AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 14 January 2016

IKATAN KASIH- BAB 28



BAB 28
            Rabeta menunggu di dalam kereta.  Beberapa orang kakitangannya sudah melangkah keluar dan menunggu di luar kenderaan.  Mereka sedang menunggu seseorang.  Beberapa orang gadis yang berpakaian menjolok mata berlegar di bawah rumah kedai tersebut.  Kelihatan juga beberapa buah kereta berhenti di bahu jalan dan bercakap-cakap dengan gadis-gadis itu.  Rabeta hanya mampu menggeleng, melihat dengan mata dan hati yang sedih.  Hairan sungguh dengan sikap mereka.  Yang memberi dan membeli tidak pernah puas, seronok agaknya melakukan maksiat.  Dia terpaksa menanti pemberi maklumatnya sebelum bertindak.  Takut salah tempat pula. Keretanya juga diletakkan jauh sedikit dari pusat pelacuran tu.  Bimbang kehadirannya disedari oleh samseng-samseng yang mengawal pusat tersebut.  Rupanya, bukan hanya ada gadis tempatan, ada juga gadis dari luar Negara.  Manalah mereka dapat gadis-gadis itu.  Maruah mereka jatuh di kaki lelaki hidung belang yang hanya tahu mencari keseronokkan.
             
