini nak selesai kak?  Pengedaran dadah, penagihan, pelacuran dan maksiat berlaku di mana-mana.  Pembuangan bayi terus berlaku, pembunuhan, rompakan,, ragut, semuanya menakutkan.  Penculikan juga begitu, rasanya dunia ini sudah tidak selamat lagi,”  luah Tina.  Dia tidak faham dengan sikap segelintir remaja yang sebaya dengannya, mencari keseronokkan sehingga merosakan diri sendiri.  Kepuasan jenis apakah itu, jika diri sendiri menjadi tempat pemuas nafsu?  Itu semua keseronokkan sementara sahaja.  Dosanya tidak tertanggung sehingga ke akhirat. 
            “Selagi manusia tidak mencintai agamanya sendiri, tidak takut dengan murka ALLAH. Tidak tahu tujuan mereka lahir ke dunia ini, selagi itulah manusia akan bergelumang dengan noda dan dosa. Walaupun bukan semua, namun kesannya tetap kita rasakan juga.  Yang malu adalah agama, bangsa dan Negara kita sendiri.  Disebut-sebut orang Melayu sudah musnah akhlaknya, sedangkan seluruh dunia mengalami masalah akhlak dan moral,” kata Rabeta.  Kesal dengan apa yang berlaku di luar dan di sekelilingnya.  Manusia bagaikan tiada hati dan perasaan.
            “Betul kata mak cik, tengok sajalah yang datang ke mari, jauh benar kehidupan mereka dengan agama, tidak tahu solat, tidak pandai mengaji, ada tu nak beristighfar pun tak tahu.  Sedangkan sah-sahlah orang Melayu dan  beragama Islam.  Dalam kita tak sedar, kita menghina agama kita sendiri serta bangsa kita diperkotak-katikkan oleh orang lain,” keluh Tina tentang sebahagian penghuni Rumah Ikatan Kasih yang menumpang teduh di pusat itu.  Nasib baik masih terbuka pintu tabuat buat mereka.  Jika tidak, hidup dalam kehancuran sehinggalah bertemu dengan ALLAH SWT nanti. Nau’zubillah.
            “Taklah sampai perlu jadi orang yang alim, warak dan berilmu tinggi untuk menjadi manusia yang baik, cukuplah kita menyempurnakan yang wajib sahaja.  Dunia ini ibarat tempat kita bercucuk tanam, hasilnya di akhirat nanti.  Bukankah kita mencari kebahagian dunia dan akhirat?  ALLAH SWT tidak menjadikan kita sia-sia dan hanya suka-suka. Bukan susah pun untuk menjadi manusia yang dicintai ALLAH, menurut segala arahan dan meninggalkan segala larangan-NYA. Tapi, kita manusia ni, masih hendak mengejar dunia yang penuh dengan kepalsuan, mencari keseronokkan yang sementara. Sudah pasti memudaratkan diri sendiri.” Leter Rabeta lagi.  Sakit benar hatinya melihat remaja hari ini sudah hilang rasa malu, tidak lagi menghormati diri sendiri dan agama. Sewenang-wenangnya melakukan maksiat tanpa ada rasa bersalah di hati.
            “Alhamdulillah, mama Milah sentiasa mengajar Tina tentang Islam, perkara asas sebagai manusia yang berpegang teguh dengan agamanya tidak pernah dilupakan.  Kalau Tina tak solat, siaplah berbirat badan Tina kena pukul, walaupun tinggal sehari.  Kata mama, dia tidak mahu dipertanggungjawabkan di akhirat nanti kerana tidak mengajar Tina bersolat.  Biar kesan luka itu menjadi saksi di akhirat nanti bahawa, dia pernah menyuruh Tina bersolat,”  cerita Tina tentang ketegasan mamanya.  Begitu juga dengan kelas mengaji al-Quran.  Tidak boleh ponteng.  Dia sempat katam al-Quran ketika berumur 11 tahun.  Kemudian disuruh mengulanginya, dan tidak boleh tinggalkan membaca al-Quran walaupun hanya separuh muka.  Itulah mamanya.  Dia benar-benar bersyukur mempunyai seorang mama yang begitu bertanggungjawab.  Langsung tidak membenarkan dia keluar sesuka hati.  Jangan kata hendak berpacaran, bagi mama Jamilah, tiada hubungan atau berkawan dengan lelaki sebelum berumah tangga. 
