AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 21 January 2016

IKATAN KASIH - BAB 29






Kad undangan ke majlis pertunangan Rizqi sudah ada di tangan.  Dia akan menyampaikan sendiri kad tersebut kepada mamanya. Biarlah mamanya tidak mengaku, dia amat pasti  pengurus Rumah Ikatan Kasih itu adalah mamanya.    Gambar-gambar yang diambil di rumah Nenek Kemboja adalah buktinya.    Hari ini dia akan ke pusat tersebut.  Jenuh dia bertengkat dengan Rizqi agar menambah seorang dua lagi tetamu yang dijemput ke majlis pertunangannya.  Mamanya berhak berada di majlis tersebut.  Tentu mamanya ingin melihat anak gadisnya bertunang.    Mamanya berhak berada di situ, meraikan hari yang paling indah dalam hidup anaknya sendiri.
            Pertanyaan yang berlegar di hatinya, kenapa mamanya tidak mencari mereka adik beradik? Adakah ayah telah memberi amaran kepada mama agar tidak mencari mereka?  Dia mengeluh kesal.  Kalau benar perkara itu berlaku, dia benar-benar kecewa.  Biar bagaimana besar sekalipun kesalahan mamanya,  ayahnya tiada hak memisahkan mereka adik-beradik dengan orang yang telah melahirkan mereka ke dunia ini.
            “Along nak bagi kat siapa ni? Kalau bukan ahli keluarga kita, jangan memandailah.  Nanti marah ayah dan Mama Chah,” kata Rizqi mengingatkan.  Kedua orang tuanya sudah berpesan.  Majlis pertunangan hanya boleh dihadiri oleh ahli keluarga dan kawan paling rapat sahaja.
            “Kawan along, bukan ramai… seorang dua saja,”  jawab Kamarul.  Dia ingin menjemput mamanya.   
            “Siapa? Angah kenal ke? Kawan-kawan baik along, rasanya semua angah kenal.”  Rizqi masih tidak berpuas hati.  Siapalah tetamu jemputan abang sulongnya itu.  Jawapan yang diterima langsung tidak menggembirakan hatinya. 
            “Nanti kawan along tu datang, along kenalkan dengan angah, ya.”  Kamarul menyengih.
            “Jangan lupa jemput Nenek Kemboja, Atuk Mail dan Pak Su Ramli.  Nanti kecil hati mereka,” suruh Kamarul.  Dia tidak mahu adiknya meminggirkan keluarga di sebelah mamanya. Mereka berhak untuk hadir.  Rizqi juga cucu mereka, darah daging mereka.  Tiada mama, tiadalah mereka.
            “Ayah tak suruh pun, along memandai saja.  Nanti bising  Nenek Minah dan Atuk Mansor, malaslah nak bising-bising.  Sakit telinga tau.  Dahlah mereka bantah angah bertunang dengan Abang Iman, kemudian jemput pula orang yang mereka benci!  Along sengaja nak cari nahas ya?” leter Rizqi. Kurang senang dengan cadangan Kamarul.  Boleh bergaduh besar nanti.  Tidak pasal-pasal mencipta sengketa. 
            “Jemput sajalah.  Kalau jemput pun belum tentu mereka datang.  Mereka pun tahu, kehadiran mereka tidak disenangi.  Kita jemput sekadar tanda ingatan, yang kita masih ingat pada mereka, itu saja.”  Kamarul mencebik.
            “Along, kalau ayah marah macam mana?”  Rizqi masih belum bersedia, lainlah kalau Mama Chah atau ayahnya benarkan.  Sukar betul untuk dia membuat keputusan.
            “Kan along dah bagi tahu, jemput sajalah.  Mereka takkan datang.  Yang penting kita nak mereka ingat, bahawa kita masih lagi sayang kepada mereka, takkan itu pun susah angah.” Kamarul menjeling.  Bukanlah bermaksud ajak-ajak ayam, kalau mereka hadir, dia sendiri akan menyambut mereka.
            Akhirnya Rizqi akur.  Sekeping kad dikeluarka, ditulis nama orang tua mamanya.  Dia mengeluh.  Kalaulah Nenek Kemboja dan Atuk Ismail hadir, entah apalah yang bakal berlaku.  Dia tidak mahu memikirkannya.  Biarlah masa dan waktu menentukannya.  Sebagai seorang cucu, dia hanya menjalankan tanggungjawab. 
            Kamarul pula terus keluar dari rumah.  Ada tempat yang ingin dituju dan ada orang yang ingin ditemui.  Hatinya berbunga riang.  Semoga pertemuan ini membuahkan hasil. 