            Bunyi cermin tingkap diketuk membuatkan dia menoleh.  Dia memandang wajah perempuan yang bersolek tebal, pakaian, kus semangat, kalau dia lelaki, boleh gugur iman.  Dia hanya tersenyum sinis.  . 
            “Aku ingat kau tak jadi datang?  Nasib baik aku tinjau ke mari.  Maklumat yang kau beri lengkap. Jadi, aku dah dapat kesan beberapa orang gadis yang kau cari itu ada di dalam pusat tu.  Tapi berhati-hati, mereka diawasi dengan ketat. Maklumlah pucuk baharu,” jelas perempuan itu.  Dia langsung tidak memandang wajah Rabeta. 
            “Terima kasih kerana sudi membantu aku,”  ucap Rabeta.  Matanya masih memerhatikan gelagat manusia di luar kenderaannya. 
            “Aku tidak mampu mengubah diriku, Eta.  Sekurang-kurangnya aku membantu kau menyelamatkan orang lain daripada menjadi seperti aku!” luahnya.  Ada nada sedih dalam kata-katanya.
            “Tinggalkan pekerjaan ini, kau ikut aku,” pelawa Rabeta.
            “Kalau aku ikutkau, siapa pula nak bantukau menerja rumah-rumah pelacuran di Kuala Lumpur dan Selangor ni?  Siapa nak beri maklumat tentang gadis-gadis yang dipaksa menjadi pelacur?  Dan memaksa diri menjadi hamba seks?” kata perempuan itu sambil menyengih.
            “Aku boleh cari orang lain, yang penting kauingin bersama dengan aku,” kata Rabeta, masih mengharap.
            Perempuan itu ketawa.
            “Hidup aku biarlah ALLAH yang tentukan. Baik atau buruk, aku sudah terima takdir hidup aku, Eta.”  Dia memandang keluar.  Matanya berkaca.   Kehidupan yang langsung tidak menyeronokkan.  Terpaksa dan dipaksa.  Hubungan yang tiada ertinya.  Hanya untuk suka-suka dan memuaskan nafsu lelaki yang tidak bertanggungjawab.
            “Nadia, terima kasih.”  Rabeta memegang tangan Nadia, erat.
            Cepat-cepat Nadia menarik tangannya.
            “Aku manusia kotor, Eta.  Tak sesuai bersentuhan dengan manusia seperti kau.” Nadia menunduk.  Kemudian tersenyum semula. Hidup harus diteruskan.  Biar bagaimana susah dan payah sekalipun.  Pilihan memang ada, terpulang kepada dirinya sendiri.  Dia tersenyum lagi, sinis, menyindiri diri sendiri.
            “Jangan mengeji diri sendiri!” marah  Rabeta.  Dia mengenali Nadia di penjara. Perempuan itu ditahan kerana melacurkan diri.  Wajahnya lembut penuh sifat keibuan, tetapi orangnya kasar. Dia pernah mengajak Nadia mengikutnya, tinggal brsama-sama di Rumah Ikatan Kasih, tapi perempuan itu menolak.  Nadia meneruskan kehidupannya seperti sekarang kerana tuntuan hidup.  Anak-anaknya seramai enam orang, perlukan duit untuk meneruskan hidup dan belajar.  Dengan duit menjual diri itulah, dia membesarkan anak-anaknya.  Puas Rabeta nasihati, langsung tidak didengari oleh Nadia.  Baginya, perut anak-anaknya lebih penting daripada memikirkan dosa dan neraka.
            Nadia terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur kerana tidak tahan dengan sindiran dan cemuhan orang kampung terhadap janda beranak lima sepertinya.  Ada pula yang menuduh dia menggatal, mengorat suami jiran sekampungnya.  Hinanya hidup sebagai seorang janda yang tidak punya apa-apa.    Dia tidak ada kelulusan, kerjanya sebagai tukang cuci dan tukang basuh pinggan di restoran tidak cukup  untuk menyara anak-anak dan kedua orang tuanya yang sudah uzur. Pekerjaannya itu masih lagi menjadi rahsia.  Ketika dia dimasukkan dalam penjara pun, keluarganya tidak tahu.  Duit dikirim melalui rakan-rakannya yang sudi membantu.  Jadi, keluarga Nadia tidak mensyaki apa-apa.
            Rabeta hanya mampu berdoa, agar pintu hati Nadia terbuka untuk kembali ke pangkal jalan. 
            “Ini nombor tempahan gadis-gadis itu.  Suruh orang-orangkau berhati-hati,”  pesan Nadia sebelum menyerahkan sekeping kertas kepada Rabeta.
            “Berapa semalam?” tanya Rabeta semula.
            “RM250 seorang, bukan semalam, beberapa jam!” jelas Nadia.
            “Mahalnya!”  Rabeta menggeleng kesal.  Duit sebanyak itu, macam-macam boleh beli.
            “Harga budak baharu, kalau ikutkan itu dah kira murahlah.  Biasanya RM300 ke atas,” terang Nadia lagi.
            “Yalah, terima kasih sekali lagi.”  Rabeta mengangguk, tanda faham.  Terpaksalah mereka melabur, walaupun tidak rela.  Demi mangsa-mangsa tersebut, mereka sanggup berkorban.
            “Okeylah, aku pergi dulu.  Ada temu janji jam 10.00 malam.  Semoga usahakau terus berjaya. Jika aku ingin berubah, aku akan carikau!” kata Nadia sebelum berlalu pergi.  Dia tidak mahu berlama di situ, takut dilihat oleh samseng-samseng atau bapa ayam yang turut berlegar di kawasan tersebut menjaga anak-anak ayam mereka yang berkeliaran di kiri dan kanan bahu jalan.  Tempat di mana? Jangan tanya, biarlah rahsia.   