            “Itulah tanggungjawab ibu dan ayah yang sebenarnya.  Menyuruh anak-anak belajar solat seawal usia tujuh tahun, kalau tidak solat ketika berumur 10 tahun, hendaklah dihukum atau dipukul. Itulah cara Islam.  Solat mampu mencegah manusia dari segala kemungkaran.  Kenapa sukar sangat manusia hendak bersujud kepada yang ESA?  Sedangkan ALLAH SWT memberi terlalu banyak kepada kita?”  luah Rabeta. Itu ingatan untuk dirinya juga.  Dia tidak sempat mendidik anak-anaknya.  Sedang mereka membesar, dia telah ditahan dipenjara.  Dia berharap bekas suaminya mampu mendidik anak-anaknya ke jalan yang diredhai ALLAH SWT.
            “Tak faham Tina, kenapa manusia mudah sangat terpengaruh dengan hasutan syaitan dan mengikut hawa nafsu, yang sudah berkahwin masih lagi mencari keseronokkan di luar.  Sedangkan sudah jelas syaitan dan iblis itu adalah musuh yang nyata,” luah Tina lagi. 
            “Entahlah Tina, akan sendiri pun tak faham.”  Rabeta mengeluh kesal.  Memang dia tidak akan faham. Islam membenarkan hiburan, menggalakkan silatruhmi tetapi semuanya ada batasannya sehingga tidak melalaikan tanggungjawab seorang muslim dan muslimat yang sebenar.
            “Sama-samalah kita berdoa, ya mak cik.  Semoga hati-hati kita semua ditetapkan dalam iman dan Islam.”  
            “Aamin!” kata Rabeta, harapannya juga.
            “Bagaimana dengan rancangan mak cik dan Inspektor Faizul?  Bila keluarnya nak masuk meminang?”  Tina mengalih perbualan mereka pada soal peribadi pula.
            “Katanya minggu hadapan, tapi mak cik minta tangguh sehingga semua urusan tentang Mama Milah selesai.” Rabeta berasa malu untuk membicarakan soal hubungannya dengan Faizul.  Terutama dengan Tina yang masih muda tetapi matang fikirannya.  Sepatutnya dia mencarikan jodoh untuk Tina, tapi dia pula yang sampai jodohnya.  Kalau boleh dia ingin Tina menyambung pelajarannya semula.  Wajah polos itu mengusik pandangannya.
            “Tak sabar rasanya mak cik.  Entah bilalah kita boleh jumpa Mama Milah.  Mak cik teruskan sajalah rancangan mak cik dan Inspektor Faizul, soal Mama Milah, biarkanlah dulu.” Hatinya berbunga riang. Bukan dia tidak risaukan keadaan mamanya tetapi sanggupkah dia mengorbankan kebahagian insan lain demi mamanya? 
            “Mak cik tak nak cari ke, anak-anak mak cik?” tanya Tina, bukan niat hendak membuat hati Rabeta dibalut sedih. Sekadar bertanya, agar Rabeta tidak melupakan terus darah dagingnya sendiri.  Biar betapa dia menyibukkan diri  dengan urusan di Rumah Ikatan Kasih itu, dia juga harus memikirkan diri sendiri.
            Rabeta memandang wajah Tina. Kenapa soalan itu yang ditanyakan oleh gadis yang amat disayanginya.  Sebagai seorang ibu, mana mungkin dia melupakan anak-anaknya. Sebagai seorang ibu, sudah tentulah dia akan mencari mereka.  Cuma, belum masanya lagi.
            “Mak cik tahu di mana mereka berada?”
            “Mak cik tak pasti, mungkin orang tua mak cik tahu di mana anak-anak mak cik berada.  Mak cik tak nak menyusahkan mereka.  Jika sudah tertulis, mak cik akan bertemu dengan mereka, lambat atau cepat, pasti kami akan  bertemu kembali. Lagipun mereka dah tak tinggal di rumah lama kami. Mungkin dah berpindah ke tempat lain.  Insya-ALLAH, hari itu akan datang juga.”  Rabeta melepaskan pandangan melalui tingkap pejabat yang sengaja dibuka luas.  Dapatlah dia melihat kenderaan yang keluar masuk dan juga memerhatikan kegiatan para penghuni pusat itu dari jauh.      
