AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 25 January 2016

IKATAN KASIH - BAB 30




Jasmina terus melangkah masuk ke dalam biliknya. Langkah diatur laju. Wajah muramnya akan menimbulkan seribu tanda tanya. Dia tidak mahu kedua orang tuanya mengetahui apa yang berlaku. Keluarganya membantah dia memilih Zaheer. Kalaulah mereka mengetahui berita yang disampaikan oleh mamanya tadi, pasti ayahnya akan memintanya memutuskan tali pertunangan itu. 
            Daun pintu dibuka perlahan. Dia terus merebahkan diri di katil yang kemas rapi. Dia menangis lagi. Hiba yang mendatang bagaikan tidak mahu mengnyah  pergi. Rasa pilu dan sakit di hati menghiris kalbu. Adakah dia telah salah memilih? Semakin laju air matanya mengalir. 
Kenapa mereka kejam sangat dengannya?  Kenapa tergamak mereka memberitahu dia tentang keburukan Zaheer, sedangkan saat-saat dia menyulam bahagia semakin hampir.  Benarkah apa yang diceritakan along dan mamanya?
 Semua cerita itu baginya hanya satu pembohongan. Mesti semua ini kerja ayahnya, mengupah mama, dan lelaki itu kononnya seorang anggota polis.  Kalau sudah tahu tunangnya itu jahat, kenapa tidak ditangkap sahaja?  Ah! Jasmina mengeluh kesal.
            Kamarul berlari anak melangkah masuk ke dalam rumah. Hampir sahaja dia terlanggar sofa yang berada berhampiran pintu utama. Tidak perasan pula, di ruang tamu, ada keluarganya sedang berehat.
            “Kenapa ni long? Macam dikejar hantu saja?” tegur Aida.  Wajah cemberut anak tirinya dipandang dengan kehairanan. Apa pula masalah anak tirinya itu?
            “Dari mana long?” tanya Ramadan. Dia menoleh.
            “Dari KL ayah,” jawab Kamarul. Dia menunduk sedikit. Tidak mahu mempamerkan kegelisahan di wajahnya.
            “Ayah…  mama…  erk… angah dah balik ke?” tanya Kamarul. Melihat kereta adiknya ada di garaj, dia pasti adiknya telah balik ke rumah.
            “Baharu saja balik, ada di bilik agaknya,”  kata Aida, dia pun hairan dengan sikap anak tirinya itu.  Menonong sahaja naik ke bilik.
            “Kamarul naik dulu ya.” Tanpa menunggu jawapan daripada kedua orang tuanya. Kamarul terus melangkah menuju ke biliknya. Dia tidak akan memujuk, biarlah Jasmina memikirkannya sendiri.  Dia sudah melarang, segala bukti telah dilihat sendiri oleh adiknya itu. Kenapa sukar benar hendak percaya? Cinta memang buta, perkara benar disangka fitnah.  Kamarul mengeluh keras. 
            “Kenapa dengan budak-budak tu bang? Lain macam saja saya tengok.  Jangan-jangan mereka pergi jumpa Eta tak?” teka Aida. Walaupun  mereka hanya anak tirinya, apa sahaja yang berlaku kepada mereka, tetap merisaukannya. Dia yang menjaga mereka sejak kecil lagi.   
            “Takkan kut? Saya dah larang, mereka takkan berani,” jawab Ramadan. Anak-anaknya tidak akan berani bertemu Rabeta. Dia sudah melarang keras mereka bertemu bekas isterinya itu. Selama ini kata-katanya tidak pernah dibantah. Anak-anaknya taat dengannya. 
            “Manalah tahu…” Aida mengeluh.  Dia sendiri rindu dengan sepupunya itu. Ingin benar bertemu dan berbual seperti dahulu, tetapi terasa juga janggalnya, kerana dia telah mengambil suami sepupunya sendiri. Apa agaknya yang difikirkan oleh Rabeta tentang dirinya.
            “Jangan fikir bukan-bukan. Mereka takkan berani!” Ramadan masih percaya kepada anak-anaknya.