            Rabeta memandang sahaja langkah Nadia dengan hati yang kecewa.   Dia tidak pernah putus berdoa agar ALLAH SWT membuka pintu hati Nadia suatu hari nanti.
            Rabeta menggamit orang-orangnya masuk kembali ke dalam kereta.  Malam itu mereka akan menyelamatkan dua orang gadis yang baharu sahaja dijual oleh kekasih-kekasih mereka di pusat pelacuran itu. Inilah padahnya jika ikut kehendak hati dan perasaan.  Nasihat orang tua ditolak ke tepi.  Apabila sudah tersepit, baharu hendak menyesal.
            “Ini nombor tempahan.   Berapa mereka minta, bayar saja. Hati-hati… akak akan telefon pihak polis sekarang.  Bergerak sekarang!”  arah Rabeta.  Dua orang petugasnya mengangguk.  Mereka terus melangkah keluar dan mendekati pusat pelacuran itu.  Rabeta menarik nafas panjang, kelelahan di hati dilepaskan pergi.    Rabeta terus menelefon Faizul.  Dia menunggu dengan sabar. Enjin kereta sudah dihidupkan.  Semoga orang-orangnya dapat bertemu dengan gadis-gadis itu. Kalau tidak, gagallah rancangan mereka.  Dia juga berharap gadis-gadis itu belum lagi dilanggan oleh sesiapa.  Sambil menunggu, matanya melilau, takut terjumpa dengan orang yang mengenalinya.  Terutama mereka yang telah cuba membunuhnya.  Pihak polis masih belum dapat mengesan kelima-lima penyerangnya itu.
            Hampir setengah jam menunggu.  Dia sendiri sudah gelisah.  Tidak tenteram hati dan perasaan.  Apapun yang berlaku, semoga semuanya selamat.  Matanya masih tertanam di laluan menuju ke tingkat atas.  Menanti dengan penuh debaran di hati.  Terlihat kelibat orangnya.  Dahinya berkerut.  Sesaat kemudian turun seorang lagi dengan dua orang gadis yang tidak berkasut.  Mereka berjalan laju bagaikan berlari.  Rabeta membuka pintu kereta.  Mereka terus melangkah masuk. 
            “Hoi! Mana mahu pergi?” jerit seorang lelaki yang baharu sahaja turun dari tingkat atas bangunan itu.   Dia berlari mendekati kereta Rabeta.  Rabeta menekan pedal minyak dan berdesup keretanya dipandu laju meninggalkan kawasan itu.  Pihak polis baharu sahaja tiba.  Rabeta menarik nafas lega.    Bertempiaran lari gadis-gadis dan perempuan-perempuan yang ada di situ.  Begitu juga dengan kereta yang tersadai di bahu jalan. 
            “Alhamdulillah, lega!”  kata Hadi.  Pemuda yang masih belajar tetapi minat dengan kerja-kerja sukarelawan seperti itu.  Sering membantu di lapangan, menggunakan kekacakannya untuk memancing para kupu-kupu malam mendekatinya.  
            “Alhamdulillah,” kata Rabeta pula, setelah mereka berada jauh dari kawasan tersebut.  Nasib baik mereka  gunakan plat kereta palsu, jika tidak pasti akan menjadi sasaran samseng-samseng tersebut. . 
            “Susah juga kami nak bawa mereka keluar kak, nasib baik pengawal mereka pergi ke tandas, waktu itulah kami bawa mereka lari!  Kalau tidak jangan harap!  Kawalan ketat,” terang Rahim pula, petugas tetap di Rumah Ikatan Kasih.
            “Mereka orang baharu, memanglah dikawal ketat. Rabeta memandang wajah gadis-gadis yang diselamatkan tadi dengan cermin depan.  Dia mengeluh.
            “Dah pesan dengan Ravi dan Daniel agar terus balik ke Rumah Ikatan Kasih, bila tugas mereka dah selesai di balai polis?”  
            “Dah kak… “  jawab Hadi.
            Dua orang lagi ditugaskan mengajak mereka yang ditangkap agar mendaftar masuk ke Rumah Ikatan Kasih.  Jika yang mahu, mereka diberi ikat jamin, jika tidak mahu, terus akan disumbat ke dalam lokap. 
            “Terima kasih kerana selamatkan kami?” ucap salah seorang gadis itu.
            “Lain kali jangan mudah sangat dengar pujuk rayu lelaki! Tak pasal-pasal jadi perempuan murahan!”  tempelak Hadi dengan muka selamba.  Geram dan marah bertubi-tubi di hati.
            “Hadi!”  Rabeta menegur. Bukan masanya untuk menyalah atau mencari salah. Semoga apa yang berlaku memberi impak kesedaran dalam diri kedua gadis itu. Biarpun maruah dan harga diri sudahpun musnah tetapi masih ada ruang dan peluang untuk kembali ke pangkal jalan.  Ada beberapa orang lagi yang masih tidak  tahu berada di mana, semoga Nadia dapat mengesan gadis-gadis itu dan dapatlah mereka selamatkan.
            Kereta meluncur laju kembali ke Rumah Ikatan Kasih. Masing-masing membisu, melayan perasaann sendiri.  Hilang sudah rasa bimbang dan risau di hati masing-masing.  Usaha mereka berhasil. Perancangan yang rapi pasti berjaya.

No comments:

Post a Comment