            “Mak cik pergilah berehat, malam ni nak keluar pula.  Stamina kena jaga mak cik.  Bukan mudah nak lawan lelaki-lelaki yang berbadan sasa tu,” nasihat Tina.
            “Yalah, Tina pun sama…”  Rabeta mengingatkan Tina juga.  Mereka bangun seawal 4.30 pagi.  Semua penghuni buat solat sunat hajat, sunat taubat, sunat tahajud serta amalan sunat yang lainnya.  Mereka akan berzikir, bertahmid dan berdoa memohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan oleh mereka sebelum ini.  Semoga ALLAH SWT menerima taubat mereka, menerima semua amalam mereka.  Doa yang tidak pernah berhenti dan tidak putus-putus.    Sebelum solat  zohor, selalunya jika tiada sebarang urusan, dia akan berehat seketika, menghilangkan rasa mengantuk dan kembali mendapatkan kesegaran mata dan tubuh. 
            “Yalah, Tina pun sama, tugas di pejabat ni ada yang uruskan, tengok tu, tekun mereka bekerja, di dapur dah ada  Mak Cik Ani, masih belum balik dari pasar ya?” sambil memandang beberapa orang pekerjanya yang sedang bermesyuarat sesama mereka.  Adalah yang hendak mereka bincangkan.  Jika tiada keperluan daripadanya, dia tidak akan turut sama bermesyuarat dengan mereka.  Tina  akan bangun seawal 4.30 pagi, menyelia dan menyelenggarakan penghuni pusat itu  untuk solat tahajud serta amalan sunat yang lain.  Mereka akan berzikir, bertakbir dan bertahmid, untuk penyucian hati.  Usai solat subuh baharulah semuanya selesai.  Sebahagianya akan ke tempat kerja, dan sebahagiaannya akan sambung masuk ke kelas yang telah ditentukan. Tidak henti-henti mereka meminta ampun daripada segala dosa dan noda yang telah mereka lakukan sebelum ini.  Semoga pintu taubat masih terbuka dan taubat mereka diterima ALLAH SWT.   
            Usai menyediakan sedikit maklumat untuk operasi malam ini, Rabeta kembali ke biliknya.  Azan zohor sudah berkumandang.  Dia, petugas serta penghuni pusat itu akan solat berjemaah di surau yang disediakan.  Ada seorang imam yang ditugaskan setiap lima waktu.  Gajinya dibayar oleh seorang hamba ALLAH yang dermawan.  Tina pula jika tiada kelas yang harus diuruskan akan membantu Ani di dapur menghidangkan makanan tengahari.  Sebulan sekali mereka akan turun melawat kedai-kedai  bakery milik mereka yang semakin mendapat sambutan, begitu juga syarikat milik Rumah Ikatan Kasih yang semakin dikenali.    Rabeta tersenyum puas. Usahanya dengan mereka yang berkhidmat di pusat itu tidaklah sia-sia.
            Bukan mudah untuk dia membangunkan syarikat-syarikat tersebut atau mendapatkan peluang membuka rangkain kedai kek dan roti yang diusahakan sendiri bekas  banduan dan bekas penagih yang sudah insaf.   Sebagai Pengurus, dia hanya memantau kerja-kerja mereka.    Kejayaan yang ada bukan kerja yang mudah.  Penat lelahnya hanya dia dan rakan-rakan setugasnya sahaja yang tahu.  Hendak meyakinkan mereka di luar sana agar percaya dengan bekas banduan dan penagih yang ada, amatlah sukar.  Tetap ada perasaan cuak, risau dan bimbang di dalam hati mereka yang menggunakan perkhidmatan syarikat  ini, lama kelamaan setelah beberapa bulan melihat hasil kerja, mutu masakan dan kesungguhan bekas banduan dan penagih itu bekerja, membuatkan keyakinan itu semakin tinggi dan promosi dari mulut ke mulut memberi kebaikan kepada syarikat milik Rumah Ikatan Kasih untuk terus berdaya saing.

No comments:

Post a Comment