***

            “Alhamdulillah.” Panggilan telefon yang diterima sebentar tadi membuatkan Rabeta menarik nafas lega. Jasmina sudah pulang ke rumah. Dia berharap sangat, anak gadisnya tidak menghubungi Zaheer.  Kalau tidak pasti kecoh jadinya.
“Kalau Zaheer tahu yang kita dah pecahkan tembelang dia pada Jasmina, macam mana?” Rabeta bimbang, lelaki itu akan melakukan sesuatu terhadap anaknya. 
            “Cuba Eta bertenang, jangan risau tak bertempat,” nasihat Fakhrul. Rimas pula dia. Mundar-mandir di depannya.
Angin petang melegakan sedikit tubuhnya yang melekit dek peluh. Panas yang membahang terasa membakar setiap inci tubuhnya. Biarpun duduk di bawah pondok yang berbumbung tetapi bahang kepanasan matahari yang terik tetap terasa.
            “Mana boleh nak tenang? Entah macam mana keadaan anak Eta tu!” luah Rabeta. Dia duduk di sebelah Fakhrul.
Bulan hadapan mereka akan disatukan. Tiada sebarang majlis besar, sekadar akad nikah dan majlis kesyukuran sahaja. Itu permintaan Rabeta sendiri.  Keluarga Fakhrul tidak membantah. Mereka duda dan janda, tidak perlulah buat majlis besar, ala kadar sahaja sudah cukup, asalkan sampai hajat masing-masing.  
            “Awak tak percayalah kan saya? Saya akan suruh orang-orang saya ekori Jasmina dan jaga keselamatannya.” Fakhrul mengangguk, meyakinkan Rabeta. Dia tidak akan membiarkan bakal anak tirinya itu diapa-apakan. Itulah sahaja caranya untuk menyelamatkan Jasmina, jika dia masih lagi berkeras ingin meneruskan hajatnya itu. 
            “Saya takut sangat-sangat, Fakhrul. Entah apalah rancangan Zaheer tu…” keluh Rabeta.
            “Akak akan bantu juga Eta. Takkanlah akak nak biarkan anak Eta jadi mangsa pula?” Nazatul merenung wajah Rabeta yang jelas terpancar kebimbangannya.
            “Terima kasih kak, Fakhrul.”
 “Malam ini, kita akan serang sarang baru Zaheer. Dengar kata, tempat dia memproses dadah. Sebelum ini, tak pernah pula akak dengar dia buat dadah sendiri. Selama ini dia ambil bekalan di negara seberang.” Nazatul menukar topik bicara. Ada tugas lain yang menanti.
            “Bagus Kak Naz. Pihak polis sedia bila-bila masa sahaja membantu. Maklumat daripada RIKA banyak membantu kami. D7 dan bersedia. Kita akan serbu malam ini. Eta nak turun juga ke? Baik tunggu di sini, Biar Kak Naz saja yang turun.” Fakhrul melirik ke arah Rabeta yang sedang meneliti fail-fail yang ada di atas meja bulat di hadapannya. Cepat sangat dia bertukar angin.  Sudah hilang agaknya rasa marah dan bimbang di hati.           
            “Eta tak kisah, di mana-mana pun boleh!”  jawab Rabeta sambil tersenyum. Dia tidak mahu terlalu memikirkan sangat masalah anaknya. Takut hilang pertimbangan dalam diri. Mahu sahaja dia membunuh Zaheer, biar mati sahaja.  Hidup pun tiada erti, jika hanya menyusahkan orang lain.
“Okeylah, kalau begitu. Eta tunggu di sini. Biar Kak Naz yang turun ke lapangan dengan Ravi dan Hadi,”  jelas Nazatul. Sejak ‘merdeka’, dia semakin bersemangat. 
            “Kalau begitu, malam nanti kita jumpa kat sana ya, Kak Naz,” janji Fakhrul.
Tugas para petugas RIKA hanya mengesahkan lokasi. Kemudian pihak berkuasa yang akan mengambilalih. 