***

            Kereta Myvi yang dipandu sendiri, berhenti di pintu pagar yang dikawal rapi.  Dia memperkenalkan diri.   Setelah meletakkan lesen memandu sebagai jaminan dia dibenarkan masuk.  Kereta dipandu perlahan, dia meletakkan kenderaanya tidak jauh dari pejabat pengurusan Rumah Ikatan  Kasih.
            Kamarul melangkah dengan hati yang berdebar-debar.  Kali ini perasaannya lain benar, tidak seperti kehadiranya pertama kali ke tempat itu.  Terasa seram sejuk kaki dan tangannya. Peluh dingin merembas keluar.  Pancaran cahaya matahari di waktu pagi terasa begitu memeritkan.  Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan.  Mencari kekuatan dalam diri untuk berhadapan dengan mamanya.  Bimbang juga di dalam hati, jika kehadirannya tidak diterima.  Entah bagaimana agaknya reaksi mamanya nanti.  Langkah diatur perlahan menuju ke pondok wakaf berhampiran tempat letak kereta.  Kelihatan Rabeta sedang  duduk di situ sambil menyemak sesuatu.  Kamarul terus mendekati.          
             Dia berdiri kaku di hadapan Rabeta.  Mulutnya bagaikan terkunci, kenapalah sukar sangat kali ini.  Duduk di hadapannya bukan orang lain,  perempuan yang telah melahirkannya ke dunia ini, kenapa perlu ada rasa takut di hati?  Dia mengeluh sendiri. Wajah tenang dan bersih itu dipandang sekali imbas.  Salam pun tidak terkeluar daripada mulutnya.  Memang takut sangat agaknya, atau bimbang kehadirannya tidak diterima.
            “Kamarul, kan?  Kenapa berdiri sahaja?  Ada masalah ke?”  Rabeta mendongak sambil melakar senyuman.  Wajah itu singgah di matanya.
            Laju anggukan Kamarul.
            “Duduklah, saya pun ada anak nama Kamarul, mungkin sebesar Kamarul,” kata Rabeta. Senyuman masih terukir di bibirnya.  Dia menutup fail yang sedang disemaknya.  Begitu juga laptopnya.  Dia memusatkan pandangan ke wajah Kamarul  yang  serius.  Raut  wajah yang garang
            “Puan ada anak?  Nama sama dengan saya?”  soal Kamarul, adakah mamanya tidak mengecam wajahnya?  Kamarul mengeluh dalam hati.  Hati Kamarul berdebar-debar.  Renungan mata Rabeta menikam hatinya.    Renungan kasih yang amat dirindui.
            “Ya, semoga dia sebaik dan sebijak  Kamarul.”  Rabeta tersenyum manis. Bagaimanalah wajah anaknya itu.   Dia tidak dapat membayangkan wajah anak sulongnya itu.  Terlalu  lama berpisah.  Entahkan gemuk, kurus, tinggi, kacak atau hodoh?  Dia tersenyum sendiri memikirkan andaiannya.
            “Amin… baik ke saya ni?” gurau Kamarul.
            “Baiklah di hadapan saya, bolehlah saya nampak.  Tapi di belakang, manalah tahu.  Hanya ALLAH SWT sahaja yang Maha Mengetahui,” usik Rabeta.
            Giliran Kamarul tersenyum pula.  Mamanya memang seorang yang ceria. Suka bergurau dan mengusik mereka adik-beradik.  Mungkin sikap itu masih wujud dalam dirinya.  Kamarul terus mengamati wajah itu, memang sama, tahi lalat dihujung bibir membuktikan siapa perempuan yang duduk di hadapannya.  Cuma, dia amat berat hati ingin memperkenalkan diri.  Terasa segan dan malu dengan diri sendiri.  Dialah yang bersalah kerana melupakan mamanya.
            “Ada hajat lain ke tiba-tiba datang, seorang pula tu? Mana kawan-kawan yang lain? Projek hari tu tak siap lagi ke? Atau ada hajat besar?”  Rabeta menanti jawapan mulut Kamarul yang begitu menjaga kesopanan diri.  Tutut katanya lembut tetapi tegas.
            “Projek hati tu berjalan lancar.  Alhamdulillah maklumat yang kami perolehi amat membantu.  Terima kasih puan.”  Dia mengeluarkan satu sampul dari beg sandangnya.  Sampul surat itu bertukar tangan.
            “Untuk saya?  Awak nak berumah tangga ke?” Rabeta membuka sampul surat tersebut.  Kad jemputan majlis pertunangan rupanya. Dia tersenyum. Nama yang ada membuatkan wajahnya bertukar suram.  Nama itu?  Wahjah Kamarul dipandang sekali imbas sebelum beralih membaca semula kad tersebut. 
            “Awak jemput saya? Bukankah majlis pertunangan selalunya untuk ahli keluarga yang rapat saja?”  Rabeta mengerut dahi.  Dia mencari kebenaran di celahan wajah  dan senyuman Kamarul.
            “Datang ya puan, kami amat berbesar hati jika puan dapat hadir.” Pelawa  Kamarul, tanpa memperkenalkan dirinya yang sebenar.  Mamanya sudah cukup mengerti dan memahami.  Tidak mungkin nama-nama itu  langsung tidak dikenali oleh mamanya.
            “Tapi…”  Rabeta membaca sekali lagi kad undangan itu. Nama-nama yang ada mengingatkan dia dengan keluarganya sendiri.  Dia mengeluh keras.  Apa yang ingin disampaikan oleh anak muda itu?  Adakah Kamarul…  Dahinya berkerut.
            “Saya minta diri dulu, saya berharap puan akan datang ke majlis pertunangan adik saya. Dia pasti menghargainya.  Jemputlah datang ke rumah kami, ya,” kata Kamarul  sebelum melangkah pergi.   Tidak boleh berlama, takut air matanya gugur.  Hatinya dibalut kecewa, mamanya tidak  lagi mengenali dirinya.
            “Kamarul!” Rabeta mati kata-kata.  Adakah pemuda itu… air matanya gugur, perasaan hiba hadir di hati. Masa begitu cepat berlalu meninggalkan dirinya. Dia memandang  sekali lagi kad jemputan yang masih ada di  tangan.  Semakin sayu hatinya. Kenapa dia tidak mengenali anaknya sendiri?  Apakah kesibukan dengan tugas membuatkan dia sengaja melupakan mereka?  Hati berkata dia ingatkan mereka, tapi dia tidak pernah berbuat apa-apa untuk kembali  mendekati mereka.  Kereta Kamarul yang keluar dari kawasan itu dipandang lagi.  Semakin laju air matanya mengalir.


No comments:

Post a Comment