            “Insya-ALLAH, Fakhrul dah jumpa tempat persembunyian Zaheer?” tanya Nazatul lagi.
            “Sudah kak, sejak dia kena angau ni, mudah sangat kami nak kesan tempat tinggal dia,” jelas Fakhrul, matanya mencuri pandang wajah Rabeta. Bimbang Rabeeta tersinggung. Jasmina, tunangan Zaheer, anak perempuan Rabeeta. Ironinya hidup.  Berputar di situ sahaja. Tidak ke mana-mana.
***
            Panggilan telefon daripada seseorang membuatkan wajahnya berubah. Dia terdiam seketika. Memikirkan kewajaran tindakannya nanti.  Perlukah dia bertenang dengan apa yang berlaku.
            “Joe! Joe!” jeritnya. Sudahlah duduk menyewa di sebuah bilik yang langsung tak selesa.  Ditambah masalah yang datang bertimpa-timpa. Memang menyakitkan hatinya.
            “Ya bos!” jawab Joe, dia membuka cermin mata hitam yang sentiasa melekat di hidungnya, menutup matanya yang kuyu bagaikan orang tidak cukup tidur.
            “Malam ini kita pindah! Aku takut, polis dah tahu tempat persembunyian aku ni!” kata Zaheer
            “Pindah  lagi?” Joe mengeluh keras. Sudah tujuh kali ketuanya itu berpindah-randah sejak  isterinya terlepas daripada cengkaman mereka.
            “Jangan buat muka poyo kau tu!” marah Zaheer.   
            “Baik bos!”  Joe menggeleng, kesal. Penatlah, duduk sehari dua, lepas tu pindah lagi. Pindah lagi, sampai bila? Agaknya, sudah masuk kubur baharu selesai. 
            Pakaian Zaheer dikemaskan dan dilipat sebelum dimasukkan ke dalam beg pakaian. Barang-barang peribadi milik Zaheer dimasukkan ke dalam beg lain pula. 
            “Bos kena cari rumahlah, nanti dah kahwin takkan nak tinggal dalam bilik sempit macam ni?”  cadang Joe, lelaki Melayu berketurunan Jawa. 
            “Apa masalahnya?  Isteri aku tu kan nanti kena ‘kerja’ jugak.”
Dia tidak bercadang hendak menyewa rumah. Berada dalam keadaan begini, memudahkan dia hendak bergerak ke sana, ke mari. Lagipun, polis tentu sukar hendak mengesannya. Jasmina boleh sahaja berkongsi bilik itu dengannya nanti. Hendak selesa, tinggal sahaja di rumah bapa mertuanya, selesai masalah. Malah selesa juga dan sudah tentu selamat. Dia tersenyum lebar. Nasib kaulah Jasmina, bisik hati kecilnya sendiri.
            “Bos, kalau macam ni selalu, boleh gulung tikar kita,”  ujar Joe. Dia memandu kereta menuju ke hotel lain pula. Dia sendiri risau melihat perkembangan yang berlaku. Operasi besar-besaran membanteras pusat-pusat pelacuran di sekitar Lembah Kelang sedang digerakkan oleh pihak berkuasa. Dia hanya mampu mengurut dada sahaja apabila diberitahu oleh orang-orang bawahannya.  Wajah tenang Zaheer dipandang dengan hati yang bimbang. Air yang tenang, jangan sangka tiada buaya.  Tenang-tenang berisi.
            “Bertenanglah, 10 mereka tutup, kita buka lagi 20, selama mana mereka nak kejar kita?  Yang penting kita tak ada di situ.” Zaheer menyengih.
Langsung tiada kesukaran di hatinya. Apalah yang hendak disusahkan. Tutup di sini, buka di sana.  Itulah yang berlaku selama ini. Dia tersenyum sumbing.  Selagi ada penjualan pasti ada permintaan.  Selagi wujud orang sepertinya,selagi itulah pusat hiburan dan pelacuran terus tumbuh.
            Deringan telefon bimbitnya membuatkan dia mengalihkan perhatiannya. Zaheer segera menjawab panggilan tersebut. 
            Joe hanya memandang melalui ekor matanya.  Sekejap wajah Zaheer tersenyum, kemudian masam, kemudian ceria semula. Akhir sekali telefon itu di letakkan di atas ribaan dan dia mengeluh. 
            “Malam ini, aku tidur di hotel. Esok kau keluar cari rumah untuk disewa,” arah Zaheer.
            “Aik! Ubah fikiran pula bos?” Joe kehairanan. Susah betullah buat kerja dengan manusia yang tidak tetap pendirian.
            “Jangan banyak ceritalah. Ikut saja arahan!” kata Zaheer sedikit keras. Kacau seketika hatinya.  Panggilan tadi mengganggu perasaannya. Panggilan daripada seseorang yang sudah lama tidak menghubunginya.
Dia mengeluh. Sudah berbelas tahun menghilangkan diri, baharu sekarang berani pulang ke mari? Zaheer mencebik. Perkara yang mendatang, tanpa diduga.
            “Bos! Isteri bos ada di rumah tu. Tak nak tangkap dia semula ke?” tanya Joe. Dia mencuri pandang wajah Zaheer yang muram. Bagai memikirkan sesuatu.  
            “Kau nak suruh polis cekup aku?” marah Zaheer. Itu sebab dia tidak ke sana. Polis pasti akan memburunya di situ. Dia tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Terpaksa melepaskan Nazatul, buat seketika.  Tunggu sahajalah Nazatul, masa kau akan tiba juga.  Zaheer mencebik lagi. Rasa menyampah terhadap masa lalunya membuku di hati.
            “Takkan nak biarkan saja bos? Boleh jatuh miskin kita nanti.” Sengaja meracun perasaan Zaheer.   Dia sendiri nyaris-nyaris ditangkap oleh pihak polis sewaktu berada di salah satu rumah urut milik Zaheer. Nasib baiklah sempat meloloskan diri, kalau tidak, jawabnya tidur di dalam lokaplah.
            “Kau jangan bagi aku pening kepala, Joe! Kepala aku dah cukup sakit ni!” lengking Zaheer.  Kurang senang dengan omelan pembantu kanannya itu. Orang-orangnya bersepah merata tempat, menjaga kepentingannya dalam dunia perniagaan yang penuh kekotoran, daki dosa dan noda. 
            “Ala, bos, janganlah marah. Saya peringatkan saja. Kalau dah papa, baharu bos nak bertindak, dah lambat. Kita juga yang gigit jari!”  Joe membebel lagi.
            Zaheer membuang pandang. Pihak polis asyik menyambar anak-anak helangnya hingga dia kekurangan kakitangan. Mahu bertukar kerjaya pula, apa yang dia pandai lakukan. Sekolah pun setakat darjah enam sahaja. Dia tiada apa-apa, kosong.  Bagaimana mungkin dia mencari kekayaan tanpa perlu bekerja keras.
            Nazatul…Nazatul, dia tersenyum sendiri. Dengan bermodalkan Nazatullah  empayarnya mula berkembang. Ramai pelanggannya sukakan Nazatul. Nazatul pernah jadi lubuk emasnya.
            Sejak Nazatul berjaya melarikan diri dan menubuhkan pusat yang ingin mengubah nasib para pelacur miliknya, membuatkan perniagaannya semakin merosot. Nazatul musuhnya. Musuh perniagaannya. Semakin memikirkan isterinya itu, semakin sakit hatinya. Kau tunggulah Nazatul, ngomelnya sendiri dalam hati. Rasa bengkak di hati menahan  getar kemarahan yang menggunung tinggi. 
            Joe pula masih membebel. Dibiarkan sahaja pembantu kanannya itu meluahkan gejolak di hati. Mungkin lelaki itu juga risau pendapatannya merosot nanti. Joe juga banyak membawa balik anak-anak ayam untuknya. Joe jugalah tulang belakang yang memantau perniagaannya.  Kalau tiada Joe, dia boleh patah kaki.


  

No comments:

Post a Comment